Program Jelajah Juara E-Sports Malaysia edisi Negeri Pulau Pinang bersama Persatuan E-Sports Pulau Pinang telah berlangsung pada 5 & 6 Disember 2023 bertempat di Esports Youth Cabin, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Program Jelajah Juara E-Sports Malaysia ini merupakan kerjasama di antara Majlis Sukan Negara dan Persatuan E-Sports negeri bertujuan untuk melahirkan juara-juara baru bagi sukan elektronik di Malaysia.
Majlis perasmian penutup telah di sempurnakan oleh Puan Natrah Binti Esa, Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Pulau Pinang.
Teruskan bersama kami untuk melihat perjalanan program ini dan anda mungkin juara yang kami cari!
Karnival Bakat Sukan Para MSN – KPM 2023 anjuran Bahagian Para, Majlis Sukan Negara Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 5 – 7 Disember 2023 bertempat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik (PKSP), Kg. Pandan, Kuala Lumpur telah melabuhkan tirainya hari ini.
Pengisian program karnival kali ini terdiri daripada sesi bateri ujian dalam kalangan atlet dan diakhiri dengan mini pertandingan. Karnival yang melibatkan enam jenis sukan iaitu para olahraga, para badminton, para ping pong, para powerlifting, para memanah dan boccia telah disertai oleh 16 kontinjen yang terdiri daripada 13 kontinjen negeri dan tiga kontinjen Wilayah Persekutuan; Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Seramai 201 atlet (137 lelaki / 64 wanita) dengan pecahan ketidakupayaan penglihatan 39 orang, ketidakupayaan fizikal 57 dan ketidakupayaan pembelajaran 105 orang serta 88 guru pengiring terlibat dalam karnival tersebut.
KUALA NERUS: Terengganu akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Ogos tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata ia termasuk 28 sukan wajib dan sembilan acara sukan pilihan iaitu catur, e-sport, kabaddi, kriket, muaythai, pentanque, silambam, sofbol dan tinju. “Kontinjen SUKMA Terengganu akan menyertai semua jenis sukan yang dipertandingkan kecuali bola keranjang atas sebab tertentu,” katanya pada Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu SUKMA XXl Sarawak 2024, di sini pada Rabu. Hishamuddin berkata ketika ini kira-kira 700 atlet sedang menjalani latihan fasa dua yang memfokus kepada penyertaan atlet di seberapa banyak pertandingan atau kejohanan di serata tempat sama ada dalam mahupun di luar negara. Menurutnya, 35 peratus daripada 700 atlet berkenaan pernah bertanding pada SUKMA 2022 manakala selebihnya diisi oleh muka-muka baharu. “Keberkesanan pemilihan atlet baharu yang menjalani latihan intensif bagi mengisi dua per tiga kekosongan skuad yang ditinggalkan atlet lama menjadi faktor utama dalam menentukan kejayaan kontinjen Terengganu pada SUKMA tahun hadapan. “Tempoh 255 hari menjelang SUKMA adalah masa terbaik untuk memperkemas dan melaksanakan secara serius strategi-strategi yang telah digariskan,” katanya. Selain itu, Hishamuddin turut menyarankan barisan jurulatih supaya lebih teliti dalam aspek pemilihan pertandingan sukan di luar negara agar bersesuaian dengan keperluan serta tahap atlet terutama yang melibatkan sasaran pingat emas. Katanya, selepas memasuki fasa ketiga, penyertaan skuad SUKMA bagi kejohanan dalam negara perlu dikurangkan bagi memastikan keupayaan atlet tidak dihidu pasukan negeri lain. “Semua pihak perlu memastikan moral dan prestasi atlet sentiasa berada pada tahap terbaik untuk kita merampas semula gelaran juara SUKMA tahun depan,” katanya. Pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, Terengganu muncul sebagai naib juara selepas mengutip 64 pingat emas; pingat perak (49 pingat) dan pingat gangsa (55 pingat).– BERNAMA
Sekitar hari pertama Karnival Bakat Sukan Para MSN-KPM 2023 bertempat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg. Pandan. Penglibatan atlet terdiri daripada 201 orang iaitu 137 lelaki dan 64 wanita.
KBS di bawah pimpinan YB Hannah Yeoh dan YB Adam Adli selaku Menteri dan Timbalan Menteri bersama-sama YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS sentiasa komited dalam membawa pembaharuan demi memperkasakan belia dan sukan serta pemegang taruh kementerian.
Inisiatif Merakyatkan Sukan & Fasiliti, Memperkukuhkan Ekosistem Sukan dan Memperkasakan Belia MADANI merupakan tiga inisiatif yang telah dilaksakan dalam tempoh setahun.