Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia rangkul dua gelaran di Cabaran Antarabangsa

Kuala Lumpur: Malaysia muncul juara keseluruhan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2025 selepas merangkul dua kejuaraan di Arena Badminton Perak, hari ini.

Malaysia meraih kemenangan dalam acara beregu campuran dan perseorangan lelaki, namun peluang menambah gelaran ketiga dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian selepas tunduk di final.

Dalam aksi beregu campuran, gandingan bukan pilihan, Tan Zhi Yang-Nicole Tan membuktikan kemenangan mereka ke atas pilihan utama Indonesia, Zaidan Arrafi Awal Nabawi-Jessica Maya Rismawardani sebelum ini bukan sekadar nasib apabila menewaskan lawan juga dari Indonesia, Kenzie Yoe-Luna Rianty Saffana di pentas akhir.

Zhi Yang-Nicole, yang juga separuh akhir Terbuka Slovakia tahun ini, beraksi cemerlang untuk menamatkan cabaran Kenzie-Luna dalam masa hanya lebih setengah jam dengan keputusan 16-14, 15-10.

Seperti dijangka, final perseorangan lelaki menyaksikan pertembungan sesama Malaysia apabila pemain berusia 20 tahun, Eogene Ewe menambah koleksi gelaran selepas kejayaannya di Terbuka Slovenia dengan menewaskan rakan senegara, Jan Jireh Lee.

Namun Eogene yang juga pilihan kedua, terpaksa berhempas pulas selepas Jan Jireh bermula garang memenangi set pertama 15-8.

Kekalahan itu membangkitkan semangat Eogene untuk bangkit cemerlang pada set kedua dengan kemenangan 15-7 sebelum menamatkan aksi sengit set ketiga 15-13 untuk menjulang kemenangan.

Harapan Malaysia untuk menambah gelaran ketiga menerusi beregu lelaki bagaimanapun tidak kesampaian apabila pasangan negara, Muhammad Faiq-Lok Hong Quan yang juga pilihan kedua tunduk kepada gandingan utama Jepun, Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate.

Meskipun berhempas pulas, Faiq-Hong Quan yang juga juara Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia tahun lalu dan pemenang emas Sukan Malaysia itu terpaksa akur dengan kekalahan 7-15, 9-15 dalam tempoh 26 minit.

Khe Wei yakin Pearly-Thinaah raih pingat Kejohanan Dunia

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi pasangan pertama negara memenangi pingat di Kejohanan Dunia di Paris yang akan bermula pada 25 Ogos nanti.

Bekas pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan prestasi beregu nombor dua dunia itu dilihat berada di landasan terbaik dan mampu untuk melangkah ke pentas final pada pertandingan itu nanti.

“Sebenarnya, kita melihat ke hadapan, mereka mempunyai persembahan yang baik terutamanya tahun ini dan cukup konsisten dalam kejohanan yang disertai. Jadi, saya harap Pearly-Thinaah akan memenangi pingat pertama untuk Malaysia terutama bagi beregu wanita kerana belum ada lagi dari kategori ini menang medal di pentas dunia itu.

“Sejujurnya, saya juga sangat menyukai persembahan mereka kerana permulaan mereka pada tahun ini amat bagus dan dapat mengekalkan corak permainan itu dengan baik,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Sukan Antarabangsa Medalist di Puchong, hari ini.

Untuk makluman, pusat latihan badminton itu bakal beroperasi secara profesional dengan kelengkapan lengkap agar pemain yang dilatih dapat melalui proses yang betul.

Malah, dia juga bercita-cita untuk melahirkan pemain pada masa hadapan yang boleh membantu Malaysia memenangi pingat di pentas Olimpik.

Selain itu, Khe Wei yang pernah beraksi di Olimpik Rio de Janeiro 2016 berharap juara Terbuka Thailand itu akan memberikan fokus kepada lawannya secara berperingkat selain tidak ambil mudah siapa yang mereka akan hadapi nanti kerana itu boleh menjerat diri sendiri.

“Apa yang saya fikir adalah keyakinan diri mesti kena ada selain mereka perlu fokus kepada setiap perlawanan kerana jika terlalu yakin pun, akan hancur juga.

