Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 6, 2024

Acara SUKMA Sarawak bertambah, kontinjen Selangor giat berlatih

SUBANG JAYA, 6 JAN: Kerajaan Negeri giat melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak pada Ogos ini.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata kontinjen Selangor berdepan cabaran susulan tuan rumah menganjur 37 acara berbanding jumlah kebiasaan di temasya sebelum ini.

“Kita pastinya sedang jalankan program pembangunan atlet dan persediaan untuk SUKMA. Kali ini kita ada 37 acara dan sudah tentu ia beri cabaran kepada atlet kita.

“Sebelum ini di temasya lain hanya ada sekitar lebih 20 acara sahaja. Kita mahu siapkan kontinjen terbaik dan sasaran kita kalau boleh mahu jadi juara,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Agenda Public Speaking Workshop 2024 di Universiti Sunway di sini hari ini.

Sebelum ini, Najwa memaklumkan Selangor menyasar kedudukan tiga teratas pada SUKMA ke-21 berdasar pemantauan dan penilaian prestasi atlet sepanjang tempoh persediaan.

Najwan menambah pihaknya juga bakal menyelaras dan muktamad pelantikan baharu Penggerak Belia Selangor (PeBS) dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pelantikan 228 ahli PeBS dibuat bagi menggerakkan polisi dan program untuk belia selain berperanan sebagai penghubung membentuk perpaduan dalam masyarakat.

“Pelantikan kali ini ada penambahbaikan, kita mahu pastikan proses pelantikan lebih kompiten, berdaya saing dan faham kehendak anak muda,” katanya.

PeBS dijenamakan dan disusun semula pada 2021 daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang mula diperkenalkan sejak 2009.

Pemimpin belia setempat itu memainkan peranan kepada agenda pembangunan generasi muda di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). -Selangor Kini

MS harap lima lagi penerjun layak ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MS) menyasarkan sekurang-kurangnya lima lagi atlet meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Kejohanan Akuatik Dunia yang berlangsung di Doha, Qatar pada 2 hingga 18 Feb depan.
Pengarah Teknikal MS Bryan Nickson Lomas berkata antara penerjun berpotensi menempah slot kali ini termasuk ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.
Selain dua atlet berkenaan, beliau berkata penerjun lain juga turut berpeluang meraih slot ke Sukan Olimpik iaitu Wendy Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang, Muhammad Syafiq Puteh, Enrique Maccartney Harold dan Jellson Jabillin.
“Setakat ini, hanya seorang penerjun layak ke Sukan Olimpik 2024, namun sudah pasti kita mahu lebih ramai penerjun layak ke Paris dan kejohanan di Doha merupakan peluang terakhir mereka untuk melakukannya.
“Saya tahu standard penerjun kita, ia bukan sesuatu yang mustahil (lebih ramai penerjun layak) kerana sesetengah mereka berada dalam kelompok 18 mahupun kelompok 10 terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bertrand Rhodict Lises muncul penerjun pertama negara menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024, setakat ini.
Atlet kelahiran Sarawak yang bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik meraih slot selepas mara ke final acara 10 meter (m) platform lelaki individu, sekali gus menempatkan diri dalam syarat kelayakan iaitu kelompok 12 terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lepas.
Pada kejohanan di Doha bulan depan itu, 12 penerjun terbaik acara individu dan empat gandingan terbaik acara seirama akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, Bryan yang menyertai kem terjun negara pada Khamis lepas berkata beliau berpuas hati dengan kesemua penerjun yang memberikan fokus sepanjang kem latihan yang berlangsung selama dua bulan di China.
“Kem latihan akan tamat pada 25 Jan. Kita akan balik ke Malaysia dan berlepas ke Doha pada 27 Jan. Bukan saja untuk meraih tiket ke Olimpik, saya juga mahu para penerjun meningkatkan pungutan mata mereka,” katanya.
— BERNAMA

Malaysia perlu menang atasi China, Pakistan – Arul

Kuala Lumpur: Misi skuad hoki lelaki negara di kempen kelayakan di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari ini adalah mengakhiri saingan sekurang-kurangnya di tempat ketiga sekali gus memperoleh tiket beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut ketua jurulatih negara, A Arul Selvaraj, bagi merealisasikan misi berkenaan anak buahnya terlebih dahulu perlu mencatat kemenangan ke atas China dan Pakistan dalam saingan Kumpulan A untuk berada di kedudukan dua teratas seterusnya mara ke peringkat separuh akhir.

“Secara realistik sukar untuk Malaysia menewaskan Great Britain yang turut diundi dalam Kumpulan A. Pertama, kita perlu menewaskan China dan Pakistan. Kita perlu akhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan dua teratas untuk layak ke separuh akhir.

“Secara realistik berdasarkan prestasi, ranking dan kualiti, kami sedar Great Britain ada kelebihan berbanding pasukan Malaysia. Jadi, kita perlu menang ke atas China dan Pakistan untuk layak ke separuh akhir,” katanya.

Ujar Arul, apabila sudah mara ke separuh akhir, mereka ada dua peluang untuk layak ke Sukan Olimpik.

“Pertama, kita menang perlawanan separuh akhir dan mara ke final atau jika kalah, kita perlu menang perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

“Tiga pasukan terbaik daripada pusingan kelayakan ini akan layak beraksi di Sukan Olimpik Paris,” katanya.

Bagaimanapun, Arul, berkata tugas mencabar menanti barisan pemain negara apabila sudah melangkah ke peringkat separuh akhir kerana berkemungkinan bertemu mana-mana pasukan dalam Kumpulan B yang dibarisi Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.

“Kecuali Chile, Jerman, New Zealand dan Kanada adalah tiga pasukan yang secara konsisten bermain di Olimpik.

“Apabila ada pasukan yang secara konsisten bermain di Olimpik, mereka tahu bagaimana cara untuk memenangi perlawanan kerana mereka sentiasa mendapat pendedahan beraksi dalam kejohanan tertinggi. Kita pula sudah enam Olimpik tidak pergi.

“Namun, dengan barisan pemain yang dipilih kali ini, saya percaya kita boleh bersaing untuk merebut slot ke Sukan Olimpik,” katanya.

Skuad negara dijangka berlepas ke Muscat pada 11 Januari ini dan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Kanada serta Chile pada 12 dan 13 Januari sebelum memulakan kempen kelayakan.

Mereka akan membuka tirai saingan di Muscat menentang China pada 15 Januari diikuti pertemuan dengan Great Britain (17 Januari) sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan A menentang Pakistan pada 19 Januari.-Harian Metro

Paralimpik terakhir Abu Samah?

Kuala Lumpur: Jaguh tenis kerusi roda negara Abu Samah Borhan tidak menolak kemungkinan Sukan Paralimpik 2024 di Paris bakal menjadi penampilan terakhirnya pada temasya sukan berprestij tersebut.

Abu Samah berkata, usia mungkin menjadi faktor utama beliau memilih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Paralimpik, namun tetap bersedia mewakili negara jika diperlukan.

“Bagaimanapun, untuk temasya sukan lain seperti Sukan Para Asean mahupun Sukan Para Asia saya tak pasti, ia bergantung pada budi bicara Majlis Sukan Negara (MSN).

“Jika ikut faktor umur 40 tahun, atlet tenis kerusi roda tidak boleh terlalu bersungguh-sungguh kerana memerlukan daya tahan dan kekuatan tinggi,” kata atlet berusia 38 tahun itu baru-baru ini.

Mengenai peluang beraksi buat kali ketiga di Sukan Paralimpik selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020, Abu Samah berkata beliau perlu memastikan dirinya berada dalam kelompok 32 terbaik dunia pada 15 Julai tahun ini untuk layak secara merit ke temasya berprestij itu.

Atlet kelahiran Tanjung Malim, Perak yang kini menghuni ranking ke-55 dunia itu berkata beliau akan mengumpul sebanyak mata dalam beberapa lagi kejohanan yang menawarkan mata ke Sukan Paralimpik Paris iaitu di Sri Lanka, Jepun dan Eropah.

Abu Samah yang membuat penampilan sulung di Rio 2016 selepas mendapat tiket wildcard, tersingkir pada pusingan pertama tewas kepada wakil Great Britain Alfie Hewett 0-6, 1-6.

Edisi Tokyo pula menyaksikan Abu Samah layak secara merit, memperbaiki prestasi dengan mara ke pusingan kedua sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Belanda Tom Egberink 0-6, 1-6.

Sukan Paralimpik 2024 berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 Sept.-Harian Metro

Nur Shazrin uji kemampuan di Eropah

Kuala Lumpur: Atlet pelayaran negara Nur Shazrin Mohamad Latif akan menjadikan Kejohanan Senior Eropah ILCA 2024 dan Piala Eropah Terbuka di Athens, Greece sebagai medan mengukur prestasinya sebelum ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Atlet berusia 25 tahun itu berharap kejohanan bermula 16 hingga 27 Feb itu membantunya mengenal pasti kelemahan sebelum beraksi di temasya berprestij dunia yang bermula Julai depan.

“Sebab temasya besar terakhir pada Sukan Asia tahun lepas, selepas itu tiada kejohanan besar, saya tak tahu tahap saya bagaimana sekarang, kalau sudah pergi (Eropah) sekurang-kurangnya saya tahu kelemahan saya dan boleh letakkan sasaran peribadi ke Olimpik.

“Sebelum ke Eropah, saya nak tingkat saya punya pengendalian, pelepasan dan kecergasan,” katanya hari ini.

Cuaca sejuk di Eropah, katanya akan menjadi cabaran utama memandangkan beliau sudah lama tidak beraksi dalam keadaan cuaca sedemikian.

Nur Shazrin yang menyumbang pingat emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi acara ILCA6 Wanita mengesahkan tempat secara merit ke Sukan Olimpik 2024.

Dalam pada itu, Nur Shazrin turut menyuarakan kebimbangan apabila tiada perancangan yang jelas untuk program dan persiapan lain ke Paris 2024 oleh Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata masa semakin suntuk buatnya untuk membuat persiapan memandangkan MSA dan MSN masih belum memberi sebarang maklumat jelas mengenai program latihan dan jurulatih yang akan diberikan kepadanya.

“Saya tak tahu bila boleh mula, ikutkan sudah lambat, Olimpik lagi berapa bulan sahaja lagi, atlet lain sudah mula latihan sejak Olimpik lepas,” katanya.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Majlis Sukan Negara Malaysia