Afiq tetap intai tiket Paralimpik 2024

Kuala Lumpur: Jaguh pecut para negara, Afiq Ali Hanafiah tetap optimis mampu meraih slot ke temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 meskipun peluang itu dilihat agak tipis buat dirinya.

Bagi Afiq, kecederaan dialaminya sebelum ini mungkin akan menganggu sedikit sebanyak persiapan serta prestasinya menjelang kejohanan yang akan disertai pada Januari nanti di Thailand.

Jelasnya lagi, dia berazam untuk melakukan kebangkitan bagi musim 2024 dan akan memberikan segalanya nanti terutama memburu tiket ke Paris.

“Untuk ke Paralimpik nampak sedikit sukar kerana perlu layak secara merit. Maksudnya kalau saya boleh buat 10.90 saat (s) ke bawah, boleh pergi ke Paralimpik Paris 2024 secara merit.

“Tapi untuk buat catatan itu mungkin sedikit sukar kerana baru pulih daripada kecederaan tetapi saya akan buat yang terbaik sebab sebelum ini pun pernah alami kecederaan tapi bangkit buat PB (rekod peribadi).

“Lagi pun saya belum pernah sampai lagi ke kejohanan tertinggi (Paralimpik), paling tinggi sebelum ini pun di Kejohanan Dunia tapi tak dapat masuk ke final.

“Sebab kalau tak dapat kali ini (Paralimpik Paris 2024), kena tunggu empat tahun lagi. Masa itu usia semakin meningkat, kena bersaing dengan orang muda. Jadi ini peluang terbaik untuk saya usaha berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Tambahnya, kecederaan yang dialami sebelum ini turut menyebakan dirinya terlepas untuk beraksi di Sukan Para Asia 2022 Hangzhou kerana harus menjalani proses pemulihan.-Harian Metro