Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Hannah bincang program RTG bersama DinFei

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah mengadakan pertemuan dengan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagi menerangkan program Road To Gold (RTG) selepas mereka sebelum ini tidak pernah menerima tawaran berkenaan.

Menurutnya, ramai pemain badminton negara sudah mengetahui mengenai program RTG dan pernah ditawarkan penyertaan, namun perkara itu tidak berlaku kepada Sze Fei-Izzuddin.

Ketika ditanya sama ada Sze Fei-Izzuddin berpeluang diserap ke dalam program RTG selepas menghuni ranking kedua dunia, Hannah menjelaskan keputusan dibuat berdasarkan prestasi semasa.

“Sebelum ini saya tidak berpeluang bertemu mereka (Sze Fei-Izzuddin) kerana mereka sentiasa menyertai kejohanan, tetapi sekarang mereka adalah pasangan No. 1 Malaysia dalam beregu lelaki.

“Mereka akan tahu sama ada masuk atau keluar daripada RTG berdasarkan ranking mereka.

“Semalam (kelmarin) saya bertemu mereka untuk menjelaskan bagaimana program RTG berfungsi serta mendengar cabaran yang mereka hadapi terutama selepas tidak lagi bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” kata Hannah selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Hannah bertemu dengan beregu profesional negara itu di Menara KBS bagi membincangkan mengenai program RTG, semalam.

Sementara itu, Hannah turut memberi bayangan lebih ramai atlet profesional berpeluang menerima sokongan program RTG menerusi jawatankuasa baharu yang akan diumumkan bulan Mac nanti.

LTdL 2025 tanpa pendakian ke Genting Highlands, Bukit Fraser kembali

Putrajaya: Ketiadaan pendakian ke Genting Highlands buat kali kedua berturut-turut di Le Tour de Langkawi (LTdL) dalam laluan perlumbaan tahun ini tidak akan mencacatkan saingan berstatus ProSeries itu.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abd Jalal, keputusan itu dibuat berikutan kekangan kelulusan daripada pihak berkuasa serta faktor teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Kami memang mahu mengekalkan Genting Highlands sebagai sebahagian daripada laluan, tetapi disebabkan isu kelulusan dan faktor lain, kami terpaksa mencari alternatif.

“Bukit Fraser dipilih kerana ia masih menawarkan cabaran besar kepada pelumba,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Laluan LTdL 2025 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Pada tahun ini, beberapa perubahan laluan dibuat dalam perlumbaan termasuk pendakian ke Bukit Fraser yang terakhir digunakan sebagai ‘Queen’s Stage’ pada 2008 dan 2015.

Laluan itu akan memberikan cabaran unik dengan pendakian sepanjang 27 kilometer (km) dan ketinggian maksimum 1,221 meter.

Emir menambah, walaupun ketiadaan Genting Highlands, perlumbaan tetap menjanjikan persaingan sengit dengan variasi cabaran termasuk laluan berbukit dan laluan turun yang mencabar.

Dalam perkembangan lain, penganjur turut mengesahkan penyertaan tiga pasukan World Team, tujuh pasukan ProTeam, 11 pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan.

Keputusan itu dijangka akan menjadikan perlumbaan lebih kompetitif dan terbuka kepada pelbagai strategi taktikal.

Dengan cabaran berbeza serta ketiadaan pendakian Genting Highlands, perlumbaan kali ini dijangka lebih terbuka dan tidak akan memihak kepada pendaki tulen sahaja.

Perlumbaan edisi 29 tahun ini berlangsung sejauh 1,257.8km membabitkan lapan peringkat bermula dari Langkawi melalui 12 negeri di semenanjung dan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) bermula 28 September sehingga 5 Oktober depan.

KEJOHANAN UCI 2025 ASIAN TRACK CYCLING CHAMPIONSHIP

FINAL 1 Km Time Trial

MB

EMAS – Khairul Hazwan & Khairul Adha (MAS) – 1:04.779

PERAK – Surachai & Jetsada (THA) – 1:06.255

GANGSA – Ahmad Ahlami & Luqman Daniel (MAS) – 1:07.186

WB

EMAS – Nur Suraiya & Farina Shawati (MAS) – 1:10.758

PERAK – Nur Azlia Syafinaz & Nur Fitrah (MAS) – 1:11.964

GANGSA – Zhuldyz & Polina (KAZ) – 1:13.921

MC1

EMAS – Muhamad Yusof Hafizi (MAS) – 1:16.297

PERAK – Mohamed Almarri (KSA) – 1:25.847

MC5

EMAS – Ahmad Zharif Ahmad Nazri (MAS) – 1:06.520

PERAK – Zuhairie Ahmad Tarmizi (MAS) – 1:06.626

GANGSA – Azimbek Abdullaev (UZB) – 1:08.868

MESYUARAT JAWATANKUASA TERTINGGI SUKAN MALAYSIA BILANGAN 12/2025

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA Bilangan 12 telah dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bertempat di Menara KBS, Putrajaya.

Tujuan mesyuarat ini adalah untuk membincangkan laporan pengelolaan SUKMA XXI Sarawak, pindaan peraturan, serta persediaan SUKMA XXII Selangor 2026 & SUKMA XXIII Kelantan 2028.

KEJOHANAN ASIAN TRACK CYCLING CHAMPIONSHIP 2025

Women Elite 1 Kilo

Keputusan Akhir

1. 🥇– MOHD ASRI, Nurul Izzah Izzati – MAS – 1:06.229

2. 🥈– LUO, Shuyan – CHN – 1:07.365

3. 🥉– HWANG, Hyeonseo – KOR – 1:07.690

Women Junior Elimination Race

Keputusan Akhir

1. 🥇– HUANG, Wen Xin – TPE

2. 🥈– NISHIHARA, Yuka – JPN

3. 🥉– ABDUL RAZAK, Intan Nur Irdrisha – MAS

CADANGAN KERJA-KERJA MEMBAIKPULIH SERTA BERKAITAN DI KAFETARIA ATLET TIME OUT MSN BUKIT JALIL UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Tawaran adalah dipelawa kepada Kontraktor-Kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk Gred G2, Kategori CE Pengkhususan – Pembinaan Kejuruteraan Awam Kod CE21 – (Kerja-kerja Am Kejuruteraan Awam) dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) WP Kuala Lumpur serta pendaftarannya masih berkuatkuasa

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/002/2025 (SK)
TAJUK SEBUT HARGA : CADANGAN KERJA-KERJA MEMBAIKPULIH SERTA BERKAITAN DI KAFETARIA ATLET TIME OUT MSN BUKIT JALIL UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA
TARIKH BUKA : 27 FEBRUARI 2025 (KHAMIS)
TAKLIMAT : 28 FEBRUARI 2025 (JUMAAT/10.30 PAGI)
& LAWATAN TAPAK KAFETARIA ATLET, CASA 3, MSN BUKIT JALIL
TARIKH TUTUP : 7 MAC 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha ( Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Muhamad Faezal Md Noh ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929837

Shah enggan putus asa

Nilai: “Memang sedikit kecewa, tetapi saya anggap ini ujian buat saya. Mungkin Allah sedang merancang sesuatu yang lebih besar untuk saya di masa depan. Saya hanya perlu terus bekerja keras.”

Itu antara luahan pelumba trek lelaki negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dalam nada penuh kehampaan apabila harapan untuk mendapatkan pingat emas di gelanggang sendiri tidak kesampaian selepas dia dipintas di saat akhir oleh pelumba Jepun, Shinji Nakano, yang ditentukan menerusi photo finish dalam acara keirin lelaki.

Jelasnya, kekalahan di penghujung perlumbaan itu bukanlah sesuatu yang baharu buat dirinya kerana sebelum ini pun, dia sering menerima nasib sama dan disebabkan itu, dia akan menjadikan kejadian itu sebagai pemangkin untuk terus berjaya selepas ini.

Akan tetapi, atlet kelahiran Johor itu tetap berpuas hati biarpun meraih perak kerana dirinya sudah mengeluarkan segala-galanya dalam aksi final itu, meskipun diberi tentangan cukup sengit oleh wakil Jepun, Nakano dan Kaiya Ota.

“Saya memang sudah bersedia untuk memberikan segalanya dalam perlumbaan akhir tadi. Bila tengok undian, memang agak sukar kerana dua pelumba Jepun berada di posisi strategik. Tidak boleh terlalu awal, tidak boleh terlalu lambat, jadi saya perlu mencari peluang terbaik.

“Saya nampak Nakano sedikit terkeluar dari sprint lane, jadi saya ambil peluang itu dan memberikan segala-galanya di atas trek. Saya yakin saya boleh menang ketika itu.

“Ini bukan kali pertama saya ditewaskan dengan beza yang cukup kecil. Memang sedikit kecewa, tetapi saya anggap ini ujian buat saya. Mungkin Allah sedang merancang sesuatu yang lebih besar untuk saya di masa depan. Saya hanya perlu terus bekerja keras,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Terdahulu, pada aksi final keirin yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai hari ini, pingat emas diraih oleh Nakano, sementara Shah Firdaus membawa pulang perak dan seorang lagi wakil Jepun, Ota, memenangi gangsa.

Namun begitu, pujian harus diberikan kepada Shah Firdaus yang tetap memberikan persembahan terbaik meskipun dirinya mengalami kecederaan lutut dan hampir meraih emas dalam acara itu.

Untuk rekod, selain memenangi perak dalam acara keirin, Shah Firdaus turut meraih gangsa dalam acara pecut yang berlangsung pada Ahad lalu.

Ketika ini, skuad berbasikal meraih lapan pingat secara keseluruhan dan berpeluang menambah kilauan pingat berbaki dua hari lagi.

Nurul Izzah terperanjat kalahkan idola

NILAI: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, tidak menyangka dapat menewaskan idolanya yang juga juara dunia dari Jepun, Mina Sato, ketika menjuarai perlumbaan akhir acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, hari ini.

Kayuhan bertenaga pelumba berusia 22 tahun itu menyaksikan dia berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya tahun lalu, mengatasi pelumba Korea Selatan, Kim Haeun yang berada di tempat kedua manakala Guo Yufang dari China ketiga di Velodrom Nasional, di sini.

Sato pula yang masih segar dengan kejayaan muncul juara dunia di Ballerup, Denmark pada Oktober tahun lalu sekadar menamatkan aksi final di kedudukan keenam.

“Saya tidak sangka dapat menewaskannya (Sato) di kejohanan ini kerana kita tahu yang dia masih berada pada tahap terbaiknya selepas muncul juara dunia pada Oktober tahun lalu.

“Jadi, saya sangat gembira dapat melakukannya di sini. Saya sudah membuktikan yang saya boleh menewaskannya dan saya akan terus bekerja keras untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata Nurul Izzah selepas tamat perlumbaan.

Ini adalah pingat ketiga Nurul Izzah dalam perlumbaan ACC tahun ini selepas meraih perak dalam acara pecut berpasukan dan gangsa dalam pecut individu wanita.

Pada ACC 2024 di New Delhi, India, pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman itu mencipta kejutan apabila menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas negara dengan memenangi acara keirin serta 500 meter ujian masa.

Nurul Izzah kini mengalihkan fokus dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita yang dijadual berlangsung, esok.

“Sasaran saya dalam acara ini, saya mahu cuba buat catatan masa yang terbaik,” katanya.

Sawda raih emas kedua

Nilai: Pelumba wanita remaja semakin meningkat naik, Sawda Hasbullah, terus mencipta sejarah tersendiri apabila meraih emas kedua peribadinya selepas berjaya menewaskan wakil Korea Selatan, Park Hye Rin, 2-0 dalam aksi final acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Selepas mencipta rekod Asia dan dunia dalam acara ujian masa 1 kilometer (km) pada Ahad lalu, atlet berusia 17 tahun itu terus membuktikan dirinya antara pelumba masa depan negara apabila tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan lawannya itu.

Lebih manis, Sawda menjadi atlet wanita pertama dalam kategori junior yang menghadiahkan kejuaraan buat Malaysia di pentas ACC.

“Saya terlepas peluang meraih pingat emas dalam acara pecut berpasukan dan keirin, jadi saya sangat mahu berusaha sebaik mungkin dan hari ini, dalam acara pecut. Saya sangat berpuas hati dengan penampilan saya di ACC,” katanya.

Pingat gangsa pula diraih pelumba dari Korea, Park Yebeen yang menewaskan lawan dari Taiwan, Liu Shang Ying 2-0.

Selain itu, Sawda turut memaklumkan dirinya amat yakin untuk menewaskan lawannya itu walaupun pada perlumbaan kedua, dirinya menggunakan taktikal berlainan, namun dia tetap bersyukur kerana berjaya menamatkannya dengan kemenangan yang penuh bermakna.

Untuk rekod, atlet kelahiran Melaka itu meraih pingat sulung iaitu perak menerusi acara pecut berpasukan wanita sebelum Sawda meraih emas pertama dalam acara 1km ujian masa dengan catatan 1:10.818s.

Izzah pertahan emas, Firdaus dipintas saat akhir

Nilai: Atlet berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, membuktikan dirinya antara pelumba terbaik di Asia apabila berjaya mempertahankan kejuaraan selepas memenanginya pada aksi final acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan dia mempertahankan kejuaraan dalam acara yang sama yang diraihnya pada ACC tahun lepas di New Delhi, India.

Pada perlumbaan final yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Izzah Izzati yang bermula sebagai pelumba ketiga berjaya mengatur strategi dengan bijak sebelum memecut untuk menjadi atlet terpantas melepasi garisan penamat dan menewaskan lima lawannya yang lain.

“Saya rasa perlumbaan saya sangat baik dan sangat bangga kerana berjaya menewaskan Mina Sato yang baru memenangi kejohanan dunia (tahun lepas). Ini akan memberi semangat kepada saya untuk acara seterusnya, 1 kilometer (km) ujian masa.”

“Malah, saya juga berjaya membuktikan bahawa saya mampu bersaing di peringkat tertinggi (menerusi keputusan hari ini),” katanya selepas tamat perlumbaan di sini.

Wakil Korea Selatan, Kim Ha Eun, yang cuba memintas Izzah Izzati di penghujung perlumbaan terpaksa berpuas hati meraih perak, manakala gangsa dimenangi oleh pelumba China, Guo Yufang.

Juara dunia dari Jepun, Sato, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Untuk makluman, Malaysia terpaksa menunggu sehingga hari kelima sebelum atlet kelahiran Kedah itu menceriakan peminat sukan berkenaan dengan emas sulung negara bagi kategori elit.

Sementara itu, hasrat Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk mengulangi pencapaian Izzah Izzati tidak tercapai apabila dipintas pelumba Jepun, Shinji Nakano, pada saat akhir dan terpaksa berpuas hati dengan perak, manakala gangsa diraih seorang lagi wakil Jepun, Kaiya Ota.

Namun begitu, pujian harus diberikan kepada Shah Firdaus yang tetap memberikan persembahan terbaik meskipun dirinya mengalami kecederaan lutut dan hampir meraih emas dalam acara itu.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, pula mengakhiri saingan di kedudukan kelapan dalam perlumbaan klasifikasi 7-12.

Majlis Sukan Negara Malaysia