Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Dua Timbalan CDM kemudi kontinjen negara ke Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan keperluan untuk melantik sekurang-kurangnya dua Timbalan Ketua Kontinjen (Timbalan CDM) bagi membantu mengemudi kontinjen negara ke Sukan Sea Thailand yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.

Presiden OCM, Tan Sri Norza Zakaria, berkata, beberapa calon disenarai pendek untuk jawatan CDM dan Timbalan CDM.

“Isunya dari segi logistik, temasya kali ini akan diadakan di tiga lokasi berbeza, Bangkok, Songkhla dan Chonburi, jadi kita perlu berbincang mengenai pemilihan seorang CDM dan beberapa timbalan, sekurang-kurangnya dua orang.

“(Calon-calon) akan terdiri daripada pentadbir sukan dari OCM, bekas atlet serta wakil persatuan sukan kebangsaan.

“Kami sudah senarai pendek beberapa nama dan saya akan ke Pulau Pinang hari ini bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Saya akan berbincang dengan beliau. Walaupun hak untuk melantik CDM terletak pada OCM, kami merasakan wajar untuk mendapatkan kelulusan daripada menteri juga,” katanya.

Pelantikan sekurang-kurangnya dua Timbalan CDM adalah amalan biasa dalam edisi-edisi terdahulu Sukan Sea walaupun belum pernah tiga Timbalan CDM dilantik serentak.

Legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli, dan bekas pemain skuasy kebangsaan, Sharon Wee, masing-masing pernah menjawat jawatan Timbalan CDM pada temasya Sukan Sea 2023 di Phnom Penh.

Ketika itu, Datuk Nasir Ali berperanan sebagai CDM.Dalam perkembangan berlainan, Norza turut memaklumkan bahawa Yonex dilantik sebagai pembekal pakaian rasmi untuk kontinjen negara ke Sukan Sea Thailand.

“Kami sudah lantik Yonex, jadi kami akan duduk berbincang dengan mereka mengenai rekaan dan sebagainya. Kali ini, kami juga akan libatkan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam proses ini,” katanya.

Terdahulu, pakaian rasmi yang diperkenalkan untuk kontinjen ke Sukan Olimpik Paris tahun lalu menerima kritikan daripada orang ramai dan memaksa OCM melakukan reka bentuk semula sebelum temasya bermula.

KETIBAAN DELEGASI ASEAN SEMPENA KONFERENS ASEAN MENGENAI KESAKSAMAAN GENDER DALAM SUKAN 2025

Delegasi dari seluruh rantau ASEAN telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang bagi menghadiri Konferens ASEAN mengenai Kesaksamaan Gender dalam Sukan 2025 yang berlangsung dari 23 hingga 26 Jun di Hotel Cititel, Pulau Pinang.

Malaysia mengalu-alukan kehadiran rakan serantau dalam usaha bersama memperkasa kesaksamaan gender dalam sukan di peringkat ASEAN!

Skuad hoki wanita negara raih tempat ketujuh di Poland

Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara menutup tirai kempen FIH Piala Negara-Negara 2 di Walcz, Poland dengan kemenangan apabila menewaskan Afrika Selatan 4-3 menerusi penalti shoot-out, sekali gus mengesahkan kedudukan ketujuh keseluruhan kejohanan.

Ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim nyata lega apabila skuad bimbingannya berjaya mengakhiri kempen dengan satu kemenangan cukup bererti selepas beberapa aksi mengecewakan sebelum ini.

“Alhamdulillah, ini kemenangan pertama kami. Walaupun kita belum berada di tahap sebenar, pasukan ini ada potensi besar.

“Kejohanan ini beri banyak pengalaman kepada pemain-pemain untuk berkembang. Ini baru permulaan,” katanya.

Tambah Nasihin, kebangkitan ditunjukkan selepas tewas besar 0-5 kepada Itali kelmarin cukup menggambarkan karakter sebenar pasukan yang tidak mudah mengalah walau diuji hebat.

“Hari ini (semalam) mereka bermain lebih tenang, lebih disiplin dan sangat teknikal. Saya bangga dengan semangat mereka. Kekalahan kepada Afrika Selatan di peringkat kumpulan (1-3) jadi pembakar semangat. Hari ini, mereka bangkit sebagai pasukan,” katanya.

Skuad negara selepas ini dijangka akan diperkukuh dengan beberapa muka baharu sebaik kembali ke Kuala Lumpur, sebagai persiapan awal menghadapi kejohanan akan datang.

Dalam aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan yang berlangsung di Stadium Walcz, skuad negara terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol padang Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-49, namun Afrika Selatan menyamakan kedudukan menerusi Charné Maddocks enam minit kemudian.

Pertembungan sengit itu terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out dan empat ‘wira’ negara, Nuramirah Syakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd Nor, Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha dan Fatin Shafika Mahd Sukri tampil menyempurnakan pukulan dengan tenang.

Sebaliknya, Afrika Selatan hanya mampu menyudahkan tiga pukulan menerusi Quanita Bobbs, Onthatile Zulu dan Cerian Fourie.

KEJOHANAN INTERNATIONALE DEUTSCHE MEISTERSCHAFTEN (IDM) BERLIN 2025 PARA SWIMMING

Tempat : Berlin, Jerman

Tarikh : 16-23 Jun 2025

ACARA: MEN’S 200M BREASTSROKE🥇 : Taliso Engel (SB13/ GER) – 2:23.43🥈 : Andreas Ernhover (SB3/AUT) – 4:09.47

🥉: Muhammad Syaiful (SB4/ MAS) – 3:49.90

Tender Perkhidmatan TV Produksi Bagi Penganjuran le Tour De Langkawi (LTDL) 2025 dan Tender Perkhidmatan Sewaan Kenderaan Bagi Penganjuran le Tour De Langkawi (LTDL) 2025
SESI KUNJUNGAN HORMAT YB MENTERI BELIA DAN SUKAN KE ATAS YAM TENGKU ARIF BENDAHARA

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar, Presiden Royal Malaysian Polo Association.

Pertemuan ini bertujuan membincangkan persiapan pasukan polo negara bagi menghadapi temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Disember nanti.

Turut hadir, YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Bonnie terus unggul rangkul emas Piala Dunia 2025

Kuala Lumpur: Jaguh powerlifting para negara Bonnie Bunyau Gustin terus memperkukuh reputasinya di pentas antarabangsa apabila meraih pingat emas dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pada Piala Dunia 2025 di Beijing, China, hari in

Badang kerdil kelahiran Sarawak itu melakukan angkatan terbaik seberat 215kg dalam saingan yang berlangsung di China Administration of Sports for Persons with Disabilities (CASPD), sekali gus mengekalkan penguasaannya dalam kategori berkenaan.

Bagaimanapun, pencapaian itu masih belum mampu mengatasi rekod dunia miliknya, iaitu 232kg yang dicatat ketika mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

Pingat perak diraih atlet Cuba, Jesus Cuevas Cisneros dengan angkatan seberat 175kg, manakala atlet India, Ramubhai B Bhambava membawa pulang gangsa selepas mencatat angkatan 151kg.

WORLD CUP PARA POWERLIFTING 2025

Tempat : Beijing, China

Tarikh : 17-26 Jun 2025

KEPUTUSAN HARI PERTAMA

Gold🥇: Bonnie (Malaysia) – 215kg

Silver🥈: Cuevas (Cuba) – 175kg

Bronze🥉: Bambhava (India) – 151kg

Liek Hou terus unggul, rangkul dua gelaran Para Asia di Thailand

Kuala Lumpur: Jaguh para badminton negara Cheah Liek Hou terus mengukuhkan reputasinya selaku pemain nombor satu dunia apabila merangkul dua gelaran di Kejohanan Badminton Para Asia 2025 yang berlangsung di Korat, Thailand, hari ini.

Liek Hou, yang turun dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal), terlebih dahulu meraih kejuaraan perseorangan lelaki selepas menewaskan seteru utama dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dalam aksi sengit tiga set, 21-19, 15-21, 21-18 yang berlangsung selama hampir sejam.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik dua kali itu kemudian menambah koleksi kejuaraan apabila bergandingan bersama Muhammad Fareez Anuar dalam acara beregu lelaki SU5 untuk mudah menumpaskan pasangan India, Hardik Makkar-Ruthick Ragupathi 21-14, 21-8.

Turut menyinar ialah wakil perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal) Mhd Amin Burhanuddin yang muncul juara selepas menumpaskan pemain dari India, Surya Kant Yadav 23-21, 21-15.

Sementara itu, Muhammad Ikhwan Ramli yang bersaing dalam kategori WH1 (berkerusi roda) terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tunduk kepada pemain China, Qu Zi Mo 9-21, 16-21 dalam aksi final.

KEM BAKAT SUKAN PARA MENEMBAK ZON TENGAH 2025

Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Bahagian Para bersama Persatuan Menembak Para Malaysia telah menganjurkan Kem Bakat Sukan Para Menembak Zon Tengah 2025 pada 20 hingga 22 Jun 2025 bertempat di Lapang Sasar Menembak Gim 3, MSN Bukit Jalil.

Seramai 25 orang peserta daripada seluruh Semenanjung Malaysia termasuk bekas anggota badan beruniform.

Fokus kepada pencarian bakat baharu, kem ini juga menjadi langkah awal ke arah pemilihan atlet para menembak kebangsaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia