Pearly, Thinaah disaran kurangkan kesilapan mudah

Kuala Lumpur: Kesilapan mudah yang sering dilakukan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah diharap mampu dikurangkan dalam perlawanan lain selepas ini.

Menurut jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How perkara itu dapat dilihat ketika aksi suku akhir Masters Indonesia semalam yang menyaksikan Pearly-Thinaah tersingkir di tangan beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 16-21, 9-21.

“Perkara itu dapat dikurangkan sekiranya merekat idak terlalu menggunakan corak permainan laju,” kata Thien How yang juga bekas pemain beregu lelaki negara.

Ujarnya, perlawanan semalam, di permulaannya pasangan ke-13 dunia itu mahu menerapkan permainan laju dan banyak melakukan kesilapan mudah.

“Selain itu banyak yang tidak menjadi dan ia menyebabkan perlawanan menjadi sukar. Mereka mengejar tetapi masih ada kesilapan mudah dan kemudian di set kedua, lawan sudah semakin yakin dan ia menyukarkan lagi perlawanan.

“Bagi saya, rentak dalam perlawanan kena ‘steady’ lagi. Tak boleh selalu laju kerana ia akan membuatkan peratusan kepada kesilapan mudah itu menjadi lebih tinggi dan apabila (apa yang dirancang) tak jadi, ia mengganggu permainan,” kata Thien How.

Sementara itu, Thinaah mengakui yang mereka terlalu mengikut rentak lawan dan berazam untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan di Istora Senayan, Jakarta.

“Saya rasa, kita tak dapat ikut corak serangan mereka. Mereka juga bermain dengan agresif dan itu yang kita kena usahakan untuk diperbaiki. Saya rasa (daripada perlawanan ini), kita boleh belajar corak agresif yang ditunjukkan mereka selain kelajuan dalam permainan. Itu penting,” katanya.

Pearly pula mengakui pemain lawan banyak memberikan tekanan kepada mereka.

“Kami juga tak dapat ikut corak kelajuan ditunjukkan mereka. Saya rasa itulah yang membuatkan kami kalah,” kata Pearly.-Harian Metro