“Tetapi saya rasa mereka sudah melakukan persediaan bukan sahaja dari segi mentaliti tetapi juga secara fizikal. Saya percaya mereka juga bersedia untuk beraksi di Kejohanan Dunia itu.

“Saya juga gembira melihat mereka lebih baik daripada saya kerana di Malaysia, sangat sukar untuk mencari beregu wanita yang boleh beraksi dengan sangat baik,” katanya.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran untuk melihat sekurang-kurangnya dua wakil negara ke pentas final dan cabaran itu bakal digalas oleh Pearly-Thinaah dan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Untuk rekod, pada edisi 2023 di Denmark, perjalanan mereka terhenti di suku akhir selepas tewas kepada wakil China, Zheng Shu Xian-Zheng Yu 21-17, 17-21, 19-21.

Beri Chong Wei kuasa penuh – Boon Heong

Kuala Lumpur: Bekas pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Boon Heong berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memberi kuasa penuh kepada Datuk Seri Lee Chong Wei untuk merencanakan segala perancangannya tanpa diganggu oleh sesetengah pihak.

Jelasnya, perkara itu amat penting agar bekas pemenang tiga pingat perak Olimpik itu boleh bergerak dengan ideanya sendiri sekali gus mencurahkan kembali segala pengalaman yang beliau ada kepada pemain muda negara.

Namun, sekiranya BAM tidak melakukan perkara itu dan sekadar meletakkan nama bekas pemain nombor satu dunia itu dalam barisan ahli majlis, ia dilihat satu kerugian amat besar buat kem badminton negara.

“Saya fikir, kemasukan Chong Wei ke dalam BAM, memang boleh bantu BAM tapi kita kena tengok apakah beliau boleh melakukan perubahan itu atau tidak. Kalau ambil Chong Wei sekadar untuk hadir ke mesyuarat sahaja, saya rasa tiada gunanya.

“Sebab kalau beliau sudah berada di dalam BAM, perlu berikan beliau kuasa untuk mengurus dan merancang semua program kerana Chong Wei tahu dari A sampai Z. Jadinya, dengan pengalaman yang beliau ada, saya harap beliau boleh mengurus dengan sebaik mungkin,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Sukan Antarabangsa Medalist di Puchong, hari ini.

Justeru, kembalinya pemain kelahiran Pulau Pinang itu adalah dengan tujuan yang sangat penting iaitu membantu Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk capai sasaran yang disasarkan seperti memenangi Piala Thomas pada 2026, memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2028 selain memastikan wakil negara berada di ranking nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori.

Untuk makluman, Chong Wei bakal diberikan tanggungjawab penting bagi memastikan sukan badminton negara mampu melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti di pentas dunia.

Dengan pengalaman selaku pemain nombor satu dunia selain berjaya merangkul pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa, ini adalah masa terbaik untuk beliau berkongsi semula ilmunya kepada pemain terutama kategori perseorangan lelaki negara.

BAM rancang rekrut pemain seawal usia 13 tahun

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal melakukan perubahan dari segi pemilihan atlet ke program pembangunan remaja apabila selepas ini seawal usia 13 tahun, mereka akan diserapkan kembali ke kem kebangsaan dalam usaha melahirkan pemain yang lebih berkualiti.

Menurut Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, cadangan itu turut mendapat persetujuan daripada barisan jurulatih kerana untuk melahirkan seseorang pemain, ia memerlukan masa dan jika bermula agak lewat, kesannya pasti dirasai oleh individu berkenaan apabila melangkah ke pasukan senior.

Katanya, sebelum ini BAM memberi tumpuan dengan cara memilih pemain berusia 16 tahun untuk dimasukkan ke program namun ia dilihat sedikit lewat dan disebabkan itu, badan induk itu perlu kembali ke idea asalnya iaitu merekrut atlet seawal usia 13 tahun.

“Itu pandangan saya. Saya sudah bentangkan kepada majlis. Sekarang saya beri mereka masa untuk menilai, dan saya akan terus berbincang dengan mereka. Memang ada pro dan kontra, tetapi bagi saya masuk akal untuk kita bermula semula dan memberi tumpuan kepada pemain lebih muda.

