Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 1, 2024

Hanya Tang Jie-Ee Wei teruskan kemaraaan di Masters Thailand

KUALA LUMPUR: Hanya beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya melangkah ke suku akhir Masters Thailand manakala empat lagi wakil negara ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei menepati ramalan mara ke kelompok lapan terbaik apabila menundukkan rakan sepasukan, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-14, 21-15 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Nimibutr di Bangkok.

Ini adalah kali pertama pasangan nombor sembilan dunia itu berjaya mara ke suku akhir pada saingan musim ini selepas tewas di pusingan kedua dalam tiga kejohanan pertama iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.

Tang Jie-Ee Wei akan bertemu pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Robin-Selena mara selepas mengetepikan cabaran beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 18-21, 21-15, 21-19.

Satu lagi beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut gagal meneruskan kemaraan apabila tewas di tangan pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-17, 16-21.

Nasib sama turut menimpa beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang tewas di tangan pasangan Denmark, Andreas Sondergaard-Jesper Toft 23-25, 21-14, 14-21.

Terdahulu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua apabila tewas di tangan wakil Belanda, Mark Caljouw 7-21, 11-21.-Berita Harian

Tanpa bantuan MSN, Khairulnizam tetap buru tiket ke Olimpik

Kuala Lumpur: Pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy menegaskan bahawa dia tidak akan berputus asa untuk cuba melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris buat kali keempat.

Biarpun tanpa bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Persatuan Pelayaran Kebangsaan, ia tidak akan mematahkan semangatnya yang akan terus berusaha merealisasikan impian itu kerana masih mempunyai satu lagi peluang.

Terdahulu pemenang dua pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dan Incehon 2014 menamatkan saingan Kejohanan Dunia ILCA 7 Adelaide 2024 semalam di kedudukan ke-33 dari 152 peserta yang mengambil bahagian.

Hanya empat mata memisahkan Kharulnizam daripada Paris.

“Misi untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik ‘tertangguh’ namun masih ada satu lagi peluang untuk melayakkan diri ke Olimpik di kejohanan ‘Last Chance Regatta’ pada bulan April nanti.

“Ucapan terima kasih buat keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu terutamanya dari segi kewangan untuk menyertai kejohanan ini di mana saya tidak menerima apa-apa bantuan kewangan dari MSN ataupun persatuan kebangsaan bagi kejohanan penting ini.

“Selain itu juga, saya bersyukur kerana menerima bantuan dari jurulatih Thailand semasa latihan dan perlumbaan di sini kerana tiada jurulatih yg di hantar oleh MSN atau persatuan.

“Dengan pelbagai halangan dan dugaan saya masih lagi mampu untuk bersaing hingga ke perlumbaan terakhir dan hanya kurang empat mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.

Katanya, kerja keras akan diteruskan pada bulan April dan berharap ada berita gembira akan diperoleh.

Pada aksi di temasya Olimpik Tokyo, Khairulnizam yang beraksi dalam acara laser menamatkan saingan di kedudukan ke-28 dari 35 peserta yang mengambil bahagian.

Manakala di Olimpik Rio, atlet kelahiran Kedah itu berkedudukan tempat ke-35 dari 46 peserta dan dia menamatkan saingan Olimpik London 2012 di tempat ke-47 dari 49 peserta.-Harian Metro

Kemunculan David Beckham suntik motivasi pemain wanita negara

PETALING JAYA – Bekas kapten skuad England, David Beckham meluangkan masa bersama pemain bola sepak wanita negara dalam Program Bola Sepak Wanita Malaysia (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, hari ini.

Beckham yang pernah mewakili kelab Manchester United itu turut memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada pelatih bola sepak wanita yang sedang melakukan sesi latihan ringan bersama pemain kebangsaan, Steffi Sarge Kaur.

Program yang dijalinkan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bertujuan untuk memastikan kualiti dan imej bola sepak wanita di negara ini terus meningkat di pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, program terbabit sememangnya baik dalam usaha meningkatkan lagi semangat pemain bola sepak wanita negara.

“Bola sepak wanita menghadapi pelbagai cabaran daripada memerangi stigma masyarakat, diskriminasi, kekurangan akses dan mengharungi laluan yang sukar di negara kita.

“Saya jangkakan program ini dapat mencungkil bakat bola sepak wanita khususnya menjadi platform buat pemain muda mengembangkan bakat masing-masing,” katanya ketika majlis pelancaran AMGFP hari ini.

