Majlis Sukan Negara Malaysia
Kesihatan Wan Arif jadi tanda tanya

Kuala Lumpur: Persiapan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi–Yap Roy King dilihat sedikit terganggu selepas salah seorang pemain mengalami masalah kesihatan sebelum Kejohanan Dunia 2025 bermula Isnin depan.

Namun begitu, jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyatakan demam yang dialami oleh Wan Arif tidak begitu membimbangkan apabila pemain itu sudah mula mengikuti latihan pada hari ini.

Situasi itu sedikit sebanyak memberi kebimbangan kepada jurulatih kelahiran Indonesia itu kerana Wan Arif–Roy King perlu turun di pusingan pertama menentang wakil Jepun, Kenya Mitsuhashi–Hiroki Okamura.

“Arif demam dan selsema, jadi dia tidak dapat berlatih pada Isnin. Hari ini dia sudah kembali berlatih bersama-sama yang lain tetapi hanya mampu mengikuti dua daripada program latihan yang dirancang.

“Keadaannya masih belum 100 peratus namun diharapkan esok dia boleh pulih sepenuhnya agar dia betul-betul cergas sebelum pertandingan bermula di Paris.

“Kalau tanya saya sama ada bimbang atau tidak, semestinya saya bimbang. Tetapi melihat keadaannya hari ini, saya masih percaya dia boleh bermain. Harap-harap dia segera pulih,” katanya.

Semalam, pemain kelahiran Kelantan itu tidak dapat mengikuti latihan kerana keadaan dirinya itu dan Herry terpaksa memantau secara rapat situasi berkenaan.

Selain itu, Herry berpendapat wakil negara itu kini berada dalam prestasi baik selepas meraih kejuaraan Jelajah Dunia pertama mereka di Terbuka Macau awal bulan ini.

“Pada tahap ini, jurang antara pasangan adalah sangat kecil. Siapa yang lebih cergas serta lebih bersedia dari segi mental dan fizikal, itulah yang akan mendapat kelebihan. Sebab itu pemulihan Arif sangat penting,” katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara beregu lelaki di Kejohanan Dunia adalah pada 2022 menerusi Aaron Chia–Soh Wooi Yik di Tokyo.

‘Naga Api’ fokus analisis video, buru ramuan terbaik

Kuala Lumpur: Menjelang beberapa hari sebelum Kejohanan Dunia 2025, beregu lelaki negara terus meningkatkan intensiti latihan selain diberikan pendedahan secara terperinci melalui rakaman video dan analisis taktikal untuk mencari strategi yang lebih ampuh ketika berdepan lawan di pertandingan itu.

Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, beliau melihat itu adalah salah satu cara untuk mengenal pasti secara lebih dekat kekurangan dan kelemahan pasukan lawan supaya pasangan negara dapat mengambil kelebihan ke atas mereka.

Katanya, kemungkinan beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berjumpa pilihan China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dan disebabkan itu, perbincangan secara terperinci dilakukan melalui beberapa pertandingan sebelum ini menerusi video.

“Mereka sudah sering berjumpa di pertandingan sebelum ini tetapi kita mesti menggunakan video analisis supaya mengetahui kelebihan, kekurangan lawan, kekurangan kita dan di mana harus diperbaiki. Kita juga akan berbincang mengenai strategi yang perlu digunakan nanti.

“Kita hanya akan melihat video itu kira-kira tiga ke empat bulan yang lalu. Maksudnya video yang membabitkan pemain di Terbuka Jepun dan Terbuka China. Sebab kalau kita lihat corak permainan di kejohanan yang sudah lama, mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk berlatih meningkatkan corak permainan,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan pertemuan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di suku akhir, Herry atau lebih dikenali sebagai Naga Api itu mengetahui cabaran getir bakal dihadapi tetapi tetap yakin pemain negara itu boleh memberikan tentangan sengit.

“Sebab itu kita buat analisis ke atas Won Ho-Seung Jae kerana mereka tewas di suku akhir Terbuka Jepun. Jadi kita tengok corak permainan mereka, set pertama kalah, set kedua menang macam mana.

“Jadi melalui video itu, mereka mengetahui sekiranya nak menang, perlu bermain seperti ini dan kalau kita bermain mengikut cara ini, kita akan kalah. Sebab itu situasi seperti ini amat penting untuk pemain dan jurulatih,” katanya.

