Majlis Sukan Negara Malaysia
Rashid sokong Seu Bock bimbing perseorangan lelaki senior

Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, menyatakan sokongan penuh sekiranya Datuk Tey Seu Bock diberi peranan untuk kembali membimbing pemain perseorangan lelaki senior negara menerusi rombakan struktur kejurulatihan dijangka diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam masa terdekat.

Rashid berkata, pengalaman luas dimiliki Seu Bock khususnya ketika membentuk karier bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Seri Lee Chong Wei, menjadikan dia calon paling sesuai untuk membantu mengangkat kembali prestasi perseorangan lelaki negara yang bergelut kebelakangan ini.

“Kalau benar Seu Bock naik mengendalikan perseorangan senior, saya sokong. Dia ada pengalaman sangat luas, pernah bersama Chong Wei, pernah juga dengan saya.

“Banyak ilmu dan pengalaman yang boleh dicurahkan. Pemain juga akan lebih hormat dan ikut cara latihan serta pendekatan dia,” katanya.

Sebagai rekod, Seu Bock adalah watak penting di sebalik kejayaan Chong Wei meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik masing-masing di Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Beliau menyertai BAM sejak 2002, bermula sebagai pembantu kepada Datuk Misbun Sidek sebelum mengambil alih peranan sebagai jurulatih tetap Chong Wei pada awal 2011.

Selain membantu Chong Wei memenangi pelbagai gelaran antarabangsa, kombinasi Seu Bock bersama jurulatih Hendrawan turut memastikan bekas jaguh negara itu meraih perak ketiga Olimpik di Rio 2016.

Rashid mengakui perubahan struktur adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan susulan prestasi kurang memberangsangkan sektor perseorangan lelaki sepanjang musim lalu.

“Mahu atau tidak, memang kena ada perubahan. Tidak boleh dibiarkan keadaan macam itu saja.

“Bila Chong Wei sendiri kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, dia lebih faham keperluan perseorangan. Jadi mungkin sebab itu pengalaman Seu Bock jadi pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, Rashid turut menyentuh kemungkinan perubahan di peringkat remaja, dengan kedudukan Seu Bock sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja kebangsaan difahamkan bakal digantikan oleh bekas jurulatih Lee Zii Jia, Yeoh Kay Bin, yang menjadi antara calon untuk dibawa masuk ke BAM.

“Perubahan ini wajar untuk 2026. Kalau satu pendekatan tidak berkesan, kena cuba cara lain. Dalam latihan pun begitu, kena ada kompromi dan penyesuaian,” katanya.

Rosman tekad bantu Pearly-Thinaah atasi badi pusingan pertama

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, bertekad membantu gandingan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah menamatkan ‘badi’ tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia yang menghantui pasangan itu sejak tiga edisi lalu.

Rosman mengakui sedar rekod kurang memberangsangkan pasangan nombor dua dunia itu di laman sendiri, namun enggan statistik itu terus menjejaskan mentaliti pemain menjelang aksi pembuka tirai di Axiata Arena Bukit Jalil, minggu depan.

“Saya sendiri baru tahu mereka tidak melepasi pusingan pertama sejak tiga tahun lalu. Sudah tentu kita mahukan keputusan terbaik.

“Tidak realistik kalau saya kata sasaran hanya untuk mereka bermain sahaja. Bila sertai kejohanan, sasaran yang munasabah adalah sekurang-kurangnya separuh akhir.

“Itu sasaran realistik,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini, menjelang saingan Terbuka Malaysia yang bermula Selasa depan.

Bagaimanapun, Rosman menegaskan pendekatan berhati-hati tetap menjadi keutamaan memandangkan Terbuka Malaysia adalah kejohanan pertama musim ini.

“Kita kena ambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Musim ini masih panjang kerana tahun 2026 ada banyak lagi kejohanan besar yang perlu kita uruskan,” katanya.

Mengulas tahap kecergasan Pearly-Thinaah yang mengharungi jadual padat hujung tahun lalu termasuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF, Rosman menuntut anak buahnya bijak mengendalikan tekanan sebagai pemain elit dunia.

