Majlis Sukan Negara Malaysia
Mazlan tinggalkan nama, legasi terus dikenang arena sukan negara- Dr Ramlan

Kuala Lumpur: Jasa dan sumbangan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad yang meninggal dunia petang semalam, tidak terhitung dalam memajukan sukan negara.

Bekas Ketua Pengarah MSN dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata Allahyarham yang menerajui MSN selama 12 tahun terkenal sebagai arkitek dalam pembangunan sukan negara telah membuka laluan kepada penerapan sains sukan selain menetapkan penanda aras tinggi dalam pengurusan prestasi atlet serta struktur pentadbiran sukan bersepadu.

“Banyak jasa dan bakti bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi apa yang dikesankan dalam sukan dan ini tentu sekali diakui oleh pengganti-pengganti Allahyarham.

“… dan pastinya kami sentiasa mengenangkan contoh diberi kepada kita supaya dapat teruskan perjuangan Allahyarham,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian Mazlan, 75, di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini hari ini.

Bekas Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dari 1992 hingga 1994, Ghazali Bujang berkata Allahyarham memainkan peranan besar dalam membina asas pembangunan renang dan sukan terjun negara.

“Kami kenal sejak tahun 60-an, satu kampung dan sekolah sama di Alam Shah. Ketika saya terajui ASUM, beliau Ketua Pengarah MSN. Saya minta sokongan beliau dalam pengurusan sukan dan beliau terus beri dorongan kuat.

“Malah beliau sendiri melihat potensi Malaysia dalam sukan terjun berbanding acara lain yang memerlukan kekuatan fizikal dan saiz badan. Katanya, terjun lebih banyak bergantung kepada kemahiran teknikal dan disiplin latihan,” katanya.

Ghazali berkata susulan sokongan dan strategi pembangunan yang dirintis Allahyarham, Malaysia mula menuai hasilnya pada era 2000-an apabila atlet renang dan terjun mula menyerlah di temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Masa Sukan Komanwel 1998 kita belum raih podium tapi masuk 2002 dan seterusnya, hasil itu mula kelihatan. Bagi saya, Allahyarham adalah antara tulang belakang utama yang meletakkan asas kejayaan sukan akuatik hari ini,” katanya.

Terdahulu, anak Allahyarham, Saiful Ezane memaklumkan kepada Bernama bahawa Mazlan dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak Jumaat lepas akibat serangan angin ahmar dan jangkitan pneumonia sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar 4.20 petang semalam.

Beliau menyifatkan bapanya sebagai seorang yang berdisiplin, baik di pejabat mahupun di rumah namun tetap penyayang terhadap keluarga.

Mazlan telah menerajui MSN dari 1993 hingga 2005 dikenang sebagai arkitek utama di sebalik kejayaan Program Jaya ’98 dan Gemilang 2001 iaitu dua inisiatif yang melonjakkan pencapaian kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

Sepanjang 12 tahun perkhidmatannya, Mazlan memperkenalkan pelbagai dasar pembangunan sukan jangka panjang, termasuk pengukuhan program pelapis kebangsaan dan penstrukturan semula ISN bagi memperkasa sokongan sains sukan kepada atlet elit.

Mazlan pernah memegang jawatan penting dalam beberapa badan sukan kebangsaan seperti Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2001.

Allahyarham juga adalah penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan pada 2022.

Usah pisahkan Tang Jie-Ee Wei jika mahu mereka kekal dalam RTG

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memikirkan semula keputusan memisahkan pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Ia penting bagi memastikan kedua-duanya terus kekal dalam senarai Program Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pasangan itu disenaraikan dalam RTG berdasarkan kedudukan mereka dalam kelompok empat terbaik dunia, satu pencapaian yang diletakkan sebagai asas utama pemilihan mereka dalam misi memburu pingat emas pertama negara di pentas Olimpik.

Bagaimanapun, Hannah menegaskan kehadiran mereka dalam program RTG itu hanya akan diteruskan sekiranya kedua-duanya kekal bergandingan bersama dalam acara beregu campuran.

