Majlis Sukan Negara Malaysia
Songkhla tidak lagi anjur Sukan Sea 2025, semua 10 acara dipindahkan ke Bangkok

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 acara sukan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Songkhla diluluskan untuk dipindahkan ke Bangkok bagi Sukan Sea 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.

Menurut satu hantaran di Facebook rasmi temasya dwitahunan itu malam ini, pengesahan pemindahan berkenaan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea ke-33 dan Sukan Para Asean ke-13 hari ini, susulan kejadian banjir di selatan Thailand.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Atthakorn Sirilatthayakon, yang turut dihadiri Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand Dr Kongsak Yodmanee, wakil persatuan sukan serta pegawai berkaitan.

“Agenda utama berkaitan pemindahan acara sukan dan lokasi pertandingan bagi Sukan Sea ke-33 disebabkan banjir teruk di wilayah selatan Thailand, yang menyebabkan kerosakan dan menjejaskan tahap kesiapsiagaan, khususnya di Wilayah Songkhla, antara bandar tuan rumah bersama temasya yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 10 acara sukan yang akan dipindahkan ke Bangkok dari Songkhla ialah Muay Thai, bola sepak lelaki, catur, kabaddi, wusyu, pencak silat, judo, petanque, karate dan gusti.

Sementara itu, mesyuarat itu turut mengesahkan bahawa acara biliard dan snuker, yang sepatutnya diadakan di Chonburi, kini turut dipindahkan ke Bangkok.

Belgium belasah Speedy Tigers 9-1

Ipoh: Pasukan ranking ketiga dunia Belgium membelasah Malaysia 9-1 pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah ke-13.

Selepas tewas 3-4 kepada India, anak buah Sarjit Singh turun dengan misi berjuang habisan-habisan namun terpaksa akur dengan kehebatan Belgium.

Penyerang prolifik Belgium yang juga pemain terbaik dunia tahun ini Tom Boon membuka tirai jaringan pasukan itu hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-8 sebelum Thomas Crols meledak gol kedua tiga minit kemudian.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan negara mengatur serangan balas dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-13 menerusi gol padang Faizal Saari namun dua minit kemudian Thibeau Stockbroekx pula memastikan Belgium terus di depan sebelum tamat suku pertama perlawanan.

Babak kedua menyaksikan Belgium terus menekan kubu pertahanan Malaysia dan berjaya merobek gawang negara apabila Roman Duvekot menjaringkan gol keempat pada minit ke-24.

Alexander Hendrickx dan Tommy Willem kemudian menambah derita Speedy Tigers menerusi penalti stroke dan pukulan sudut penalti pada minit ke-27 dan 30.

Boon sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-38 apabila pasukan itu sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti dan Victor Foubert terus menghukum kem pertahanan negara apabila meledak gol kelapan pada minit ke-41.

Asakan Belgium tidak berhenti di situ apabila Duvekot melengkapkan hari malang skuad negara menerusi gol kesembilan pada minit ke-54.

Terdahulu, Kanada mengalahkan Korea Selatan 3-2 manakala India pula menundukkan New Zealand juga dengan keputusan 3-2.

Perlawanan terakhir Malaysia pada Sabtu ini bertemu Korea Selatan yang dijadualkan pada 6 petang manakala New Zealand bertemu Belgium (4 petang) dan Kanada menentang India (2 petang).

Sementara itu, ketua jurulatih Sarjit Singh menyifatkan kekalahan itu sebagai satu pengajaran besar buat pemain, sambil menegaskan pertembungan itu menjadi ukuran tepat tahap semasa skuad Speedy Tigers, sekali gus membuka ruang untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Belgium memang bermain dengan sangat baik selepas aksi menentang Korea Selatan tempoh hari, mereka mula menunjukkan kenapa mereka berada di ranking ketiga dunia,” katanya, sambil menambah aspek disiplin bertahan pasukan lawan juga menjadi contoh terbaik kepada pemain negara.

