Kuala Lumpur: Skuad karate negara memilih langkah penjimatan berbanding berlatih di luar negara dengan membawa masuk atlet bertaraf dunia ke Malaysia sebagai rakan sepelatih menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Timbalan Presiden 1 Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Vincent Chen berkata, cadangan itu mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai sebahagian daripada projek jangka panjang sehingga 2027.
Katanya, berbanding menghantar atlet ke luar negara, MAKAF memilih pendekatan lebih efektif iaitu menjemput atlet ranking tertinggi dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk datang berlatih di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Kita akan adakan kem latihan prestasi tinggi di MSN. Atlet luar ini akan jadi rakan sepelatih dengan atlet kita dalam tempoh lebih lama.
“Ia lebih jimat dan impaknya lebih besar kepada persiapan pasukan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan perincian teknikal dibincangkan bersama perunding baharu pasukan yang juga bekas jurulatih kumite negara, Andris Vasilevskis serta barisan kejurulatihan lain.
“Kita bukan sekadar jemput atlet hebat. Kita perlu padankan kategori, berat badan, ketinggian, kepantasan dan kekuatan.
“‘Matching’ itu penting supaya atlet kita benar-benar dapat manfaat.
“Empat hingga enam atlet terdiri daripada lelaki dan wanita akan dipanggil, namun ia bergantung kepada bajet sedia ada serta keperluan semasa.
“Kebanyakan atlet Eropah berminat kerana mereka tidak terbabit dalam Sukan Asia, sekali gus menjadikan situasi itu sebagai ‘situasi menang-menang’,” katanya.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, skuad karate negara membawa pulang satu pingat emas dan dua perak.
