Witchcraft intai gelaran juara RLIR 2024

LANGKAWI: Memenangi enam perlumbaan berturut-turut meletakkan pasukan Witchcraft dari Hong Kong dalam keadaan selesa untuk muncul juara baharu Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2024, di sini.

Meskipun berbaki empat perlumbaan, kejayaan mengatasi lawan pada hari pertama, kedua dan ketiga hari ini, menyaksikan pasukan diketuai Nick Burns itu berada pada landasan tepat untuk bergelar juara edisi ke-20 ini.

Ini berikutan pencabar terdekat yang juga wakil negara, The Next Facto dari Kelab Perahu Layar Diraja Selangor (RSYC) ketinggalan lima mata penalti kepada Witchcraft, manakala Uranus (Hasani Hassan, 15 mata) di tempat ketiga.

Bagi saingan esok dan lusa, Witchcraft hanya perlu menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik menerusi empat perlumbaan yang ditawarkan bagi mengesahkan kejuaraan dalam kelas utama, Racing.

Bagi kelas IRC 1, menyaksikan wakil negara, Mata Hari merampas kedudukan juara selepas mengutip enam mata penalti iaitu kelebihan satu mata mengatasi pendahulu sebelum ini Char Chan dari Jepun pada perlumbaan kelima hari ini.

Tempat ketiga bagi kelas sama menjadi milik Endeavour of Whitby dari United Kingdom diketuai Stuart Williamson dengan catatan 11 mata penalti.

Pengarah Eksekutif Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi (RLYC), Azlan Abdullah, berkata semua pasukan yang mengambil bahagian kali ini berpuas hati dengan tiupan angin kuat mencecah sehingga 25 knot.

“Tiupan angin yang kuat diiringi ombak yang tinggi di perairan Langkawi menjadikan kejohanan kali ini lebih mencabar dan memaksa semua pasukan menggunakan segala kemahiran bagi mengatasi lawan,” katanya di sini.

Pada edisi ke-20 kali ini, sebanyak 32 bot membabitkan 240 pelayar dari seluruh dunia berentap merebut gelaran dalam tujuh kelas dipertandingkan iaitu Racing, IRC1, IRC2, Club Class, Super Boats, Multihull, Ocean Rover/White Sail.

KEPUTUSAN PENUH HARI KETIGA RLIR 2024

Kelas Racing

  1. Witchcraft (Hong Kong, Nick Burns) 5 mata
  2. The Next Factor (Malaysia, Rolf Heemskerk) 10 mata
  3. Uranus (Malaysia, Hasani Hassan) 15 mata

Kelas IRC 1

  1. Mata Hari (Malaysia, Vincent Chan) 6 mata
  2. Char Chan (Jepun, Kazuki Kihara) 7 mata
  3. Endeavour of Whitby (United Kingdom, Stuart Williamson) 11 mata

Kelas IRC 2

  1. The Blue Angel (Malaysia, Jeremy Camps) 4 mata
  2. Wind of Change (Malaysia, Sergei Musikhin) 9 mata
  3. Piccolo (United Kingdom, Mike Downard) 11 mata

Kelas Sportsboats

  1. RSYC Team (Malaysia, Rizal Mahadi Sazil) 7 mata
  2. Navy 1 (Malaysia, Asmawi Azman) 13 mata
  3. UMT 1 (Malaysia, Ku Anas Ku Zamil) 14 mata -Berita Harian