Acara SUKMA Sarawak bertambah, kontinjen Selangor giat berlatih

SUBANG JAYA, 6 JAN: Kerajaan Negeri giat melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak pada Ogos ini.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata kontinjen Selangor berdepan cabaran susulan tuan rumah menganjur 37 acara berbanding jumlah kebiasaan di temasya sebelum ini.

“Kita pastinya sedang jalankan program pembangunan atlet dan persediaan untuk SUKMA. Kali ini kita ada 37 acara dan sudah tentu ia beri cabaran kepada atlet kita.

“Sebelum ini di temasya lain hanya ada sekitar lebih 20 acara sahaja. Kita mahu siapkan kontinjen terbaik dan sasaran kita kalau boleh mahu jadi juara,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Agenda Public Speaking Workshop 2024 di Universiti Sunway di sini hari ini.

Sebelum ini, Najwa memaklumkan Selangor menyasar kedudukan tiga teratas pada SUKMA ke-21 berdasar pemantauan dan penilaian prestasi atlet sepanjang tempoh persediaan.

Najwan menambah pihaknya juga bakal menyelaras dan muktamad pelantikan baharu Penggerak Belia Selangor (PeBS) dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pelantikan 228 ahli PeBS dibuat bagi menggerakkan polisi dan program untuk belia selain berperanan sebagai penghubung membentuk perpaduan dalam masyarakat.

“Pelantikan kali ini ada penambahbaikan, kita mahu pastikan proses pelantikan lebih kompiten, berdaya saing dan faham kehendak anak muda,” katanya.

PeBS dijenamakan dan disusun semula pada 2021 daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang mula diperkenalkan sejak 2009.

Pemimpin belia setempat itu memainkan peranan kepada agenda pembangunan generasi muda di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). -Selangor Kini