“Negara sudah banyak melabur untuk membangunkan pasangan ini dan kita mula melihat hasilnya.

“Jadi, saya mahu BAM dan pemain menunjukkan komitmen terhadap pelaburan ini.

“Senarai yang diumumkan hari ini adalah untuk Tang Jie dan Ee Wei sebagai satu gandingan.

“Jika BAM bercadang untuk menukar pasangan bermakna kedudukan ranking mereka akan terbubar, sekali gus hilang kriteria ditetapkan dalam RTG,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai rasmi atlet terpilih untuk RTG, hari ini.

Difahamkan, BAM sebelum ini memutuskan untuk memisahkan pasangan berkenaan susulan prestasi tidak menentu kebelakangan ini, dipercayai berpunca daripada masalah hubungan yang semakin renggang antara kedua-dua pemain.

Keputusan itu menyaksikan Tang Jie kini digandingkan bersama Chan Wen Tse manakala Ee Wei pula diletakkan bersama Loo Bing Kun.

Mengulas lanjut, Hannah berkata sebarang pelaburan besar kerajaan menerusi RTG memerlukan tahap disiplin dan tanggungjawab tinggi daripada atlet, agar tiada perubahan mendadak yang boleh menjejaskan perancangan jangka panjang.

“Apabila kerajaan membelanjakan dana besar, atlet perlu tunjukkan akauntabiliti.

“Tidak boleh sewenang-wenangnya buat keputusan peribadi seperti mahu tukar pasangan atau tarik diri.

“Peminat sukan mahukan kepastian dan kestabilan dalam perjalanan atlet ke Olimpik.

“Jadi dalam tempoh dua minggu ini, penyelaras akan berjumpa dengan atlet untuk dapatkan maklum balas dan komitmen mereka terhadap program ini,” katanya.

Zii Jia disenarai dalam RTG bagi LA28

Putrajaya: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, sekali lagi diberi peluang untuk disenarai dalam program Road To Gold (RTG) sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Biarpun pernah menolak pelawaan itu sebelum ini, ia bukan alasan untuk jawatankuasa RTG yang mesyuarat buat kali pertama, hari ini mengetepikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu.

Selain daripada Zii Jia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam mengumumkan seramai 16 atlet disenaraikan bagi fasa pertama RTG.

Daripada 16 nama itu, 13 atlet membabitkan pemain badminton manakala dua daripada sukan berbasikal iaitu Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta Aniq Kasdan (angkat berat).

Stuart menjelaskan pihaknya memerlukan tempoh dua minggu untuk menyelaras keperluan program serta menyampaikan maklumat secara terperinci kepada setiap persatuan sukan dan atlet yang terpilih sebelum mesyuarat penyelarasan berlangsung hujung Mei ini.

“Kita akan mulakan mesyuarat bersama persatuan sukan dan jurulatih bagi menyelaraskan program dan bantuan kepada atlet selepas ini.

“Kita memerlukan masa dua minggu untuk penyelarasan ini dan penyampaian program atau bajet yang diperlukan atlet.

“Itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan mesyuarat akan berlangsung hujung bulan Mei ini untuk penyelarasan atau penentuan keputusan permintaan dari semua atlet dan persatuan sukan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan pemilihan atlet adalah mengikut kriteria ditetapkan oleh jawatankuasa dan penilaian akan dibuat secara berterusan memandangkan tempoh menuju ke LA28 masih panjang.

Dalam usaha memastikan hala tuju program lebih terarah, Hannah berkata, jawatankuasa RTG akan menetapkan beberapa penanda aras tahunan bagi menilai pencapaian atlet secara konsisten sepanjang tempoh empat tahun menuju ke Sukan Olimpik.

“Program RTG akan bermula secara rasmi tahun ini dengan sasaran untuk menempatkan atlet dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Pada 2026, atlet disasarkan berada dalam ranking lapan terbaik dunia selain mencatat prestasi terbaik di Kejohanan Dunia serta menyumbang pingat dalam Sukan Asia atau Komanwel.

“Sasaran seterusnya pada 2027 ialah memastikan atlet berada dalam kelompok empat terbaik dunia serta layak ke Olimpik secara merit, manakala tahun terakhir menjelang temasya pada 2028 akan memberi tumpuan kepada mengekalkan kedudukan dan prestasi pada tahap tertinggi dunia,” katanya.

Menurut Hannah, semua atlet yang tersenarai dalam RTG perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan dibincangkan dan dipersetujui bersama jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

Terdahulu mesyuarat pertama RTG turut disertai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa RTG bersama semua ahli jawatankuasa yang terbabit dalam merangka strategi serta pelaksanaan program itu.

Jawatankuasa turut memilih lima atlet bagi program ‘fast track’ iaitu dua daripada skuasy dan tiga daripada memanah yang berpotensi tinggi untuk meraih pingat.

Bersyukur angkat berat kembali dalam sukan teras – Ayub

Kuala Lumpur: Selepas hampir satu dekad tersisih akibat isu doping, sukan angkat berat kini kembali mendapat pengiktirafan sebagai sukan prestasi tinggi atau sukan teras negara.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kepercayaan diberikan semula kepada sukan itu, selepas melalui pelbagai proses transformasi dan penstrukturan semula sejak 2018.

“Kami benar-benar bersyukur kerana segala usaha selama ini akhirnya membuahkan hasil.

“Demi memartabatkan kembali sukan angkat berat, PABM sudah melakukan perubahan menyeluruh termasuk pindaan perlembagaan, penstrukturan pengurusan serta penekanan terhadap aspek disiplin, integriti dan hala tuju jelas,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada transformasi itu, sukan angkat berat buat pertama kali dalam sejarah berjaya melayakkan atletnya Mohamad Aniq Kasdan ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit menerusi pencapaian yang menjadi bukti kemampuan sebenar sukan itu di pentas dunia.

“Kami percaya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, atlet kita mampu mencipta sejarah mencapai lebih banyak kejayaan dengan meraih pingat emas terutama di temasya Sukan Komanwel,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, mantan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub dan Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, Institut Sukan Negara (ISN) dan Program Podium Road to Gold (RTG) yang banyak membantu dalam proses pemulihan sukan itu.

Sukan angkat berat pernah digugurkan daripada senarai sukan teras sejak 2018 susulan beberapa isu doping.

Namun, usaha berterusan PABM membuktikan sukan itu masih relevan dan berpotensi besar untuk terus menyumbang kejayaan buat negara.

Biar sampai tahap PSM pening pilih pemain kerana ramai bagus – Sumali

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) optimis Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSTDP) mampu melahirkan ramai pemain pelapis terbaik untuk mewakili negara dalam masa lima tahun akan datang.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui mempunyai harapan tinggi terhadap program pembangunan itu agar ia mampu mencungkil bakat pemain di seluruh Malaysia sehingga barisan jurulatih negara menghadapi kesukaran untuk memilih barisan atlet terbaik ke skuad kebangsaan.

“Dalam jangka panjang, saya mahu kita sampai ke satu tahap PSM sendiri pening nak pilih pemain sebab terlalu ramai yang bagus.

“Biar kita ada lapan ke-10 tekong bertaraf dunia yang buat kita susah nak pilih siapa patut main,” katanya.

Selain itu, Sumali menegaskan program pembangunan sukan itu tidak boleh menghasilkan kejayaan dalam masa singkat, sebaliknya ia memerlukan masa untuk mencapai sesuatu kemajuan serta matlamat ditetapkan.

“Benda ni takkan jadi setahun dua. Kita kena lihat tiga tahun ke hadapan. Apa yang kita tanam hari ini mungkin tak nampak hasil esok, tapi ia adalah titik permulaan penting untuk masa depan sepak takraw negara.

“Saya sudah beritahu dari awal, saya tak nak NSTDP ini hanya gah di atas kertas, tapi gagal dalam pelaksanaan.

“Kita akan buat pemantauan berkala dan ambil tindakan segera kalau ada kelemahan,” katanya.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan dana RM1.5 juta setahun kepada PSM untuk menjayakan NSTDP.