“Jurulatih juga menekankan perkara sama, anda tidak boleh mengharapkan hasil segera jika tidak mempunyai asas pembangunan akar umbi yang kukuh,” katanya selepas mesyuarat majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.

Untuk makluman, tujuan utama idea itu dibawa oleh Zafrul adalah berikutan prestasi pemain muda negara yang kurang memuaskan di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 apabila gagal membawa pulang sebarang pingat.

Tambahnya, apa yang ingin dilakukan itu turut mendapat sokongan penuh daripada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.

Sebelum ini, Jonassen pernah menyatakan kegagalan barisan pemain di Indonesia itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana itulah kemampuan pemain negara yang ada ketika ini. Beliau mengakui mengharapkan pencapaian yang lebih baik, namun realiti di gelanggang menunjukkan sebaliknya.

Hannah sambut baik pelantikan Chong Wei dalam BAM

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Datuk Sri Lee Chong Wei sebagai ahli majlis badan induk itu adalah satu tindakan tepat.

Bagi Hannah, beliau percaya bahawa pengalaman yang ada pada legenda badminton negara itu begitu berharga sekali gus boleh membantu BAM mengorak langkah lebih efektif dalam melahirkan lebih ramai pemain berkualiti terutama perseorangan lelaki.

Katanya, apabila seseorang tokoh sukan itu diberikan peluang untuk memimpin, sudah pasti ia mampu melakukan sesuatu memandangkan mereka pernah berada di lapangan serta lebih tahu ekosistem.

“Inilah momen yang saya nantikan sejak dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2022. Saya percaya Datuk Sri Lee Chong Wei mempunyai begitu banyak yang boleh disumbangkan kepada pembangunan badminton di Malaysia dan beliau tidak seharusnya sekadar berada di pinggiran BAM.

“Kehadiran beliau membantu kita di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Program Road to Gold (RTG) amat saya hargai, tetapi saya optimis apabila bekas atlet memimpin dalam persatuan sukan kebangsaan, ia pasti menyuntik semangat keterujaan, keyakinan dan ketepatan dalam keputusan serta dasar persatuan,” katanya.

Selain itu, Hannah turut mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei kerana sudi menerima lantikan itu dan sekarang adalah masa terbaik membantu badminton terus bergerak maju.

Semalam, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Chong Wei bakal menjadi nadi penting terhadap beberapa projek yang bakal dilaksanakan apabila dilantik menjadi ahli majlis badan induk itu.

Aaron-Wooi Yik berpeluang ulangi gelaran juara dunia

Kuala Lumpur: Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek menyifatkan Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini dianggap medan terbaik buat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengulangi kejayaan bergelar juara dunia buat kali kedua.

Keyakinan itu disuarakan Razif yang menyifatkan pasangan nombor dua dunia itu memiliki peluang hampir 80 peratus bagi menjadi juara dunia buat kali kedua selepas melakukannya pada 2022.

Razif yang juga naib juara dunia beregu lelaki bersama abangnya, Datuk Seri Jalani Sidek pada 1987, menegaskan perkara itu berdasarkan pencapaian direkodkan oleh Aaron-Wooi Yik dengan tiga kejuaraan dan lima kali mara ke final tahun ini.

“Pertama sekali kita perlu tengok dari segi laluan dan bagi saya ia satu perkembangan yang bagus kerana kita mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama. Selain itu, kita juga memiliki empat wakil (beregu lelaki), jadi harap dapat jadi juara dunia.

“Saya lihat dari segi prestasi dan pencapaian, mereka (Aaron-Wooi Yik) berada di tahap terbaik. Dengan rekod lima final musim ini, saya percaya mereka sepatutnya mara ke final dan kalau bergelar juara, itu satu kebanggaan besar buat negara,” katanya.

Sepanjang saingan musim ini, anak buah Herry Iman Pierngadi itu menampilkan aksi cemerlang merangkul tiga kejuaraan iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Razif turut menegaskan persiapan mental, strategi dan taktikal menjadi kunci kejayaan, dan berharap sentuhan magis Herry dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dapat merealisasikan impian beregu negara.

Kejohanan Dunia kali ini turut menyaksikan empat beregu lelaki negara beraksi dan selain Aaron-Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan juga beregu muda negara Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.

Tampil selaku pilihan kedua, Aaron-Wooi Yik menerima bye di pusingan pertama, namun dijangka berdepan cabaran getir di pusingan ketiga sama ada rakan senegara, Arif Wan Junaidi-Roy King atau pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

Laluan mereka dijangka lebih mencabar di suku akhir dengan kemungkinan bertemu naib juara Olimpik Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau gandingan utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Sekiranya mara ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik berpotensi berdepan rakan senegara, Sze Fei-Izzuddin bagi mencipta pertembungan sesama sendiri.

Bagi kategori beregu wanita, pasangan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dilihat berpeluang untuk melangkah ke separuh akhir.

Pilihan kedua itu menerima bye di pusingan pertama dan dijangka berdepan pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di suku akhir.

Pearly-Thinaah kini mendahului 2-1 dalam rekod pertemuan ke atas gandingan berkenaan.

PKBM hantar skuad terbaik ke Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Skuad berbasikal trek negara bersedia menghantar pasukan terbaik, termasuk jaguh keirin negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, ke Sukan Sea Thailand (9-20 Disember) dengan misi membawa pulang sebanyak mungkin emas.

Selepas tiga edisi temasya tanpa wakil trek, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mahu kembali menguasai velodrom sekali gus mempertahankan reputasi sebagai ‘deposit tetap’ dalam acara keirin lelaki, pecut berpasukan dan kejar mengejar berpasukan.

Setiausaha PKBM, Arif Astaman, berkata keputusan menghantar skuad terbaik itu dipersetujui bersama pengurusan pasukan trek kebangsaan dan Pengarah Teknikal, John Beasley.

“Kali ini, kami mahu pulang dengan emas sebanyak mungkin. Sebab itu kami hantar pasukan terbaik,” katanya yang ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Beliau menegaskan tiga acara berkenaan akan menjadi fokus utama kontinjen negara di velodrom bagi merealisasikan sasaran emas.

Sesi latihan skuad trek sudah bermula di Velodrom Cheras bagi menyesuaikan diri dengan trek konkrit terbuka yang akan digunakan di temasya kali ini.

“Mereka dah mula berlatih beberapa minggu lalu di Velodrom Cheras. Ini penting kerana saingan kali ini di trek konkrit terbuka, berbeza dengan trek kayu tertutup yang ada kawalan suhu,” jelasnya.

Mengulas perkembangan Shah Firdaus yang sebelum ini berdepan kecederaan, beliau berkata pelan pemulihan berjalan lancar dan tiada kebimbangan terhadap penyertaannya di Sukan SEA.

“Setakat ini tiada apa-apa kebimbangan dimaklumkan oleh Institut Sukan Negara (ISN). Pemulihan berjalan baik, insya-Allah dia akan beraksi,” katanya.

PKBM sebelum ini berjaya memperoleh pengiktirafan Kategori A bagi semua pelumba trek dan lebuh raya, sekali gus membolehkan kontinjen negara turun dengan kekuatan penuh di kedua-dua disiplin berkenaan.

Beri peluang rakyat Malaysia reka jersi kontinjen negara ke Sukan Sea

Kuala Lumpur: Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli menggesa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk mereka jersi kontinjen negara untuk berjuang bersama-sama atlet menjelag temasya dwi tahunan, Sukan SEA Thailand, Disember ini.

Sebagai badan yang mengendalikan pendaftaran dan penyertaan atlet negara, MOM digesa mengadakan peraduan terbuka kepada umum untuk mereka bentuk jaket dan pakaian rasmi menjelang temasya dwitahunan itu.

Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata, MOM perlu berbuat demikian bagi mengelak kontroversi tahun lalu, apabila pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris dikecam gara-gara reka bentuk yang dianggap sendu.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pereka tempatan menyumbang idea, malah membangkitkan rasa memiliki dan semangat luar biasa dalam kalangan penyokong.

“Lebih baik kita libatkan netizen atau pereka cipta tempatan daripada kita umumkan jersi dan kemudian dihentam teruk. Peluang untuk orang ramai turut terbabit dalam rekaan pakaian rasmi ini secara tidak langsung akan membangkit aura sejagat yang akan bersama-sama berjuang bersama atlet,” katanya.

Berasaskan kenyataan MOM tahun lalu, corak dan reka bentuk serta motif pakaian pada setiap kitaran baharu penajaan MOM biasanya mulai Sukan SEA dan berakhir pada Sukan Olimpik seperti rekaan baju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hingga Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Memandangkan Sukan SEA Thailand kian hampir, tidak salah andai MOM buka reka bentuk kepada umum, apatah lagi kita mempunyai ramai pereka bentuk yang kreatif,” kata Pekan.

Difahamkan MOM mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) dan ada beberapa syarikat mengemukakan kertas kerja membekalkan pakaian rasmi Kontinjen Negara bagi tempoh kitaran Olimpik terkini.

Penaja dan pembekal pakaian rasmi kontinjen negara ketika ini ialah Yonex Sunrise yang mengikat kontrak dengan MOM sejak 2014.

Kontroversi timbul tahun lalu apabila jaket rasmi kontinjen negara ke Paris 2024 dilihat kelam ketika majlis pelancarannya di TRX pada Jun 2024, sempena Hari Olimpik Sedunia.

Reka bentuk pakaian berkenaan mendapat maklum balas negatif daripada peminat sukan tanah air di media sosial, khususnya dari segi pemilihan warna dan corak pakaian berkenaan.

Malah, ada juga peminat menyuarakan pandangan mengenai keputusan oleh penganjur yang memilih patung mannequin digunakan untuk memperagakan pakaian tersebut berbanding menggunakan atlet-atlet sebagai model.

Susulan itu, MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau yang lebih jelas di jaket serta logo MOM yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang.

PABM mahu anjur Kejohanan Angkat Berat Asia Tenggara

Kuala Lumpur: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bersedia mengangkat martabat sukan angkat berat ke pentas lebih gemilang apabila

mengumumkan hasrat menganjurkan Kejohanan Angkat Berat Asia Tenggara 2026 di Kuching, Sarawak pada 20 hingga 24 Jun 2026.

Malah kejohaan berkenaan mampu memberi ruang untuk melihat kekurangan atlet dari Asia Tenggara sebelum temasya Sukan SEA Thailand bermula hujung tahun ini terutama dengan kategori baru yang diperkenalkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, cadangan itu dibentangkan pada Mesyuarat Persekutuan Angkat Berat Asia Tenggara (SEAWF) semalam dan menerima maklum balas positif daripada semua negara anggota.

“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform mengukuhkan kerjasama serantau, mempromosikan gaya hidup sihat serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan angkat berat,” katanya.

Beliau berkata, Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan akan menjadi gelanggang rasmi kejohanan yang bakal menghimpunkan atlet, jurulatih dan pegawai dari seluruh negara anggota SEAWF.

Jelasnya, penganjuran akan mematuhi Peraturan Teknikal dan Pertandingan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) terkini, selain menggunakan peralatan yang diluluskan badan induk dunia itu.

“Kami yakin Sarawak mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa dan mampu menjadi destinasi pilihan penganjuran acara sukan besar.

“Dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta Kerajaan Negeri Sarawak, kejohanan ini dijangka melonjakkan profil Malaysia di pentas antarabangsa dan meninggalkan legasi berpanjangan kepada sukan angkat berat di rantau ini,” katanya.

SUKMA Selangor senarai muay thai, petanque, silambam

Kuala Lumpur: Muay thai, petanque dan silambam sah menjadi tiga sukan pilihan baharu yang akan dipertandingkan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.

Keputusan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Exco Sukan Negeri serta Pengerusi Majlis Sukan Negeri.

Cadangan penambahan tiga sukan itu dikemukakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026, Mohd Najwan Halimi, sebelum dipersetujui sebulat suara semua ahli jawatankuasa.

“Dengan penambahan ini, SUKMA XXII Selangor 2026 bakal mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.

“Jawatankuasa turut memutuskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan selepas ini,” jelas kenyataan itu.

Temasya itu dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, membabitkan sembilan daerah di seluruh Selangor.

Hannah dalam pada itu memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji penganjuran ‘Non-SUKMA Games’ untuk sukan yang tidak terpilih, selain menilai model baharu SUKMA selepas edisi Kelantan 2028 bagi memastikan pembangunan sukan dan atlet terus berjalan tanpa membebankan peruntukan kerajaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia