Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN minta PKBM pilih TSG atau MPC

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) meminta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memilih satu daripada dua pasukan berbasikal profesional negara bagi mewakili Malaysia ke Sukan SEA Thailand bermula 9 sehingga 20 Disember depan.

MSN mahu PKBM memilih sama ada menghantar pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) atau Malaysia Pro Cycling (MPC) iaitu kedua-duanya adalah pasukan benua UCI, ke temasaya dwitahun itu.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan dan sebahagiannya sudah pun disalurkan kepada PKBM bagi tujuan persediaan ke temasya dwitahunan itu.

Menurut beliau, sebarang dakwaan kononnya MSN tidak membantu dari sudut keperluan atau persiapan tidak sepatutnya timbul memandangkan tanggungjawab memilih pasukan terletak sepenuhnya di bahu PKBM.

“Untuk makluman, kita dengan PKBM telah pun mengadakan perbincangan pada bengkel penyenaraian atlet ke arah temasya Sukan SEA pada 16 Januari yang lalu.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan negara bagi acara lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional. Namun, terpulang kepada PKBM untuk pilih sama ada TSG atau MPC untuk ke temasya nanti.

“MSN sudah menyalurkan sebahagian daripada peruntukan RM300,000 bagi persiapan ke Sukan SEA kepada PKBM dan oleh itu, saya rasa tidak sepatutnya timbul isu berkaitan persiapan pasukan yang tidak dilakukan dengan baik,” katanya selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM), hari ini.

Sementara itu, Jefri berkata, PKBM ada memohon pembelian basikal, namun jika Terengganu Cycling Team (TSG) dipilih, keperluan itu tidak timbul kerana pasukan itu sudah memiliki kelengkapan yang diperlukan.

“Kalau benar ada perancangan baharu atau tuntutan lain, saya seru pihak PKBM datang kembali ke meja perbincangan dan kita boleh teliti apa lagi keperluan mereka ke Sukan SEA nanti,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Malaysia berisiko kehilangan kilauan emas dalam acara berbasikal lebuh raya di Thailand sekiranya pelumba profesional daripada pasukan TSG dan MPC menarik diri susulan isu kekangan bajet.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya PKBM, Azman Abu Samah yang memaklumkan, kedua-dua pasukan sudah memberi bayangan untuk tidak menyertai temasya itu sekiranya PKBM gagal memenuhi permintaan kewangan yang dikemukakan.

MSN nafi persiapan skuad berbasikal lebuh raya lemah

Petaling Jaya: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan berlaku kelemahan dalam persiapan skuad berbasikal lebuh raya negara ke Sukan Sea 2025 di Thailand, sambil menegaskan dana disalurkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan dengan sebahagian daripadanya sudah disalurkan dalam membiayai persiapan pasukan ke temasya dwitahunan itu.

“Kita mengadakan bengkel penyenaraian atlet ke Sukan Sea bersama PKBM pada 16 Januari lepas dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional.

“Namun, keputusan untuk memilih sama ada Terengganu Cycling Team (TSG) atau Malaysian Pro Cycling (MPC) adalah di bawah bidang kuasa PKBM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang dakwaan bahawa MSN tidak membantu dari segi keperluan atau persiapan tidak sepatutnya timbul memandangkan tanggungjawab pemilihan skuad adalah di bawah PKBM.

Mengulas mengenai permohonan pembelian basikal oleh PKBM, beliau berkata jika TSG dipilih menyertai temasya itu, perkara berkenaan tidak timbul berikutan pasukan itu sudah memiliki kelengkapan yang diperlukan.

“Kalau benar ada perancangan baharu atau tuntutan lain, saya menyeru PKBM datang berbincang dengan kita untuk diteliti bersama,” katanya.

Sementara itu, Jefri berkata isu penarikan diri oleh kelab tidak seharusnya berbangkit memandangkan terdapat persefahaman awal antara MSN dan PKBM.

