Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

PEMBELIAN PERALATAN DAN PAKAIAN  LATIHAN/ PERTANDINGAN ATLET SUKAN PARA PING PONG PROGRAM PODIUM KEBANGSAAN BAGI TAHUN 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030501 – PERALATAN SUKAN
030101 – PAKAIAN SUKAN DAN AKSESORI

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/015/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN PERALATAN DAN PAKAIAN LATIHAN/ PERTANDINGAN ATLET SUKAN PARA PING PONG PROGRAM PODIUM KEBANGSAAN BAGI TAHUN 2025
TARIKH BUKA : 22 APRIL 2025 (SELASA)
TARIKH TUTUP : 30 APRIL 2025 (RABU)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohd Zaim Yusof (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929929

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

g Barriers: Advancing Gender Equity at All Sports Levels

Farah Ann Abdul Hadi telah diberi penghormatan sebagai wakil Malaysia atas undangan sebagai panel dalam Seminar Kesaksamaan Jantina Majlis Olimpik Asia (OCA) ke-2 yang berlangsung di Brunei Darussalam pada 14–15 April 2025.

Dalam segmen bertajuk “Breaking Barriers: Advancing Gender Equity at All Sports Levels”, Farah berkongsi perjalanan beliau sebagai seorang Olimpian, pengadil, dan kini sebagai jurucakap yang memperjuangkan kesaksamaan jantina dalam sukan.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Farah Ann atas komitmen beliau yang berterusan dalam memperkasa wanita dalam sukan.

Jelajah Australia medan Speedy Tigers uji kemampuan

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki kebangsaan akan berlepas ke Australia esok, bagi mengharungi enam perlawanan persahabatan pada siri jelajah Australia sebagai persiapan menghadapi cabaran di FIH Piala Negara-Negara, Malaysia pada Jun depan.

Pengendali skuad negara, Sarjit Singh berkata siri jelajah itu adalah peluang terbaik untuk pemain mempamekan kebolehan masing-masing.

“Siri jelajah ini perlu manfaatkan dengan sebaiknya oleh pemain-pemain yang dipilih kerana dengan perlawanan berintensiti tinggi serta berdepan lawan berkualiti seperti Australia, ia adalah peluang terbaik untuk menunjukkan kebolehan yang dimiliki.

“Pasukan juga mahu pemain-pemain muda yang menyertai siri jelajah ini menggunakan pengalaman berharga dengan sebaik mungkin untuk terus memperbaiki diri,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.

Skuad negara akan turun menentang Western Australia dalam aksi persahabatan pertama pada 23 April (Rabu), disusuli aksi kedua berdepan dengan pasukan sama pada 24 April.

Baki empat perlawanan persahabatan akan berlangsung pada 28 dan 29 April serta 1 dan 2 Mei bertemu Australia sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Sarjit berkata penekanan akan diberikan dari aspek taktikal terutamana bagaimana pasukannya mampu bermain di bawah tekanan dan kekal konsisten.

“Siri Jelajah Australia sangat penting. Saya dan barisan kejurulatihan tekad memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dalam membentuk skuad terbaik sebelum mengharungi kempen Piala Negara-Negara bermula 15 hingga 21 Jun kelak,” katanya.

Speedy Tigers mempunyai beberapa kejohanan besar tahun ini termasuk Piala Asia di India dari 27 Ogos-7 September yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia, Piala Sultan Azlan Shah (22-29 November) dan Sukan Sea di Thailand (9-20 Disember).

Berikut senarai 22 pemain dipilih menyertai siri jelajah itu selepas menjalani kem latihan bermula 3 Mac lalu:

Penjaga gol:

1. Muhammad Hafizuddin Bin Othman

2. Mohammad Rafaizul Bin Mohamad Saini

Pertahanan:

3. Muhammad Marhan Bin Jalil

4. Syed Mohammad Syafiq Bin Syed Cholan

5. Muhammad Amirul Hamizan Bin Azahar

6. Faiz Helmi Bin Jali

7. Muhamad Faris Bin Harizan

8. Andywalfian Jeffrynus

9. Muhammad Najmi Farizal Bin Jazlan

10. Syarman Bin Mat Tee

Tengah:

11. Mohd Fitri Bin Saari

12. Nik Muhammad Aiman Bin Nik Rozemi

13. Mughni Bin Mohamad Kamal

14. Muhammad Adam Ashraf Bin Mohd Johari

15. Muhammad Shafiq Bin Hassan

16. Alfarico Lance Liau Jr

Penyerang:

17. Shello Silverius

18. Muhammad Azrai Aizad Bin Abu Kamal

19. Norsyafiq Bin Sumantri

20. Mohammad Harris Iskandar Bin Osman

21. Mohamad Akhimullah Bin Anuar Esook

22. Muhajir Bin Abdu Rauf

Eain Yow kini 10 terbaik dunia

Kuala Lumpur: Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertama dalam kariernya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Berdasarkan kedudukan terbaharu di laman web rasmi psasquashtour.com, pemain berusia 27 tahun itu naik satu anak tangga ke ranking ke-10 dunia dengan mengumpul 559 mata.

