Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Khe Wei yakin Pearly-Thinaah raih pingat Kejohanan Dunia

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi pasangan pertama negara memenangi pingat di Kejohanan Dunia di Paris yang akan bermula pada 25 Ogos nanti.

Bekas pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan prestasi beregu nombor dua dunia itu dilihat berada di landasan terbaik dan mampu untuk melangkah ke pentas final pada pertandingan itu nanti.

“Sebenarnya, kita melihat ke hadapan, mereka mempunyai persembahan yang baik terutamanya tahun ini dan cukup konsisten dalam kejohanan yang disertai. Jadi, saya harap Pearly-Thinaah akan memenangi pingat pertama untuk Malaysia terutama bagi beregu wanita kerana belum ada lagi dari kategori ini menang medal di pentas dunia itu.

“Sejujurnya, saya juga sangat menyukai persembahan mereka kerana permulaan mereka pada tahun ini amat bagus dan dapat mengekalkan corak permainan itu dengan baik,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Sukan Antarabangsa Medalist di Puchong, hari ini.

Untuk makluman, pusat latihan badminton itu bakal beroperasi secara profesional dengan kelengkapan lengkap agar pemain yang dilatih dapat melalui proses yang betul.

Malah, dia juga bercita-cita untuk melahirkan pemain pada masa hadapan yang boleh membantu Malaysia memenangi pingat di pentas Olimpik.

Selain itu, Khe Wei yang pernah beraksi di Olimpik Rio de Janeiro 2016 berharap juara Terbuka Thailand itu akan memberikan fokus kepada lawannya secara berperingkat selain tidak ambil mudah siapa yang mereka akan hadapi nanti kerana itu boleh menjerat diri sendiri.

“Apa yang saya fikir adalah keyakinan diri mesti kena ada selain mereka perlu fokus kepada setiap perlawanan kerana jika terlalu yakin pun, akan hancur juga.

“Tetapi saya rasa mereka sudah melakukan persediaan bukan sahaja dari segi mentaliti tetapi juga secara fizikal. Saya percaya mereka juga bersedia untuk beraksi di Kejohanan Dunia itu.

“Saya juga gembira melihat mereka lebih baik daripada saya kerana di Malaysia, sangat sukar untuk mencari beregu wanita yang boleh beraksi dengan sangat baik,” katanya.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran untuk melihat sekurang-kurangnya dua wakil negara ke pentas final dan cabaran itu bakal digalas oleh Pearly-Thinaah dan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Untuk rekod, pada edisi 2023 di Denmark, perjalanan mereka terhenti di suku akhir selepas tewas kepada wakil China, Zheng Shu Xian-Zheng Yu 21-17, 17-21, 19-21.

Beri Chong Wei kuasa penuh – Boon Heong

Kuala Lumpur: Bekas pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Boon Heong berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memberi kuasa penuh kepada Datuk Seri Lee Chong Wei untuk merencanakan segala perancangannya tanpa diganggu oleh sesetengah pihak.

Jelasnya, perkara itu amat penting agar bekas pemenang tiga pingat perak Olimpik itu boleh bergerak dengan ideanya sendiri sekali gus mencurahkan kembali segala pengalaman yang beliau ada kepada pemain muda negara.

Namun, sekiranya BAM tidak melakukan perkara itu dan sekadar meletakkan nama bekas pemain nombor satu dunia itu dalam barisan ahli majlis, ia dilihat satu kerugian amat besar buat kem badminton negara.

“Saya fikir, kemasukan Chong Wei ke dalam BAM, memang boleh bantu BAM tapi kita kena tengok apakah beliau boleh melakukan perubahan itu atau tidak. Kalau ambil Chong Wei sekadar untuk hadir ke mesyuarat sahaja, saya rasa tiada gunanya.

“Sebab kalau beliau sudah berada di dalam BAM, perlu berikan beliau kuasa untuk mengurus dan merancang semua program kerana Chong Wei tahu dari A sampai Z. Jadinya, dengan pengalaman yang beliau ada, saya harap beliau boleh mengurus dengan sebaik mungkin,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Sukan Antarabangsa Medalist di Puchong, hari ini.

Justeru, kembalinya pemain kelahiran Pulau Pinang itu adalah dengan tujuan yang sangat penting iaitu membantu Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk capai sasaran yang disasarkan seperti memenangi Piala Thomas pada 2026, memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2028 selain memastikan wakil negara berada di ranking nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori.

Untuk makluman, Chong Wei bakal diberikan tanggungjawab penting bagi memastikan sukan badminton negara mampu melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti di pentas dunia.

Dengan pengalaman selaku pemain nombor satu dunia selain berjaya merangkul pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa, ini adalah masa terbaik untuk beliau berkongsi semula ilmunya kepada pemain terutama kategori perseorangan lelaki negara.

BAM rancang rekrut pemain seawal usia 13 tahun

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal melakukan perubahan dari segi pemilihan atlet ke program pembangunan remaja apabila selepas ini seawal usia 13 tahun, mereka akan diserapkan kembali ke kem kebangsaan dalam usaha melahirkan pemain yang lebih berkualiti.

Menurut Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, cadangan itu turut mendapat persetujuan daripada barisan jurulatih kerana untuk melahirkan seseorang pemain, ia memerlukan masa dan jika bermula agak lewat, kesannya pasti dirasai oleh individu berkenaan apabila melangkah ke pasukan senior.

Katanya, sebelum ini BAM memberi tumpuan dengan cara memilih pemain berusia 16 tahun untuk dimasukkan ke program namun ia dilihat sedikit lewat dan disebabkan itu, badan induk itu perlu kembali ke idea asalnya iaitu merekrut atlet seawal usia 13 tahun.

“Itu pandangan saya. Saya sudah bentangkan kepada majlis. Sekarang saya beri mereka masa untuk menilai, dan saya akan terus berbincang dengan mereka. Memang ada pro dan kontra, tetapi bagi saya masuk akal untuk kita bermula semula dan memberi tumpuan kepada pemain lebih muda.

“Jurulatih juga menekankan perkara sama, anda tidak boleh mengharapkan hasil segera jika tidak mempunyai asas pembangunan akar umbi yang kukuh,” katanya selepas mesyuarat majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.

Untuk makluman, tujuan utama idea itu dibawa oleh Zafrul adalah berikutan prestasi pemain muda negara yang kurang memuaskan di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 apabila gagal membawa pulang sebarang pingat.

Tambahnya, apa yang ingin dilakukan itu turut mendapat sokongan penuh daripada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.

Sebelum ini, Jonassen pernah menyatakan kegagalan barisan pemain di Indonesia itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana itulah kemampuan pemain negara yang ada ketika ini. Beliau mengakui mengharapkan pencapaian yang lebih baik, namun realiti di gelanggang menunjukkan sebaliknya.

Hannah sambut baik pelantikan Chong Wei dalam BAM

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Datuk Sri Lee Chong Wei sebagai ahli majlis badan induk itu adalah satu tindakan tepat.

Bagi Hannah, beliau percaya bahawa pengalaman yang ada pada legenda badminton negara itu begitu berharga sekali gus boleh membantu BAM mengorak langkah lebih efektif dalam melahirkan lebih ramai pemain berkualiti terutama perseorangan lelaki.

Katanya, apabila seseorang tokoh sukan itu diberikan peluang untuk memimpin, sudah pasti ia mampu melakukan sesuatu memandangkan mereka pernah berada di lapangan serta lebih tahu ekosistem.

“Inilah momen yang saya nantikan sejak dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2022. Saya percaya Datuk Sri Lee Chong Wei mempunyai begitu banyak yang boleh disumbangkan kepada pembangunan badminton di Malaysia dan beliau tidak seharusnya sekadar berada di pinggiran BAM.

“Kehadiran beliau membantu kita di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Program Road to Gold (RTG) amat saya hargai, tetapi saya optimis apabila bekas atlet memimpin dalam persatuan sukan kebangsaan, ia pasti menyuntik semangat keterujaan, keyakinan dan ketepatan dalam keputusan serta dasar persatuan,” katanya.

Selain itu, Hannah turut mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei kerana sudi menerima lantikan itu dan sekarang adalah masa terbaik membantu badminton terus bergerak maju.

Semalam, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Chong Wei bakal menjadi nadi penting terhadap beberapa projek yang bakal dilaksanakan apabila dilantik menjadi ahli majlis badan induk itu.

PROGRAM CSR ‘PAW-SITIVE MOVES WITH ATHLETES’

Seramai 17 atlet Pelapis Kebangsaan dari sukan Akuatik (Terjun), Menembak, Tenpin Boling dan Para Menembak berganding tenaga dalam program khidmat masyarakat “Paw-sitive Moves with Athletes” sempena “International Homeless Animal Day” di “Society for the Prevention of Cruelty to Animals” (SPCA) Ampang, Selangor.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu memberi pendedahan secara langsung kepada atlet mengenai aspek pemeliharaan dan kebajikan haiwan.

Antara pengisian utama ialah lawatan ke “Cattery” dan “Kennel”, sesi penerangan tentang kepentingan pemandulan, usaha mencegah kekejaman terhadap haiwan serta aktiviti interaktif bersama sukarelawan SPCA.

Penglibatan atlet dalam program CSR sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menanam nilai empati terhadap haiwan yang juga berhak disayangi dan dilindungi.

PROGRAM SANTAI MALAM MINGGU – HIDANG MAKANAN TRADISI DAN GAYA FUSION

Program “Santai Malam Minggu” anjuran Cawangan Hospitaliti, Bahagian Khidmat Pengurusan MSN berlangsung meriah di Lobi Aras 2, Bangunan Pentadbiran MSN semalam, khusus untuk para atlet.

Bermula 6.00 petang hingga 8.30 malam, program ini menyajikan pelbagai hidangan istimewa termasuk Nasi Ayam Penyet, Spaghetti with Grilled Lamb Chop, dan Bandung Strawberry Laici.

Suasana lebih ceria dengan slot karaoke, memberi peluang atlet berhibur sambil mengeratkan hubungan antara rakan sukan.

Aktiviti santai serupa turut berlangsung serentak di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan Kompleks MSN Nilai, menjadi wadah rehat yang menyenangkan sambil memupuk semangat kekeluargaan serta kesejahteraan sosial atlet di luar rutin latihan harian.

MAJLIS PELANCARAN LOGO, MASKOT, TEMA DAN COUNTDOWN 1 TAHUN SUKMA XXII DAN PARA SUKMA SELANGOR 2026

Helang Putih dipilih sebagai maskot rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang bakal berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026.

Pasangan Helang Putih yang diperkenalkan adalah simbol kekuatan dan semangat belia manakala reka bentuk maskot lelaki dan wanita pula menggambarkan perpaduan, keterangkuman serta sinergi atlet dalam sukan dengan warna ikonik Selangor iaitu merah, kuning dan putih.

Maskot berkenaan pernah menghiasi temasya sama ketika Selangor menjadi tuan rumah pada 1998.

Tema “Rentak Kita, Aksi Kita” turut diumumkan untuk temasya edisi kali ini.

Pelancaran logo, maskot dan tema SUKMA serta PARA SUKMA 2026 disempurnakan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohammad Norza Zakaria; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Mohd Najwan Halimi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. En. Jefri Ngadirin.

KURSUS SAINS SUKAN TAHAP 1 ZON BORNEO 2025

Kursus Sains Sukan Tahap 1 – Zon Borneo 2025 telah diadakan pada 11 hingga 15 Ogos 2025 bertempat di

Legacy Hill Hotel, Kuching, Sarawak.

Seramai 36 wanita terdiri daripada jurulatih pelbagai program pembangunan sukan telah mengikuti kursus intensif selama 5 hari ini, meliputi topik seperti anatomi, fisiologi, biomekanik, psikologi sukan, pemakanan, anti-doping dan banyak lagi.

Kursus ini adalah sebahagian daripada Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) yang menjadi platform penting untuk memperkasakan jurulatih sukan di seluruh negara.

KURSUS PENGURUSAN SUKAN KEBANGSAAN (KPSK) TAHAP 1 BERSAMA KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI (KPT)

Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Bahagian Pengurusan Acara telah mengadakan Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan (KPSK) Tahap 1 bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 12 hingga 14 Ogos 2025 bertempat di Kolej Mawar, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Seramai 38 peserta telah menyertai kursus ini terdiri daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), selain penyertaan dari Politeknik, Persatuan Sukan Kebangsaan serta wakil badan swasta.

PERKHIDMATAN PANEL PEGUAM UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

221103 – GUNATENAGA – KHIDMAT GUAMAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/047/2025 (SPK)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN PANEL PEGUAM UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA
TARIKH BUKA : 15 OGOS 2025 (JUMAAT)
TARIKH TUTUP : 25 OGOS 2025 (ISNIN)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohd Safwan Mohd Radzi(Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929080

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Majlis Sukan Negara Malaysia