Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK SUKMA DAN PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024

Hari ini telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Induk sempena SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Riverside Majestic Hotel, Kuching

Mesyuarat telah dipengerusikan bersama oleh YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.

Mesyuarat ini terarah kepada Laporan Sekretariat Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 yang melibatkan 25 Jawatankuasa Kerja SUKMA dan Para SUKMA.

YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN turut hadir ke mesyuarat ini.

Jun Hao ‘ajar’ Ginting main badminton

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mencipta sensasi di Terbuka Singapura.

Dia merekodkan kemenangan terbesar musim ini apabila menyingkirkan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia di pusingan kedua kejohanan, hari ini.

Jun Hao yang berada di kedudukan ke-36 dunia itu menampilkan aksi ‘kelas A’ untuk mengatasi jaguh Indonesia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia, Anthony Sinisuka Ginting bagi mengesahkan tiket ke suku akhir.

Pada aksi di Stadium Tertutup Singapura itu, Jun Hao yang juga bekas juara remaja Asia bermula baik apabila menang 21-14 di set pertama.

Namun, Ginting yang juga juara berganda Terbuka Singapura pada 2022 dan 2023 kembali bangkit dengan permainan yang lebih kemas untuk memenangi set kedua 21-10 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Jun Hao bagaimanapun kembali mempamerkan ‘taringnya’ apabila mempamerkan dominasi pada aksi set ketiga dengan hanya ‘membenarkan’ Ginting mengutip lapan mata untuk melakar kemenangan 21-8 dalam tempoh 60 minit.

“Secara keseluruhan saya bermain dengan agresif sepanjang perlawanan hari ini.

“Sudah tentu saya sangat gembira berjaya memenangi perlawanan hari ini kerana ini adalah pencapaian besar untuk saya.

“Saya pernah bertemu Ginting dua kali sebelum ini dan tampil sebagai underdog. Kali ini, saya lebih bersedia untuk berdepan Ginting.

“Sebelum ini dia sentiasa agresif dan saya akan ketinggalan. Hari ini saya berasa lebih positif dan lebih proaktif. Tidak mudah untuk dia untuk sentiasa melakukan serangan kerana saya dapat mengawal permainan,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan sulung Jun Hao ke atas Ginting selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini – Terbuka Hong Kong 2023 dan Terbuka India 2024.

Ia akan menjadi penampilan kedua Jun Hao di suku akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas turut melakukannya di Masters Sepanyol, Mac lalu.

Pada saingan Masters Malaysia, minggu lalu, Jun Hao terkandas di pusingan kedua selepas tunduk di tangan pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng.

Jun Hao akan menentang pemenang perlawanan antara juara Masters Malaysia yang juga pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dengan pemain Taiwan, Li Chun Yi bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.-Berita Harian

MESYUARAT LEMBAGA PENGURUSAN MSN PENGGAL KE-24 KALI PERTAMA

Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN Penggal ke-24 kali pertama telah dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan pada 30 Mei 2024, bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Mesyuarat yang diadakan secara rutin pada setiap bulan itu, antara lain turut membincangkan perkara berkaitan kertas cadangan baju perbarisan Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024 dan lain-lain perkara berbangkit.

SPORTS ICON TOUR BERSAMA IKON SUKAN GIMRAMA IZZAH AMZAN

Bersempena kem bakat gimrama yang diadakan dari 27 hingga 30 mei 2024, cawangan wanita dalam sukan mengambil peluang menganjurkan jelajah ikon sukan 2024 bersama personaliti gimrama negara izzah amzan di gimnasium 1, bukit jalil.

Siri pertama jelajah ikon tahun ini menyaksikan seramai 35 orang atlet dan 13 jurulatih hadir memeriahkan program ini bagi tujuan interaksi, serta menimba pelbagai pengetahuan dan pengalaman bermakna daripada ikon jemputan itu sendiri sepanjang bergelar atlet negara.

KURSUS SAINS SUKAN TAHAP SATU SIRI 2/2024

BUKIT JALIL – Kursus Sains Sukan Tahap Satu Siri II anjuran bersama MACE dan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan sedang berlangsung dari 27 hingga 31 Mei 2024.

Kursus yang diadakan khas untuk atlet negara diadakan di Bilik Merpati Casa 1 menyaksikan penyertaan 28 orang atlet termasuk atlet-atlet dari Program Para.

Bagi peringkat Sijil Tahap 1, para peserta perlu melengkapkan silibus yang disampaikan oleh penceramah kursus antaranya Anatomi Dan Fisiologi Sukan, Pemakanan Sukan, Suaian Fizikal, Biomekanik, Kompetensi Kejurulatihan serta lain-lain lagi.

Para peserta juga perlu menduduki peperiksaan diakhir kursus nanti untuk mendapatkan Sijil Sains Sukan Tahap Satu.

Olimpik Paris: Kini segalanya di tangan jurulatih, atlet

Kuala Lumpur: Lebih kurang dua bulan sebelum Sukan Olimpik Paris membuka tirainya, atlet yang berada dalam Road To Gold (RTG) ketika ini semakin gigih menjalani latihan bagi memastikan impian untuk membawa pulang emas pertama negara dapat direalisasikan.

Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa mengikuti persiapan setiap atlet agar proses latihan tiada sebarang masalah dan mereka semakin gigih berlatih dengan perancangan yang sudah diatur oleh jurulatih masing-masing.

Jelasnya, pihak RTG juga akan cuba sehabis baik membantu atlet yang terbabit dan Stuart yakin semua pihak ketika ini bekerjasama dengan baik untuk melihat atlet mereka dapat menampilkan prestasi cemerlang di Paris nanti.

“Semua atlet RTG kini berada dalam fasa persediaan mereka menuju ke Paris dan sekretariat kami sedang bekerjasama rapat dengan semua jurulatih dan persatuan mengenai rancangan mereka.

“Semua sokongan daripada RTG telah disediakan dan kami percaya kini ia berada di tangan jurulatih dan atlet untuk melakukan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Setakat ini atlet dari sukan badminton paling terbaharu mengesahkan tempat untuk bersaing di temasya terbesar dunia itu iaitu Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Terdahulu, beberapa atlet sudah mengesahkan penyertaan lebih awal, antaranya Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bagi acara pecut dan keirin serta Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran).

Mereka akan bersama-sama Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun) yang terlebih dahulu melayakkan diri ke Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.-Harian Metro

Layan muzik pop tenangkan Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memiliki petua tersendiri dalam mengawal perasaan gemuruh menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Nurul Izzah berkata, mendengar muzik pop satu daripada petua diamalkannya bagi menenangkan diri ketika memikirkan penampilan sulungnya pada pentas Olimpik yang berbaki kurang dua bulan lagi.

“Saya mahu kurangkan gemuruh kerana sebenarnya saya jangkakan beraksi pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles namun tanpa disangka dapat ke Paris 2024.

“Tidak dinafikan ini satu daripada detik terbaik dalam hidup saya dan perlu ubah mentaliti, tenang dan nikmati perlumbaan. Buat masa ini, saya dengar lagu pop selain lakukan latihan pernafasan kerana ia juga satu daripada teknik untuk kawal gemuruh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Atlet berusia 20 tahun dari Kedah pada masa sama berharap dapat meningkatkan tahap kekuatan otot pada sesi latihan fasa akhir Sukan Olimpik 2024 di Eropah bulan depan.

Pelumba yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketwoman’ itu berkata, dia perlu menjaga pemakanan dengan lebih menitikberatkan pengambilan protein bagi menguatkan ototnya untuk berentap dengan jaguh dunia di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines.

Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. – BERNAMA

Soon Huat-Shevon berdepan ujian getir

KUALA LUMPUR: Beregu campuran nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong bakal menjadi penentu kemaraan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di Terbuka Singapura 2024, esok.

Kedua-dua beregu ini dijadual berentap di pusingan kedua esok, selepas Soon Huat-Shevon yang melakar gelaran di Masters Malaysia minggu lalu menewaskan gandingan ke-47 dunia dari India, Sumeeth Reddy-Sikki Reddy 21-18, 21-19 di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.

Si Wei-Ya Qiong pula mara ke pusingan kedua selepas menerima ‘bye’ di pusingan pertama sekali gus menjadikan pertemuan antara dua beregu ini sebagai satu pertembungan epik dengan rekod kemenangan kesemuanya memihak kepada gandingan China, 11-0.

Kali terakhir kedua-dua pasangan ini bertemu adalah di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Dubai pada tahun lalu yang menyaksikan Si Wei-Ya Qiong meraih kemenangan straight set, 21-11, 21-13.

