Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 12, 2024

Elaun bulanan atlet program podium ditukar kepada gaji – Hannah

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet yang berada di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, 307 atlet dan 86 atlet para yang berada di bawah program berkenaan sekali gus menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata, mereka bakal menandatangani kontrak selama dua tahun bermula bulan ini.

“Carumannya sebanyak 11 peratus bagi pihak atlet dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) 13 peratus… atlet kita minta ada jaminan untuk mereka, jadi kita telah sampaikan serta tunaikan hasrat itu dan saya mahu atlet tunaikan hasrat rakyat Malaysia dapatkan pingat emas Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN di sini hari ini.

Hannah berkata, langkah itu bakal memberi impak kewangan berjumlah RM16 juta setahun kepada MSN.

Dalam pada itu, beliau berkata, KBS juga telah meminta MSN untuk mengkaji semula elaun jurulatih menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan.

“Kita sudah ada beberapa bengkel dan MSN akan koordinasi, kita kena bentang kepada jawatankuasa MSN sebelum melaksanakan apa-apa,” katanya. -Sinar harian

Taklimat Penyelarasan Takwim Program Bakat dan Pelapis Negeri 2024

Majlis Sukan Negara telah mengadakan sesi Taklimat Penyelarasan Takwim Program Bakat dan Pelapis Negeri 2024 bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) pada 12 Januari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk menyelaras program pembangunan bersama PSK seterusnya menyediakan perancangan aktiviti program sebagai takwim sukan tahun 2024.

Pengumumkan Peningkatan Jumlah Gaji Minimum

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan peningkatan jumlah gaji minimum dari RM800 kepada RM1,500 buat atlet yang baru memasuki Program Podium, penambahan sebanyak RM700.

Peningkatan gaji ini melibatkan semua atlet dibawah Program Podium yang memenangi pingat di temasya Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Asia, Kejohanan Komanwel dan di Kejohanan Dunia.

Elaun atlet pelapis kebangsaan turut dinaiikkan dari RM500 kepada RM700 bagi yang memenangi pingat sekurang-kurangnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) atau mana-mana Kejohanan Kebangsaan atau Kejohanan Remaja Kebangsaan. Manakala RM500 diberikan kepada atlet pelapis yang belum memenangi sebarang pingat di SUKMA atau mana-mana Kejohanan Kebangsaan atau Kejohanan Remaja Kebangsaan.

393 atlet termasuk atlet para akan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula bulan Januari melibatkan 11% bagi pihak atlet dan 13% dari MSN.

MAJLIS AMANAT MENTERI BELIA DAN SUKAN TAHUN 2024

Majlis Amanat YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bersama atlet, jurulatih dan Persatuan Sukan Kebangsaan bagi tahun 2024 telah diadakan pada 11 Januari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Dalam amanatnya, YB Menteri memperkenalkqn inisiatif baru seperti, Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) yang memastikan caruman dalam KWSP dan PERKESO untuk simpanan masa hadapan kepada semua atlet-atlet kebangsaan dan meningkatkan jumlah elaun latihan mengikut program atlet.

Seterusnya, mengadakan kajian semula elaun menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan. Selain itu, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) juga akan diperkasa dengan penyaluran bantuan supaya dapat mengendalikan aspek perancangan seperti latihan, penyertaan ke pertandingan antarabangsa, pengawalan peralatan latihan serta bayaran elaun atlet-atlet.

Di akhir ucapan beliau menyatakan fokus utama bagi tahun 2024 adalah misi tambah pingat emas pada Sukan Olimpik Paris nanti. Seterusnya penganjuran temasya dan acara utama seperti Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 dan Le Tour de Langkawi 2024 serta mempersiapkan Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand.

Majlis Sukan Negara Malaysia