Majlis Sukan Negara Malaysia
LAWATAN YBRS. KETUA PENGARAH MAJLIS SUKAN NEGARA KE KOMPLEKS KECEMERLANGAN SUKAN PARALIMPIK KAMPUNG PANDAN, KUALA LUMPUR

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. En. Abdul Rashid Yaakub telah meluangkan masa melawat Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 18 Februari 2025.

Turut serta dalam lawatan tersebut termasuklah Pengarah Fasiliti Sukan, En. Mohd Raizal Muhamat Yaakop, dan Ketua Cawangan Kebajikan, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE), Cik Punitha Thiagarajah.

Lawatan ini bertujuan mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk dijadikan Athlete Center untuk atlet-atlet yang menginap dan berlatih di kompleks ini.

Athlete Center akan menyediakan ruang yang selesa dan kondusif untuk atlet berehat dan bersosial. Antara kemudahan yang akan disediakan adalah ruang rehat dengan sofa, bean bag dan kerusi malas, internet,kemudahan belajar, bilik kaunseling, karaoke, televisyen, mini games serta makanan dan minuman ringan.

KEMASUKAN ATLET MURID KE SEKOLAH

Seramai 25 atlet murid di bawah program latihan Majlis Sukan Negara telah memulakan sesi persekolahan baharu bagi kalendar akademik sesi 2025/2026 pada 17 Februari 2025.

Daripada jumlah tersebut, seramai 21 orang atlet daripada sukan karate, akuatik renang dan terjun, gimnastik artistik, sepak takraw dan wushu telah ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Manakala 4 orang atlet sukan berbasikal dan memanah yang menjalani latihan di Kompleks Sukan MSN Nilai, Negeri Sembilan pula ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan.

MSN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membentuk keseimbangan antara kecemerlangan sukan dan akademik, selaras dengan usaha melahirkan atlet pelajar yang berdaya saing serta melahirkan lebih ramai thinking athlete.

TAKLIMAT KOD SUKAN SELAMAT UNTUK SUKAN TAEKWANDO

Taklimat mengenai penggunaan Kod Sukan Selamat telah disampailan oleh Ketua Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) Majlis Sukan Negara, YBhg. Datuk Shalin Zulkifli kepada jurulatih-jurulatih sukan Taekwan-do ITF pada 15 Februari 2025 bertempat di Dewan Komanwel, Institut Sukan Negara.

Seramai 70 orang jurulatih yang menghadiri Kursus Jurulatih Peribadi Sukan Taekwan-do (MITF) 2025 pada 14 hingga 16 Februari 2025 lalu telah memberikan sambutan yang positif sepanjang taklimat Kod Sukan Selamat dijalankan.

Selain itu, YBhg. Datuk Shalin juga telah dianugerahkan Tali Pinggang Hitam Dan 4 (black belt) atas sumbangan beliau dalam arena sukan negara sebagai atlet dan juga pentadbir sukan.

KUNJUNGAN DELEGASI SEOUL NATIONAL UNIVERSITY (SNU) KE KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Delegasi dari Seoul National University (SNU) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 14 Februari 2025 (Jumaat) bagi memperkenalkan Korean Government’s Sports ODA Project, yang dikenali sebagai Dream Together Master (DTM).

DTM merupakan program siswazah bertujuan untuk mendidik pemimpin global masa depan dalam bidang pengurusan sukan. Program ini adalah sebahagian daripada projek kebangsaan yang disokong oleh Korean Ministry of Culture, Sports and Tourism serta Korea Sports Promotion Foundation.

Antara keistimewaan program DTM:

  • Tempoh pengajian selama 16 hingga 17 bulan secara sepenuh masa di SNU
  • Terbuka kepada semua peringkat umur (tiada had umur untuk permohonan)
  • Biasiswa penuh disediakan bagi calon yang terpilih, termasuk:
    • Tiket penerbangan
    • Yuran tuisyen
    • Penginapan
    • Kos sara hidup
  • Terbuka kepada bekas atlet yang ingin menceburi bidang pengurusan sukan

Program ini menawarkan peluang terbaik kepada individu yang berminat untuk menyumbang kepada pembangunan sukan di peringkat global melalui pendidikan dan kepimpinan strategik.

Majlis Sukan Negara Malaysia