Kejohanan Dunia itu bakal bermula minggu depan menyaksikan Malaysia menurunkan pasangan teramai dengan empat beregu lelaki menerusi Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King serta pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Hoe Yean sandaran renang di Thailand 2025

SKUAD renang negara tiada pilihan selain menyandarkan harapan kepada Khiew Hoe Yean untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 Disember depan, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM

Sasaran tersebut dilihat sebagai realistik selaras dengan proses pembangunan semula skuad renang negara dijangka mengambil masa yang panjang.

Timbalan Presiden Akuatik Malaysia (MAS), Marilyn Chua berkata, peluang emas turut dilihat dalam acara 4×200 meter (m) gaya bebas lelaki dan 4x100m gaya ganti wanita selain mengakui saingan acara individu terlalu sengit.

Perenang berusia 22 tahun itu dijangka menjadi pencabar utama dalam acara 200m dan 400m gaya bebas di Thailand nanti.

“Hoe Yean adalah perenang utama kita dan semestinya kita bergantung harap kepadanya untuk bawa pulang emas,” katanya.

Hoe Yean cemerlang pada dua temasya lalu apabila mengungulli acara 200m pada edisi 2021 di Hanoi dan Phnom Penh 2023.

Malah ia menjadi satu-satunya emas renang negara pada kedua-dua edisi tersebut.

Marilyn memberitahu, MAS masih dalam fasa membina semula program pembangunan renang negara dari awal dengan jurulatih baharu, satu proses jangka panjang yang dijangka hanya membuahkan hasil dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.

“Matlamatnya adalah untuk mempunyai kekuatan yang lebih mendalam dan tidak perlu bergantung kepada hanya seorang perenang untuk memenangi pingat emas untuk kita,” katanya.

MAS akan menghantar kontinjen besar ke Sukan SEA Thailand merangkumi 27 perenang, enam penerjun, 17 perenang artistik, 14 pemain polo air dan lima perenang perairan terbuka.

Siri Jelajah Australia 60 peratus capai objektif

PENGENDALI skuad hoki remaja lelaki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menilai The Young Tigers berjaya mencapai 60 peratus objektif ditetapkan sepanjang Siri Jelajah Australia yang berakhir pada Jumaat.

Meskipun gagal menepati sasaran kemenangan sekurang-kurangnya tiga daripada empat perlawanan, bekas pemain negara itu menegaskan lawatan berkenaan memberi pengalaman berharga khususnya dalam menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas pasukan lawan.

“Tujuan utama adalah melihat permainan pantas Australia dan bagaimana kita menyesuaikan diri. Saya boleh katakan 60 peratus objektif tercapai,” katanya kepada Sukan Sinar.

Mengulas aspek pertahanan, Nor Saiful berkata, barisan benteng negara menunjukkan aksi baik walaupun tewas 0-4 dalam perlawanan terakhir, namun kemahiran membantu serangan perlu dipertingkatkan.

“Dalam hoki moden, pemain pertahanan perlu naik membantu serangan. Itu yang kita perlu perbaiki.

“Bagaimanapun keupayaan menjaringkan gol masih menjadi kelemahan utama terutama apabila berdepan pasukan berstatus tinggi. Ketiadaan penyerang utama, Mohammad Harris Iskandar Osman, akibat kecederaan turut menjejaskan penyudah pasukan.

“Banyak peluang disia-siakan terutamanya menentang Western Australia dalam aksi terakhir,” katanya.

Menurut Nor Saiful, antara pembelajaran terbesar di Australia ialah pendedahan terhadap kelemahan-kelemahan skuad remaja negara yang perlu diperbaiki segera menjelang Piala Dunia Remaja di Chennai pada hujung November.

Bagaimanapun beliau tidak merancang melakukan rombakan besar dalam senarai pemain sebaliknya hanya kemungkinan menggugurkan seorang atau dua pemain.

Fasa seterus jelas Nor Saiful, skuad remaja akan mengharungi Jelajah China pada 8 September membabitkan lima perlawanan berkualiti sebelum beraksi di Piala Sultan Johor pada Oktober sebagai persediaan terakhir ke Piala Dunia.

SIRI JELAJAH AUSTRALIA

Keputusan

Young Tigers 4-3 UWA Hockey Team

Young Tigers 0-1 Perth Thundersticks

Young Tigers lwn 0-4 Thundersticks

BATAL

Young Tigers lwn Westside Wolves

Aira pertahan gelaran, Duncan cipta kejutan

Kuala Lumpur: Pemain wanita negara, Aira Azman mengukuhkan penguasaannya selepas merangkul gelaran ketiga berturut-turut pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2025 di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

Pada edisi ke-40 kejohanan itu, juara bertahan berusia 20 tahun berkenaan menewaskan kakaknya Aifa, 23, dengan keputusan 8-11, 11-5, 9-11, 11-6, 11-8 pada aksi akhir kategori wanita.

“Saya sangat gembira dengan corak permainan hari ini walaupun berdepan kakak buat kali kedua di pentas kebangsaan. Ia memang perlawanan yang cukup mencabar dan saya amat berpuas hati dapat meraih gelaran ketiga kebangsaan,” katanya menerusi rakaman suara yang dikongsi kepada pemberita.

Sementara itu, Duncan Lee mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran pertama pada Kejohanan Kebangsaan selepas menewaskan Sanjay Jeeva dalam pertembungan sengit kategori lelaki.

Pemain berusia 23 tahun itu mengesahkan kemenangan straight set dengan keputusan 11-9, 11-8, 11-8.

“Ini detik yang sungguh luar biasa bagi saya. Saya bukan sebahagian daripada program podium, jadi saya amat gembira dapat menewaskan semua pemain program podium. Sasaran saya tahun ini ialah menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik dunia dan saya juga berharap dapat beraksi pada Sukan SEA,” katanya.

Ini hanya kerja sukarela saya tak dibayar gaji – Chong Wei

Kuala Lumpur: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan faktor utama dia bersetuju menerima pelantikan sebagai Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah untuk membalas semula jasa badan induk itu yang menjadi watak penting dalam membentuknya sebagai legenda dunia.

Chong Wei, 42, yang mengumumkan persaraan pada 2019 berkata, pengorbanan BAM sepanjang kariernya terlalu besar untuk dilupakan, sekali gus membuatkan dia berasa terpanggil untuk kembali menyumbang dalam kapasiti berbeza.

“BAM sudah banyak membantu saya sepanjang karier sebagai pemain. Pelantikan ini saya anggap sebagai ‘payback’ kepada negara dan juga BAM.

“Apa saja yang saya mampu bantu, saya akan kongsikan untuk kepentingan skuad badminton kebangsaan,” katanya.

Hubungan baiknya dengan Presiden baharu BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menjadi pemangkin kepada kesediaannya menyertai barisan kepimpinan baharu itu.

“Sejak awal lagi Tengku Zafrul kerap berbincang dengan saya, malah beliau mendengar pandangan bukan sahaja daripada pemain tetapi juga jurulatih dan pengamal media.

“Beberapa minggu lalu beliau mengusulkan supaya saya menyertai Majlis BAM untuk membantu pasukan negara meningkatkan prestasi,” jelas Chong Wei.

Bagaimanapun, Chong Wei mengakui dia mengambil masa untuk menimbang keputusan itu memandangkan kini sudah memegang beberapa jawatan lain termasuk Ahli Jawatankuasa Road To Gold (RTG), Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Duta Sukan Johor.

Chong Wei turut menepis persepsi bahawa pelantikan ke jawatan dalam badan sukan utama negara memberi pulangan kewangan lumayan.

“Ramai ingat duduk dalam MSN atau BAM dapat gaji tinggi, tapi sebenarnya tidak. Semua ini adalah sukarela, sama seperti presiden. Tujuan saya bukan kerana habuan, sebaliknya mahu memberi semula kepada negara dan membantu generasi pemain baharu,” katanya.

Mengulas mengenai tiga sasaran utama BAM di bawah kepimpinan Tengku Zafrul iaitu menjuarai Piala Thomas 2026, memburu emas Olimpik Los Angeles 2028 dan melahirkan sekurang-kurangnya tiga pasangan atau pemain nombor satu dunia menjelang 2030, Chong Wei menyifatkan ia satu hala tuju jelas yang wajar dipuji.

“Bagi saya ini perkembangan positif kerana semua pihak iaitu pemain, jurulatih dan pegawai mempunyai hala tuju yang sama. Untuk capai kejayaan, kita kena kerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Chong Wei menegaskan beliau akan memberi sumbangan sebaik mungkin untuk membantu BAM kembali mengembalikan kegemilangan badminton negara di persada dunia.

Malaysia rangkul dua gelaran di Cabaran Antarabangsa

Kuala Lumpur: Malaysia muncul juara keseluruhan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2025 selepas merangkul dua kejuaraan di Arena Badminton Perak, hari ini.