Giliran Rachel tersingkir

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara Rachel Arnold gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna 2025 di Mesir selepas tewas di tangan pemain nombor empat dunia dari Amerika Syarikat, Olivia Weaver, awal pagi tadi.

Pada pusingan kedua berlangsung di El Gouna Conference and Culture Centre, pemain ranking ke-20 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan lawan selepas tewas dengan keputusan 7-11, 4-11, 4-11 dalam tempoh 24 minit.

Ia kekalahan keempat Rachel kepada Weaver selepas empat pertemuan. Weaver akan berdepan pemain Belgium, Tinne Gilis pada suku akhir selepas pemain itu menewaskan pemain New Zealand, Joelle King.

Ahad lepas, perjalanan pemain skuasy utama wanita negara S Sivasangari juga berakhir pada pusingan kedua apabila tewas di tangan wakil tuan rumah, Salma Hany.

Kejohanan kategori platinum itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$435,000 (kira-kira RM1,921,544) buat kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Pemergian Mazlan kehilangan besar buat dunia sukan Malaysia

Kuala Lumpur: Pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad, yang meninggal dunia petang ini, adalah khabar duka yang amat dirasai oleh keluarga besar sukan negara dan disifatkan sebagai satu kehilangan besar.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh sukan yang tenang, tidak banyak berkata-kata, namun setiap pandangannya sentiasa bernas dan dihormati.

“Allahyarham bukan sahaja memberi sumbangan besar kepada MSN, malah masih terus menyumbang kepada pembangunan sukan negara menerusi peranan sebagai ahli bebas dalam Jawatankuasa Pemilihan MOM.

“Jasa Allahyarham amat besar, terutamanya dalam memperkenalkan program yang melonjakkan prestasi sukan negara ke tahap lebih tinggi.

“Kita melantik beliau sebagai ahli bebas kerana yakin dengan ketelusan, kepakaran dan integritinya dalam memilih atlet terbaik mewakili negara,” katanya kepada Bernama.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap turut menyifatkan Allahyarham sebagai individu penting yang banyak menyumbang kepada landskap pembangunan sukan tanah air.

“Kita kehilangan arkitek pembangunan sukan negara yang meninggalkan legasi panjang.

“Saya pernah bersama dalam beberapa mesyuarat yang dihadiri arwah dan beliau memang seorang yang memiliki pemikiran sangat tajam.

“Walaupun pernah diserang angin ahmar dan percakapannya terbatas, namun pemikirannya kekal tajam dan peka terhadap isu atlet serta persatuan sukan,” katanya.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli pula berkata, Allahyarham antara Ketua Pengarah MSN yang sangat mesra media.

“Beliau sangat mudah didekati dan paling senang ditemu ramah walau dalam apa jua isu. Itulah keistimewaan keperibadiannya,” katanya.

Allahyarham yang menerajui MSN dari 1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005 meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 75 tahun sekitar jam 4.20 petang tadi.

Penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan 2022 itu dimasukkan ke PPUM sejak Jumaat lalu akibat serangan angin ahmar dan jangkitan pneumonia.

Mazlan dikenang sebagai arkitek utama kejayaan Program Jaya ’98 dan Gemilang 2001 yang melonjakkan pencapaian kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 serta Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.

Sepanjang 12 tahun perkhidmatan, beliau memperkenalkan dasar pembangunan sukan jangka panjang termasuk pengukuhan program pelapis kebangsaan dan penstrukturan semula Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkasakan sokongan sains sukan kepada atlet elit.

Allahyarham turut memegang pelbagai jawatan penting dalam badan sukan kebangsaan seperti Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan pernah menjadi Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea 2001.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Ehsan, Kelana Jaya pagi esok untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara.

KBS, MSN ucap takziah atas pemergian Mazlan

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan salam takziah buat bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun, petang tadi.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pemergian Allahyarham sangat memberi kesan kepada dunia dan jasanya kepada pembangunan sukan amat besar.

