Majlis Sukan Negara Malaysia
Pelumba wanita Johor dominasi Lumba Basikal Junior Kebangsaan 2025

Seremban: Pasukan wanita Johor mempamerkan kayuhan bertenaga apabila mendominasi Kejohanan Lumba Basikal Junior Kebangsaan 2025 di Kelab d’ Tempat Sri Sendayan, hari ini.

Johor mempertaruhkan 24 pelumba melalui dua pasukan mereka itu Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Persatuan Berbasikal Negeri Johor (PBNJ) untuk menduduki tempat pertama dan ketiga keseluruhan, manakala Pulau Pinang merangkul naib juara kategori wanita.

Kategori individu menyaksikan Nurina Qistina Zahra Dewa Indra (Johor) hampir menguasai keseluruhan perlumbaan apabila merangkul jersi merah (raja bukit) selepas mengumpul keseluruhan 11 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Terengganu, Ameera Alya Md Zahiruddin (8 mata) dan rakan sepasukan, Intan Suraya Tokiman (4 mata).

Qistina Zahra hanya ketinggalan empat mata kepada Ameera Alya (54 mata) dalam pemburuan cabaran jersi hijau (raja pecut) untuk menduduki tempat kedua dengan 50 mata manakala tempat ketiga milik Intan Suraya (49 mata).

Kehebatan Qistina Zahra menyaksikan dia dinobatkan juara keseluruhan individu (jersi kuning) dengan catatan perlumbaan tujuh jam, empat minit dan sembilan saat diikuti tempat kedua, Intan Suraya (7:09:45s) dan Nur Surfina Zulaikha Mohd Suhaimi dari Pulau Pinang (7:11:35s).

Ketua jurulatih Johor, Junaidi Mohd Nasir menyifatkan prestasi anak buahnya yang membariskan semua atlet Sukan Malaysia (SUKMA) sangat memberangsangkan.

Menurutnya, walaupun diberikan tentangan sengit sepanjang tiga hari kejohanan, atlet Johor terutama wanita berjaya mengekalkan prestasi mereka.

Sementara itu, bagi kategori lelaki, pasukan jemputan dari Indonesia, Garuda Development muncul juara keseluruhan selepas merekodkan catatan 24:50:31s meninggalkan pencabar terdekat, Perak (24:50:40s) di tempat kedua dan Johor di tangga ketiga (24:50:42s).

Pickleball disenarai dalam Sukan Kidslympic tahun depan – Liu Ying

Kuala Lumpur: Pengasas bersama Kidslympic, Goh Liu Ying akan menyenaraikan sukan pickleball dalam acara tahunan agar program Sukan Kidslympic tahun depan lebih meriah.

Menurutnya, pickleball semakin berkembang baik di negara ini dan kanak-kanak pula semakin menunjukkan minat terhadap sukan berkenaan.

Justeru, bagi memastikan orang ramai khususnya ibu bapa mendapat maklumat serta menyertai pertandingan itu bersama Kidslympic, hebahan akan dilakukan secara terperinci.

“Ya, dengan adanya kerjasama ini, kami akan memasukkan pickleball sebagai acara dalam temasya besar kita tahun depan.

“Selain itu, kami akan mengadakan lebih banyak bengkel kerana sukan ini masih baharu.

“Jadi, kami mahu menggalakkan penyertaan dan menganjurkan lebih banyak bengkel khusus untuk kanak-kanak.

“Malah, kami akan ke sekolah bagi memupuk minat pelajar kerana tujuan utama adalah menyediakan saluran betul supaya mereka boleh menjadi pemain lebih baik,” katanya.

Liu Ying berkata, selain pickleball, sekurang-kurangnya lima sukan tambahan baharu akan diperkenalkan bagi memastikan setiap kanak-kanak berpeluang menunjukkan bakat mereka.

Selain itu, beliau berharap ibu bapa akan terus memainkan peranan penting dan sentiasa memberi sokongan kepada anak mereka agar dapat terus aktif dalam sukan diminati.

Acara kemuncak Kidslympic akan diadakan di Stadium Merdeka dengan penyertaan peserta seawal usia empat tahun dalam beberapa acara seperti olahraga, bola sepak, bola keranjang, gimnastik dan cabaran halangan.

Jun Hao akui berdepan masalah konsistensi pada musim 2025

Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao melihat tahun 2025 bukan musim diharapkan apabila gagal menjelmakan prestasi cemerlang meskipun memulakan perjalanan dengan keputusan positif.

Dia meletakkan sasaran lebih baik dalam setiap kejohanan untuk mara sejauh mungkin, namun disebabkan masalah konsistensi, dia gagal menjelmakan perkara itu di dalam gelanggang.

“Tahun ini pencapaian dan prestasi saya agak kurang dan ia bukan disebabkan faktor keyakinan atau keletihan, sebaliknya konsistensi menjadi isu utama.

“Namun, pada akhirnya saya rasa keputusan tahun ini tidak berapa sampai kepada apa yang saya jangkakan,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya mampu mara ke suku akhir di Terbuka Singapura dan Terbuka Hong Kong, sebelum tersingkir lima kali berturut-turut di pusingan pertama di Terbuka Korea Selatan, Denmark, Perancis, Hylo dan Masters Kumamoto.

Ekoran prestasi tidak konsisten itu, ranking Jun Hao turut terjejas apabila kini berada di kedudukan ke-28 dunia berbanding dalam kelompok 20 pemain dunia pada awal 2025.

Selain itu, Jun Hao turut mengakui status selaku pemain nombor satu negara membuatkan dia berasa sedikit tertekan untuk menampilkan prestasi terbaik.

Namun, dia akan cuba mengambil sudut positif dan menjadikan perkara itu sebagai motivasi.

“Tekanan memang ada tetapi saya buat yang terbaik untuk mengatasinya kerana penyokong sentiasa melihat apa yang saya lakukan dan berharap semua ini boleh menjadi motivasi untuk saya.

“Menembusi kelompok 20 terbaik dunia itu satu pencapaian untuk saya, namun sekarang kedudukan itu menurun dan saya perlu bangkit semula menjelang tahun depan,” katanya.

Syahir sasar pingat emas di Sukan Asia 2026 bagi lengkapkan karier

Kuala Lumpur: Tekong utama skuad sepak takraw negara, Syahir Rosdi mengakui kejuaraan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun menjadi sasaran peribadi dalam melengkapkan kariernya.

Namun, dia menegaskan ia bukan satu kewajipan mutlak memandangkan saingan sengit khususnya daripada Thailand yang dijangka bangkit lebih kuat selepas ini.

Bagi Syahir, keutamaan ketika ini adalah prestasi pasukan dan dapat menampilkan persembahan cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertai pada tahun hadapan.

Malah, status selaku juara Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan Sea Thailand bukan alasan untuk skuad sepak takraw negara terus berasa selesa, sebaliknya perlu bekerja lebih keras bagi mengekalkan status gelaran itu daripada dirampas semula oleh musuh tradisi, Thailand.

“Bagi saya, tidak menjadi masalah jika saya tidak memenangi Sukan Asia kerana ia bukan penentu mutlak buat saya.

“Kita semua tahu Thailand akan bangkit selepas ini dan pasti melakukan perubahan besar.

“Jadi, sebagai juara, kami tidak boleh duduk diam atau terlalu selesa. Sukan Asia adalah kejohanan yang berprestij dan sekiranya berjaya memenanginya, ia akan menjadi satu pencapaian yang luar biasa buat saya, lebih-lebih lagi jika dapat beraksi dalam acara regu dan berpasukan,” katanya.

Mengulas harapan tinggi peminat selepas kejayaan menewaskan Thailand dan merangkul kejuaraan berganda dalam acara regu dan regu berpasukan di Sukan Sea Thailand, baru-baru ini, Syahir mengakui tekanan itu perlu diterjemahkan secara positif oleh pemain.

