Pahang sasar lima terbaik Sukma Sarawak 2024

Kuantan: Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Pahang menyasarkan lima kedudukan terbaik pada temasya Sukma Sarawak tahun depan.

Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran itu bersandarkan komitmen Kerajaan Pahang dalam pembangunan sukan negeri itu.

“Kita percaya dengan kenaikan gaji dan elaun yang diberikan kepada jurulatih dan atlet dalam menjaga kebajikan mereka, ia diharap dapat menyuntik semangat , sekali gus mengharumkan nama Pahang.

“Sudah pasti kenaikan elaun untuk atlet dan kenaikan gaji kepada jurulatih seiring dengan indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Oleh itu, Majlis Sukan Pahang (MSP) diharap berusaha gigih untuk mencapai sasaran itu iaitu berada dalam kedudukan lima kontinjen terbaik di Sukma Sarawak nanti.

“Pada masa sama, pencapaian itu juga menebus prestasi kurang menyakinkan apabila sekadar berada di kedudukan kesembilan di Sukma Kuala Lumpur tahun lalu,” katanya.

Pada Sukma 2022, kontinjen Pahang menamatkan saingan di temasya itu di kedudukan kesembilan daripada 15 kontinjen yang bertanding.

Di temasya itu menyaksikan Pahang mengutip keseluruhan 70 pingat, masing-masing 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa. -Harian Metro