“Tipu kalau saya kata mereka sentiasa bersedia setiap hari. Memang ada turun naik, tapi itulah kehidupan pemain ranking teratas. Suka atau tidak, mereka perlu terima tekanan dan uruskan keadaan ini sebaik mungkin.

“Kita juga tidak boleh ambil mudah kejohanan ini hanya kerana keletihan akibat jadual padat. Cabaran dan sasaran tetap perlu diterima,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Rosman mendedahkan pendekatan baharu bagi musim 2026 dengan mengurangkan jumlah penyertaan kejohanan Pearly-Thinaah sekitar 20 peratus.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan kualiti permainan pasangan berkenaan kekal pada tahap optimum, khususnya dalam persiapan menghadapi temasya besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Tahun lalu mereka sertai 22 kejohanan. Jadi tahun ini kita kurangkan kira-kira 20 peratus. Kita akan lebih selektif, terutama dengan mengurangkan kejohanan bertaraf Super 500.

“Namun, kejohanan wajib seperti Super 1000, Super 750 serta kejohanan berpasukan negara tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Pearly-Thinaah akan membuka tirai kempen Terbuka Malaysia kali ini menentang gandingan India, Rutaparna Panda-Swetaparna Panda di pusingan pertama.

Pemain perlu rehat, Aaron gesa anjak Terbuka Malaysia

Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, menggesa agar jadual Terbuka Malaysia pada masa depan dirombak dan tidak lagi dijadikan sebagai kejohanan pembuka tirai musim bagi memberi ruang rehat lebih mencukupi kepada pemain utama dunia.

Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik berkata, langkah itu perlu memandangkan ramai pemain elit baru sahaja menamatkan kempen panjang musim lalu, termasuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung pada pertengahan Disember.

Menurut Aaron, Terbuka Malaysia yang bertaraf Super 1000 mewajibkan penyertaan semua pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia, sekali gus menyukarkan pemain untuk mendapatkan tempoh pemulihan ideal selepas musim yang padat.

“Sebenarnya saya rasa Terbuka Malaysia ini agak terlalu awal sebab Jelajah Dunia Akhir baru saja habis, lepas itu dua minggu kemudian sudah kena main Terbuka Malaysia.

“Jadi harap mungkin masa kejohanan ini boleh dianjakkan, mungkin ke hujung Januari atau minggu pertama Februari,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini, menjelang saingan Terbuka Malaysia bermula Selasa ini.

Sebagai rekod, Terbuka Malaysia menjadi kejohanan pembuka musim bermula 2023 apabila dinaik taraf menjadi kejohanan Super 1000.

Aaron berpandangan, permulaan musim sepatutnya dimulakan dengan kejohanan bertaraf lebih rendah seperti Super 300 atau Super 500 sebelum beralih kepada kejohanan utama.

“Janganlah kejohanan pertama terus tahap Super 1000. Untuk pemain yang layak ke Jelajah Dunia Akhir, memang sudah penat sebab satu musim main 18 hingga 20 kejohanan. Lepas itu rehat satu dua minggu sahaja sudah kena mula balik.

“Kejohanan Super 1000 pula memang tak boleh ‘skip’, jadi untuk pemain utama, masa pemulihan dan latihan memang agak terhad. Kalau kejohanan awal musim itu tahap lebih rendah, sekurang-kurangnya pemain 10 atau 20 terbaik dunia ada sedikit masa untuk rehat,” katanya.

Mengulas tahap persiapan, Aaron berkata dia dan Wooi Yik tetap berusaha memanfaatkan masa yang ada untuk membuat persiapan terbaik biarpun tempoh rehat agak singkat.

“Pemulihan dan rehat kami rasakan agak baik. Lepas habis Jelajah Dunia Akhir, kami terus mulakan latihan sebab Terbuka Malaysia sudah dekat. Jadi kami buat persiapan,” katanya.