Sukan Sea 2025: SOP kecemasan disediakan bantu atlet hadapi bencana

Sepang: Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kecemasan bagi membantu kontinjen negara menghadapi sebarang situasi luar jangka termasuk bencana pada Sukan Sea 2025 di Thailand, dijadual bermula 9-20 Disember ini.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata, pengeluaran SOP baharu itu diputuskan pihaknya dan MOM dalam satu mesyuarat tergempar bagi menilai situasi semasa yang sedang dihadapi tuan rumah termasuk banjir di satu daripada wilayah terbabit dengan Sukan Sea kali ini iaitu Songkhla.

“Di peringkat MSN dan MOM, kami mengeluarkan satu garis panduan SOP kecemasan bagi semua pihak melihat dan meneliti sekiranya berlaku apa-apa kejadian semasa Sukan Sea, mereka akan rujuk kepada SOP berkenaan.

“Kita juga sertakan nombor perhubungan sekretariat dalam, luar, kedutaan dan pihak keselamatan bagi membolehkan pengurus pasukan, jurulatih dan juga atlet mendapatkan atau menghubungi pihak-pihak berkaitan secara terus,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kontinjen Deaflympics Tokyo 2025 negara di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Jefri mengulas laporan media Thailand semalam bahawa semua acara Sukan Sea 2025 di Songkhla akan dipindahkan ke Bangkok susulan banjir serta kebimbangan keadaan venue di wilayah terbabit sebaik air surut.

Keputusan itu dilaporkan dicapai dalam satu mesyuarat semalam dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sukan Sea ke-33 Chaiyapak Siriwat, Menteri Pelancongan Thailand,Atthakorn Sirilatthayakorn serta wakil negara peserta, menurut Timbalan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT) Chalitrat Chantarubeksa.

Bagaimanapun, media negara itu melaporkan pengumuman rasmi mengenai keputusan berkenaan dijadual esok.

Sebanyak 10 acara sukan menawarkan 109 pingat emas iaitu tinju, silat, bola sepak, catur, judo, kabadi, karate, gusti, petanque dan wushu dijadualkan berlangsung di Songkhla.

Dalam pada itu, Jefri berkata, mesyuarat bersama MOM turut memutuskan bahawa kesemua atlet negara yang dijadualkan bertanding di Songkhla menggunakan mod pengangkutan udara sekiranya tuan rumah memindahkan acara sukan terbabit ke Bangkok.

Minggu lalu, beliau dilaporkan berkata, MSN memilih mod pengangkutan darat bagi atlet negara yang bakal berjuang di Songkhla atas faktor wilayah berkenaan yang berdekatan dengan sempadan Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, MSN menggerakkan sekretariat luar mereka bagi memastikan pengangkutan dan juga khidmat sokongan di Bangkok nanti tidak terjejas dengan penambahan jenis sukan yang akan diadakan di ibu negara Thailand itu.

Deaflympics 2025: KBS tetap bangga dengan pencapaian kontinjen negara

Sepang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap bangga dengan pencapaian kontinjen negara pada temasya sukan Deaflympics 2025 di Tokyo biarpun tidak berjaya menepati sasaran membawa pulang tiga pingat emas ditetapkan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya sedar kontinjen negara tetap menampilkan aksi positif, terutama kejayaan menyumbang pingat dalam sukan baharu menerusi karate selain muncul selaku pasukan terbaik di Asia Tenggara pada Deaflympics kali ini.

“Ini adalah satu daripada kejayaan yang harus kita raikan dan kami ucap berbanyak-banyak tahniah dan juga terima kasih kepada semua yang berjaya.

“Ini juga membuktikan kita sentiasa mampu untuk bersaing di peringkat dunia, dan kita juga mampu untuk mengekalkan Malaysia sebagai antara kontinjen terbaik dari Asia Tenggara,” katanya pada majlis sambutan kepulangan kontinjen negara dari Tokyo di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin.