Difahamkan, Beckham yang telah tiba di Kuala Lumpur sejak malam tadi bakal menghadiri satu lagi majlis pelancaran di TRX The Exchange pada petang ini. – KOSMO! ONLINE

Akhimullah pemain terbaik Piala Dunia Hoki 5s

KUALA LUMPUR: Edisi sulung Piala Dunia Hoki 5 sebelah (5s) pastinya meninggalkan kenangan manis buat kapten skuad lelaki negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Dia bukan sahaja berjaya membantu Malaysia mencipta sejarah muncul naib juara malah turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan yang berlangsung di Muscat, Oman itu.

Akhimullah mempamerkan prestasi cemerlang dalam setiap perlawanan diharungi skuad negara dengan dia turut merekodkan 11 gol sepanjang kejohanan berlangsung.

Dia juga berjaya meledak satu gol ketika aksi final menentang pasukan gergasi Eropah, Belanda, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan itu, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tewas 2-5 di tangan Belanda yang juga pasukan nombor satu dunia.

Sementara itu, pemain Pakistan, Waheed Ashraf Rana muncul penjaring terbanyak kejohanan apabila merekodkan 23 gol manakala rakan sepasukannya, Hannan Shahid dipilih sebagai pemain muda terbaik.

Pemain Belanda, Joey van Walstijin pula dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik.-Berita Harian

Anwar ucap tahniah buat skuad hoki 5s negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara yang muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman, awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya, Anwar turut menuntut pemain untuk terus mempamerkan kesungguhan dan aksi luas biasa dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Tahniah kepada pasukan hoki 5 sebelah negara yang menjadi naib juara Piala Dunia Hoki 5s lelaki di Muscat, Oman.

“Terus pamerkan kesungguhan dan aksi luar biasa dalam setiap kejohanan yang disertai selepas ini,” katanya.

Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas 2-5 di tangan pasukan gergasi Eropah, Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.

Skuad negara membuka tirai kempen peringkat Kumpulan D dengan keputusan seri 3-3 menentang Oman sebelum menang ke atas Amerika Syarikat 3-2 dan membelasah Fiji 8-3 untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.

Malaysia yang muncul naib juara Kumpulan D kemudian menewaskan Trinidad dan Tobago 5-4 di peringkat suku akhir sebelum mengesahkan kemaraan ke final dengan mengatasi Poland 4-3 pada aksi separuh akhir-Berita Harian

Skuad hoki 5s bakal terima peruntukan – Hannah

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyalurkan peruntukan kepada skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki dan wanita negara bagi program latihan dan kejohanan kedua-dua pasukan berkenaan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kedua-dua pasukan tidak menerima peruntukan sebelum ini disebabkan saingan Piala Dunia Hoki 5s yang disertai di Muscat, Oman adalah kejohanan baharu.

Katanya, kerajaan sudah pun menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.63 juta bagi kegunaan lima pasukan hoki negara bagi tahun 2023.

“Bagi tahun 2023, lima pasukan menerima jumlah besar RM5.63 juta. Piala Dunia Hoki 5s ini acara baharu, kali pertama 2024 untuk pasukan lelaki dan wanita. Kami sedang usahakan bantuan.

“Jumlah besar tujuh pasukan sekarang yang akan dibantu oleh KBS Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN),” kata Hannah menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam tadi.

Menurut Hannah, daripada RM5.63 juta yang diberikan kepada lima pasukan hoki negara, sebanyak RM2,084,618 disalurkan kepada skuad senior lelaki kebangsaan yang terdiri daripada 20 pemain manakala skuad wanita yang juga dibarisi 20 pemain menerima RM1,129,990.

Tambahnya, 20 pemain pelapis kebangsaan menerima RM1,315,783 manakala 36 pemain yang beraksi bagi pasukan hoki dewan pula diberi peruntukan sebanyak RM1,105,749.

BH Sukan semalam melaporkan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mendedahkan jurulatih skuad hoki 5s lelaki negara, Wallace Tan yang membawa pasukan mara ke final Piala Dunia Hoki 5s tidak mengambil gaji kerana memahami kekangan kewangan dialami badan induk itu dan hanya menerima elaun makan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata pemain juga menerima elaun latihan yang amat sedikit selain tidak mampu untuk memenuhi permintaan mereka yang mahukan kasut baharu.

Justeru, beliau akan berusaha untuk memberikan ganjaran kepada skuad lelaki yang berjaya mara ke final edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s selain skuad wanita yang mengakhiri kempen di kedudukan keenam.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia