Majlis Sukan Negara Malaysia
Danish Iftikhar terus ukir nama

Kuala Lumpur: Atlet muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee terus membuktikan dirinya adalah individu baharu yang akan menguasai acara pecut di Malaysia selepas sekali lagi muncul juara acara 200 meter (m) Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur 2025 di Stadium Merdeka, hari ini.

Danish sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menewaskan pelari senior untuk memenangi pingat emas dengan catatan masa 21.81 saat (s) dan menganggap ini adalah kemenangan cukup manis buat dirinya.

“Alhamdulillah, untuk permulaan musim ini, saya rasa berpuas hati sebab dapat melakukan catatan terbaik pada musim ini. Namun ini masih belum cukup untuk saya. Ini kerana sasaran saya masih ada banyak lagi. Ada banyak kejohanan yang lebih besar yang akan disertai,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Rizal Mikhail Mohd Romzi dari Pahang berjaya meraih perak dengan catatan masa 22.23s, manakala gangsa milik Muhammad Airiel Iskandar Rusli dari Johor, (22.40s) .

Untuk rekod, atlet berusia 18 tahun itu turut berjaya meraih emas dalam acara 100m dengan catatan 10.57s dan lebih membanggakan, dia menewaskan pelari kebangsaan pada aksi final itu, semalam.

Sementara itu, bagi kategori 200m wanita, Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah berjaya meraih emas dengan masa 24.69s, itu sudah cukup untuk menewaskan pelari kebangsaan, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal yang melakukan catatan masa 25.50s untuk pingat perak dan gangsa menjadi milik Zaimah Atifah Zainuddin, 26.01s.

Untuk acara 4x400m lelaki, kuartet Malaysia A menepati ramalan untuk menang emas selepas menamatkan larian dalam masa 3 minit 16.02s, sementara Malaysia B meraih pingat perak (3:19.94), dan gangsa milik Olahraga Kawan (3:26.82s).

Bagi saingan 4x400m wanita, pasukan yang diwakili pelari negara tidak berdepan masalah untuk muncul juara dengan catatan masa 3:56.91s, jauh meninggalkan Johor A yang meraih perak (4:10.81s), dan gangsa milik Johor B yang menamatkan larian dalam masa 4:33.75s.

Andre temui ‘resipi emas’ lompat kijang

Kuala Lumpur: Selepas dibayangi beberapa episod hitam apabila sering terbatal dalam acara lompat kijang, atlet kebangsaan Andre Anura Anuar kini mampu menarik nafas lega apabila berjaya menemui formula terbaik bagi memastikan setiap lonjakannya sah.

Atlet berusia 26 tahun itu berkata, teknik baharu yang diterapkan bersama jurulatihnya mula membuahkan hasil selepas melalui beberapa siri percubaan yang menuntut kesabaran dan ketelitian.

Hasilnya, Andre meraih pingat emas dalam acara lompat kijang Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Merdeka, hari ini dengan catatan 15.62 meter.

“Kemenangan hari ini amat menggembirakan saya, terutama dari segi rentak lompatan. Sebelum ini, saya banyak melakukan kesalahan hingga lompatan terbatal, termasuk di temasya besar seperti Sukan Komanwel.

“Tetapi untuk pembukaan musim ini, kami berjaya mengatasi isu tersebut. Keenam-enam lompatan hari ini adalah bersih dan sah. Dari segi jarak, kami belum tetapkan sasaran untuk kejohanan ini kerana ia hanya pertandingan pemanas badan,” katanya kepada pemberita.

Andre dijangka terus memperkemas teknik dan kecergasan fizikalnya menjelang Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Korea Selatan bulan ini, dengan sasaran untuk melepasi jarak 16 meter sebelum beraksi di pentas lebih besar, Sukan Sea Thailand 2025.

Mengulas lanjut, Andre berkata beliau meletakkan sasaran untuk melepasi jarak 16 meter bagi pembukaan musim, namun sedikit keletihan selepas menyertai dua acara berturut-turut sebelum itu.

“Semalam saya sertai acara secara berturut-turut (back-to-back event), jadi agak penat. Tapi dari segi rentak dan larian, semuanya menjadi. Kami sangat berpuas hati dan selepas ini akan all out,” katanya.

Pingat perak dirangkul atlet Kairos Athletics Club, Brendon Ting Li King dengan catatan 15.22m, manakala gangsa milik wakil PLD Bagan Datuk, Mohamad Shah Sholihin Azshar dengan lompatan 14.92m.

Andre ketika ini memegang rekod peribadi 16.51m dalam acara lompat kijang yang dicatat di Sukan Sea Hanoi 2021 dan 8.02m dalam lompat jauh pada Sukan Sea Filipina 2019.

Peminat sepak takraw bakal banjiri Stadium Titiwangsa

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yakin pertandingan Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 10 hingga 18 Mei ini bakal mendapat sambutan hangat daripada peminat setia sukan itu.

Jelasnya, kejayaan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun dalam kempen Piala Dunia 2024 yang lalu sudah pasti bakal menarik minat rakyat Malaysia untuk hadir memberi sokongan penuh kepada pemain negara, terutama membabitkan pertemuan dengan pasukan gergasi, Thailand.

“Saya kira semua sudah bersedia. Promosi sudah dijalankan beberapa kali dan sudah pasti peminat tertunggu-tunggu aksi hebat di depan mata mereka sendiri. Saya harap stadium akan penuh sejak hari pertama lagi.

“Sebab kalau tengok daripada jadual, sepatutnya hari Sabtu malam Ahad itu, saya rasa boleh penuh kerana pasukan double Malaysia akan menentang Thailand pada peringkat kumpulan.

“Walaupun ini perlawanan awal, tapi bila menentang Thailand, saya rasa ramai peminat nak lihat sendiri di depan mata mereka dan juga memberikan sokongan padu,” katanya selepas menghadiri Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Sepaktakraw Negara yang akan mewakili negara di Piala Asia 2025, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, PSM selaku tuan rumah sudah membuat pelbagai persiapan termasuk dari segi jualan tiket, sokongan penyokong setia serta penyediaan skrin gergasi di luar stadium sekiranya tiket habis dijual.

Dalam pada itu, Sumali menepis dakwaan bahawa sorakan peminat menjadi punca kekalahan pasukan lawan seperti yang pernah dibangkitkan Thailand pada tahun lalu yang menyaksikan mereka terpaksa akur dengan kehebatan pemain Malaysia dalam acara double dan regu.

“Kita ada dua jenis tiket, satu dijual secara dalam talian dan satu lagi fizikal. Stadium hanya boleh tampung sekitar 2,000 hingga 2,500 orang sahaja. Kalau habis, kita akan sediakan skrin di luar untuk tontonan umum.

“Sokongan penyokong adalah lumrah apabila bermain di tempat sendiri. Sama juga bila kita bermain di Thailand atau negara lain. Tetapi penyokong Malaysia ini istimewa sebab ada aura dan semangat mereka berbeza,” katanya.

Danish mahu terus ukir nama dalam acara pecut

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyasarkan untuk melakukan catatan masa 10.20 saat (s) selepas ini.

Pelari berusia 18 tahun itu optimis dirinya mampu melakukannya dan akan terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk berada di landasan tepat agar sasaran itu mampu dikecapi.

Keyakinan itu hadir selepas dirinya berjaya melakukan catatan 10.57s pada aksi final 100m di Stadium Merdeka, semalam sekali gus memberi amaran awal kepada pelari senior bahawa dia akan menjadi pencabar utama pada kejohanan itu.

Untuk rekod, Danish memaklumkan rekod peribadi terbaik dalam acara itu ialah 10.47s yang dilakukannya pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di Vietnam, tahun lalu.

“Kalau bercakap mengenai sasaran (catatan masa), mungkin saya akan meletakkan sasaran 10.30s ataupun 10.20s, tetapi perkara paling penting adalah untuk buat yang terbaik serta ikut segala proses latihan dan pemulihan.

“Berhubung garis masa itu, memang tidak ada kerana saya hanya percaya pada rezeki Allah sahaja. Setakat ini saya berpuas hati tetapi, insya-Allah, akan buat lebih baik lagi pada masa hadapan,” katanya.

Sebagai makluman, nama Danish dalam sukan olahraga bukanlah asing lagi apabila dia berjaya merangkul gelaran raja pecut pada Sukma Sarawak 2024 yang lalu.

Terdahulu, pelari yang mewakili Sukma Johor itu mencuri tumpuan dalam final acara pecut lelaki dan paling manis, dia berjaya mengalahkan atlet kebangsaan seperti Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail termasuk bekas juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan.

Husniah sambut baik kehadiran jurulatih baharu

Kuala Lumpur: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, menyambut baik kehadiran jurulatih baharu yang bakal membimbing mereka bagi menghadapi beberapa kejohanan penting termasuk Sukan Sea Thailand yang akan berlangsung Disember nanti.

Jelasnya, terdapat beberapa nama yang dikatakan bakal dibawa masuk oleh Olahraga Malaysia (MA) dan dirinya yakin kehadiran pelatih itu akan membantu atlet negara dalam meningkatkan lagi prestasi.

“Sebenarnya masih belum diumumkan lagi, jadi Adik (Zaidatul) tidak boleh bercakap lebih sebab masih belum tahu lagi. Cumanya, Adik berasa memang sudah ada dan menanti Presiden (MA, Datuk Seri Shahidan Kassim) dan Ketua Pengarah (Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin) berbincang mengenai hal ini.

“Sudah pasti ini menggembirakan dan mungkin akan ada jurulatih tempatan dan luar negara yang akan mengajar pelari pecut,” katanya yang ditemui selepas tamat acara final 100 meter (m) di Stadium Merdeka, semalam.

Untuk makluman, nama jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim antara yang dikatakan bakal kembali ke dalam skuad olahraga Malaysia.

Namun, sebelum ini Arena Metro melaporkan bahawa Poad masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran daripada MA untuk kembali melatih atlet pecut negara bagi menghadapi temasya Sukan Sea Thailand hujung tahun ini.

Dalam perkembangan sama, pelari berusia 32 tahun itu menyatakan kemenangan yang diraih dalam Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025 bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia perlu bersaing dengan pelari muda dan dirinya sangat berpuas hati kerana masih berjaya menjadi pelari terpantas.

Terdahulu, pelari berpengalaman, Zaidatul menepati ramalan untuk muncul juara 100 meter wanita dengan catatan masa 11.72 saat (s) sementara pingat perak dimenangi oleh Nur Aishah Rofina Aling dari Kesatuan Olahraga Sabah dengan catatan 11.80s dan Azreen Nabila Alias dari pasukan kebangsaan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, 11.83s.

Malaysia mampu tandingi sepak takraw Thailand – Kamarudin

Butterworth: Lagenda sepak takraw negara, Kamarudin Saleh masih mengikuti rapat perkembangan semua kejohanan sukan itu dengan meletakkan harapan Malaysia mampu menyaingi Thailand suatu hari nanti.

Kamarudin,73, berkata, sejak dahulu lagi hanya Thailand yang menjadi penghalang Malaysia merebut sebarang kejuaraan dalam sukan berkenaan dan ia berlarutan hingga sekarang.

Bagaimanapun katanya, dengan memperbanyakkan latihan dari memperbaiki sudut servis dan sepakan lebih tajam ia tidak mustahil bagi Malaysia untuk menandingi negara gajah putih itu.

“Memang kena banyak latihan dari segi servis dan sepakan kerana dekat situ saya nampak ada yang kurang.

“Pemain-pemain sekarang berbakat dan ada potensi untuk pergi jauh, cuma sekarang memerlukan usaha yang lebih termasuk semangat tinggi.

“Saya sehingga kini hairan mengapa Thailand masih sukar untuk kita tewaskan tetapi yakin dengan latihan yang padu serta semangat kita pasti boleh,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Reunion Anak Kampung Bagan Dalam, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Kamarudin yang sudah berhijrah keluar dari kampung berkenaan dijemput sebagai anak jati dan tokoh yang telah mengharumkan nama negara.

Beliau adalah pemenang pingat emas Sukan Sea Manila pada 1981 yang sebelum itu memenangi emas pada Piala Persatuan Sukan Thailand (TSA).

Aira juara Terbuka Bermuda

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, Aira Azman menepati ramalan untuk muncul juara Kejohanan Terbuka Bermuda di Devonshire, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Turun selaku pilihan pertama, Aira tidak berdepan masalah besar apabila hanya memerlukan 27 minit untuk mencatat kemenangan 12-10, 11-3, 11-6 ke atas lawan dari Mesir, Hana Moataz.

“Saya sangat gembira kerana dapat memenangi gelaran PSA yang keempat. Ia amat bermakna untuk saya dan meningkatkan tahap keyakinan saya untuk terus memperbaiki pencapaian.

“Saya sudah berusaha keras dengan jurulatih dan pasukan, jadi saya gembira kerana ia sudah membuahkan hasil. Terima kasih kepada semua orang yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dalam perjalanan ini,” katanya.

Selain itu, kemenangan 3-0 pada aksi final itu juga memberikan motivasi untuk dia terus meningkatkan prestasi semasa bagi menghadapi Kejohanan Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2024-2025 yang akan diadakan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dari 9 hingga 17 Mei ini.

“Saya akan terus berusaha serta meningkatkan latihan untuk tampil dengan lebih baik dan berharap akan kekal cergas untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Untuk kejohanan di Chicago nanti, Aira yang berada di ranking ke-30 dunia akan bertemu wakil England, Torrie Malik dan dilihat mampu melangkah ke pusingan kedua. Dia dijangka akan bertemu pemain ke-12 dunia dari Mesir, Salma Hany Ibrahim Ahmed.

Sekiranya Aira mampu mengalahkan Salma Hany, kemungkinan dirinya akan bertemu sekal lagi kakaknya, Aifa Azman atau seorang lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold di pusingan ketiga sekiranya masing-masing berjaya melepasi halangan di pusingan awal.

Nouran Gohar sekat misi kejuaraan Sivasangari

Kuala Lumpur: Hasrat pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari untuk merangkul kejuaraan kedua musim ini tidak kesampaian selepas tewas di tangan pemain nombor satu dunia, Nouran Gohar dari Mesir pada aksi final Piala Grasshopper 2025 di Zurich, Switzerland, hari ini.

Dalam pertarungan sengit selama 42 minit di gelanggang kaca Zurich Hauptbahnhof, pemain pilihan ketiga kejohanan itu memberi tentangan hebat sebelum tunduk 7-11, 12-14, 9-11 kepada juara pilihan utama kejohanan berkenaan.

Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut buat pemain berusia 26 tahun itu kepada Nouran sejak pertemuan sulung mereka di pusingan ketiga Kejohanan Terbuka Antarabangsa El Gouna 2021.

Piala Grasshopper iaitu kejohanan bertaraf emas di bawah Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA), menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak USD123,000 (kira-kira RM538,000) bagi kategori lelaki dan wanita.

Februari lalu, Sivasangari muncul juara Piala Cincinnati Gaynor, Amerika Syarikat, selepas menewaskan pemain tuan rumah Amanda Sobhy dalam aksi lima set, 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4.

Hoe Yean bolot lapan emas, pecah rekod kebangsaan

Kuala Lumpur: Perenang muda negara, Khiew Hoe Yean menutup Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 dengan penuh gemilang apabila meraih lapan emas keseluruhan dan memecah rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki, hari ini.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Akuatik Negara di Bukit Jalil, Hoe Yean yang turun terlebih dahulu dalam acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki berjaya muncul pemenang dengan catatan 2 minit 03.29 saat (s) untuk meraih emas ketujuh peribadinya.

Lebih manis, catatan masa yang dilakukan itu membolehkan dia memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri, 2:03.77s yang dilakukan pada kejohanan yang sama pada Mac 2023.

“Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata kerana saya langsung tidak menjangka untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara ini. Bagaimanapun, saya rasa kondisi cukup bagus di sebelah pagi, begitu juga ketika memanaskan badan.

“Sebenarnya saya hanya menjangkakan untuk melakukan catatan seperti 2:04s, tetapi tak sangka lebih pantas. Saya sangat gembira, jadi akan fokus untuk kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing diraih perenang Sarawak, Hii Puong Wei (2:05.50s), dan perenang Hong Kong, Tsz Lam.

Sementara itu, perenang berusia 23 tahun itu juga cemerlang membantu pasukan kuartet 4x100m rampaian berpasukan lelaki untuk melengkapkan emas kelapan untuk dirinya pada edisi kali ini dengan catatan 3:46.93s.

Pingat perak dimenangi oleh Selangor (3:51.39s), manakala Hong Kong (3:55.09s) terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Terdahulu, Hoe Yean meraih lapan selepas menguasai acara 100m gaya bebas, 100m kuak lentang, 200m gaya bebas, acara 400 meter (m) gaya bebas dan 200m kuak lentang.

Malah, dia terus menunjukkan penguasaan dalam acaa kuartet 4x200m gaya bebas, 200m rampaian individu lelaki dan 4x100m rampaian berpasukan lelaki.

KBS henti guna dana kerajaan selenggara fasiliti persendirian

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan lagi menggunakan dana kerajaan untuk membina atau menaik taraf fasiliti sukan di atas tanah milik swasta atau persendirian, tegas Menterinya, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menghentikan amalan penggunaan dana awam bagi menyelenggara kemudahan bukan milik kerajaan, termasuk gelanggang futsal yang sebelum ini menjadi trend.

“Jika tidak, semua pemilik tanah atau kawasan kejiranan akan meminta supaya gelanggang futsal atau pickleball dibina di kawasan masing-masing. Ini tidak munasabah kerana peruntukan yang ada adalah terhad.

“Sebab itu saya selalu tegaskan di Parlimen, kalau nak bina fasiliti sukan, mesti di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan supaya aksesnya jelas dan terjamin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Rakan Muda di sini, hari ini.

Menurutnya, sebarang pembinaan di atas tanah milik kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendapat persetujuan rasmi terlebih dahulu, manakala pembinaan di tanah persendirian telah dihentikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Hannah turut mendedahkan terdapat kes sebelum ini di mana kerajaan negeri enggan menerima fasiliti yang telah dibina, termasuk kolam renang, kerana enggan menanggung kos penyelenggaraan tinggi seperti pam air.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebelum ini memaklumkan sebanyak 30 gelanggang sukan yang uzur dan tidak diselenggara telah dilupus dan dirobohkan sejak 2021.

Menurut beliau, pelupusan itu melibatkan 20 gelanggang di Semenanjung Malaysia dengan nilai kerugian mencecah RM11 juta, manakala 10 gelanggang di Sabah dan Sarawak melibatkan kerugian RM1.4 juta — kebanyakannya gelanggang futsal 1Malaysia.

Majlis Sukan Negara Malaysia