Malaysia menutup kempen Deaflympics 2025 dengan satu emas (beregu lelaki boling), dua perak (karate kumite individu lelaki bawah 84 kilogram dan beregu wanita boling) serta satu gangsa (beregu campuran badminton).

Adam Adli pada masa sama berharap kontinjen negara akan meneruskan momentum mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa selain menyeru pihak luar terus menyokong pembangunan atlet sukan orang pekak.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn memohon maaf dan mengakui kesilapan mereka tidak berjaya mencapai sasaran diletakkan di negara Matahari Terbit itu.

Beliau juga enggan menuding jari kepada mana-mana pihak namun akan melakukan sesi pascanilai dalam usaha memperbaiki prestasi atlet negara selepas ini.

Adelia raih perak pada Kejohanan Boling Dunia

Kuala Lumpur: Pemain remaja negara Adelia Nur Irwan Syazalee mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat perak dalam acara perseorangan wanita pada Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong hari ini.

Pemain berusia 18 tahun itu tumpas 0-2 (189-217, 168-214) kepada wakil Finland, Essi Pakarinen pada aksi final.

Adelia Nur mara ke final selepas menewaskan wakil Singapura Shayna Ng 2-1 (202-184, 160-164, 230-196) pada pusingan separuh akhir yang turut berlangsung hari ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi kategori perseorangan wanita adalah pada edisi 2023 menerusi Natasha Mohamed Roslan.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Malaysia gagal meraih sebarang pingat selepas tiada wakil negara melayakkan diri ke separuh akhir.

Ling Ching sasar dalam kelompok 32 terbaik dunia tahun depan

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching enggan terlalu memikirkan perebutan status pemain nombor satu negara, sebaliknya mahu menembusi kelompok terbaik dunia secepat mungkin.

Menurut Ling Ching, sasaran utamanya bukanlah kedudukan tertinggi di peringkat nasional, sebaliknya ranking dunia yang mampu melonjakkan kariernya.

“Bagi saya, untuk menjadi nombor satu dunia adalah yang paling penting. Tapi secara peribadi, untuk separuh tahun pertama (2026), sasaran saya adalah berada dalam kedudukan 32 dunia.

“Saya tak anggap K Letshanaa sebagai lawan sebab kami semua mewakili Malaysia.

“Saya cuma harap boleh meningkat dan satu hari nanti perseorangan wanita Malaysia berada di puncak dunia,” katanya.

Baginya, abila berada dalam kelompok 32 terbaik dunia, dia berpeluang bersaing dalam peringkat lebih tinggi, sekali gus membantunya meningkatkan prestasi serta memburu kedudukan terbaik.

“Untuk tahun depan jurulatih belum beri perancangan penyertaan kejohanan.

“Mungkin saya akan sertai banyak Super 500 dan saya harap boleh main Super 750 dan 1,000,” katanya yang kini pemain perseorangan wanita sedang meningkat naik dan membawa sinar baharu untuk negara.

Aniq pulih daripada cedera tendon, sasar emas di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Bintang angkat berat negara, Aniq Kasdan kini berada pada tahap terbaik untuk menghadapi Sukan Sea Thailand, bulan depan selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan tendon yang membelenggunya sebelum ini.

Sebelum ini, kecederaan itu menjejaskan persediaannya, namun Aniq mengesahkan keadaan fizikalnya kini kembali pulih sepenuhnya.

Malah, keadaan itu membolehkannya memberi fokus untuk memburu pingat dalam acara bakal disertainya.

“Alhamdulillah, kecederaan tendon saya sudah pulih. Di Thailand saya akan beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg).

“Persaingan kali ini jauh lebih sengit dengan kehadiran atlet dari beberapa negara dianggap kuasa dalam acara angkat berat,” kata atlet kelahiran Johor itu.

Aniq tetap optimis dan meletakkan harapan tinggi untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik selain membantu kontinjen negara meraih pingat emas.

“Pesaing utama saya adalah Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina.