Terdahulu, Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata skuad lebuh raya negara tidak akan menarik diri daripada menyertai Sukan SEA 2025 serta akan mempertahankan pingat dimenangi pada edisi lepas.

Beliau turut menafikan sebarang masalah dengan MSN dan menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan, termasuk dari aspek kewangan dan logistik.

Semalam, beberapa media melaporkan TSG dan MPC merasakan segala jasa dicurahkan mereka tidak dipandang selepas permohonan RM250,000 bagi tujuan persiapan ke temasya itu ditolak MSN pada mesyuarat persiapan yang berlangsung minggu lalu.

KBS mahu papar senarai jurulatih bertauliah demi keselamatan atlet

Petaling Jaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkemas proses pensijilan jurulatih sukan di seluruh negara, termasuk usaha memaparkan senarai jurulatih bertauliah kepada umum.

Menterinya Hannah Yeoh berkata perbincangan sedang dijalankan bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk memastikan setiap jurulatih memiliki sijil tauliah yang sah, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme serta keselamatan dalam bidang kejurulatihan sukan.

“KBS sedang berbincang dengan ISN untuk menentukan kaedah terbaik setiap jurulatih mendapatkan sijil tauliah. Kita juga merancang untuk memaparkan nama-nama jurulatih yang berjaya mendapat pengiktirafan rasmi.

“Ini penting kerana kita kini mempunyai kemudahan pelepasan cukai bagi latihan sukan dan ibu bapa semakin cenderung memilih jurulatih untuk anak mereka. Maka, kita mahu pastikan persekitaran latihan yang selamat untuk semua, termasuk kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 di sini, hari ini.

Hannah berkata maklumat lanjut mengenai mekanisme pensijilan itu akan diumumkan oleh ISN dalam masa terdekat.

Wajib deklarasi kesihatan sebelum sertai kejohanan – Hannah

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa semua kejohanan yang membabitkan warga emas perlu mematuhi prosedur keselamatan ketat termasuk mewajibkan deklarasi kesihatan peserta sebelum dibenarkan beraksi.

Tegasnya, langkah itu penting bagi memastikan tahap kesihatan peserta berada dalam keadaan baik serta sebarang risiko kecemasan dapat dielakkan lebih awal.

“Untuk sukan-sukan yang membabitkan veteran ataupun warga emas, saya rasa perlu ada beberapa lagi proses keselamatan yang perlu diambil oleh pihak penganjur.

“Termasuk seperti Majlis Sukan Negara dalam kejohanan Masters yang kita anjurkan, kita pastikan semua ada health declaration ya, deklarasi kesihatan sebelum mereka bertanding supaya semua aspek keselamatan dan kesihatan itu telah diambil kiralah oleh penganjur.

“Juga untuk pasukan keselamatan, kesihatan, ambulans semua kena ada, pakar-pakar doktor ada di tapak semasa pertandingan dan untuk insurans. Insurans itu penting oleh penganjur, terutamanya dalam kes-kes yang membabitkan warga emas, sukan,” katanya, ketika ditemui pada Majlis Anugerah SAM-100Plus 2024, di sini, sebentar tadi.

Sebelum itu, Arena Metro menerusi laporan bersiri. Allahyarham Firos Mohamed disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika beraksi dalam Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Legend All Star, baru-baru ini.

Insiden Allahyarham Firos membuka semula perdebatan mengenai tahap kesiapsiagaan perubatan di acara sukan.

Difahamkan, ada dakwaan tidak rasmi mengatakan wujud kelewatan dalam pemberian bantuan perubatan kecemasan kepada Allahyarham, mencetus persoalan sejauh mana penganjur benar-benar bersedia apabila nyawa menjadi pertaruhan.

Walaupun Allahyarham Firos dikenal pasti sebagai individu aktif dan cergas, kejadian itu jelas menunjukkan bahawa pemeriksaan kesihatan dan saringan awal adalah satu keperluan kritikal dalam penganjuran sukan membabitkan golongan veteran.

