Malaysia perlu menang atasi China, Pakistan – Arul

Kuala Lumpur: Misi skuad hoki lelaki negara di kempen kelayakan di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari ini adalah mengakhiri saingan sekurang-kurangnya di tempat ketiga sekali gus memperoleh tiket beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut ketua jurulatih negara, A Arul Selvaraj, bagi merealisasikan misi berkenaan anak buahnya terlebih dahulu perlu mencatat kemenangan ke atas China dan Pakistan dalam saingan Kumpulan A untuk berada di kedudukan dua teratas seterusnya mara ke peringkat separuh akhir.

“Secara realistik sukar untuk Malaysia menewaskan Great Britain yang turut diundi dalam Kumpulan A. Pertama, kita perlu menewaskan China dan Pakistan. Kita perlu akhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan dua teratas untuk layak ke separuh akhir.

“Secara realistik berdasarkan prestasi, ranking dan kualiti, kami sedar Great Britain ada kelebihan berbanding pasukan Malaysia. Jadi, kita perlu menang ke atas China dan Pakistan untuk layak ke separuh akhir,” katanya.

Ujar Arul, apabila sudah mara ke separuh akhir, mereka ada dua peluang untuk layak ke Sukan Olimpik.

“Pertama, kita menang perlawanan separuh akhir dan mara ke final atau jika kalah, kita perlu menang perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

“Tiga pasukan terbaik daripada pusingan kelayakan ini akan layak beraksi di Sukan Olimpik Paris,” katanya.

Bagaimanapun, Arul, berkata tugas mencabar menanti barisan pemain negara apabila sudah melangkah ke peringkat separuh akhir kerana berkemungkinan bertemu mana-mana pasukan dalam Kumpulan B yang dibarisi Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.

“Kecuali Chile, Jerman, New Zealand dan Kanada adalah tiga pasukan yang secara konsisten bermain di Olimpik.

“Apabila ada pasukan yang secara konsisten bermain di Olimpik, mereka tahu bagaimana cara untuk memenangi perlawanan kerana mereka sentiasa mendapat pendedahan beraksi dalam kejohanan tertinggi. Kita pula sudah enam Olimpik tidak pergi.

“Namun, dengan barisan pemain yang dipilih kali ini, saya percaya kita boleh bersaing untuk merebut slot ke Sukan Olimpik,” katanya.

Skuad negara dijangka berlepas ke Muscat pada 11 Januari ini dan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Kanada serta Chile pada 12 dan 13 Januari sebelum memulakan kempen kelayakan.

Mereka akan membuka tirai saingan di Muscat menentang China pada 15 Januari diikuti pertemuan dengan Great Britain (17 Januari) sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan A menentang Pakistan pada 19 Januari.-Harian Metro