Malaysia meraih kemenangan dalam acara beregu campuran dan perseorangan lelaki, namun peluang menambah gelaran ketiga dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian selepas tunduk di final.

Dalam aksi beregu campuran, gandingan bukan pilihan, Tan Zhi Yang-Nicole Tan membuktikan kemenangan mereka ke atas pilihan utama Indonesia, Zaidan Arrafi Awal Nabawi-Jessica Maya Rismawardani sebelum ini bukan sekadar nasib apabila menewaskan lawan juga dari Indonesia, Kenzie Yoe-Luna Rianty Saffana di pentas akhir.

Zhi Yang-Nicole, yang juga separuh akhir Terbuka Slovakia tahun ini, beraksi cemerlang untuk menamatkan cabaran Kenzie-Luna dalam masa hanya lebih setengah jam dengan keputusan 16-14, 15-10.

Seperti dijangka, final perseorangan lelaki menyaksikan pertembungan sesama Malaysia apabila pemain berusia 20 tahun, Eogene Ewe menambah koleksi gelaran selepas kejayaannya di Terbuka Slovenia dengan menewaskan rakan senegara, Jan Jireh Lee.

Namun Eogene yang juga pilihan kedua, terpaksa berhempas pulas selepas Jan Jireh bermula garang memenangi set pertama 15-8.

Kekalahan itu membangkitkan semangat Eogene untuk bangkit cemerlang pada set kedua dengan kemenangan 15-7 sebelum menamatkan aksi sengit set ketiga 15-13 untuk menjulang kemenangan.

Harapan Malaysia untuk menambah gelaran ketiga menerusi beregu lelaki bagaimanapun tidak kesampaian apabila pasangan negara, Muhammad Faiq-Lok Hong Quan yang juga pilihan kedua tunduk kepada gandingan utama Jepun, Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate.

Meskipun berhempas pulas, Faiq-Hong Quan yang juga juara Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia tahun lalu dan pemenang emas Sukan Malaysia itu terpaksa akur dengan kekalahan 7-15, 9-15 dalam tempoh 26 minit.

Khe Wei yakin Pearly-Thinaah raih pingat Kejohanan Dunia

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi pasangan pertama negara memenangi pingat di Kejohanan Dunia di Paris yang akan bermula pada 25 Ogos nanti.

Bekas pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan prestasi beregu nombor dua dunia itu dilihat berada di landasan terbaik dan mampu untuk melangkah ke pentas final pada pertandingan itu nanti.

“Sebenarnya, kita melihat ke hadapan, mereka mempunyai persembahan yang baik terutamanya tahun ini dan cukup konsisten dalam kejohanan yang disertai. Jadi, saya harap Pearly-Thinaah akan memenangi pingat pertama untuk Malaysia terutama bagi beregu wanita kerana belum ada lagi dari kategori ini menang medal di pentas dunia itu.

“Sejujurnya, saya juga sangat menyukai persembahan mereka kerana permulaan mereka pada tahun ini amat bagus dan dapat mengekalkan corak permainan itu dengan baik,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Sukan Antarabangsa Medalist di Puchong, hari ini.

Untuk makluman, pusat latihan badminton itu bakal beroperasi secara profesional dengan kelengkapan lengkap agar pemain yang dilatih dapat melalui proses yang betul.

Malah, dia juga bercita-cita untuk melahirkan pemain pada masa hadapan yang boleh membantu Malaysia memenangi pingat di pentas Olimpik.

Selain itu, Khe Wei yang pernah beraksi di Olimpik Rio de Janeiro 2016 berharap juara Terbuka Thailand itu akan memberikan fokus kepada lawannya secara berperingkat selain tidak ambil mudah siapa yang mereka akan hadapi nanti kerana itu boleh menjerat diri sendiri.

“Apa yang saya fikir adalah keyakinan diri mesti kena ada selain mereka perlu fokus kepada setiap perlawanan kerana jika terlalu yakin pun, akan hancur juga.

“Tetapi saya rasa mereka sudah melakukan persediaan bukan sahaja dari segi mentaliti tetapi juga secara fizikal. Saya percaya mereka juga bersedia untuk beraksi di Kejohanan Dunia itu.

“Saya juga gembira melihat mereka lebih baik daripada saya kerana di Malaysia, sangat sukar untuk mencari beregu wanita yang boleh beraksi dengan sangat baik,” katanya.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran untuk melihat sekurang-kurangnya dua wakil negara ke pentas final dan cabaran itu bakal digalas oleh Pearly-Thinaah dan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Untuk rekod, pada edisi 2023 di Denmark, perjalanan mereka terhenti di suku akhir selepas tewas kepada wakil China, Zheng Shu Xian-Zheng Yu 21-17, 17-21, 19-21.