“Berita gembira! Yow kini dalam kelompok 10 terbaik buat kali pertama! Ayuh!!!” kata Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Sharon Wee menerusi mesej ringkas WhatsApp.

Eain Yow menjadi pemain ketiga negara berada dalam kelompok10 terbaik dunia selepas Ong Beng Hee yang pernah menduduki ranking ketujuh dunia pada 2001 dan Azlan Iskandar yang mencapai kedudukan ke-10 pada 2011.

Ranking dunia kini diterajui pemain Mesir Mostafa Asal dan Ali Farag dan Diego Elias dari Peru.

Skuad takraw negara disasar ke final Piala Asia

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir dalam saingan Piala Asia 2025 yang akan berlangsung dari 10 hingga 18 Mei depan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, berdasarkan undian yang berlangsung hari ini, beliau optimis skuad kendalian Ahmad Jais Baharun mampu menampilkan aksi cemerlang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan itu.

Tambahnya, skuad sepak takraw negara juga sudah meraih pengalaman berharga pada Piala Dunia di Bihar, India, Mac lalu dan kejohanan kali ini bakal menjadi pentas kebangkitan pasukan negara.

“Persiapan barisan pemain ketika ini berada pada tahap 80 peratus. Barisan jurulatih sudah melakukan ‘post-mortem’ dan telah mengenal pasti kelemahan.

“Pada kejohanan kali ini, PSM menyasarkan untuk mara ke final, terutama bagi acara regu dan double,” katanya selepas sesi undian yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejohanan itu nanti, empat acara akan dipertandingkan iaitu beregu, regu, berpasukan dan kuadron, melibatkan penyertaan daripada 14 buah pasukan terbaik rantau Asia.

Selain itu, pemain negara dijangka bakal menerima sokongan padu daripada penonton selepas mereka berjaya mencipta persembahan memukau di Piala Dunia 2024 di gelanggang yang sama pada tahun lalu.

“Kejohanan ini berlangsung di venue yang sama seperti tahun lalu. Pada Piala Dunia 2024, kita muncul juara dalam acara regu dan double. Kali ini, di hadapan penyokong sendiri, saya harap kejayaan yang sama dapat diulangi,” katanya.

Sementara itu, perubahan dalam peraturan ‘challenge’ juga buat pertama kali akan diperkenalkan pada Piala Asia nanti yang mana setiap pasukan akan mempunyai dua peluang challenge, dan jika berjaya, jumlah itu kekal sama seperti pendekatan yang digunakan dalam sukan badminton.

Terdahulu, pada sesi undian hari ini, skuad kuadron negara diundi dalam Kumpulan B bersama Filipina, Jepun dan China, manakala Kumpulan A terdiri daripada Vietnam, Singapura, Korea dan Pakistan.

Bagi acara double pula, Malaysia bakal berdepan saingan sengit daripada musuh tradisi Thailand, selain Taiwan dan Nepal dalam Kumpulan B, manakala Kumpulan A disertai Indonesia, India dan Brunei.

Acara regu pula menampilkan saingan Malaysia dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura.

PKBM sanggup sediakan basikal untuk Azizulhasni

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyatakan kesediaan sekiranya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memerlukan bantuan.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh berkata, Azizulhasni adalah atlet yang banyak berjasa kepada sukan berbasikal negara dan disebabkan itu, pihaknya akan berusaha memenuhi segala permintaan daripada pelumba itu termasuk peralatan seperti basikal untuk berlumba.

“Kalau Azizulhasni mahu basikal, kita akan cuba bantu dan berikan. Itu tiada masalah bagi kami. Dia juga ada basikal sendiri, tetapi sekiranya mahu menggunakan basikal yang disediakan PKBM, dari pihak persatuan, kami tiada halangan.

“Kami bersedia untuk memastikan bahawa beliau diberikan peralatan dan sumber berkaitan untuk membantunya menjalani latihan serta menyertai kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya.

Selain itu, Amarjit percaya Azizulhasni mampu mencapai prestasi terbaik meskipun tidak menyertai sebarang pertandingan hampir lapan bulan sejak aksi terakhir di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam perkembangan sama, ‘The Pocket Rocketman’ itu turut menyatakan kemungkinan beliau akan menyertai acara berpasukan pada tahun ini di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia yang dijadual berlangsung pada bulan Oktober.

Namun, atlet berusia 37 tahun itu masih perlu bersaing dengan beberapa pelumba lain seperti Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Umar Hasbullah, Mohamad Akmal Nazimi Jusena selain Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhamad Ridwan Sahrom.

Terdahulu, Azizulhasni memaklumkan sasaran utama untuk dia adalah kejohanan pada tahun hadapan seperti temasya Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

Malaysia tak mahu jadi ‘jaguh kampung’

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan sasaran utama Malaysia bukanlah untuk muncul juara keseluruhan ketika Sukan Sea 2027 yang akan diadakan di negara ini, sebaliknya kesinambungan program pembangunan atlet perlu menjadi agenda yang lebih penting.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, untuk edisi sukan dwi-tahunan akan datang, Malaysia tidak akan bertindak sembrono hanya untuk menjadi ‘jaguh kampung’ seperti edisi 2017.

Sebaliknya, pihaknya akan melakukan perancangan yang lebih teliti serta mengambil langkah strategik demi kebaikan sukan di negara ini.

“Saya dengar pandangan Tan Sri (Mohamad) Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) yang menegaskan supaya kita jangan ada mentaliti ‘jaguh kampung’ dan saya bersetuju. Kita perlu berpijak kepada realiti.

“Untuk edisi 2027, kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan tiga kerajaan negeri iaitu Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam menganjurkan temasya ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr. K. Nagulendran, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Selain itu, Hannah turut memaklumkan bahawa Malaysia tidak mahu menyenaraikan acara ‘syok sendiri’, sebaliknya sukan yang dipertandingkan di pentas Olimpik akan menjadi keutamaan.

Ketika ini, kerajaan Malaysia bersama beberapa negara di rantau ini seperti Thailand dan Singapura bersetuju untuk memberi fokus yang lebih kepada sukan-sukan yang dipertandingkan di peringkat tertinggi.

“Saya difahamkan bahawa bagi Thailand (tuan rumah Sukan Sea 2025), Malaysia dan Singapura (tuan rumah Sukan Sea 2029) sudah ada persefahaman bahawa asasnya adalah sukan-sukan Olimpik.

“Kita akan lihat sukan-sukan yang akan dipertandingkan oleh Thailand pada hujung tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia memaklumkan bahawa satu perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meneliti acara sukan yang bersesuaian untuk dipertandingkan, agar Malaysia tidak menjadi ‘jaguh kampung’ pada Sukan Sea 2027 nanti.

SESI TOWNHALL KETUA PENGARAH MSN BERSAMA JURULATIH

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Jefri Ngadirin hari ini mengadakan sesi townhall bersama jurulatih bagi program podium, pelapis kebangsaan, para podium dan para pelapis kebangsaan.

Tujuan utama sesi ini diadakan adalah untuk membuka ruang dialog dua hala antara pihak pengurusan tertinggi MSN bersama barisan jurulatih negara.

Sesi dua jam yang diadakan di Dewan Banquet Casa 4 ini turut dihadiri Pengarah Bahagian Para, Encik Joherman Amir.

‘Pemain sekarang manja’ – Chong Wei

Kuala Lumpur: Bekas legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap pemain yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat membuktikan sesuatu dengan menampilkan prestasi cemerlang terlebih dahulu dalam setiap kejohanan sebelum meminta gaji yang tinggi.

Jelasnya, sekiranya mereka dapat melakukan perkara berkenaan, beliau yakin BAM akan bersikap terbuka dan cuba mencari jalan untuk memastikan permintaan itu dapat ditunaikan demi kebaikan kedua-dua pihak.

Namun begitu, ada sesetengah pemain gagal membuktikan prestasi yang konsisten tetapi tetap mahu sesuatu yang lebih tinggi daripada apa yang mereka sumbangkan dalam kejohanan yang disertai.

“Saya tak nak cakap pemain tak boleh minta gaji tinggi, boleh. Tapi yang penting, mereka perlu buktikan terlebih dahulu melalui keputusan yang baik untuk persatuan.

“Sekiranya boleh, saya yakin itu tidak akan jadi masalah. Tapi saya nak cakap, pemain sekarang pun ada sedikit manja dalam hal ini. Kalau dia ada keputusan (positif) dan dia minta gaji tinggi, saya fikir persatuan akan bantu pemain ini melalui penaja.

“Tapi sekarang ada pemain belum sampai tahap itu, tapi sudah minta gaji tinggi. Kalau tak dapat, terus nak jadi pemain profesional,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Turut hadir ialah Menteri KBS, Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr K Nagulendran, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Selain itu, Chong Wei juga berharap kepimpinan baharu BAM nanti dapat meneliti semula isu gaji pemain dan melakukan perubahan ke arah yang lebih positif.

“Kita harap apabila BAM beralih kepada struktur baharu nanti dan ada ketua baharu, dia boleh bawa perubahan ke tahap yang lebih baik untuk BAM dan berikan yang terbaik kepada atlet semula.

“Saya harap BAM akan beri fokus kepada penyediaan fasiliti, khidmat sokongan dan program pembangunan atlet yang lebih menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, terdapat pemain daripada BAM yang dikhabarkan meminta kenaikkan gaji dan paling terbaharu, beregu wanita negara, Pealry Tan- M Thinaah.

Disebabkan itu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memberikan tempoh masa untuk berfikir mengenai hala tuju mereka sama ada masih mahu terus kekal bernaung di bawah BAM ataupun memilih bergelar pemain profesional.

KRM perlu serius rangka liga lebih kompetitif

Kuala Lumpur: Kegagalan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam menyediakan liga yang kompetitif dilihat menjadi faktor utama skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara tidak dapat menampilkan persembahan cemerlang pada aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025, Sabtu lalu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM), Dr Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin, berkata dalam perlawanan itu dapat dilihat beberapa kesilapan yang sepatutnya boleh diatasi sekiranya setiap pemain benar-benar bersedia ketika menentang Sri Lanka.

Jelasnya, untuk mendapatkan pemain yang mantap bagi setiap posisi, sudah pasti ia memerlukan aksi liga atau kejohanan di peringkat negeri agar jurulatih negara mempunyai lebih banyak pilihan pemain.

“Setiap pemain sudah menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan menentang Sri Lanka, tetapi mereka kekurangan aksi liga atau minit permainan. Sepatutnya, setiap negeri perlu mengaktifkan liga masing-masing agar pasukan 15s ini dapat bermain lebih banyak perlawanan.

“Dua atau tiga pasukan terbaik daripada setiap negeri pula boleh layak beraksi di peringkat kebangsaan. Dari situ, pemain akan beraksi dalam lebih banyak perlawanan dan barulah jurulatih dapat memilih pemain dalam kalangan yang terbaik untuk membentuk sebuah pasukan yang kukuh.

“Ketiadaan pasukan pelapis kebangsaan dari umur 17, 19, 21 dan 23 tahun. Sebaliknya, yang berlaku ialah beberapa pemain terus diserap ke dalam pasukan senior, menyebabkan mereka kurang pendedahan yang sepatutnya di peringkat remaja,” katanya kepada Arena Metro.

Justeru, beliau berharap KRM boleh bergerak lebih aktif dengan menyediakan kalendar kejohanan yang lebih tersusun, kerana ia dapat membantu jurulatih mencari dan membentuk pemain yang lebih berkualiti.

“Contohnya, kalau mereka sudah tahu bulan April ada perlawanan kelayakan (ARC), maksudnya tahun sebelumnya pun mereka sudah sepatutnya merancang bila liga harus dijalankan. Wajibkan negeri-negeri mengadakan pertandingan, dan dari situ kita akan ada ramai pemain.

“Untuk mencapai ‘peak’ (kemuncak prestasi), perancangan periodization yang sistematik diperlukan di dalam perancangan jadual kejohanan tahunan dari peringkat KRM.

“Cadangan saya adalah wujudkan jawatankuasa pertandingan dan libatkan komuniti yang arif dalam bidang sains sukan untuk membantu menjayakan perancangan tersebut.

“Paling penting, rancang mengikut keperluan pasukan kebangsaan. Selepas ini, pasukan 7s pula akan menghadapi Sukan Sea. Kejohanan untuk 7s biasanya lebih banyak berbanding 15s,” katanya.

Terdahulu, impian skuad ragbi Malaysia untuk kekal beraksi dalam Divisyen7 Premier ARC 2025 musnah selepas tewas kepada juara Divisyen Satu Sri Lanka, 19-59 dalam perlawanan playoff pada aksi yang berlangsung di Racecourse Stadium, Colombo pada 19 April lalu.

Majlis Sukan Negara Malaysia