“Kami sebagai pemegang pingat emas acara berpasukan kena kuatkan mental dan disiplin. Sebab kalau boleh kami nak menang 2-0 (acara regu berpasukan) selepas ini mungkin.

“Semangat sepasukan itu penting sebab kami tak nak menang sekali saja. Kalau boleh, kami mahu kekalkan kejuaraan dan bukan tunggu lima atau 10 tahun baru boleh menang balik,” katanya.

Liu Ying sokong strategi Rexy, pilih kejohanan demi Olimpik

Kuala Lumpur: Bekas pemenang pingat perak Rio 2016, Goh Liu Ying melihat tindakan Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky untuk tidak menghantar pemain ke kesemua pertandingan bermula tahun hadapan sebagai satu tindakan tepat.

Jelasnya, beliau menyokong perkara itu kerana ia mampu membawa kebaikan kepada pemain bagi mencapai matlamat yang lebih besar.

Malah, strategi itu bukan sesuatu yang baharu kerana negara China sering menggunakan kaedah tersebut terhadap pemain elit mereka.

“Bagi pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, memang perlu memilih kejohanan yang betul. Lagipun, sasaran utama selepas ini adalah Olimpik.

“Ini sebenarnya cara yang China selalu buat dan sangat bagus dari segi perancangan. Saya rasa inilah yang kita perlu belajar daripada mereka,” katanya selepas majlis pelancaran rasmi pickleball sebagai kategori sukan baharu Kidslympic 2026.

Pada perkembangan sama, Liu Ying berpandangan prestasi yang ditampilkan gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di pentas Jelajah Dunia Akhir BWF masih berada pada tahap terbaik dan tidak wajar dianggap sebagai satu kegagalan besar.

“Secara keseluruhan, prestasi mereka boleh dikatakan normal. Tiada kejutan besar dan juga tidak mengecewakan. Walaupun mereka pernah menewaskan pasangan China sebelum ini, saya nampak lawan sudah membuat perubahan dari segi strategi, jadi memang tidak mudah lagi untuk menang,” katanya.

Tambahnya, kekalahan di peringkat separuh akhir kepada pasangan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin perlu dijadikan medan pembelajaran buat Tang Jie-Ee Wei untuk memperbaiki kelemahan menjelang kejohanan akan datang selain tidak menolak faktor kepenatan turut memberi kesan kepada corak permainan.

“Saya rasa mereka boleh ambil kegagalan ini sebagai satu sesi pembelajaran. Balik nanti boleh kaji semula apa yang boleh diperbaiki.

“Kalau nak cakap tiada pengaruh memang tak mungkin. Perjalanan, bermain di Sukan Sea dua minggu berturut-turut dan terus ke Jelajah Dunia Akhir memang memenatkan. Dari segi lawan pun bukan senang nak dihadapi,” katanya.

Shahmalarani tamat kemarau 11 tahun

Kuala Lumpur: Atlet karate negara, C Shahmalarani, mencipta sejarah apabila membawa pulang pingat perak pertama Malaysia di Kejohanan Dunia sejak 2014 selepas beraksi cemerlang dalam final kelas kumite wanita bawah 50kg di Kaherah hari ini.

Shahmalarani menampilkan persembahan hebat namun tewas 1-6 kepada atlet Uzbekistan, Gulshan Alimardanova, dalam perlawanan akhir yang mengimbau kembali final Kejuaraan Asia Tashkent pada Mei lalu, di mana Gulshan menewaskan Shahmalarani 7-1.

Walaupun tewas, pencapaian ini tetap dianggap luar biasa kerana ia adalah kali pertama seorang atlet Malaysia mara ke final dunia sejak Syakilla Salny Jefry Krishnan pada 2014, yang tewas kepada Giana Farouk dari Mesir dalam final wanita bawah 61kg.

Sebelum ini, Shahmalarani menewaskan Yuliia Palashevska dari Ukraine 2-0 pada pusingan pertama, diikuti kemenangan 5-3 ke atas Lili Alvarado dari Ecuador di suku akhir.

Dia kemudian mengejutkan bintang Iran, Sara Bahmanyar, 4-1 dalam separuh akhir untuk menempah tiket ke final.

Shahmalarani, 26 tahun, mara ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat kedua daripada empat atlet di Kumpulan Satu, membuktikan konsistensi dan ketahanan mentalnya di pentas dunia.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad nyata gembira dengan pencapai atlet itu yang menjadi tonik berharga menjelang Sukan Sea Thailand Disember ini.

“Dia melakukan tugas dengan sangat baik. Saya gembira dengan kejayaannya dan fokus sekarang adalah Sukan Sea,” katanya.

Nor Saiful akui jurang kualiti dengan Belanda

Kuala Lumpur: Jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, mengakui Belanda berada pada kelas berbeza selepas skuad negara tewas 0-6 dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia Hoki Remaja di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.

Menurut Nor Saiful, Malaysia cuba memulakan perlawanan dengan pendekatan lebih bertahan bagi mengelakkan Belanda menembusi kawasan D terlalu awal, namun organisasi pertahanan negara gagal mengimbangi permainan fizikal dan teknikal lawan.

“Kita mahu tutup ruang dan elak Belanda masuk terus ke kawasan berbahaya, tetapi pertahanan kita tidak dapat naik ke hadapan dan memberi tekanan awal. Mereka bijak menggunakan kelebihan fizikal, tahan bola dan mencipta ruang untuk pukulan kilas,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kelemahan itu membuka peluang kepada Belanda menjaringkan beberapa gol pantas pada dua suku pertama, yang akhirnya menyebabkan Malaysia sukar bangkit.

“Lima gol yang mereka dapat pada suku pertama dan kedua banyak disebabkan kita tidak menemui rentak untuk mengekang gerakan mereka. Pemain kita ketika itu masih mencari cara untuk stabil dalam permainan,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Saiful memuji perubahan disiplin pemain pada separuh masa kedua apabila Malaysia lebih berani membaca pergerakan lawan dan menutup ruang dengan lebih baik.

“Pada suku ketiga dan keempat, pemain kita lebih faham apa yang perlu dibuat. Mereka berada di hadapan pemain Belanda dan berjaya mengehadkan peluang lawan kepada dua gol sahaja. Kita juga ada peluang, termasuk satu jaringan yang dibatalkan dan beberapa percubaan dari pukulan sudut penalti,” katanya.

Secara keseluruhan, Nor Saiful mengakui kualiti Belanda nyata mendahului Malaysia, namun tetap berpuas hati dengan usaha skuad muda negara untuk menyesuaikan diri di separuh masa kedua.

“Kalau dibandingkan pemain Belanda dengan pemain kita, mereka memang lebih baik dalam semua bahagian. Mereka juga antara pasukan terkuat dalam kejohanan ini,” katanya.

Speedy Tigers kena belasah, tamatkan cabaran di kedudukan keempat

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara, Speedy Tigers, menutup tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-31 dengan catatan mengecewakan selepas dibelasah New Zealand 1-6 dalam aksi perebutan tempat ketiga-keempat.

Skuad Black Sticks menunjukkan kehebatan sebenar mereka, apabila membuka jaringan awal pada minit kelima menerusi Sam Lane sebelum menambah gol kedua hanya dua minit kemudian.

James Hickson menambah jaringan pada minit ke-29 dan Lane terus merobek gawang Malaysia dengan dua gol daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-33 dan ke-34, sebelum menutup tirai jaringan pada minit ke-41.

Malaysia hanya mampu menghasilkan satu jaringan sepanjang perlawanan menerusi Faizal Saari, jelas menunjukkan kelemahan pasukan yang gagal mengekang serangan pantas lawan.

Kekalahan ini menutup tirai PSAS buat Malaysia di tempat keempat, dengan catatan empat mata keseluruhan selepas menang 3-2 ke atas Kanada, seri 2-2 menentang New Zealand, tewas 3-4 kepada India dan dihentam 1-9 oleh Belgium.

