Majlis Sukan Negara Malaysia
Chen Jie gigih tingkat prestasi untuk layak ke Sukan Asia 2026

Seremban: Selepas melakar pencapaian cemerlang pada penampilan sulungnya di Sukan Sea 2025 di Bangkok, dengan membawa pulang pingat emas buat negara, penembak muda kebangsaan, Gan Chen Jie berharap impiannya untuk beraksi di pentas lebih tinggi iaitu Sukan Asia 2026 tercapai.

Penembak berusia 21 tahun berasal dari Negeri Sembilan itu kini sedang bekerja keras untuk meningkatkan tahap prestasi dalam usahanya untuk memastikan mampu melepasi kelayakan ditetapkan.

“Fokus utama saya ketika ini adalah untuk mendapatkan tempat dan beraksi di Sukan Asia 2026. Saya perlu terus bekerja keras meningkatkan tahap prestasi kerana syarat untuk layak ke temasya terbesar berkenaan tidak sama dengan kelayakan ke Sukan Sea.

“Tambahan pula persaingan daripada penembak lain terutama yang berpengalaman juga sengit. Saya perlu meletakkan diri pada tahap prestasi setanding dengan mereka jika mahu melepasi kelayakan.

“Saya berharap impian beraksi di pentas Sukan Asia buat julung kalinya tahun ini tercapai,” kata Chen Jie, hari ini.

Menurut atlet berkenaan, dia akan menyertai Kejohanan Menembak Piala Tun Hanif 2026, yang akan berlangsung di Lapang Sasar Subang, Selangor dari 16 hingga 19 April ini.

Jelasnya, kejohanan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menilai tahap prestasi semasanya, sambil berharap pencapaian di pentas itu nanti mampu memberi petunjuk kepadanya dalam usaha memenuhi syarat kelayakan ke Sukan Asia.

“Saya difahamkan Kejohanan Piala Tun Hanif menjadi sebahagian daripada pentas menilai prestasi atlet bagi kelayakan ke Sukan Asia.

“Justeru, saya perlu menggunakan peluang itu untuk mendapatkan keputusan yang terbaik sekali gus mampu memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

“Menjadi impian saya untuk pergi lebih jauh dan beraksi di pentas tertinggi seperti Sukan Asia atau Olimpik. Saya berharap mendapat peluang itu dan berupaya melakukan aksi terbaik,” katanya yang mengakui prestasinya semakin baik selepas menerima senjata baharu daripada Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

Chen Jie yang akan beraksi dalam acara 10 meter Air Rifle pada kejohanan di Subang itu nanti, berharap dia dapat melakukan catatan terbaik.

Pada temasya Sukan Sea tahun lalu, atlet berkenaan tampil dengan aksi mantap apabila merangkul pingat emas aara rifle 50 meter (m) tiga posisi wanita selain mencipta rekod baharu Sukan Sea di Lapang Sasar Menembak Sports Authority of Thailand.

Dia mengungguli final dengan 451.7 mata, memintas wakil Indonesia, Audrey Zahra Dhiyaanisa, dengan kelebihan tipis 0.2 mata, manakala penembak Singapura, Adele Tan, meraih gangsa dengan 440.6 mata.

Rekod itu memadam catatan lama 451.1 mata milik Phi Thanh Tal dari Vietnam pada Sukan Sea 2021.

Untuk rekod, Sukan Asia 2026 dijadual akan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober, depan.

Terryn puji mentaliti Sawda, bangkit dari kecewa sebelum pecah rekod Asia

Kuala Lumpur: Jurulatih berbasikal trek pelapis negara, Herman Terryn memuji mentaliti kental dipamerkan sensasi remaja negara, Sawda Hasbullah yang bangkit daripada kekecewaan untuk kembali mencipta kejayaan di pentas Asia.

Menurut Terryn, Sawda menunjukkan kualiti sebenar sebagai pelumba berpotensi tinggi terutama apabila berjaya mengatasi tekanan selepas gagal dalam acara keirin dan pecut.

“Dia mempamerkan prestasi yang sangat baik. Kami tahu kualitinya dan dia memang gemar pecutan jarak jauh.

“Semalam (kelmarin) dia kecewa selepas acara keirin, tetapi pagi ini saya lihat dia mempunyai motivasi besar untuk menang,” katanya.

Terryn berkata, kemampuan untuk bangkit dalam tempoh singkat membuktikan kekuatan mental yang dimiliki pelumba muda itu sekali gus membezakan dirinya dengan pencabar lain.

Tambahnya, perkembangan positif itu turut memberi gambaran cerah terhadap masa depan skuad berbasikal trek negara yang kini dibarisi ramai pelumba muda berbakat.

Dalam perkembangan sama, keputusan tempat keempat dalam acara akhir kategori lelaki juga dianggap sebagai sesuatu yang menggalakkan buat kem negara.

Jelasnya, pencapaian keseluruhan dalam kejohanan itu menunjukkan barisan pelapis negara berada di landasan tepat untuk mencabar di peringkat lebih tinggi.

Terdahulu, selepas melalui detik sukar, Sawda akhirnya membuktikan kemampuannya apabila menghadiahkan pingat emas dalam acara satu kilometer (km) ujian masa kategori remaja wanita di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Tagaytay, Filipina, semalam.

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan dia mempertahankan emas yang dimenanginya tahun lalu di Velodrom Nasional, Nilai.

Malah, pelumba muda negara itu turut memecahkan rekod Asia miliknya sendiri dengan catatan 1 minit 09.604 saat (s), mengatasi rekod lama 1:10.818s yang dilakukan pada Februari 2025.

Rekod terdahulu itu juga pernah diiktiraf sebagai rekod remaja dunia sebelum dipecahkan pelumba Britain, Erin Boothman pada Julai lalu di Kejohanan Berbasikal Eropah.

Sawda raih emas, pecut rekod Asia

Kuala Lumpur: Selepas kecewa dalam saingan keirin dan pecut, sensasi remaja berbasikal trek negara, Sawda Hasbullah berjaya menebus kehampaan dengan meraih emas bagi saingan satu kilometer (km) ujian masa kategori remaja wanita Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Tagaytay, Filipina hari ini.

Sawda bukan sahaja berjaya mempertahankan emas dimenangi tahun lalu di Velodrom Nasional, Nilai malah turutmemecahkan rekod Asia miliknya sendiri dengan mencatat masa 1 minit 09.604 saat (s).

Rekod lama remaja Asia yang dilakukannya di laman sendiri ialah 1:10.818s Februari 2025, tatkala ia juga diiktiraf sebagai rekod remaja dunia, sebelum dipecahkan Erin Boothman (Britain) pada Julai di Kejohanan Berbasikal Eropah.

Perak dalam acara berkenaan Lee Hyun Ji dari Korea Selatan (1:10.640s), manakala pelumba India, S Thabitha meraih gangsa (1:12.613s).

Walaupun gagal memecahkan rekod Erin dan hanya membawa pulang satu emas, berbanding edisi lalu dua emas termasuk dalam saingan pecut, pelumba berusia 18 tahun itu membuktikan dia adalah pelapis sensasi untuk menggantikan barisan pelumba senior.

Pada edisi kali ini, dia turut meraih gangsa selepas membantu pasukan pecut remaja wanita negara, mencatat masa ketiga terpantas 52.835s bersama Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Davia Evriel Eriana Azif.

Emas bagi acara berkenaan diraih trio Korea Selatan, Kang Yun Chae, Hyun Ji dan Park Hye Rin (50.076s), manakala perak milik Namita Violet, Aabha Soman dan Thabitha dari India (52.817s).

Sementara itu, hasrat pelumba berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian 2024 dan tahun lalu dengan meraih gangsa dalam acara pecut tidak kesampaian apabila dia tumpas pada aksi penentuan pingat berkenaan sebentar tadi.

Selepas ditewaskan pemenang pingat perak pecut dunia, Mina Sato dari Jepun di separuh akhir 2-0 pelumba kelahiran Kedah itu cuba bangkit bagi penentuan gangsa dengan berdepan wakil China, Wang Lijuan.

Bagaimanapun, dia yang meraih dua emas dalam pada edisi 2025 dalam acara 1km ujian masa dan keirin, terpaksa akur tumpas 0-2 ketika berdepan juara 2024 itu.

Emas dalam acara berkenaan dimenangi seorang lagi wakil China, Yuan Liying selepas mengalahkan Sato 2-1.

Ia emas ketiga Liying selepas mengungguli keirin dan pecut berpasukan ketika menewaskan trio wanita negara, Anis Amira Rosdi, Nurul Izzah Izzati dan Nur Alyssa Mohd Farid.

Hoe Yean sasar lebur rekod kebangsaan 400m gaya bebas

Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean memasang impian memadam rekod kebangsaan dalam acara 400 meter (m) gaya bebas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

Perenang berusia 23 tahun itu berkata, beliau menyasarkan untuk mencipta rekod baharu pada dua temasya sukan itu demi memastikan dirinya mencatat rekod sebagai perenang berkelas dunia.

“Kalau saya dapat catat 3 minit 46 saat (s) atau 3:45s, maksudnya boleh setanding perenang berkelas dunia dan kedudukan itu selamat untuk pastikan saya boleh ke final pada kejohanan dunia tahun depan, jadi itu saya punya sasaran tahun ini.

“Sekarang saya dalam keadaan baik untuk memburu sasaran itu, saya hanya perlu disiplin dan konsisten dalam latihan saya,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Rekod kebangsaan dalam acara 400m gaya bebas lelaki sebelum ini dicipta oleh Hoe Yean sendiri pada Sukan Universiti Dunia 2025 di Berlin, Jerman, dengan catatan 3:47.38s mengatasi rekod lama 3:48.36s.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu turut menyasarkan untuk bersaing secara konsisten dalam setiap kejohanan yang disertai, sekali gus memberi keyakinan baharu menjelang Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Sementara itu, Hoe Yean berharap Akuatik Malaysia (MAS) akan menyediakan jurulatih dengan kontrak jangka masa panjang bagi memastikan persembahan atlet renang negara kekal konsisten tanpa sebarang gangguan.

“Kami kerap menukar jurulatih, sejak 2023 dua perubahan berlaku. Jadi, apa kami sebagai atlet berharap adalah dapat jurulatih dengan rancangan jangka masa panjang, bukan sahaja baik untuk saya tetapi perenang lain.

“Kalau berterusan tukar program dan jurulatih tidak akan memberi banyak manfaat kepada perenang,” katanya.

Terdahulu, bekas jurulatih skuad renang kebangsaan, Eric Anderson mencapai kata sepakat bersama MAS untuk tidak menyambung perkhidmatannya yang berakhir pada 31 Disember 2025.

Sejak itu, masih belum ada yang menggantikan Anderson.

Bagaimanapun, MAS memaklumkan kekosongan jawatan jurulatih itu akan diisi pada Mac ini.

My Athlete Centre buka lembaran baharu buat atlet negara

Kuala Lumpur: Pembukaan rasmi My Athlete Centre oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan atlet negara apabila memberi penekanan menyeluruh terhadap kebajikan, kesihatan mental dan jaminan masa depan mereka.

Bekas pemain boling kebangsaan yang juga juara dunia 2017, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi meluahkan rasa bangga terhadap usaha proaktif kerajaan merealisasikan pusat sehenti berkonsepkan hibrid itu yang disifatkan amat relevan dengan keperluan atlet masa kini.

“Jadual latihan atlet masa kini sangat padat dan mencabar, bukan sahaja dari sudut fizikal malah mental.

“Sebelum ini, kekurangan ruang rehat yang interaktif menyebabkan atlet lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar, yang sebenarnya kurang membantu proses pemulihan secara optimum.

“”Dengan adanya My Athlete Centre, atlet kini mempunyai ruang khas untuk ‘reset’ minda. Fasiliti rekreasi seperti bilik karaoke dan ruang permainan membolehkan mereka melepaskan tekanan serta berinteraksi dalam persekitaran sihat dan positif,” katanya.

Afifah yang dilantik sebagai jurucakap tekad memanfaatkan pengalaman luasnya bagi merapatkan jurang komunikasi antara atlet selain menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

“Berdasarkan pengalaman lalu, atlet junior kadangkala berasa segan untuk menyuarakan pandangan kepada pegawai pengurusan.

“Peranan kami sebagai jurucakap adalah menjadi pengantara sebagai ‘kakak’ atau ‘abang’ yang boleh mereka dekati dengan selesa, sama ada berkaitan isu prestasi mahupun kesihatan mental.

“Pada masa sama, kami turut membantu MSN mempromosikan program pembangunan diri seperti pengurusan kewangan, keusahawanan dan pembinaan penjenamaan peribadi (personal branding) yang positif di media sosial,” kata Afifah.

Bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi pula menyifatkan pusat itu sebagai lembaran baharu apabila ia bakal diuruskan sendiri oleh barisan atlet.

Menurutnya, pendekatan berkenaan membuka peluang keemasan kepada atlet untuk menceburi bidang keusahawanan secara praktikal, sekali gus membantu menyediakan jaminan kewangan dan hala tuju kerjaya selepas bersara.

Sebelum ini, My Athlete Centre dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufik Johari pada 26 Februari 2026 lalu.

Atlet karate berlatih dalam negara, bawa jaguh luar jadi rakan sparring

Kuala Lumpur: Skuad karate negara memilih langkah penjimatan berbanding berlatih di luar negara dengan membawa masuk atlet bertaraf dunia ke Malaysia sebagai rakan sepelatih menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Timbalan Presiden 1 Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Vincent Chen berkata, cadangan itu mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai sebahagian daripada projek jangka panjang sehingga 2027.

Katanya, berbanding menghantar atlet ke luar negara, MAKAF memilih pendekatan lebih efektif iaitu menjemput atlet ranking tertinggi dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk datang berlatih di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Kita akan adakan kem latihan prestasi tinggi di MSN. Atlet luar ini akan jadi rakan sepelatih dengan atlet kita dalam tempoh lebih lama.

“Ia lebih jimat dan impaknya lebih besar kepada persiapan pasukan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan perincian teknikal dibincangkan bersama perunding baharu pasukan yang juga bekas jurulatih kumite negara, Andris Vasilevskis serta barisan kejurulatihan lain.

“Kita bukan sekadar jemput atlet hebat. Kita perlu padankan kategori, berat badan, ketinggian, kepantasan dan kekuatan.

“‘Matching’ itu penting supaya atlet kita benar-benar dapat manfaat.

“Empat hingga enam atlet terdiri daripada lelaki dan wanita akan dipanggil, namun ia bergantung kepada bajet sedia ada serta keperluan semasa.

“Kebanyakan atlet Eropah berminat kerana mereka tidak terbabit dalam Sukan Asia, sekali gus menjadikan situasi itu sebagai ‘situasi menang-menang’,” katanya.

Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, skuad karate negara membawa pulang satu pingat emas dan dua perak.

EAM sasar enam emas di Sukan Sea 2027

Kuala Lumpur: Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) ingin mengulangi pencapaian Sukan Sea 2017 apabila meletakkan sasaran enam pingat emas daripada 10 emas dipertandingkan di Sukan Sea Malaysia 2027.

Setiausaha Kehormat EAM, Datuk Yap Mou Soon berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran itu memandangkan Malaysia akan beraksi di tempat sendiri, sekali gus memberi kelebihan besar buat wakil negara.

Katanya, untuk temasya dwitahunan itu nanti, EAM akan mencadangkan tujuh acara untuk dipertandingkan iaitu show jumping (berpasukan dan individu), dressage (berpasukan dan individu), eventing (berpasukan dan individu) serta endurance.

“Bagi endurance, kami mencadangkan empat kategori iaitu terbuka individu dan berpasukan serta young rider individu dan berpasukan.

“Apapun, ini perbincangan asas untuk Sukan Sea 2027. Kita sudah tetapkan sasaran pingat selain merangka fasa latihan dan bantuan kewangan yang diperlukan. Seperti setiap penyertaan sebelum ini, kalau kita pergi bertanding, kita mahu bawa pulang pingat.

“Kali terakhir di Thailand, kita meraih emas dalam dressage dan perak dalam jumping. Jadi persatuan menetapkan sasaran enam emas untuk 2027,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Pada Sukan Sea Thailand hujung tahun lalu, skuad ekuestrian negara membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa.

TTAM tagih ihsan MOM ke Sukan Asia

Kuala Lumpur: Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) mengharapkan ‘ihsan’ daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar mereka dapat menyertai Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September ini.

Jurulatih pasukan ping pong negara, Beh Lee Wei berkata, penyertaan itu amat penting kerana ia menawarkan mata ranking dan sekali gus membuka peluang buat atlet negara bersaing dalam kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Kita tahu Sukan Komanwel Glasgow tidak ada ping pong. Jadi untuk Sukan Asia, kita berharap pasukan ping pong dapat beraksi dalam pertandingan ini.

“Tapi apa pun, kita perlu tunggu pemilihan daripada MOM dan daripada situ kita akan tahu siapa yang akan terpilih atau sebaliknya,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Selain itu, Lee Wei turut menyatakan bahawa anak buahnya akan menyertai Kejohanan Ping Pong Dunia pada April di London dan Kejohanan Ping Pong Komanwel pada Julai di India, yang turut menawarkan mata ranking buat pasukan yang bertanding.

“Untuk dapatkan medal itu kita akan cuba. Tapi kalau tengok pada pasukan yang bertanding, rasanya memang kita kena pergi sebab mata ranking itu amat penting untuk pemain kita.

“Kalau bandingkan dengan Singapura, mata ranking kita agak kurang termasuk dari segi pendedahan dalam mana-mana pertandingan,” katanya.

PSM rombak skuad, senarai 6 muka baharu

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyenaraikan enam muka baharu daripada keseluruhan 21 pemain bagi skuad lelaki yang akan berada dalam Program Podium 2026 untuk menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dan Sukan Asia Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.

Antara muka baharu itu ialah Muhammad Fahmi Khalid dan Zuhri Muhammad Zin (tekong) serta Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa dan Muhammad Wazir Madi selaku apit kanan.

Selain itu, Mohammad Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul Imran dan Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa pula akan beraksi sebagai pengumpan bagi memberi saingan kepada pemain senior sekali gus merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, pemilihan dibuat oleh barisan kejurulatihan kebangsaan bersama Jawatankuasa Teknikal PSM secara profesional dan berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan.

“Pemilihan akhir pasukan sepak takraw kebangsaan (lelaki dan wanita) adalah berdasarkan penilaian yang merangkumi aspek prestasi semasa, konsistensi permainan, tahap kecergasan fizikal, disiplin latihan, komitmen terhadap program pusat serta kesesuaian taktikal mengikut keperluan acara yang dipertandingkan.

“Terdapat beberapa pemain baharu yang dibawa masuk ke dalam pasukan Sepaktakraw Kebangsaan pada tahun ini selepas menunjukkan prestasi cemerlang di kejohanan domestik,” katanya.

Sementara itu, bagi pasukan wanita, empat pemain baharu dibawa masuk untuk melengkapkan senarai akhir 12 pemain bagi Program Podium tahun ini.

“PSM turut mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara untuk mendapatkan khidmat seorang pakar perunding dari Thailand bagi memperkukuh dan meningkatkan tahap permainan skuad wanita kebangsaan,” katanya.

Sukan Sea 2027 bakal menyaksikan acara e-sukan terbanyak

Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dijangka mencadangkan lebih 10 judul permainan untuk dipertandingkan pada Sukan Sea 2027 dijadualkan berlangsung di Malaysia, sekali gus berpotensi mencipta sejarah menganjur acara e-sukan terbanyak.

Presiden MESF Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, antara judul permainan yang tersenarai adalah acara tidak pernah dipertandingkan sebelum ini, iaitu simulator perlumbaan.

“Sudah tentu kali ini kami akan mencadangkan permainan-permainan baharu yang tak pernah dipertandingkan, antaranya e-racing simulator yang akan diketengahkan dan ada beberapa pingat daripada situ.

“Jadi saya boleh bagi petunjuk bahawa ada lebih daripada sepuluh judul permainan dan tentulah lebih daripada separuh adalah sasaran emas kami,” katanya.

Beliau berkata pemilihan acara dibuat menerusi perbincangan bersama penerbit permainan selain mengambil kira potensi sumbangan pingat emas kepada negara.

Pada masa sama, beliau berkata lokasi pertandingan di Sarawak telah dikenal pasti dan hasil lawatan tapak mendapati kemudahan sedia ada adalah baik dan mampu menampung keperluan penganjuran.

Sebagai rekod, Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam mencatatkan jumlah acara e-sukan terbanyak setakat ini apabila mempertandingkan lapan judul permainan yang menawarkan keseluruhan 10 pingat emas.

Pada edisi lepas di Thailand, kem negara meraih satu emas menerusi acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita selain turut membawa pulang satu perak dalam MLBB lelaki ketika hanya empat judul permainan melibatkan keseluruhan enam acara dipertandingkan.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Naim berkata Malaysia telah mengesahkan tempat dalam acara MLBB dan Honor of Kings (HOK) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang dijadualkan bermula September depan.

Beliau berkata pusingan kelayakan bagi judul-judul permainan lain akan berlangsung secara berperingkat dari April hingga Julai manakala proses pemilihan atlet kebangsaan kini sedang dijalankan.