Majlis Sukan Negara Malaysia
Qurratu’Ain buru kejayaan di depan penyokong sendiri

Petaling Jaya: Selepas merangkul lima emas pada Kejohanan Remaja Asia di Doha bulan lepas, Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi berharap dapat mengekalkan momentum prestasinya bagi meraih kejayaan dalam Kejohanan Boling Tenpin Remaja Asia ke-22, bermula hari ini hingga 27 Ogos di Sunway Mega Lanes, di sini.

Atlet berusia 17 tahun itu berkata, berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri, beliau percaya dirinya serta rakan sepasukan berpeluang cerah untuk menaiki podium.

“Kita telah menjalani latihan intensif, pagi dan petang seperti sebelum ke Doha…jadi saya sudah bersedia untuk acara esok,” kata atlet dari Selangor itu ketika ditemui pada majlis perasmian kejohanan hari ini.

Kejohanan itu akan mempertandingkan acara perseorangan, beregu, berpasukan dan all events, sebelum berakhir dengan perlawanan final Masters bagi menentukan juara individu.

Malaysia bakal diwakili Muhammad Danial Abu Samah, Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan, Muhammad Aiman Syahin Sulaiman dan Ethan Damien Goh bagi pasukan lelaki manakala pasukan wanita, selain Qurratu’Ain, dibarisi Adania Mohd Redzwan, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Nurul Anis Nabila Mohd Nizam.

Deretan pelari 400m Vietnam sedia rampas takhta Umar

Kuala Lumpur: Maklumat terkini dari Hanoi memberi loceng amaran buat kem olahraga negara apabila barisan pelari Vietnam kini muncul pencabar utama acara 400 meter (m) lelaki di Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

Pelari berusia 20 tahun, Ta Ngoc Tuong mencuri tumpuan apabila merekodkan 45.59 saat (s) iaitu catatan kedua terpantas dalam sejarah Sukan SEA, sekali gus meleburkan rekod kebangsaan Vietnam milik Quach Cong Lich (45.99s di GP Asia 2015, Chanthaburi).

Lebih menggerunkan enam pelari Vietnam menamatkan larian di bawah 47 saat, termasuk seorang di bawah 46s, satu kualiti yang dianggap luar biasa untuk rantau ini.

Kekuatan itu jelas dalam acara berganti-ganti apabila Vietnam kini mendahului ranking Asia Tenggara 4x400m dengan masa 3:06.20s (Terbuka Taipei, 8 Jun 2025).

Catatan itu seharusnya membangunkan penyandang pingat emas 400m negara, Umar Osman.

Dua tahun lalu, Umar mencipta sensasi di Phnom Penh apabila menamatkan saingan 400m dengan masa 46.34s untuk menghadiahkan emas buat Malaysia.

Atlet Filipina, Umajesty Williams (46.52s) dan Frederick Ramirez (46.63s) sekadar berpuas hati dengan perak serta gangsa.

Tampaknya laluan Umar kali ini lebih berliku apabila dia masih belum menemui larian terbaik selepas pulih daripada kecederaan ketika Vietnam kini tampil dengan deretan pelari muda yang mencatat masa luar biasa.

Bagaimanapun, bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad masih optimis magis mampu tercipta barisan atlet negara dan memberi peringatan persiapan rapi adalah kunci kejayaan.

“Kem olahraga sentiasa ada magis, tapi kita tidak boleh sentiasa mengharapkan kejutan. Kalau tiada persediaan cukup, ia boleh makan diri.

“Masa yang ada ini sudah tidak lama. Tiga bulan lagi, alet harus melipatkan gandakan usaha bukan 100 peratus tapi 200 peratus,” katanya.

Berdasarkan pencapaian terkini, Nazmizan menjelaskan kedudukan olahraga Malaysia semakin goyah apabila kekuatan skuad negara kini sudah jauh ketinggalan dan kini berada di tangga keenam rantau Asia Tenggara, jauh di belakang Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia.

Sebagai rekod, pada edisi Kemboja 2023, Malaysia menamatkan cabaran olahraga di tempat keempat keseluruhan dengan kutipan lima emas, tiga perak dan 11 gangsa.

Pingat emas negara disumbangkan Umar (400m), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura (lompat kijang), Shereen Samson Vallabouy (400m wanita) dan Grace Wong (baling tukul besi).

Teqball mampu sumbang satu emas di Sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Satu pingat emas diharapkan mampu disumbangkan pasukan teqball negara pada temasya Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

Jurulatih kebangsaan, Hasnor Ibrahim berkata, sasaran itu disandarkan kepada pemain perseorangan lelaki, Ash Hameed yang pernah meraih gangsa pada Sukan SEA Kemboja dua tahun lalu meskipun beraksi dalam keadaan cedera.

“Kalau dia benar-benar cergas kali ini dengan latihan intensif dan rawatan perubatan dijalani, saya yakin kita boleh mencabar dominasi Thailand.

“Selain pingat emas, skuad negara turut menyasarkan empat pingat perak dalam acara lain,” katanya.

Skuad teqball negara kali ini membabitkan lapan atlet iaitu masing-masing empat lelaki dan wanita yang akan bersaing dalam lima kategori dipertandingkan.

“Kami bersyukur kerana pada awalnya hanya dua atau tiga atlet diterima, tetapi akhirnya penyertaan lapan atlet negara diluluskan.

“Barisan pemain negara kebanyakannya bekas atlet sepak takraw termasuk sandaran utama wanita, Emilia Eva Natasha Saudia, yang diyakini mampu menyerlah dalam acara perseorangan meskipun masih baharu di pentas antarabangsa,” katanya.

Kejohanan Kelayakan Komanwel serampang dua mata badang negara

Kuala Lumpur: Kejohanan Kelayakan Komanwel di India bermula 24 hingga 30 Ogos ini bakal menjadi misi penting buat skuad angkat berat negara.

Ia sebagai medan bagi melayakkan diri ke Sukan Komanwel Glasgow, sekali gus mengukur kemampuan sebenar menjelang Sukan SEA Thailand 2025.

Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim berkata, pencapaian atlet di India akan menjadi tanda aras untuk menilai kekuatan negara serta pesaing rantau Asean susulan kategori baharu yang diperkenalkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

“Di India ini kita bawa misi besar kerana ia kejohanan kelayakan merit untuk Sukan Komanwel. Layak ke sana bukan mudah, jadi atlet pasti buat persediaan sebaik mungkin.

“Apa yang lebih penting, kejohanan ini akan beri gambaran sebenar tahap kemampuan mereka dan pesaing menjelang Sukan SEA nanti,” katanya.

Amirul berkata, meskipun prestasi atlet negara dijangka tidak merosot jauh, jurulatih tetap memastikan angkatan terbaik dapat dipamerkan pada kejohanan berprestij itu.

Beliau turut mengakui kategori baharu diumumkan IWF hujung tahun lalu memberi cabaran tambahan kerana tiada data jelas mengenai pesaing di Sukan SEA dalam kategori berkenaan.

“Untuk Sukan SEA nanti, semua atlet negara akan bertanding dalam kategori A.

“Tapi selepas Kejohanan Kelayakan Komanwel, kita akan nilai semula prestasi mereka, sama ada mencapai sasaran ditetapkan persatuan atau sebaliknya,” katanya.

Kontinjen negara dijangka dibarisi sembilan atlet enam lelaki dan tiga wanita yang akan membawa cabaran negara di Sukan SEA dalam kategori baharu itu.

Untuk rekod, kategori lelaki baharu IWF ialah 60 kilogram (kg), 65kg, 71kg, 79kg, 88kg, 98kg, 110kg dan 110kg ke atas, manakala kategori wanita pula 53kg, 58kg, 63kg, 69kg, 77kg, 87kg dan 87kg ke atas.

Jakobsen sandaran utama Picnic PostNL di LTdL 2025

Kuala Lumpur: Tanpa kelibat juara individu keseluruhan tahun lalu, Max Poole, pasukan berstatus WorldTeam, Team Picnic PostNL mengharapkan pengalaman Fabio Jakobsen apabila bermulanya Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

LTdL 2025 dijadualkan berlangsung selama lapan hari bermula pada 28 September hingga 5 Oktober depan.

Pada ketika hanya satu nama daripada senarai enam pelumba pasukan itu tahun lalu yang dikekalkan iaitu Bjorn Koerdl, Picnic PostNL mengharapkan pengalaman luas Jakobsen sebagai pakar pecut bagi mengangkat nama pasukan itu, lebih-lebih lagi di laluan landai.

Pastinya, pelumba 29 tahun kelahiran Heukelum, Belanda itu mengharapkan bantuan daripada dua lagi rakan sepasukan yang boleh memecut laju dalam henjutan terakhir iaitu Bram Welten dan Dilion Corkery ketika berdepan pakar pecut handalan daripada pasukan lain.

Ketua Pegawai Operasi (COO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, walaupun ketiadaan Poole agak menjejaskan kemeriahan LTdL kali ini, kehadiran Jakobsen sedikit sebanyak menebus senario itu, lebih-lebih lagi Jakobsen diakui antara pakar pecut handalan dunia, sekali gus menjadikan persaingan dalam henjutan terakhir ke garisan penamat pada tahun ini lebih terbuka, sengit dan sukar diramal.

“Jakobsen adalah nama cukup besar kerana dia pernah memenangi satu peringkat di Tour de France (TdF) dan lima peringkat di Vuelta a Espana termasuk memenangi jersi Raja Pecut Vuelta pada 2021.

“Dengan koleksi 46 kemenangan sepanjang kariernya setakat ini termasuk di TdF dan Vuelta, Picnic PostNL dilihat tampil dengan sasaran kemenangan peringkat pada penampilan kali kedua pasukan itu kali ini.

“Ini kerana, selain Jakobsen, Welten turut mempunyai pengalaman luas dan mampu menarik laju Jakobsen ke bahagian depan peloton sebelum membuka ruang untuk henjutan terakhir, malah Welten sendiri mampu untuk mencipta kemenangan peringkat,” jelas Emir.

Welten, 28, yang menyertai pasukan itu tahun lalu, pernah menimba pengalaman berkayuh untuk pasukan besar WorldTeam lain seperti Arkea-Samsic (2020-2021), Groupama FDJ (2022-2023) dan pernah tiga kali berkayuh dalam Grand Tour.

Tanpa Poole, Koerdl, 21, yang menduduki tangga ke-50 keseluruhan tahun lalu sebagai pembantu, perebutan jersi hijau individu keseluruhan tahun ini disandarkan di bahu pelumba berusia 21 tahun, Juan Guillermo Martinez yang dilamar dari pasukan ProTeam, Q36.5.

Pelumba Colombia itu pernah bergelar Raja Bukit di Giro della Valle d’Aosta pada tahun lalu, selain turut cemerlang di tangga ketiga keseluruhan Tour of Turkiye dan ke-8 keseluruhan Tour of Rwanda pada tahun ini.

Seorang lagi pelumba yang dihantar pasukan itu ialah Jurgen Zommermaand, 19, yang diharap dapat memikul tugas domestik untuk Jakobsen, Koerdl dan Martinez.

“Pasti menarik untuk melihat sejauh mana Picnic PostNL mampu bersaing pada LTdL ini kerana mereka akan dicabar hebat pada sepanjang lapan hari saingan bermula dari Peringkat 1 di Pulau Langkawi hinggalah ke hari penamat Peringkat 8 di KLCC,” kata Emir.

LTdL akan berlangsung selama lapan peringkat membabitkan jarak keseluruhan 1.243.5 kilometer (km) yang akan merentasi setiap negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Perlumba berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5km diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km) dan peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km).

Peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.

Azizulhasni kembali berlumba di trek minggu depan

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal membuat kemunculan semula di pentas kompetitif apabila menyertai Piala Trek Asia Suphanburi di Bangkok, Thailand dari 28 hingga 30 Ogos ini.

Ia menjadi penampilan sulungnya selepas kali terakhir beraksi pada Sukan Olimpik Paris, tahun lalu.

Azizulhasni, 37, atau Jijoe yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman, pernah meraih pingat perak acara keirin di Olimpik Tokyo 2020 selain muncul juara dunia keirin pada 2017 mengumumkan untuk kembali berkayuh demi negara pada April lalu selepas temasya Paris 2024.

Tegasnya, ia kerana dia menganggap misinya belum selesai dan masih ingin berbakti demi negara tercinta selepas hasratnya menyumbangkan emas pertama Olimpik tidak kesampaian.

“Hujung minggu ini saya akan pergi Bangkok, ada perlumbaan di Piala Trek Asia Suphanburi. Saja nak cuba, walaupun saya tak berada pada kondisi terbaik lagi.

“Tiada sasaran sfesifik tapi saya anggap ia sebagai latihan juga, untuk tengok tahap semasa saya,” katanya pada sidang media Bekpes Hot Skuba di Balai Berita, Bangsar, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Derrick Khoo; Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio, Nazri Noran; Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Ena Suhaila Abas serta penyampai Bekpes Hot Skuba, KJ, Johan, Fara & AG.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, Piala Trek Asia itu akan dijadikan medan menguji persiapan sebelum menyertai beberapa kejohanan lain yang lebih besar tahun depan.

“Kalau kejohanan lebih besar, saya rasa Februari depan akan bermula dengan Piala Negara-Negara. Itu antara kejohanan yang saya rancang untuk sertai.

“Tapi sasaran utama saya sudah tentu Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan,” katanya.

Mengulas mengenai tahap semasa, Azizulhasni yang kini kembali menjalani latihan penuh berkata, dia memerlukan tempoh hampir setahun selepas Paris 2024 untuk benar-benar kembali fokus terhadap latihan.

“Alhamdulillah, sihat. Selepas buat pengumuman (untuk kembali), baru saya betul-betul serius berlatih bulan lalu. Sebelum tu saya kayuh santai sahaja.

“Saya mula dengan latihan asas di atas jalan raya dan di gim. Bulan lalu saya dapat berlatih atas trek untuk kali pertama dengan pasukan. Masa itu pun pasukan baru balik dari Jerman. Jurulatih John Beasley cakap, ‘Why not you join team semua training?’. Jadi saya pun mula berlatih dengan mereka bulan lalu,” katanya.

Terdahulu, Beasley memaklumkan Azizulhasni tidak tersenarai dalam acara individu di Kejohanan Dunia 2025 di Santiago, Chile dari 15 hingga 19 Oktober, namun berpeluang beraksi dalam acara pecut berpasukan jika layak secara merit.

Pada April lalu, Azizulhasni mengumumkan keputusan untuk meneruskan kayuhan bagi tempoh dua tahun dan bergerak secara profesional mewakili Team Azizul selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menyalurkan geran individu sebanyak RM200,000 hingga 2026.

KBS-KPT bincang ijazah e-sukan

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), untuk menjadikan e-sukan sebagai kursus jangka panjang di institusi pengajian tinggi (IPT), kata Menterinya, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, ketika ini usaha pembangunan bakat dalam industri e-sukan telahpun dimulakan menerusi kursus jangka masa pendek oleh Persatuan Sukan Kebangsaan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara.

“Selepas kemenangan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang membawa pulang ganjaran besar (dalam arena Mobile Legends: Bang Bang), ramai sudah mula melihat e-sukan sebagai satu kerjaya.

“…tetapi, kerisauan kita sebagai ibu bapa juga memang wujud kerana ketagihan gajet satu masalah serius di Malaysia dan kita kena cari keseimbangan dalam perkara ini,” katanya menjawab celahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pada sesi penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi KBS di Dewan Rakyat pada Selasa.

Afnan Hamimi bertanyakan sama ada kementerian bersedia mempertimbang untuk mewujudkan ijazah e-sukan di universiti dalam tempoh lima tahun akan datang supaya ia dianggap sebagai bidang profesional, bukan hiburan semata-mata.

Hannah berkata, kajian yang dijalankan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini mendedahkan wujudnya jurang psikologi dalam kalangan belia, khususnya dari aspek kesiapsiagaan mental yang memerlukan perhatian serius.

Beliau berkata, kajian itu membuktikan pentingnya memastikan penglibatan belia dalam e-sukan tidak menjejaskan tumpuan akademik dan kesejahteraan sosial mereka.

Sementara itu, Hannah turut menjawab pertanyaan mengenai usaha KBS dalam menghubungkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kendaliannya, dengan perkembangan dan keperluan industri semasa seperti automotif.

Beliau berkata, kementerian memang sedang mengambil langkah ke arah itu, namun cabaran utama adalah memastikan tenaga pengajar memiliki kepakaran yang sesuai dalam bidang berkenaan.

“Jadi kita sekarang sedang melancarkan projek perintis untuk institusi kita dulu untuk tengok dalam bidang sukan, bukan sahaja permotoran tetapi juga aviation sports yang sedang membangun menggunakan AI (kecerdasan buatan),” katanya. – Bernama

Persiapan Wan-Yap terjejas

Kuala Lumpur: Persiapan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi–Yap Roy King dilihat sedikit terganggu selepas salah seorang pemain mengalami masalah kesihatan sebelum Kejohanan Dunia 2025 bermula Isnin depan.

Namun begitu, jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyatakan demam dialami Wan Arif tidak begitu membimbangkan apabila pemain itu sudah mula mengikuti latihan pada hari ini.

Situasi itu sedikit sebanyak mencetus kebimbangan kepada jurulatih kelahiran Indonesia itu kerana Wan Arif–Roy King perlu turun di pusingan pertama menentang wakil Jepun, Kenya Mitsuhashi–Hiroki Okamura.

“Arif demam dan selesema, jadi dia tidak dapat berlatih pada Isnin. Hari ini dia sudah kembali berlatih bersama yang lain tetapi hanya mampu mengikuti dua daripada program latihan dirancang.

“Keadaannya masih belum 100 peratus namun diharapkan esok dia boleh pulih sepenuhnya agar dia betul-betul cergas sebelum pertandingan bermula di Paris.

“Kalau tanya saya sama ada bimbang atau tidak, semestinya saya bimbang. Tetapi melihat keadaannya hari ini, saya masih percaya dia boleh bermain. Harap-harap dia segera pulih,” katanya.

Semalam, pemain kelahiran Kelantan itu tidak dapat mengikuti latihan kerana keadaan dirinya itu dan Herry terpaksa memantau secara rapat situasi tersebut.

Selain itu, Herry berpendapat wakil negara itu kini berada dalam prestasi baik selepas meraih kejuaraan Jelajah Dunia pertama mereka di Terbuka Macau awal bulan ini.

“Pada tahap ini, jurang antara pasangan adalah sangat kecil. Siapa lebih cergas serta lebih bersedia dari segi mental dan fizikal, itulah yang akan mendapat kelebihan. Sebab itu pemulihan Arif sangat penting,” katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara beregu lelaki di Kejohanan Dunia adalah pada 2022 menerusi Aaron Chia–Soh Wooi Yik di Tokyo.

Jaguh muay thai negara tak boleh ambil mudah cabaran di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi mengingatkan wakil negara agar tidak ambil mudah cabaran bakal ditempuhi di Sukan SEA Thailand 2025.

