Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia atasi Kanada 3-2

Ipoh: Malaysia bangkit untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas Kanada, dalam aksi kedua kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini malam ini.

The Speedy Tigers yang mencatat keputusan seri 2-2 dengan New Zealand semalam, bermula dengan aksi meyakinkan apabila terlebih dahulu membuka jaringan pada minit keempat menerusi jaringan Fitri Saari sebelum Kanada menyamakan kedudukan lapan minit kemudian oleh Sean Davis.

Matthew Sarmento meletakkan The Red Caribou di hadapan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan pada minit ke-16, sekali gus memaksa pasukan negara menggandakan serangan sebelum kembali mengikat lawan menerusi jaringan padang Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-19.

Penyerang sensasi negara Faizal Saari membuktikan dia dalam kelas tersendiri apabila menjaringkan gol kemenangan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Kedua-dua pasukan meneruskan serangan untuk cuba mencari gol tambahan, namun keputusan 3-2 kekal hingga wisel penamat.

Terdahulu, pertembungan antara New Zealand dan Korea Selatan yang bermula 4 petang hari ini, berlangsung seperti dijadualkan dengan skuad Black Sticks mencatat kemenangan 3-1.

Hujan lebat yang melanda kira-kira 6 petang tadi, memaksa perlawanan kedua membabitkan Belgium dan India dihentikan selepas tiga minit permainan bermula dan akan disambung semula pada 10 pagi esok (Selasa, 25 Nov) di venue sama.

Sementara itu, aksi Malaysia menentang Kanada yang sepatutnya bermula 8 malam, hanya dapat dimulakan pada 10.08 malam berikutan keadaan padang yang tidak sesuai susulan hujan lebat.

Malaysia dijadualkan berdepan India pada 8 malam Rabu ini, manakala Kanada bertemu New Zealand (4 petang) dan Korea Selatan akan menentang Belgium (6 petang).

Deaflympics 2025: Yilamaran raih perak, gagal tebus kekecewaan

Tokyo: Impian atlet karate negara V Yilamaran untuk meraih emas Deaflympics 2025 berkecai apabila terpaksa akur kepada ketangkasan Oleksandr Makhno dalam perebutan emas kumite lelaki individu bawah 84 kilogram (kg) di Tokyo Budokan, hari ini.

Kekalahan berkenaan mengulangi detik tiga tahun lalu apabila wakil negara itu tewas kepada lawan dari Ukraine itu pada final Deaflympics Brazil.

Yilamaran tampil dengan aksi penuh berani pada pertarungan hari ini, namun ia belum cukup mengekang ketangkasan Makhno yang menguasai gelanggang dari mula sebelum menewaskan wakil negara dengan keputusan 4-1.

“Memang ada peningkatan berbanding di Brazil dan saya berhempas-pulas cari kelemahan lawan, cuma nasib tidak menyebelahi.

“Memang ada tekanan bila jumpa dengan lawan sama tetapi saya tekankan yang saya boleh berlawan. Cuma nasib tidak menyebelahi dan saya (lihat secara positif) dapat mempertahankan pingat perak untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya apakah kekuatan atlet Ukraine berkenaan, Yilamaran berkata, kepantasan dan ketangkasan Makhno adalah sesuatu yang perlu dia ‘berguru’ dengan barisan kejurulatihan.

“Macam saya ada kurang sedikit hal berkenaan kerana kurang nampak sebab rabun. Tapi saya bagi 9/10 untuk persembahan hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi atlet karate, Muhammad Danial Moharam yang beraksi dalam kategori bawah 75kg tersingkir pada aksi suku akhir kepada wakil Algeria, Tabchache Bilal manakala Muhammad Iqbal Mohd Taib turut menerima nasib sama apabila akur kepada kehebatan wakil Taiwan Tai Wen Chi bagi kategori bawah 67kg.

Abangnya, Muhammad Afiq yang beraksi dalam kategori bawah 60kg terlepas pingat gangsa selepas tumpas kepada Sadeghzadehmoghadam Milad dari Iran.

Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf) sebelum ini menetapkan sasaran tiga pingat emas pada edisi kali ini dengan memberi tumpuan kepada acara badminton beregu wanita dan badminton beregu campuran serta boling berpasukan lelaki.

Setakat ini, jumlah pingat Malaysia kekal satu emas (boling beregu lelaki), satu perak (boling beregu wanita) dan satu gangsa (badminton beregu campuran).