Hannah berkata, kehadiran pasukan perubatan termasuk doktor pakar, ambulans dan paramedik juga perlu menjadi syarat wajib bagi semua kejohanan bagi mengelakkan kelewatan rawatan jika berlaku kecemasan di gelanggang.

Katanya, penyediaan insurans juga tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberi perlindungan bukan sahaja kepada peserta, malah kepada penganjur dalam menangani implikasi perubatan atau kecederaan.

“Insurans adalah bentuk tanggungjawab. Kita mahu semua pihak bersedia dan tidak bertindak selepas sesuatu berlaku. Ini tentang nyawa,” katanya.

Menurutnya lagi, KBS melalui Majlis Sukan Negara akan memperketatkan lagi garis panduan dan mungkin mewajibkan dokumen deklarasi kesihatan sebagai sebahagian syarat kelulusan kejohanan mulai tahun hadapan.

Beliau turut meminta semua pihak baik badan sukan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun penganjur swasta melihat keselamatan sebagai keutamaan dan bukannya sekadar formaliti semata-mata.

“Bila kita jaga keselamatan mereka, kita bukan saja galakkan gaya hidup sihat, tapi kita juga jaga nyawa mereka,” katanya.

Farah Ain, Bonnie dinobat Atlet Terbaik SAM

Kuala Lumpur: Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah dan jaguh angkat berat para, Bonnie Bunyau Gustin dinobatkan selaku Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024 pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus yang berlangsung hari ini.

Farah Ain mengetepikan cabaran hebat daripada ratu tenpin boling, Sin Li Jane dan juara dunia wushu, Tan Cheong Min, selain dua calon lelaki iaitu pelari menara, Soh Wai Chin dan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Atlet berusia 24 tahun itu mencuri perhatian selepas meraih pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Kejayaan Farah Ain sekali gus meneruskan dominasi boling padang negara selepas pasangan Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi merangkul gelaran sama tahun lalu.

Pada Mei lalu, Farah Ain dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 sekali gus muncul atlet boling padang wanita negara pertama meraih gelaran berkenaan.

“Saya sangat bersyukur, sekali lagi saya dapat mengangkat nama boling padang dan membuktikan bahawa sukan ini bukan calang-calang,” kata Farah Ain ketika ditemui selepas majlis penganugerahan yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sementara itu, Bonnie akhirnya meraih gelaran Atlet Para Terbaik selepas dua kali tewas kepada jaguh badminton para, Cheah Liek Hou, hasil kejayaannya mempertahankan emas Paralimpik di Paris serta memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg dalam kategori 72kg.

Bonnie menewaskan barisan calon lain iaitu jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli; pemegang rekod lompat jauh, Datuk Abdul Latif Romly dan pelari pecut, Eddy Bernard.

Bonnie bagaimanapun tidak dapat hadir dan dirinya diwakili oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Selaku pemenang utama, Nor Farah dan Bonnie membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi eksklusif sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada arena sukan tanah air.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Pertandingan bagi setiap kategori tahun ini cukup sengit dan saya yakin semua keputusan dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya oleh jawatankuasa SAM. Saya juga gembira melihat ramai pemenang wanita tahun ini iaitu satu perkembangan yang cukup membanggakan,” kata Hannah.

Azeem turut tumpu acara 200m tahun depan

Kuala Lumpur: Sensasi pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mendedahkan selain acara 100 meter (m), dia akan kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara 200m pada tahun depan.

Justeru itu, pelari berusia 21 tahun itu mahu menjadikan Kejohanan Universiti Dunia (WUG) di Rhine-Ruhr, Jerman dari 16 hingga 27 Julai ini sebagai medan untuknya mengasah kembali teknik lariannya dalam acara 200m.

Penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) itu hampir mencetus sensasi pada April lalu di Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di AS apabila merekod catatan masa 20.79s ketika meraih kedudukan pertama dalam saringan keenam.

Catatan itu hanya 0.02 dipisahkan dengan rekod kebangsaan milik Russel Taib iaitu 20.77s yang dilakukan pada 2019.

“Saya kurang bersaing dalam acara 200m, tetapi awal musim ini saya berjaya lakukan 20.79s, hanya kurang 0.02s di belakang rekod kebangsaan milik Russel. Jadi saya tahu kemampuan saya.

“Saya hanya perlu bersabar dan tak perlu tergesa-gesa mengejar sesuatu sebab tahu kemampuan diri sendiri. Untuk acara 200m (di WUG), ia umpama ‘preview’ pada tahun depan.

“Sebab saya sudah berbincang dengan jurulatih iaitu pada tahun 2026, saya akan ‘all out’ beraksi dalam acara 100m dan 200m seperti ketika zaman di sekolah menengah apabila saya sentiasa berlari dalam kedua-dua acara itu.

“Jadi di WUG nanti adalah titik perubahan untuk saya selesa semula bertanding dalam 100m dan 200m di kejohanan sama,” kata pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s itu.

Pada saingan di WUG, selain kedua-dua acara riben biru itu, Azeem akan beraksi dalam acara 4x100m.

“Untuk acara lari berganti-ganti sangat menarik kerana kita mempunyai barisan pelari yang berada pada tahap terbaik ketika ini seperti Danish Iftikhar (Muhammad Roslee).

“Saya yakin dengan pasukan dan kami mungkin mampu melakukan sesuatu di WUG.

“Pada akhirnya, ia adalah acara berpasukan, jadi kami perlu saling percaya antara satu sama lain,” katanya.

KBS sedia bantu Zii Jia – Hannah

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk membantu Lee Zii Jia sekiranya pemain badminton perseorangan lelaki profesional itu memerlukan sebarang bantuan termasuk sokongan mental dan rundingan pakar psikologi.

Menterinya Hannah Yeoh berkata sebarang usaha oleh KBS bagi membantu Zii Jia akan dilakukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau berkata KBS sememangnya menyediakan perkhidmatan dan sokongan dari ISN termasuk kepada pemain profesional bukan hanya untuk pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“MSN dan ISN telah menghubungi Zii Jia, beliau juga ada nombor telefon saya selain mempunyai akses kepada kepada atlet-atlet senior yang lain dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin. Saya pun pernah jumpa Zii Jia sebelum ini untuk perbincangan Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

“Jadi KBS memang bersedia untuk bantu Zii Jia sebaik yang mungkin jika beliau sudah bersedia untuk bercakap dengan kita,” katanya.

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mencetuskan tanda tanya mengenai tahap kesihatan mental beliau apabila memuat naik hantaran gambar lukisan yang berkemungkinan mempunyai unsur kemurungan di akaun Instagram.

RM1 juta lonjak pasukan e-sukan ke pentas dunia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP) sebagai usaha memperkukuh kedudukan pasukan e-sukan tempatan di pentas antarabangsa.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasa bakat-bakat e-sukan negara agar mampu bersaing di peringkat global.

“Setakat ini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan, membabitkan RM300,000 untuk fasa pertama, manakala baki RM700,000 akan disalurkan bagi pelaksanaan fasa kedua kelak.

“Peruntukan fasa pertama akan digunakan bagi pelaksanaan bengkel serta sokongan logistik kepada pasukan-pasukan terlibat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MEAP di Puchong, dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak sembilan pasukan dan pemain e-sukan tempatan diumumkan sebagai penerima dana sokongan berjumlah antara RM5,000 hingga RM40,000 untuk menyertai kejohanan antarabangsa merangkumi pelbagai kategori permainan.

Antara pasukan yang terpilih ialah Selangor Red Giants (SRG.OG), Homebois, dan Navi Esports bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang, manakala Nova Esports, Black Shrew Esports, dan Alpha Gaming akan bersaing dalam dalam permainan Honor of Kings.