Beri Chong Wei kuasa penuh – Boon Heong

Kuala Lumpur: Bekas pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Boon Heong berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memberi kuasa penuh kepada Datuk Seri Lee Chong Wei untuk merencanakan segala perancangannya tanpa diganggu oleh sesetengah pihak.

Jelasnya, perkara itu amat penting agar bekas pemenang tiga pingat perak Olimpik itu boleh bergerak dengan ideanya sendiri sekali gus mencurahkan kembali segala pengalaman yang beliau ada kepada pemain muda negara.

Namun, sekiranya BAM tidak melakukan perkara itu dan sekadar meletakkan nama bekas pemain nombor satu dunia itu dalam barisan ahli majlis, ia dilihat satu kerugian amat besar buat kem badminton negara.

“Saya fikir, kemasukan Chong Wei ke dalam BAM, memang boleh bantu BAM tapi kita kena tengok apakah beliau boleh melakukan perubahan itu atau tidak. Kalau ambil Chong Wei sekadar untuk hadir ke mesyuarat sahaja, saya rasa tiada gunanya.

“Sebab kalau beliau sudah berada di dalam BAM, perlu berikan beliau kuasa untuk mengurus dan merancang semua program kerana Chong Wei tahu dari A sampai Z. Jadinya, dengan pengalaman yang beliau ada, saya harap beliau boleh mengurus dengan sebaik mungkin,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Sukan Antarabangsa Medalist di Puchong, hari ini.

Justeru, kembalinya pemain kelahiran Pulau Pinang itu adalah dengan tujuan yang sangat penting iaitu membantu Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk capai sasaran yang disasarkan seperti memenangi Piala Thomas pada 2026, memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2028 selain memastikan wakil negara berada di ranking nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori.

Untuk makluman, Chong Wei bakal diberikan tanggungjawab penting bagi memastikan sukan badminton negara mampu melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti di pentas dunia.

Dengan pengalaman selaku pemain nombor satu dunia selain berjaya merangkul pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa, ini adalah masa terbaik untuk beliau berkongsi semula ilmunya kepada pemain terutama kategori perseorangan lelaki negara.

BAM rancang rekrut pemain seawal usia 13 tahun

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal melakukan perubahan dari segi pemilihan atlet ke program pembangunan remaja apabila selepas ini seawal usia 13 tahun, mereka akan diserapkan kembali ke kem kebangsaan dalam usaha melahirkan pemain yang lebih berkualiti.

Menurut Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, cadangan itu turut mendapat persetujuan daripada barisan jurulatih kerana untuk melahirkan seseorang pemain, ia memerlukan masa dan jika bermula agak lewat, kesannya pasti dirasai oleh individu berkenaan apabila melangkah ke pasukan senior.

Katanya, sebelum ini BAM memberi tumpuan dengan cara memilih pemain berusia 16 tahun untuk dimasukkan ke program namun ia dilihat sedikit lewat dan disebabkan itu, badan induk itu perlu kembali ke idea asalnya iaitu merekrut atlet seawal usia 13 tahun.

“Itu pandangan saya. Saya sudah bentangkan kepada majlis. Sekarang saya beri mereka masa untuk menilai, dan saya akan terus berbincang dengan mereka. Memang ada pro dan kontra, tetapi bagi saya masuk akal untuk kita bermula semula dan memberi tumpuan kepada pemain lebih muda.

“Jurulatih juga menekankan perkara sama, anda tidak boleh mengharapkan hasil segera jika tidak mempunyai asas pembangunan akar umbi yang kukuh,” katanya selepas mesyuarat majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.

Untuk makluman, tujuan utama idea itu dibawa oleh Zafrul adalah berikutan prestasi pemain muda negara yang kurang memuaskan di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 apabila gagal membawa pulang sebarang pingat.

Tambahnya, apa yang ingin dilakukan itu turut mendapat sokongan penuh daripada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.

Sebelum ini, Jonassen pernah menyatakan kegagalan barisan pemain di Indonesia itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana itulah kemampuan pemain negara yang ada ketika ini. Beliau mengakui mengharapkan pencapaian yang lebih baik, namun realiti di gelanggang menunjukkan sebaliknya.

Majlis Sukan Negara Malaysia