“Sekarang saya fokus untuk dapatkan kembali rentak dan sasaran saya mestilah pingat emas. Saya harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Pada edisi di Vietnam, Aniq meraih gangsa dan mencatat rekod baharu kebangsaan dalam kategori 55kg, sebelum beralih ke kategori 60kg kali ini.

Wei Chong setuju gandingan dipisahkan di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong menyambut baik sekiranya idea untuk memisahkan pasangan asal dan membentuk gandingan baharu di Sukan Sea Thailand, bulan depan, direalisasikan.

Bagi Wei Chong, setiap pemain harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu dan dia melihat langkah berkenaan secara positif meskipun perlu berpisah seketika dengan pasangannya, Tee Kai Wun.

“Ya, memang sudah bersedia. Sebenarnya tidak banyak perbincangan mengenainya, tetapi saya ada dengar daripada pihak kejurulatihan.

“Jadi, saya hanya perlu sentiasa bersiap sedia sekiranya ia berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Aaron Chia turut menyatakan bersedia dan terbuka sekiranya jurulatih ingin dia beraksi dengan pemain lain, selain berpendapat temasya dwitahunan itu adalah masa paling sesuai untuk mencuba pasangan baharu sebagai persediaan menghadapi Piala Thomas, tahun hadapan.

Tambahnya, tindakan itu tidak akan merugikan mana-mana pihak terutama dari segi ranking dunia kerana Sukan Sea tidak menawarkan mata kepada pemain bertanding.

Di Thailand nanti, beregu lelaki negara Aaron-Soh Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun bakal menjadi pertaruhan penting untuk memburu pingat.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas Sukan Sea dalam acara badminton ialah di Vietnam 2021 menerusi beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Pada edisi lalu di Kemboja, skuad negara gagal menghadiahkan emas sebaliknya hanya membawa pulang dua perak dan empat gangsa.

Aiman sasar dua kedudukan podium Junior All-Stars 2025

Kuala Lumpur: Pemain boling remaja negara, Aiman Syahin Sulaiman melaungkan keyakinan untuk meraih dua kedudukan podium pada Kejohanan Antarabangsa Junior Storm All-Stars U22 di Sunway Megalanes pada 3 hingga 14 Disember depan.

Aiman mempunyai keyakinan tinggi untuk menampilkan aksi cemerlang dalam kategori Terbuka Lelaki dan Super Junior (Bawah 30 tahun) dan menganggap ini adalah pendedahan terbaik buat dirinya.

“Untuk Junior All-Stars 2025 tahun ini, saya yakin boleh sasarkan podium. Ini adalah kejohanan besar pertama saya untuk 2025.

“Tambahan pula, tahun ini adalah edisi ke-25 dan ada kategori Super Junior. Jadi, sasaran saya adalah untuk muncul juara di (Super) Junior All-Stars.

“Bagi saya, kejohanan ini ialah peluang besar untuk pemain remaja bawah 25 tahun. Ini kejohanan yang diiktiraf IBF (Persatuan Boling Antarabangsa) dan ABF (Persekutuan Boling Asia).

“Ini adalah platform terbaik untuk mengasah bakat dan mengumpul pengalaman kerana ia berada pada tahap tinggi, sekali gus menjadi medan penting untuk memburu podium,” katanya.

Kejohanan pada tahun ini terus mendapat sambutan pemain antarabangsa apabila menerima lebih 800 penyertaan daripada 16 negara.

Antara kontinjen terbesar adalah Singapura (288), Korea Selatan (82), Australia (45) dan Jepun (25).

Cabaran Malaysia dalam kategori Lelaki dan Wanita Terbuka akan dikemudi bakat muda negara seperti Ethan Damien Goh, Aiman Syahin, Wan Zarif Ikram Wan Mazlan dan Adelia Nur Irwan Syazalee.

Sempena edisi Jubli Perak, kejohanan ini terus mengukuhkan reputasinya sebagai kejohanan junior terkaya di rantau ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM265,800 dan lebih tinggi daripada tahun lalu.

Ainaa galas harapan negara, teruskan legasi keluarga pada Sukan Sea 2025

Kuala Lumpur: Tiada siapa menyangka langkah kecil seorang adik yang sekadar mengikut abang-abangnya ke gelanggang skuasy akhirnya menjelmakan seorang atlet yang bakal menggalas harapan negara pada Sukan Sea 2025 di Thailand bulan depan.

Noor Ainaa Amani Ampandi, 23, yang bakal membuat penampilan sulung pada temasya sukan dwitahunan itu bukan sahaja membawa harapan Malaysia, malah mengangkat nama keluarganya yang sudah lama berakar dalam sukan skuasy.

Lahir sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu membesar dalam persekitaran sukan skuasy lebih daripada sekadar hobi apabila bapanya sendiri seorang jurulatih manakala kedua-dua abangnya bergiat aktif sehingga turut bergelar jurulatih.

Keterlibatan itu menjadikan Noor Ainaa penerus legasi keluarga, namun buat pertama kali dia akan melangkah ke pentas Sukan Sea iaitu pencapaian yang belum pernah diraih ahli keluarganya sebelum ini.

“Sejak kecil Ainaa memang ikut abang-abang ke gelanggang skuasy dan daripada situlah tercetusnya minat dalam sukan ini. Ayah pula seorang jurulatih, jadi Ainaa sudah memegang raket sejak usia tiga tahun dan mula bertanding seawal usia lima tahun sehingga sekarang.

“Ayah adalah jurulatih pertama Ainaa, dan daripada beliaulah datangnya dorongan awal. Keluarga menjadi sistem sokongan terbesar Ainaa, tanpa bantuan dan sokongan mereka mungkin saya tidak berada pada tahap ini,” katanya ketika mengimbau perjalanan kariernya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kenangan mewakili Wilayah Persekutuan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis dan SUKMA 2018 di Perak bersama abangnya menjadi detik paling bermakna kerana buat seketika legasi keluarga berada dalam pasukan yang sama dan berkongsi satu impian mencipta kejayaan.

Pada masa sama, dia mengakui pernah bergiat dalam tarian tradisional ketika di bangku sekolah rendah, namun nalurinya tetap kembali kepada skuasy.

Sementara itu, Noor Ainaa yang bakal beraksi dalam acara perseorangan wanita di Thailand bertekad menjadikan penampilan sulung itu sebagai pentas mencipta sejarah apabila menyasarkan memenangi pingat emas, sekali gus meneruskan penguasaan Malaysia dalam sukan itu.

Dia yang pernah beraksi pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham mengakui fokusnya kini tertumpu sepenuhnya pada Sukan SEA selepas menangguhkan sementara penyertaan pada Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) musim ini.

“Secara peribadi Ainaa nak bawa balik pingat emas, ia akan jadi pencapaian terbesar sebab saya terlepas beberapa temasya utama seperti Sukan Asia sebelum ini dan sudah tentu akan mengubah apa sahaja yang Ainaa tengah lalui ketika ini,” katanya.

Sebagai rekod, pada Sukan Komanwel 2022, Noor Ainaa yang berpasangan dengan Chan Yiwen hampir mencipta kejutan apabila mara sehingga ke peringkat separuh akhir beregu wanita sebelum tunduk kepada gandingan pilihan Joelle King-Amanda Landers-Murphy dari New Zealand.

Skuasy tidak dipertandingkan pada dua edisi Sukan Sea sebelum ini, iaitu 2021 di Hanoi, Vietnam dan 2023 di Kemboja, sekali gus menandakan kemunculan semula di Thailand lebih bermakna bagi Malaysia.

Kali terakhir acara itu dipertandingkan pada Sukan Sea 2019 di Filipina apabila Malaysia berjaya mendominasi dengan meraih empat emas, satu perak dan satu gangsa.

Sukan Sea 2025 akan berlangsung dari 9 sehingga 20 Disember ini.