Kesemua pasukan terbabit dijadual menyertai Piala Dunia E-sukan yang sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi ketika ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al-Amin berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan program MEAP dan menyeru pasukan atau pemain yang layak supaya memanfaatkan peluang yang ditawarkan.

Menurut beliau, mana-mana individu atau pasukan yang akan menyertai kejohanan antarabangsa boleh mengemukakan permohonan kepada Esports Integrated (ESI) atau terus kepada pihak MESF bagi melibatkan diri dalam program berkenaan.

Tengku Zafrul tolak dakwaan Pearly-Thinaah terima bayaran lumayan

Kuala Lumpur: Isu membabitkan kontrak gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah akhirnya terjawab apabila kedua-dua pemain itu menandatangani kontrak untuk kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa Pearly-Thinaah akan terus bersama badan induk berkenaan sehingga temasya Olimpik Los Angeles 2028, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan kononnya pasangan beregu negara itu menerima bayaran mencecah RM2 juta setahun selain enggan mengesahkan bahawa pasangan itu menerima bayaran RM1 juta setahun seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Dalam sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagaimanapun enggan mendedahkan butiran perjanjian termasuk tempoh kontrak serta syarat-syarat lain yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Menurut beliau, prestasi pasangan yang kini berada di ranking ketiga dunia itu akan terus dinilai dan tidak menolak kemungkinan mereka bakal menerima ganjaran tambahan sekiranya berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

“Mereka sudah pun menandatangani kontrak hari ini pada jam 6.31 petang tadi. Saya amat yakin dan optimis dengan keputusan ini. Apa yang berlaku hari ini membuktikan kepercayaan BAM terhadap prestasi mereka.

“Terma kontrak tidak boleh dikongsi. Seperti juga kontrak dengan pemain-pemain lain sebelum ini, kami tidak pernah mendedahkan butiran perjanjian.

“Apa yang penting ialah mereka terus mengekalkan prestasi terbaik. Dan sudah tentu, kalau mereka capai lebih banyak kejayaan, mereka wajar menerima imbuhan sewajarnya,” katanya.

Dengan kemelut kontrak kini selesai, Pearly-Thinaah akan mengalih fokus kepada tiga kejohanan penting bermula Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai, diikuti Terbuka China dari 22 hingga 27 Julai, sebelum turun beraksi di Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos depan.

Dalam pada itu Thinaah menghargai kepimpinan dan pengurusan BAM yang menyokong serta memahami situasi mereka.

“Ia bukan salah mana-mana pihak (melambatkan kontrak), tetapi jadual kejohanan kami yang sangat padat.

“Kami sangat lega, semua sudah selesai dan kini boleh fokus ke hadapan,” katanya.

Masa depan Pearly-Thinaah sebelum ini menimbulkan tanda tanya selepas belum menandatangani perjanjian baharu biarpun kontrak terdahulu berakhir pada Disember tahun lalu sekali gus mencetuskan spekulasi yang mengaitkan mereka akan bergerak secara profesional.

Sebagai rekod, dalam empat kejohanan terakhir, Pearly-Thinaah memperagakan prestasi cemerlang apabila menjuarai Terbuka Thailand, muncul naib juara Terbuka Indonesia, mara ke separuh akhir Malaysia Masters serta suku akhir Terbuka Singapura.

Pearly-Thinaah sah kekal bersama BAM

Kuala Lumpur: Isu yang membabitkan kontrak gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah akhirnya terjawab apabila kedua-dua pemain itu menandatangani kontrak untuk kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tepat jam 6.31 petang tadi.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa Pearly-Thinaah akan terus bersama badan induk berkenaan sehingga temasya Olimpik Los Angeles 2028, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan kononnya pasangan beregu negara itu menerima bayaran mencecah RM2 juta setahun seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia