Kuala Lumpur: Bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yakin sekiranya dia mempunyai sifat ‘berani mati’ ketika berlumba, ia dapat membantunya menjadi pencabar utama dalam setiap pertandingan.
Jelasnya, menyedari kekurangan dari segi fizikal berbanding pelumba dari Eropah yang menjadi pemisah untuknya berada di atas podium, itu bukan bermakna dia perlu menyerah kalah begitu sahaja.
Sebaliknya, ketika ini Izzah Izzati sedang giat mempertingkatkan latihan terutama di beberapa bahagian otot kerana yakin usaha itu mampu menjadi salah satu faktor yang membolehkannya berada di kelompok hadapan.
“Secara peribadi, saya merasakan masih perlu mencari keberanian kerana ia sangat diperlukan bagi membolehkan saya memberikan cabaran kepada pelumba-pelumba elit yang terdiri daripada juara dunia dan sebagainya.
“Kalau boleh, saya memang nak berikan saingan sengit kepada mereka, tetapi dari segi teknikal, saya kena belajar daripada perlumbaan. Kadang-kadang, perlumbaan di Malaysia pun berguna juga untuk dipraktikkan di kejohanan besar,” katanya.
Selain itu, pelumba kelahiran Kedah itu berkata dirinya sudah bersedia untuk ‘didera’ bagi memastikan perubahan fizikal itu tercapai sebelum bertanding di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 di Santiago, Chile, dari 22 hingga 26 Oktober depan.
“Berhubung kayuhan, saya masih rasa benda sama. Mungkin perlu dapatkan lebih banyak ‘power’ dengan melakukan latihan di gimnasium, tetapi ia perlu dibuat secara langkah demi langkah,” katanya.