“Berdasarkan rekod pertemuan, kami tak pernah menang dengan mereka. Mereka pasangan yang sangat kuat, (daripada segi) kelajuan dan juga kekuatan.

“Jadi kami perlu konsisten, bersedia untuk melawan bukan sahaja daripada segi mental tetapi kelajuan dan kekuatan.

“Ia satu cabaran buat kami tetapi selagi kami memasuki gelanggang, kami akan buat yang terbaik… menang atau kalah kami tetap akan menikmati perlawanan,” kata Shevon.

Di Masters Malaysia minggu lalu, Soon Huat-Shevon mendedikasikan gelaran juara diraih sebagai hadiah perkahwinan mereka pada 4 Mei lalu apabila menewaskan gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19.

Soon Huat-Shevon hanya memerlukan 47 minit untuk menewaskan Rivaldy-Mentari, sekali gus menamatkan penantian wakil beregu campuran negara untuk menjuarai Masters Malaysia sejak kali terakhir dimenangi gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada tahun 2017.

Sebagai rekod, sejak digandingkan pada tahun 2016, Soon Huat-Shevon secara keseluruhannya sudah memenangi lima gelaran termasuk Terbuka Scotland pada tahun 2016 selain Terbuka Jerman dan Terbuka Singapura pada tahun 2018.-Berita Harian

Terbuka Singapura: Pearly-Thinaah terkandas, Tan Jie-Ee Wei mara

IMPIAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk mengulangi pencapaian pada Kejohanan Badminton Malaysia Master 2024 untuk ‘pergi jauh’ sehingga ke separuh akhir tidak kesampaian.

Pasangan di ranking ke-13 dunia itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal Terbuka Singapura lebih awal selepas tewas pada pusingan pertama sebentar tadi.

Mereka yang dalam rangka persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024 berbaki 59 hari lagi tidak mampu menghalang kemaraan pasangan nombor tiga dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang menang mudah 21-10, 21-10.

Pearly (kiri) dan Thinaah tewas kepada gandingan China dalam saingan pusingan pertama Terbuka Singapura pada Selasa. Foto Bernama

Pearly (kiri) dan Thinaah tewas kepada gandingan China dalam saingan pusingan pertama Terbuka Singapura pada Selasa. Foto Bernama

Pasangan dari China itu hanya memerlukan 35 minit dalam aksi di Stadium Tertutup Singapura untuk menumpaskan Pearly-Thinaah pada pertemuan kelima dengan rekod kemenangan kini memihak Sheng Shu-Tan Ning 3-2.

Bagaimanapun skrip berbeza buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menghadirkan khabar gembira buat peminat badminton tempatan.

Mereka berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-15, 21-17 dalam masa 30 minit permainan.

Menanti mereka pada pusingan 16 terbaik ialah pasangan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.-Sinar

‘Mental tak kuat, jangan layan media sosial’

KETUA Kontinjen Malaysia (CDM) ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan para atlet yang tidak kuat mental agar tidak melayan komen negatif warganet di media sosial menjelang 58 hari temasya itu membuka tirai pada 26 Julai ini.

Ini kerana kata beliau, pengaruh dan kritikan yang tidak membina di laman sosial boleh menjejaskan persiapan serta prestasi mereka yang bakal membawa cabaran besar negara di Paris.

“Saya katakan kepada mereka (atlet Olimpik), kalau anda tak kuat mental, jangan tengok media sosial.

“Seingat saya Datuk Lee Chong Wei (legenda badminton negara) pernah kata perkara macam ini,” katanya.

Justeru beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, adalah lebih baik mereka memberi fokus meningkatkan prestasi masing-masing untuk memberikan yang terbaik pada temasya terbesar dunia itu.

“Mereka cukup memahami, saya hanya katakan kalau mereka tidak mampu untuk hadapi warganet dan media sosial lebih baik fokus apa yang mereka patut buat (tingkat prestasi) dan beri yang terbaik di Paris,” katanya.

Kontinjen negara ke Paris bakal diketuai jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan pemain perseorangan badminton profesional, Lee Zii Jia.

Turut berada dalam senarai ke Paris 2024 adalah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama-sama penerjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Latif dan Khairulnizam Afendy (pelayaran).

Cabaran Malaysia juga bakal digalas oleh Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal trek) serta pelumba lebuh raya wanita, Nur Aisyah Zubir.

Kem badminton turut disertai Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita).-Sinar

Majlis Sukan Negara Malaysia