Bagi Shahnaz, sebagai tuan rumah, Thailand sudah pasti akan menurunkan atlet terkuat mereka untuk memastikan dapat memenangi kesemua pingat emas yang dipertaruhkan dalam acara muay thai.

“Kelebihan beraksi di laman sendiri dijangka memberikan suntikan semangat tambahan kepada atlet mereka, sekali gus meletakkan Malaysia dalam posisi lebih sukar untuk mencapai sasaran.

“Namun, dengan persediaan rapi dan semangat juang tinggi, skuad negara optimis mampu memberikan saingan sengit,” katanya.

Tambahnya, biarpun menaruhkan dua atlet berpengalaman seperti, Rifdean Masdor dan Aliff Rakib, beliau percaya ia bukan jalan mudah untuk Malaysia biarpun kedua-duanya beraksi di pentas ONE Championship ketika ini.

Selian itu, negara jiran seperti Myanmar, Kemboja dan Laos juga tidak boleh dipandang sebelah mata kerana mereka dilihat mempunyai petarung berkualiti dengan gaya unik seperti Muay Khmer dan Muay Lao.

“Cabaran utama pada Sukan SEA adalah kita tidak dapat mengagak kekuatan petarung dari Laos, Myanmar dan Kemboja.

“Mereka jarang datang ke kejohanan dunia, tetapi apabila di Sukan SEA, mereka akan turun dengan kekuatan penuh. Ini ancaman tersembunyi yang perlu kami beri perhatian,” katanya.

Hafizul, Zuleffendi mampu perkasa cabaran skuad takraw

Kuala Lumpur: Jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menegaskan kehadiran dua tonggak berpengalaman Negeri Sembilan Antlers, Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari mampu memberi impak besar terhadap persiapan pasukan kebangsaan menghadapi Sukan SEA 2025.

Bagi Ahmad Jais, beliau melihat kedua-dua pemain itu kini berada pada prestasi terbaik dan bakal menambah kekuatan regu Malaysia ketika berdepan Thailand nanti.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh menyatakan perkara itu secara terperinci kerana Hafizul dan Zuleffendi perlu mendapatkan pelepasan daripada majikan mereka terlebih dahulu untuk menyertai pasukan negara.

“Saya secara peribadi melihat sekiranya kehadiran kedua-dua pemain ini dapat menyertai pasukan kebangsaan, sedikit sebanyak ia dapat memberi nilai tambah kepada kekuatan pasukan negara bagi menghadapi Sukan SEA.

“Kalau kita lihat konsistensi kedua-dua pemain ini bersama Haziq (Hairul Nizam), ia memberi gambaran positif untuk pasukan Malaysia.

“Saya berharap prestasi mereka di Liga Sepak Takraw (STL) dapat diterjemahkan di peringkat antarabangsa nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau juga berharap usaha yang dilakukan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan untuk bertemu majikan mereka juga akan menemui keputusan positif.

“Untuk status Pak Long (Zuleffendi) dengan John (Hafizul), apa-apa pun kami kena tunggu pelepasan daripada majikan masing-masing. Lepas itu barulah kita boleh rancang latihan persiapan ke arah Sukan SEA nanti.

“Sama-samalah kita doakan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan harmoni oleh majikan dan juga pihak presiden PSM sendiri,” katanya.

Untuk makluman, kedua-dua pemain itu sememangnya berada dalam perancangan Ahmad Jais untuk menyertai beberapa kejohanan tahun ini, namun perkara itu tidak dapat dilaksanakan ekoran tiada pelepasan daripada majikan.

Di Thailand nanti, PSM meletakkan sasaran buat pasukan negara untuk meraih dua emas dalam acara regu lelaki dan kuadran lelaki, selain dua perak menerusi kuadran campuran serta regu berpasukan lelaki.

Majlis Sukan Negara Malaysia