“Bagi pihak KBS dan Institut Sukan Negara (ISN) kita mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan jasa beliau sebagai KP MSN kita hargai.

“Kita berharap ahli keluarga beliau akan tabah menghadapi dugaan inilah,” katanya selepas Majlis Peramsmian Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP), hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin turut berduka dan berkongsi sedikit pengalaman bersama Allahyarham seperti diberikan tanggungjawab untuk memimpin Unit Sukan Teras, satu ketika dahulu.

“Beliau adalah tokoh besar dalam arena sukan negara, beliau adalah arkitek kepada program pembangunan sukan negara termasuk program Jaya 98.

“Jasa beliau sangat besar dan saya rasa kehilangan beliau tidak dapat diisi oleh tokoh sukan negara yang lain,” katanya.

Allahyarham bertugas sebagai KP MSN bermula 1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005.

Allahyarham adalah antara watak penting dalam pembangunan atlet yang cemerlang seperti program Jaya 98 sebagai persiapan atlet ke Sukan Komanwel 1998 (Sukom 98).

Allahyarham dianggap arkitek di sebalik kejayaan bersejarah di Sukan Komanwel itu yang menyaksikan kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan dengan 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.

KBS sedia dana RM1.5 juta setahun untuk NSTDP – Hannah

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan dana RM1.5 juta setahun kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menjayakan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP).

Menterinya, Hannah Yeoh percaya dengan adanya program seperti itu, PSM mampu membangunkan lebih banyak program pembangunan dan melahirkan pemain berbakat untuk memastikan skuad negara cemerlang di pentas antarabangsa.

“KBS memperuntukkan dana RM1.5 juta setahun daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pembangunan sukan sepak takraw bermula dari peringkat akar umbi.

“Dengan adanya program ini, saya percaya kita akan mempunyai bakat untuk melahirkan pemain yang lebih besar.

“Pencarian bakat itu boleh kita bermula sekarang. Sukan sepak takraw bukan sukan mahal dan wajar kita bangunkan dan perjuangkan.

“Saya lihat di kawasan luar bandar sama ada dengan komuniti Orang Asli atau golongan wanita, sukan sepak takraw sangat popular. Menerusi dana RM1.5 juta ini, mereka (PSM) boleh buat banyak program pembangunan,” katanya selepas pelancaran NSTDP, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr K Nagulendran; Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dan Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Sebelum ini, terdapat beberapa sukan lain turut melaksanakan program seperti ini antaranya hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP).

Selain itu, KBS akan sentiasa memantau dan menilai perkembangan NSTDP menerusi jawatankuasa di bawah MSN selain menyokong sepenuhnya pelan pembangunan yang dirangka untuk sepak takraw.

Terdahulu, PSM mengadakan bengkel NSTDP di sebelah pagi untuk membincangkan secara mendalam mengenai program itu bersama lebih 70 pemegang taruh.

Ia membabitkan pelbagai agensi termasuk MSN, PSM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Bekas KP MSN meninggal dunia

Kuala Lumpur: Dunia sukan Malaysia menerima berita sedih apabila bekas Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun, petang tadi.

Perkembangan itu disahkan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, sebentar tadi.

“MSN merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YBhg. Datuk Wira Mazlan Ahmad, Mantan Ketua Pengarah MSN (1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005).

“Allahyarham memulakan perkhidmatan di MSN sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada tahun 1983, dan telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan sukan negara sepanjang perkhidmatannya.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dihimpunkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ucap MSN.

Sebagai rekod, Allahyarham menjadi antara watak penting dalam pembangunan atlet yang cemerlang antaranya menerusi program Jaya 98 sebagai persiapan atlet ke Sukan Komanwel 1998.

Beliau juga dianggap sebagai ‘arkitek’ di sebalik kejayaan bersejarah di Sukan Komanwel itu yang menyaksikan kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan dengan 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.

Beliau juga pernah memegang tanggungjawab sebagai ketua kontinjen Sukan SEA 2001 serta jawatan di persatuan sukan kebangsaan seperti lumba basikal.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan bagi tahun 2022.

Majlis Sukan Negara Malaysia