Pemain Sukma berguru dengan Pahang Rangers

Kuantan: Persiapan awal membentuk pasukan futsal Pahang yang lebih mantap dalam usaha memburu pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak telah dilakukan Majlis Sukan Pahang (MSP).

Kerjasama misi memburu impian berkenaan mendapat sokongan penuh daripada skuad Pahang Rangers FC yang cemerlang musim ini apabila menjulang kejuaraan berganda Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia musim ini.

Pengarah MSP, Zamri Hassan berkata, usaha membentuk pasukan futsal Pahang yang akan bersaing pada Sukma tahun depan diserahkan sepenuhnya kepada Pahang Rangers FC yang memulakan pencarian pemain sejak dua bulan lalu.

Katanya, siri pemilihan pemain telah dilakukan di Kuantan, Lipis dan Temerloh, sambutan yang diterima begitu menggalakkan apabila lebih 160 pemain telah menyertai ujian berkenaan.

“Proses pemilihan pemain yang layak menyertai kem pasukan futsal Sukma Pahang diketuai jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas dan beberapa individu berpengalaman dalam pasukan Tok Gajah itu.

“Saya difahamkan lebih 25 pemain disenaraikan untuk mengikuti latihan pusat pasukan Pahang dan mereka kini sedang giat berlatih,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Zamri menambah, untuk menambahkan lagi pengalaman kini lima pemain turut terpilih mengikuti latihan bersama pasukan Pahang Rangers FC, peluang berkenaan diharap dapat digunakan sebaik mungkin oleh pemain terbabit untuk meningkatkan lagi prestasi masing-masing.

Beliau menambah, persiapan yang tersusun dilakukan diharap mencetuskan kejayaan buat skuad futsal Pahang di pentas Sukma tahun depan.

Usaha yang dilakukan diharap berakhir dengan kejayaan membawa pulang pingat emas.

Sementara itu, menurut Casas pengalaman lima pemain berlatih bersama pasukan Pahang Rangers FC mampu memberi pendedahan kepada mereka untuk bersaing di pentas Sukma yang membabitkan kumpulan pemain muda.

“Saya berharap lima pemain terbabit merebut peluang yang diberikan untuk mereka berjaya bukan sahaja dipentas Sukma malah ke gelanggang Liga Futsal Perdana (MPFL) pada masa akan datang.

“Saya akan menyerap pemain terbabit dalam pasukan Pahang Rangers FC sekiranya mereka mampu memberi persembahan terbaik,” katanya yang memuji kesungguhan ditunjukkan mereka.

Sukma 2024 di Sarawak dijadualkan diadakan pada 17 hingga 24 Ogos tahun depan. Aksi Sukan Pra Sukma akan diadakan pada 21 hingga 28 September tahun depan. -Harian Metro