Prestasi ini memperlihatkan jurang jelas antara Speedy Tigers dengan pasukan elit antarabangsa, terutamanya apabila berdepan lawan yang lebih berpengalaman dan agresif.

Kekalahan 1-6 menentang Black Sticks menjadi penutup yang pahit untuk pasukan negara di kejohanan berprestij ini yang mana tahun lalu Malaysia turut berada di kedudukan keempat selepas tewas 3-2 juga kepada New Zealand.

Belanda bedal Malaysia 6-0, jalan ke suku akhir semakin sempit

Kuala Lumpur: Malaysia melalui petang yang perit apabila tewas 0-6 kepada Belanda dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia Hoki Remaja di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.

Belanda membuka rentak seawal minit kesembilan menerusi jaringan padang Casper van der Veen, yang turut menambah satu lagi gol hanya seminit kemudian.

Tekanan semakin memuncak apabila Joppe Wolbert meledak dua gol berturut-turut pukulan sudut penalti (20′) dan penalti stroke (21′), sebelum Thies Bakker (28′) serta Tjeerd Boermans (42′) melengkapkan dominasi wakil Eropah itu.

Malaysia, yang mencatat kemenangan meyakinkan 5-1 ke atas Austria semalam, gagal menemui intensiti sama ketika berdepan ketepatan gerakan dan organisasi Belanda di setiap zon permainan.

Barisan muda negara di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin bergelut mengimbangi tempo tinggi lawan, khususnya pada transisi bertahan yang beberapa kali membuka ruang luas di dalam kawasan sendiri.

Aksi ini juga memperlihatkan keperluan Malaysia lebih tajam dalam pengurusan bola di tengah padang, selain memastikan pertahanan kekal kompak ketika mengekang gerakan serangan Belanda yang bertenaga.

Malaysia kini berdepan tugasan wajib menang ke atas England Selasa ini bagi memastikan peluang mara ke suku akhir terus hidup dalam saingan terakhir peringkat kumpulan.

Jika menang sekali pun Malaysia perlu menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik tempat kedua daripada lima kumpulan, atau hanya beraksi di penentuan kesembilan hingga ke-16.

Dua pingat jadi sasaran, MABA janji bonus buat pemain

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) optimis boleh mendapatkan dua pingat di Sukan Sea Thailand yang akan bermula bulan hadapan.

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock melihat ketiadaan pemain naturalisasi pada temasya dwitahunan kali ini membuka ruang buat wakil negara tampil untuk mencabar kedudukan podium dan mara sejauh mungkin.

Malah Tian Hock turut mengumumkan ada bonus istimewa menentang pemain sekiranya berjaya merealisasikan sasaran yang ditetapkan.

“Ada bonus. Kita akan umumkan pada 3 Disember ini, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan mengadakan majlis penyerahan bendera pada pukul 3 petang. Selepas itu, saya akan mengadakan makan malam bersama pemain.

“Kita sasar sekurang-kurangnya dua pingat. Sebelum ini, sasaran satu pingat pun kita capai, jadi kali ini kita sasarkan dua pingat. Kami yakin kerana pemain-pemain sekarang menunjukkan semangat yang tinggi.

“Setiap kategori ada tiga pingat, emas, perak dan gangsa. Jadi jumlah keseluruhan pingat adalah 12. Harapan saya, sekurang-kurangnya dua pingat dapat diperoleh. Dua gangsa pun sudah memadai,” katanya.

Katanya, bola keranjang kali ini mempertandingkan dua acara iaitu 5×5 (lelaki dan perempuan) dan 3×3 (lelaki dan perempuan) dan beliau berharap pemain negara boleh mengambil kesempatan untuk mendapatkan pingat.

Untuk rekod, bagi acara 5×5, kali terakhir Malaysia muncul juara adalah pada 1989 ketika menjadi tuan rumah dan selepas ini, Filipina terus menunjukkan mereka raja bola keranjang yang sukar digugat oleh negara serantau.