Pada saingan Terbuka Malaysia kali ini, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan bakal memulakan kempen menentang gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi–Presley Smith, pada pusingan pertama.

Zii Jia sedia ambil risiko demi selamatkan ranking

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, mengakui terpaksa mengambil risiko untuk kembali beraksi di Terbuka Malaysia sebagai langkah menyelamatkan kedudukan ranking dunianya yang kini sudah merosot ke tangga ke-144.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkata, biarpun masih memiliki perlindungan ranking sehingga bulan depan, dia memilih untuk membuat kemunculan semula di kejohanan pembuka tirai musim itu bagi mengutip seberapa banyak mata, sekali gus mengelak kedudukannya terus menjunam.

“Salah satu sebab utama saya kembali adalah kerana mata ranking di sini agak besar. Ranking saya sudah jatuh terlalu jauh, jadi mahu tidak mahu saya perlu turun beraksi untuk selamatkan ranking,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini, menjelang saingan Terbuka Malaysia bermula Selasa ini.

Zii Jia mengakui kejatuhan ranking dunia memberi tekanan kepadanya, lebih-lebih lagi selepas hanya mampu beraksi dalam lima kejohanan sepanjang musim 2025 akibat siri kecederaan berpanjangan.

“Memang ada tekanan bila tengok ranking jatuh macam ini. Jadi, saya perlu beraksi di Terbuka Malaysia, kalau tunggu lagi, nanti saya sendiri tidak tahu kejohanan mana yang boleh saya sertai. Ini risiko yang saya perlu ambil,” katanya.

Walaupun kini berada di ranking ke-144 dunia, bekas juara Seluruh England itu masih memiliki perlindungan ranking di kedudukan kelapan dunia, yang membolehkannya menyertai kejohanan utama dalam tempoh tertentu.

Mengulas tahap kecergasannya, Zii Jia mengakui dia belum berada pada tahap terbaik sepenuhnya, namun menerima ‘lampu hijau’ daripada pasukannya untuk kembali bertanding.

“Setakat ini saya sendiri tidak pasti sama ada sudah 100 peratus. Dari segi fizikal dan mental, pasukan beri keizinan untuk saya kembali beraksi.

“Januari ini memang mencabar sebab saya akan sertai beberapa kejohanan, tapi saya anggap ini satu ujian sama ada saya benar-benar bersedia untuk kembali ke gelanggang,” katanya.

Zii Jia bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember 2024 sebelum kembali beraksi di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac tahun lalu.

Namun kecederaan berkenaan masih belum pulih sepenuhnya, memaksanya berehat lagi sebelum tampil di Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos.

Selepas itu, dia sempat beraksi di Terbuka Hong Kong, namun menarik diri pada pusingan pertama Masters China pada September lalu akibat kecederaan belakang, sebelum mengambil keputusan berehat untuk menjalani proses pemulihan.

Mengulas sasaran musim ini, Zii Jia meletakkan misi untuk kembali ke kelompok terbaik dunia sebagai keutamaan.

“Sasaran saya tahun ini adalah untuk kembali ke kelompok 10 atau 15 terbaik dunia kalau boleh, sebab kita tahu kelayakan Olimpik untuk edisi seterusnya sudah hampir bermula,” katanya.

Zii Jia akan membuka tirai kempen Terbuka Malaysia menentang pemain India, Ayush Shetty di pusingan pertama dan jika menang dia dijangka bertemu pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi bagi perebutan tiket ke suku akhir.

“Saya tidak fikir jauh tentang undian. Sudah lama tidak bermain kejohanan dan baru pulih daripada kecederaan, tapi itu bukan alasan.

“Semua pemain ada tekanan masing-masing. Saya hormat semua dan akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Aaron-Wooi Yik sandaran tamat kemarau juara beregu lelaki

Kuala Lumpur: Pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat mempunyai potensi cukup besar untuk muncul juara dalam acara beregu lelaki sekali gus menamatkan penantian lebih sedekad yang kali terakhir dimenangi oleh Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2014.

Bekas pemain badminton negara, Ismail Saman berkata, dengan prestasi semasa Aaron-Wooi Yik berada dalam landasan terbaik berbanding beberapa wakil negara yang lain sekali gus menjadikan mereka sandaran utama peminat tempatan untuk menjulang kejuaraan di laman sendiri.

“Kalau ikut prestasi terkini, memang beregu negara berada pada tahap yang baik. Tetapi bagi pandangan saya, prestasi terbaik setakat ini ditunjukkan oleh Aaron-Wooi Yik.

“Mereka ada peluang yang lebih cerah berbanding tiga gandingan lain iaitu Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani,Teo Ee Yi–Ong Yew Sin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk muncul juara Terbuka Malaysia kali ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Bekas juara dunia 2022 itu akan membuka saingan Terbuka Malaysia menentang wakil Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith di pusingan pertama dan ini adalah pertemuan ulangan seperti tahun lalu.

Mengulas laluan undian Aaron-Wooi Yik yang dijangka berdepan lawan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di peringkat suku akhir, Ismail percaya rekod pertemuan kurang memihak kepada wakil negara itu tidak akan memberi kesan besar kepada mereka.

“Bagi saya, perkara itu tidak memberi impak besar kerana Aaron-Wooi Yik bukan kalah dengan mudah. Setiap kekalahan mereka biasanya sangat sengit. Tambahan pula, bermain di gelanggang sendiri adalah satu kelebihan besar buat mereka dari segi sokongan dan semangat,” katanya.

Untuk rekod, tiga pertemuan terakhir menentang Sabar-Reza menyaksikan mereka berjaya mengalahkan Aaron-Wooi Yik sekali gus memberi sedikit motivasi kepada wakil Indonesia itu sekiranya bertemu sekali lagi di peringkat lapan terbaik.

Jun Hao tunjuk perubahan positif

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen melihat Leong Jun Hao semakin matang dan terus meningkatkan prestasi dalam latihan untuk mendapatkan konsistensi yang lebih baik untuk dibawa ke perlawanan sebenar.

Jelasnya, Jun Hao adalah pemain yang baik serta mempunyai kemahiran semasa beraksi namun kadang kala tidak dapat mengekalkan konsistensi dan itu menjadi punca dia terlepas beberapa mata penting sekali gus tewas dalam perlawanan itu.

Namun, beliau menyatakan perubahan itu tidak boleh terjadi dengan pantas sebaliknya harus diteruskan dari semasa ke semasa kerana perkara sedemikian membabitkan diri sendiri dan perlu ada keinginan tinggi.

“Daripada apa yang saya lihat dalam latihan, dia perlahan-lahan mula menunjukkan perubahan positif. Dia mula menerima bahawa konsistensi dan usaha perlu datang daripada dalam dirinya sendiri. Tiada siapa boleh memikul tanggungjawab itu bagi pihaknya, dia perlu mencarinya dengan caranya sendiri.

“Sejak kembali daripada Sukan Sea (Thailand), saya melihat peningkatan yang agak memberangsangkan dalam latihan. Namun, perlu diingat bahawa ini membabitkan perubahan tabiat, dan ia tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Ia memerlukan peringatan serta komitmen berterusan setiap hari,” katanya.

Pada Terbuka Malaysia yang akan bermula Selasa ini, pemain di ranking ke-28 dunia itu akan bertemu wakil China, Wang Zheng Xing pada pusingan pertama di mana kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini.

Sebagai rekod, tahun lalu, pemain berusia 27 tahun itu turut bertemu lawan dari China, Lu Guang Zu di pusingan pertama sebelum tewas dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-16, 13-21.

Selain Jun Hao, pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia turut akan membawa cabaran negara dan akan bertemu pemain muda India, Ayush Shetty di pusingan awal.

Pelumba wanita Johor dominasi Lumba Basikal Junior Kebangsaan 2025

Seremban: Pasukan wanita Johor mempamerkan kayuhan bertenaga apabila mendominasi Kejohanan Lumba Basikal Junior Kebangsaan 2025 di Kelab d’ Tempat Sri Sendayan, hari ini.

Johor mempertaruhkan 24 pelumba melalui dua pasukan mereka itu Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Persatuan Berbasikal Negeri Johor (PBNJ) untuk menduduki tempat pertama dan ketiga keseluruhan, manakala Pulau Pinang merangkul naib juara kategori wanita.

Kategori individu menyaksikan Nurina Qistina Zahra Dewa Indra (Johor) hampir menguasai keseluruhan perlumbaan apabila merangkul jersi merah (raja bukit) selepas mengumpul keseluruhan 11 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Terengganu, Ameera Alya Md Zahiruddin (8 mata) dan rakan sepasukan, Intan Suraya Tokiman (4 mata).

Qistina Zahra hanya ketinggalan empat mata kepada Ameera Alya (54 mata) dalam pemburuan cabaran jersi hijau (raja pecut) untuk menduduki tempat kedua dengan 50 mata manakala tempat ketiga milik Intan Suraya (49 mata).

Kehebatan Qistina Zahra menyaksikan dia dinobatkan juara keseluruhan individu (jersi kuning) dengan catatan perlumbaan tujuh jam, empat minit dan sembilan saat diikuti tempat kedua, Intan Suraya (7:09:45s) dan Nur Surfina Zulaikha Mohd Suhaimi dari Pulau Pinang (7:11:35s).

Ketua jurulatih Johor, Junaidi Mohd Nasir menyifatkan prestasi anak buahnya yang membariskan semua atlet Sukan Malaysia (SUKMA) sangat memberangsangkan.

Menurutnya, walaupun diberikan tentangan sengit sepanjang tiga hari kejohanan, atlet Johor terutama wanita berjaya mengekalkan prestasi mereka.

Sementara itu, bagi kategori lelaki, pasukan jemputan dari Indonesia, Garuda Development muncul juara keseluruhan selepas merekodkan catatan 24:50:31s meninggalkan pencabar terdekat, Perak (24:50:40s) di tempat kedua dan Johor di tangga ketiga (24:50:42s).

Pickleball disenarai dalam Sukan Kidslympic tahun depan – Liu Ying

Kuala Lumpur: Pengasas bersama Kidslympic, Goh Liu Ying akan menyenaraikan sukan pickleball dalam acara tahunan agar program Sukan Kidslympic tahun depan lebih meriah.

Menurutnya, pickleball semakin berkembang baik di negara ini dan kanak-kanak pula semakin menunjukkan minat terhadap sukan berkenaan.

Justeru, bagi memastikan orang ramai khususnya ibu bapa mendapat maklumat serta menyertai pertandingan itu bersama Kidslympic, hebahan akan dilakukan secara terperinci.

“Ya, dengan adanya kerjasama ini, kami akan memasukkan pickleball sebagai acara dalam temasya besar kita tahun depan.

“Selain itu, kami akan mengadakan lebih banyak bengkel kerana sukan ini masih baharu.

“Jadi, kami mahu menggalakkan penyertaan dan menganjurkan lebih banyak bengkel khusus untuk kanak-kanak.

“Malah, kami akan ke sekolah bagi memupuk minat pelajar kerana tujuan utama adalah menyediakan saluran betul supaya mereka boleh menjadi pemain lebih baik,” katanya.

Liu Ying berkata, selain pickleball, sekurang-kurangnya lima sukan tambahan baharu akan diperkenalkan bagi memastikan setiap kanak-kanak berpeluang menunjukkan bakat mereka.

Selain itu, beliau berharap ibu bapa akan terus memainkan peranan penting dan sentiasa memberi sokongan kepada anak mereka agar dapat terus aktif dalam sukan diminati.

Acara kemuncak Kidslympic akan diadakan di Stadium Merdeka dengan penyertaan peserta seawal usia empat tahun dalam beberapa acara seperti olahraga, bola sepak, bola keranjang, gimnastik dan cabaran halangan.

Jun Hao akui berdepan masalah konsistensi pada musim 2025

Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao melihat tahun 2025 bukan musim diharapkan apabila gagal menjelmakan prestasi cemerlang meskipun memulakan perjalanan dengan keputusan positif.

Dia meletakkan sasaran lebih baik dalam setiap kejohanan untuk mara sejauh mungkin, namun disebabkan masalah konsistensi, dia gagal menjelmakan perkara itu di dalam gelanggang.

“Tahun ini pencapaian dan prestasi saya agak kurang dan ia bukan disebabkan faktor keyakinan atau keletihan, sebaliknya konsistensi menjadi isu utama.

“Namun, pada akhirnya saya rasa keputusan tahun ini tidak berapa sampai kepada apa yang saya jangkakan,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya mampu mara ke suku akhir di Terbuka Singapura dan Terbuka Hong Kong, sebelum tersingkir lima kali berturut-turut di pusingan pertama di Terbuka Korea Selatan, Denmark, Perancis, Hylo dan Masters Kumamoto.

Ekoran prestasi tidak konsisten itu, ranking Jun Hao turut terjejas apabila kini berada di kedudukan ke-28 dunia berbanding dalam kelompok 20 pemain dunia pada awal 2025.

Selain itu, Jun Hao turut mengakui status selaku pemain nombor satu negara membuatkan dia berasa sedikit tertekan untuk menampilkan prestasi terbaik.

Namun, dia akan cuba mengambil sudut positif dan menjadikan perkara itu sebagai motivasi.

“Tekanan memang ada tetapi saya buat yang terbaik untuk mengatasinya kerana penyokong sentiasa melihat apa yang saya lakukan dan berharap semua ini boleh menjadi motivasi untuk saya.

“Menembusi kelompok 20 terbaik dunia itu satu pencapaian untuk saya, namun sekarang kedudukan itu menurun dan saya perlu bangkit semula menjelang tahun depan,” katanya.

Syahir sasar pingat emas di Sukan Asia 2026 bagi lengkapkan karier

Kuala Lumpur: Tekong utama skuad sepak takraw negara, Syahir Rosdi mengakui kejuaraan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun menjadi sasaran peribadi dalam melengkapkan kariernya.

Namun, dia menegaskan ia bukan satu kewajipan mutlak memandangkan saingan sengit khususnya daripada Thailand yang dijangka bangkit lebih kuat selepas ini.

Bagi Syahir, keutamaan ketika ini adalah prestasi pasukan dan dapat menampilkan persembahan cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertai pada tahun hadapan.

Malah, status selaku juara Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan Sea Thailand bukan alasan untuk skuad sepak takraw negara terus berasa selesa, sebaliknya perlu bekerja lebih keras bagi mengekalkan status gelaran itu daripada dirampas semula oleh musuh tradisi, Thailand.

“Bagi saya, tidak menjadi masalah jika saya tidak memenangi Sukan Asia kerana ia bukan penentu mutlak buat saya.

“Kita semua tahu Thailand akan bangkit selepas ini dan pasti melakukan perubahan besar.

“Jadi, sebagai juara, kami tidak boleh duduk diam atau terlalu selesa. Sukan Asia adalah kejohanan yang berprestij dan sekiranya berjaya memenanginya, ia akan menjadi satu pencapaian yang luar biasa buat saya, lebih-lebih lagi jika dapat beraksi dalam acara regu dan berpasukan,” katanya.

Mengulas harapan tinggi peminat selepas kejayaan menewaskan Thailand dan merangkul kejuaraan berganda dalam acara regu dan regu berpasukan di Sukan Sea Thailand, baru-baru ini, Syahir mengakui tekanan itu perlu diterjemahkan secara positif oleh pemain.

“Kami sebagai pemegang pingat emas acara berpasukan kena kuatkan mental dan disiplin. Sebab kalau boleh kami nak menang 2-0 (acara regu berpasukan) selepas ini mungkin.

“Semangat sepasukan itu penting sebab kami tak nak menang sekali saja. Kalau boleh, kami mahu kekalkan kejuaraan dan bukan tunggu lima atau 10 tahun baru boleh menang balik,” katanya.