Majlis Sukan Negara Malaysia
PROGRAM MOTIVASI KERJAYA BERSAMA BOSS JAMES

Satu Program Motivasi Kerjaya telah berlangsung di Dewan Bankuet, Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, menghimpunkan lebih 60 orang atlet termasuk guru dan pelajar Pra-Universiti dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Program anjuran Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para atlet mengenai realiti dunia kerjaya, khususnya dalam bidang perniagaan serta pengaruh digital, sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas menamatkan karier sukan.

Mengisi slot utama program, sesi bual bicara santai menampilkan usahawan dan pempengaruh media sosial terkenal, James Ng atau lebih dikenali sebagai Boss James, yang berkongsi pengalaman beliau mengharungi cabaran dunia digital serta jatuh bangun dalam bidang keusahawanan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Encik Azrul Hisyam Abdul Jalil, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MSN, yang menyampaikan ucapan penutupan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderamata.

KURSUS ASAS SOLEKAN WAJAH BERSAMA ATLET

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, KBS telah menganjurkan Kursus Asas Solekan Wajah Bersama Atlet pada 18 Julai 2025 di MSN, Bukit Jalil.

Seramai 20 atlet wanita daripada sukan Berbasikal, Karate, Bola Jaring (NNDP) dan Hoki menyertai kursus ini yang dibimbing oleh tenaga pengajar IKBN Peretak.

Program ini memberi peluang kepada atlet mempelajari soft skill solekan yang dapat meningkatkan keyakinan diri, penampilan profesional di acara rasmi, serta menjadi nilai tambah sebagai kemahiran kerjaya selepas bersara dari dunia sukan.

PROGRAM LATIHAN ‘FOCAL POINT’ KOD SUKAN SELAMAT MSN 2025

Hari kedua program diteruskan sesi perkongsian oleh Syahirah Latiff, Pengurus Latihan dan Pendidikan, Suruhanjaya Sukan Selamat Singapura dalam menekankan pendekatan berstruktur dan strategik dalam membudayakan pendidikan sukan selamat di peringkat akar umbi hingga kebangsaan.

Selain itu memperkenalkan Panel Sukan Selamat MSN yang berperanan sebagai rujukan utama dalam pelaksanaan Kod Sukan Selamat, dan menyokong usaha Focal Point di peringkat persatuan sukan.

Program ini sejajar dengan komitmen Malaysia memperkukuh ekosistem sukan yang selamat, inklusif dan bebas daripada salah laku.

KURSUS SPORTS TAPING 1 SIRI 1/2025 OLEH MSN DAN ISN

19 orang atlet dari sukan akuatik terjun, para berbasikal, boccia, karate, olahraga, para ping pong dan sepak takraw telah menyertai Kursus Sports Taping yang berlangsung pada 19 Jun 2025 di Hotel Courtyard, Kuala Lumpur.

Kursus yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), Institut Sukan Negara (ISN) ini bertujuan untuk memperkasakan atlet dengan kemahiran dalam teknik sports taping, sebagai satu nilai tambah kendiri yang berguna dan relevan untuk kegunaan masa kini dan akan datang.

KURSUS SAINS SUKAN TAHAP 1 SIRI 1/2025 OLEH MSN DAN ISN

Kursus Sains Sukan Tahap 1 Siri 1/2025 telah berlangsung pada 16 hingga 20 Jun 2025 di Hotel Courtyard, Kuala Lumpur.

Kursus anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), Institut Sukan Negara (ISN) ini melibatkan penyertaan 14 orang atlet sukan akuatik terjun, para berbasikal, boccia, karate, olahraga, para ping pong dan sepak takraw.

Penganjuran kursus ini merupakan salah satu inisiatif berterusan dalam usaha memperkukuh pengetahuan serta kefahaman atlet terhadap sains sukan, seterusnya menyokong pembangunan kerjaya mereka dalam industri sukan tanah air.

PERJUMPAAN BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN) BERSAMA SEKRETARIAT MACE

Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) telah menerima kunjungan daripada pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 6 Jun 2025. Kunjungan dari wakil BSN yang terdiri daripada Puan Anes Juwita, Puan Nor Asmelia dan Puan Fatin Nasuha dari Bahagian Rangkuman Kewangan BSN adalah bertujuan untuk memperkasakan literasi kewangan di kalangan atlet, khususnya bagi atlet-atlet para negara.

Menerusi program jangka pendek ini, BSN berhasrat untuk membina kesedaran dan konsistensi dalam amalan menyimpan di kalangan atlet-atlet negara. Selain itu, BSN juga memperkenalkan beberapa insentif khusus bagi membantu kumpulan masyarakat yang terdedah kepada isu kewangan.

BENGKEL PERCAMBAHAN MINDA BERSAMA AARON ALSOP

Bengkel Kesejahteraan atau Wellbeing anjuran Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) telah berlangsung pada 15 hingga17 Mei 2025. Bengkel ini dihadiri oleh semua pegawai MACE daripada cawangan Kerjaya, Kebajikan dan Pendidikan, dengan objektif untuk mendalami pendekatan dalam membantu atlet melalui penekanan kepada aspek kesejahteraan secara menyeluruh.

Sesi ini dikendalikan oleh Aaron Alsop, merupakan pakar dalam pengurusan sukan dan jurulatih berprestasi tinggi yang berpengalaman luas di Samoa, Papua New Guinea, dan Kepulauan Solomon.

Antara topik utama yang dibincangkan ialah peranan penting Pegawai Kesejahteraan (Wellbeing Officer) dalam menyokong atlet sepanjang kejohanan dan temasya utama.

Antara lain yang turut dibincangkan adalah kepentingan beberapa domain utama dalam kehidupan seseorang seperti kesihatan, persekitaran, kebudayaan, kewangan, kepercayaan dan kerohanian yang memainkan peranan dalam membentuk kehidupan yang sejahtera serta impak negatif sekiranya aspek-aspek ini diabaikan.

Aaron turut berkongsi pengalamannya dalam pengurusan sukan untuk membantu MACE membentuk sebuah Athlete Centre yang menyokong keperluan psikologi dan fisiologi atlet secara menyeluruh, demi meningkatkan prestasi dan kesejahteraan mereka secara holistik.

PROGRAM BERSAMA PERKESO – STRIVE 2 SUCCESS

Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah menganjurkan program Bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu Strive 2 Success yang melibatkan penyertaan atlet-atlet negara bertempat di Bilik Seminar, Casa 4, MSN Bukit Jalil pada 7 Mei 2025.

Melalui kolaborasi bersama PERKESO ini, atlet-atlet telah diberi pendedahan mengenai pelbagai aspek penting bagi membantu dalam perancangan kerjaya mereka.

Antaranya perkongsian maklumat tentang kebolehpasaran pekerjaan, cara-cara membina profil diri yang menarik, penulisan resume yang efektif, serta pendaftaran di platform MyFutureJobs, iaitu portal pencarian pekerjaan kendalian PERKESO. Selain itu, para atlet turut diberi tips dan panduan menghadapi sesi temuduga, agar lebih yakin dan bersedia dalam memohon pekerjaan.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada atlet dari segi pengetahuan dan kemahiran, malah ia juga mencerminkan komitmen MSN dalam memastikan kebajikan dan masa depan atlet terus terpelihara melalui sokongan pembangunan kerjaya yang berterusan.

KURSUS LATIHAN PEGAWAI PELINDUNG SUKAN 2025 (SINGAPURA)

Dalam usaha mengukuhkan lagi pemahaman dan penggunaan Kod Sukan Selamat, Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Bahagian Atlet dan Bahagian Para telah menghadiri Safeguarding Officer Training Course 2025 anjuran Safe Sport Singapore di Singapura pada 21 dan 22 April 2025.

Kursus ini telah dihadiri oleh Dr. Hjh. Yatela Zainal Abidin, ahli Lembaga Pengurusan MSN yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Salahlaku dan Perlindungan dalam Sukan (JSPS), YBhg. Datuk Shalin Zulkifli, Ketua Sekretariat MACE) serta lima (5) orang pegawai MSN.

Kursus ini terdiri daripada tiga (3) komponen utama, iaitu:

1. Pembelajaran E-Learning yang dijalankan secara dalam talian seminggu sebelum tarikh kursus, peserta perlu melengkapkan modul E-Learning dan menjawab ujian secara kendiri.

2. Pembelajaran Kelas Atas Talian (Online Class Learning) telah dilaksanakan selama empat (4) jam. Sesi ini memberi tumpuan kepada teori dan protokol berkaitan perlindungan sukan. Para pegawai dari MSN telah menjalankan modul ini secara berkumpulan di National Youth Sport Institute Singapore (NYSI), yang turut menjadi pusat operasi Safe Sport Singapore Commision.

3. Pembelajaran Fizikal (Physical Learning) di mana modul ini mengambil masa selama enam (6) jam dan memberi penekanan kepada aspek praktikal seperti teknik temu ramah mangsa, pengurusan kes aduan, tindak balas trauma (trauma response) dan juga cara mengawal tekanan emosi dari mangsa.

Para peserta kursus juga diberi peluang melawat kemudahan Athlete Centre berdekatan Kallang Wave Mall oleh wakil Sport Singapore (SportSG) dan Safe Sport Singapore. Dr. Yatela berkesempatan untuk berjumpa dengan Madam Chan Yen San, Pengerusi Safe Sport Commision Singapore dan Lembaga Sport Singapore.

KURSUS LATIHAN PEGAWAI PELINDUNG SUKAN 2025 (SINGAPURA)

Tarikh: 21–22 April 2025

Tempat: Suruhanjaya Sukan Selamat Singapura

Dalam usaha mengukuhkan lagi pemahaman dan penggunaan Kod Sukan Selamat, Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Bahagian Atlet dan Bahagian Para telah menghadiri Safeguarding Officer Training Course 2025 anjuran Safe Sport Singapore di Singapura.

Tujuh wakil telah menyertai kursus 2 hari ini iaitu Dr. Hjh. Yatela Zainal Abidin (Lembaga Pengurus MSN), YBhg. Datuk Shalin Zulkifli (Ketua Sekretariat MACE), En. Mohd Zaim Yusof (Ketua Cawangan Podium Bahagian Para), En. Akmal Ahmad Zainudin (Ketua Cawangan Podium Bahagian Atlet), dan 3 wakil dari MACE, Pn. Khairunnisa Suboh, Pn. Shashasuhaida Tarmuzi dan En.Muhammad Arif Zakwan Mohd Zaki.

Kursus ini terdiri daripada tiga (3) komponen utama, iaitu:

1. Pembelajaran E-Learning – Dijalankan secara dalam talian seminggu sebelum tarikh kursus, peserta perlu melengkapkan modul E-Learning dan menjawab ujian secara kendiri.

2. Pembelajaran Kelas Atas Talian (Online Class Learning) – Dilaksanakan selama empat (4) jam dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Sesi ini memberi tumpuan kepada teori dan protokol berkaitan perlindungan sukan. Para pegawai dari MSN telah menjalankan modul ini secara berkumpulan di National Youth Sport Institute Singapore (NYSI), yang turut menjadi pusat operasi Suruhanjaya Sukan Selamat Singapura.

3. Pembelajaran Fizikal (Physical Learning) – Modul ini mengambil masa selama enam (6) jam, dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang, yang menekankan aspek praktikal seperti teknik temu ramah mangsa, pengurusan kes aduan, tindak balas trauma (trauma response) dan juga cara mengawal tekanan emosi dari mangsa.

Para peserta turut dibawa melawat kemudahan Athlete Centre berdekatan Kallang Wave Mall oleh wakil Sport Singapore (SportSG) dan Safe Sport Singapore.

Dr. Yatela juga berpeluang mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Suruhanjaya Sukan Selamat Singapura dan Lembaga Sport Singapore (Madam Chan Yen San) yang turut dihadiri YBhg. Datuk Shalin Zulkifli (Ketua Sekretariat MACE), En. Azhar (Ketua Bahagian Pendidikan Kejurulatihan) dan Pn. Wang Shao In (Ketua Bahagian Safe Sport Taskforce).

Majlis Sukan Negara Malaysia