Keputusan gugur Fakrul ke Sukan Sea tak adil, tiada toleransi – Pekan

Kuala Lumpur: Keputusan Majlis Olahraga Malaysia (MA) menolak penyertaan atlet 400 meter lari berpagar, Muhammad Fakrul Afizul Nasir ke Sukan Sea Thailand 2025, Disember depan mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli.

Pekan menegaskan, Fakrul sepatutnya layak mewakili negara kerana statusnya sebagai pemegang rekod kebangsaan dan dia adalah atlet terbaik dalam acaranya itu.

Beliau berkata, keputusan menggugurkan mereka yang sudah layak adalah satu perkara tidak adil dan hilangnya toleransi sebuah badan induk yang sepatutnya menyokong atlet muda untuk terus bergerak ke hadapan.

“Bila dia dah layak, pecah rekod kebangsaan pula, dia sepatutnya calon utama ke Sukan Sea.

“Dia yang terbaik Malaysia hari ini. Jadi kenapa atlet terbaik digugurkan? Keputusan ini bagi saya sangat drastik dan sangat tidak adil.

“Dia baru pulih daripada kecederaan, berlari dalam keadaan trek basah. Macam mana nak buat masa baik? Kena ada timbang tara. Takkan satu perlumbaan sudah boleh tentukan masa depan atlet?

“Sepatutnya VTF (Varsity Track & Field) tidak boleh dijadikan asas utama kelayakan untuk atlet yang sudah layak lebih awal,” katanya.

Fakrul yang baharu pulih daripada kecederaan sepatutnya diberi ruang dan toleransi, bukan dihukum kerana catatan masa jauh daripada optimum pada VTF.

Menurut beliau, isu ini bukan sekadar menyentuh prestasi Fakrul, tetapi turut memaparkan kelemahan sistem pemilihan MA yang tidak cukup fleksibel dan tidak mengambil kira faktor objektif dan subjektif atlet.

“Kita tidak boleh membiarkan diskriminasi berlaku. Walaupun asas penolakan ada, secara logiknya ia tidak kukuh untuk menyingkirkan atlet daripada menyertai temasya antarabangsa,” tegasnya.

Terdahulu, MA memberi maklum balas berhubung pengguguran Fakrul atas alasan dia tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MA iaitu catatan 52 saat (s) ketika VTF minggu lalu, apabila ketika itu atlet berusia 22 tahun itu mencatatkan 53.12s.

Biarpun begitu, Fakrul sudah melepasi syarat kelayakan ke Sukan Sea pada Mei lalu dengan catatan masa 51.97s.

Deaflympics 2025: Trek Metropolitan Komazawa tutup tirai tanpa kilauan pingat buat Malaysia

Tokyo: Harapan kontinjen negara untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa pada hari terakhir sukan olahraga di Deaflympics Tokyo 2025 tidak kesampaian apabila wakil Malaysia gagal menyerlah di Stadium Metropolitan Komazawa, hari ini.

Aksi Malaysia bermula dengan acara lompat jauh, menyaksikan Zaiman Megat Abu tidak berjaya mengulangi sentuhan emasnya pada Sukan Sea Pekak Jakarta 2025 apabila sekadar melakukan lompatan 6.57 meter (m) untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan.

Seorang lagi wakil negara, Hazrul Syah Hamri turut kurang bernasib baik selepas menutup saingan di kedudukan terakhir dengan catatan 6.20m.

Nasib terus tidak memihak Malaysia apabila atlet negara, Azlan Kuste yang sebelum ini dua kali memecahkan rekod kebangsaan acara 1,500m turut gagal menampilkan magisnya apabila menamatkan final 5,000m di kedudukan ke-12 dengan catatan 16 minit 38.49 saat (s).

Aksi final itu dikuasai atlet Kenya yang menyapu bersih tiga tempat teratas menerusi Ian Kahinga Wambui (13:52.83s), James Musembi Mwanza (14:15.28s) dan Nelson Kipkorir Rotich (14:43.35s).

Sementara itu, kuartet 4x400m negara dibarisi Muhammad Zumar Azman, Muhammad Zamir Azman, Azlan dan Muhammad Shahrul Azmeer Azman terpaksa berpuas hati di tangga ketujuh walaupun menunjukkan peningkatan dengan catatan 3:33.18s, mengatasi masa 3:33.94s pada pusingan pertama Sabtu lalu.

Acara itu menyaksikan Jepun merangkul emas dengan kepantasan 3:17s, diikuti Colombia (3:18.97s) dan Turkiye (3:19.03s) yang melengkapkan kedudukan podium.

MAD berhasrat rangkul emas Kejohanan Dunia Dodgeball 2026

Kuala Lumpur: Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) menaruh harapan tinggi kepada pemain negara untuk menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri bagi memenangi pingat emas dalam Kejohanan Dunia 2026.

Presiden MAD, Datuk Radha Krishnan berkata, beliau melihat ini adalah peluang terbaik buat skuad negara mengulangi pencapaian muncul juara dunia, walaupun menyedari ia bukan tugas mudah kerana persaingan cukup sengit daripada negara bertanding.

“Belum ada lagi (sasaran secara khusus). Tapi sebagai tuan rumah, sasaran kita mestilah mahu menang emas.

“Kita pernah menang Kejohanan Dunia pada 2022. Tapi saingan semakin kuat kerana banyak negara kini semakin meningkat dan berlatih bersungguh-sungguh.

“Kejohanan Dunia tahun depan dijangka disertai 80 hingga 90 negara membabitkan sekitar 1,800 peserta.

“Ini satu perkembangan positif untuk Malaysia kerana kita antara kuasa besar dodgeball dunia. Walaupun sukan ini bermula di Amerika Syarikat (AS), kita kini berada dalam kelompok tiga terbaik dunia,” katanya.

Malaysia muncul juara dunia 2022 apabila skuad dodgeball lelaki negara mengalahkan Australia (10-5) di final Kejohanan Dodgeball Dunia di Edmonton, Kanada.

Melihat dodgeball semakin mendapat sambutan daripada pelbagai negara, beliau menaruh harapan tinggi agar sukan berkenaan dipertandingkan dalam temasya utama sama ada di rantau ini atau di dunia termasuk Sukan Olimpik akan datang.

“Harapan saya satu hari nanti dodgeball akan dipertandingkan di Sukan Sea, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Ketika ini Arab Saudi akan membuat bidaan menjadi tuan rumah Olimpik akan datang dan kita berharap dodgeball dapat dipertandingkan di Olimpik 2036.

“Di Asia Tenggara, negara seperti Singapura, Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia semakin aktif bermain dodgeball.

“Di Malaysia sahaja, sukan ini sudah diperkenalkan di 330 sekolah rendah dan 320 sekolah menengah. Kami membuat banyak kerja asas untuk membangunkannya di peringkat akar umbi.

“Jadi kami perlukan sokongan keluarga, KBS (Kementerian Belia Sukan) dan Kementerian Pendidikan untuk membawa dodgeball ke tahap seterusnya,” katanya.

Beliau berpuas hati apabila skuad dodgeball negara muncul juara keseluruhan dengan memenangi tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Kejohanan Dodgeball Asia yang berakhir semalam.

Hoe Yean buru emas hatrik 200m gaya bebas di pentas Sukan Sea

Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean mahu menjadikan Sukan Sea Thailand, bulan depan sebagai pentas untuk melakar sejarah peribadi iaitu memburu hatrik emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas selepas mendominasi dua edisi terdahulu di Hanoi dan Kemboja.

Mengakui persaingan semakin sengit, Hoe Yean, 23, menegaskan hasratnya itu bukan satu jaminan, namun tetap menjadi motivasi utama untuk terus memperbaiki setiap aspek perlumbaan menjelang temasya terbesar Asia Tenggara itu.

“Memang saya sangat harap dapat hatrik, tapi ia bukan sesuatu yang mudah kerana semua orang sedang berjuang dan saya sendiri perlu tingkatkan diri.

“Apa yang penting, saya nak dapatkan pingat untuk Malaysia dan banggakan kontinjen kita,” katanya.

Dijadual mengetuai cabaran skuad renang lelaki negara, Hoe Yean menjangka ancaman terbesar bukan datang daripada tuan rumah, Thailand, sebaliknya dari perenang Singapura dan Vietnam yang disifatkannya jauh lebih konsisten dalam acara jarak sederhana.

“Untuk Thailand memang mereka kuat, tapi bagi acara saya, Singapura dan Vietnam akan jadi pesaing utama.

“Jadi saya kena berhati-hati dengan dua negara ini,” katanya.

Dua tahun kebelakangan ini menyaksikan Hoe Yean muncul antara perenang terbaik negara terutama selepas kejayaan membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Asia, situasi yang meletakkan tekanan tambahan terhadapnya apabila ramai meramalkan pingat emas seakan ‘wajib’ diraih olehnya berdasarkan prestasi semasa.

Namun anak muda itu kekal tenang sambil menjelaskan kunci prestasinya kini adalah sikap lebih matang dalam mengurus tekanan.

“Kalau saya tak fikir sangat pasal tekanan, semuanya okey. Jadi sekarang saya kena fokus nak nikmati perlumbaan saya. Itu yang paling penting.

“Fokus saya akan dialihkan sepenuhnya kepada latihan dalam minggu terakhir sebelum temasya, termasuk mengurangkan penggunaan media sosial ketika pertandingan,” katanya.

Di Thailand, Hoe Yean bakal mengambil bahagian dalam 200m dan 400m gaya bebas, selain beberapa acara berganti-ganti termasuk 4x100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian individu.

Ketika ditanya sasaran peribadinya, Hoe Yean menegaskan tumpuannya kini lebih kepada pembinaan diri ke arah tahap ‘kelas dunia’, termasuk memburu masa yang mampu membawa dirinya ke Sukan Olimpik berdasarkan ‘A cut’.

Kejuaraan di Australia jadi titik kebangkitan Tang Jie-Ee Wei

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, semakin menampakkan kematangan permainan selepas menjuarai Terbuka Australia, semalam.

Ia adalah gelaran pertama mereka tahun ini selepas bergelar juara dunia, sekali gus membina keyakinan besar menjelang misi utama seterusnya, Sukan Sea di Thailand, bulan depan.

Menurut Ee Wei, kejayaan di Australia menjadi titik kebangkitan mereka untuk menamatkan musim ini dengan lebih agresif dan konsisten.

Berbekal keyakinan semakin kukuh, dia bersama Tang Jie kini bersedia mengalih fokus ke Sukan Sea Thailand sebagai sasaran utama sebelum mengharungi Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China.

“Kami mahu kekalkan momentum ini. Sukan Sea akan jadi medan terbaik untuk uji mental dan fizikal kami, sebelum tutup musim dengan lebih cemerlang,” ujar pasangan itu dengan penuh tekad.

Tang Jie pula menyifatkan kemenangan itu hadir pada waktu terbaik selepas mereka melalui beberapa pertemuan sukar menentang pasangan sama sepanjang tahun.

Semalam, mereka bergelar juara selepas menumpaskan gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, 21-16, 21-11 dalam masa 42 minit.

“Kami sudah jumpa mereka empat kali tahun ini dan tahu ia akan jadi perlawanan sengit.

“Tapi suasana di stadium kali ini dengan penyokong bersorak untuk kami, buat kami lebih bersemangat apabila mara ke final,” katanya.

Begitupun cabaran Tang Jie-Ee Wei yang kini menghuni ranking keempat dunia di Sukan Sea tidak mudah sekiranya tuan rumah menyenaraikan beregu utama mereka, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.

Berdasarkan rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pasangan itu, ia nyata memihak kepada Dechapol-Supissara yang memiliki kelebihan menang empat daripada lima pertemuan.

Malah Dechapol-Supissara kini mengungguli ranking nombor satu Jelajah Dunia selepas enam kali menjuarai siri Jelajah Dunia tahun ini.

Hannah tabik Rosman

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi penghargaan kepada ketua jurulatih beregu badminton wanita negara, Rosman Razak, yang sekali lagi cemerlang membantu beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah muncul juara Masters Jepun, semalam.

Menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya, Hannah berkata, Rosman adalah antara watak penting kepada kejayaan Pearly-Thinaah, yang kini menduduki ranking kedua dunia.

“Kejayaan Pearly dan Thinaah di Masters Jepun adalah hasil usaha berpasukan, termasuk figura penting yang sentiasa berada di belakang mereka setiap kali beraksi, jurulatih Rosman Razak.

“Sejak mengambil alih tugas membimbing gandingan itu, Rosman menunjukkan prestasi cemerlang, dan usaha kerasnya turut dihargai menerusi kenaikan gaji yang diumumkan di bawah program Road To Gold pada Jun lalu.

“Pencapaian Rosman bersama Pearly-Thinaah membuktikan Malaysia mempunyai jurulatih berkualiti tinggi, dan mereka wajar diberikan pengiktirafan serta ganjaran setimpal dengan kemampuan mereka.

“Saya teruja untuk menyaksikan lebih banyak kejayaan daripada tiga individu ini yang benar-benar mencerminkan bakat, kerja keras dan perpaduan anak Malaysia,” katanya.

Pada aksi final semalam, Pearly-Thinaah menumbangkan wakil tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit.

Selain Masters Jepun, Pearly-Thinaah juga berjaya muncul juara di Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland selain muncul naib juara di Masters Indonesia, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun serta di Kejohanan Dunia 2025 dekat Paris, Ogos lalu.

Ketika ini, Pearly-Thinaah akan berehat seketika sebelum kembali ke gelanggang untuk Sukan Sea di Thailand (7-14 Disember) dan ke Jelajah Akhir BWF di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember.

Umaira pegang status Raja Pecut berganda

Kuala Lumpur: Pelari remaja negara, Muhammad Umaira Subri meneruskan kecemerlangannya apabila memenangi emas acara 200 meter (m) di Kejohanan Olahraga Bawah 18 dan Bawah 20 Tahun Asia Tenggara, hari ini.

Umaira yang berasal dari Langkawi melintasi garisan penamat dengan melakukan catatan peribadi terbaik 21.26 saat (s) pada kejohanan berlangsung di Medan, Indonesia itu.

Kemenangan ini sekali gus menyaksikan pelajar SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR) itu meraih gelaran Raja Pecut berganda selepas dia memenangi acara 100m, semalam.

Umaira berjaya melakukan catatan 10.32 saat (s) untuk menjadi pelari pertama melepasi garisan penamat mengalahkan rakan senegara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang meraih perak dengan catatan 10.38s.

Malaysia turut mendominasi acara lompat jauh lelaki B-18 apabila meraih pingat emas serta perak.

Ahmad Hulaif berjaya merangkul pingat emas dengan lompatan 6.94m, manakala Mohamed Darwisy memenangi pingat perak dengan catatan 6.91m.

Sementara itu, Sasha Alyssa menghadiahkan Malaysia pingat perak dalam acara lempar cakera wanita B-18 dengan lontaran sejauh 41.46m.

Turut menyumbang perak adalah Jorez Puang Yi Jun dalam acara lontar peluru lelaki B-18 dengan lontaran sejauh 16.75m.

Atlet lompat jauh lelaki B-20, Adam Haqimi juga menghadiahkan pingat perak selepas melakukan lompatan sejauh 7.25m.

MSN jelaskan kos tanggung sendiri dipersetujui PMM

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sekali lagi menegaskan Persatuan Sukan Kebangsaan yang memohon untuk menghantar atlet mereka di bawah Kategori B pada Sukan Sea Thailand bulan depan sudah menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk menanggung semua kos penyertaan itu.

Justeru, menjawab isu membabitkan atlet mendaki negara, Mohd Izzat Shokor yang terpaksa menanggung sendiri kos penyertaan ke temasya dwi tahunan itu, MSN dalam satu kenyataan berkata, sukan mendaki dibenarkan untuk menyertai Kontinjen Malaysia ke Thailand mengikut Kategori B kerana tiada atlet individu yang berada dalam ranking tiga terbaik di Asia Tenggara dan Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM) sudah bersetuju dengan syarat pembiayaan itu.

“Namun perlu ditegaskan bahawa MSN sebelum ini mengenalpasti sukan mendaki untuk diletakkan dalam inisiatif Program Khas LA 2028 dan meluluskan peruntukan RM200,000 kepada PMM bagi kos latihan dan penyertaan atlet ke kejohanan-kejohanan untuk meningkatkan ranking dunia mereka pada tahun ini.

“Peruntukan ini juga boleh digunakan untuk membiayai kos persediaan latihan atlet ke Sukan Sea kali ini.

“MSN sentiasa komited untuk menyokong semua sukan yang berpotensi menghasilkan pencapaian terbaik di peringkat tertinggi, termasuklah sukan mendaki, dan sudah mengadakan perbincangan bersama PMM untuk persediaan atlet ke Sukan Sea Thailand kali ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan luahan Mohd Izzat yang terpaksa menanggung kos penyertaan mencecah RM4,500 seorang selain ketiadaan latihan berpusat, sekali gus menjejaskan persiapan awal untuk ke sukan Sea, bulan depan.

Atlet berusia 33 tahun itu terpaksa mengurus sendiri jika mahu menyertai pertandingan di temasya dwi tahunan itu sekali gus memberi tekanan kepada dia dalam usaha menyumbang pingat buat negara.

Namun, Timbalan Presiden PMM, Akbal Amin Asain mengesahkan bahawa Izzat bukan dalam program khas LA28 dan pemilihan dia berdasarkan senarai akhir yang dikemukakan kepada MSN serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau juga berkata, PMM sedang berusaha keras mencari dana tambahan supaya beban kewangan atlet dapat dikurangkan menjelang Sukan Sea nanti.

MSN menerusi ketua pengarahnya Jefri Ngadirin pula memberitahu bahawa sudah menyalurkan dana RM200,000 kepada PMM tahun ini, dan pengurusan dana sepenuhnya adalah tanggungjawab persatuan.