Majlis Sukan Negara Malaysia

All posts by admin

WELCOME HOME HEROES!

Steve Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin, Atlet Renang Negara telah tiba di KLIA jam 7.00 petang.

Steve yang membuat penampilan sulungnya di Paris telah menamatkan saingan di kedudukan 27 daripada 37 perenang manakala Tan Rouxin pula menamatkan saingan di kedudukan ke 33 terbaik daripada 37 perenang yang bertanding.

Turut hadir sama, Encik Azrul Hisyam Abd Jalil, Pengarah Bahagian Atlet, MSN.

Zii Jia tepati jangkaan, mara ke pusingan 16 terbaik

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia tidak berdepan laluan sukar untuk melayakkan dirinya muncul juara Kumpulan G sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik.

Pada perlawanan terakhir kumpulan di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi, Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia mudah menewaskan Pablo Abian dari Sepanyol 21-10 di set pertama.

Di set kedua, Abian yang berada di ranking ke-62 dunia dan pernah beraksi di lima temasya Olimpik termasuk Paris 2024 memberikan saingan sengit sebelum Zii Jia terus bangkit, meninggalkan jauh lawannya yang berusia 39 tahun itu.

Zii Jia, 26, terus menjarakkan kedudukan mata sebelum melakar kemenangan 21-13 untuk memuktamadkan perlawanan dengan keputusan straight set 21-10, 21-13 dalam tempoh 34 minit.

“Saya sekali lagi ke pusingan 16 terbaik. Harap kali ini (di Paris) ada keputusan lebih baik,” kata Zii Jia yang pada penampilan sulungnya di Tokyo 2020 terkandas di pusingan 16 terbaik.

Mengulas mengenai dua perlawanan yang sudah dilaluinya setakat ini, Zii Jia berkata, dia dapat mengawal permainan dengan baik.

“Setakat ini, saya berjaya mengawal keadaan dengan baik, Pablo memberikan cabaran di awal permainan tetapi saya mampu bangkit dan ia sesuatu yang bagus,” katanya.

Pada aksi pertama kumpulan sebelum ini, Zii Jia mudah menewaskan wakil Sri Lanka, Viren Nettasinghe 21-14, 21-12 dalam tempoh 35 minit.

Di pusingan 16 terbaik Esok, Zii Jia dijadual bertemu pemenang Kumpulan H sama ada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting atau pun Toma Junior Popov dari Perancis.-Berita Harian

Sukma: Tanpa acara kanu, Johor masih mampu raih pingat

BIARPUN kehilangan lebih 20 pingat emas susulan acara kanu tidak di pertandingan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, namun atlet Johor dilihat masih mampu untuk menggapai sasaran pingat yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut Exco Belia, Sukan dan Koperasi negeri Johor keyakinan itu berdasarkan kepada semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan setiap atlet ketika menjalani latihan menjelang temasya dwi tahunan itu

“Pastinya selaku Exco Belia dan Sukan kita harap kejutan luar biasa di mana kita yakin dengan kemampuan atlet Johor dan malah, Menteri Besar dah letak syarat atlet untuk sasar 60 pingat emas pertama bagi edisi 2024 nanti.

“Sebentar tadi, saya serahkan bendera kepada Ketua Kontinjen diikuti ketua-ketua pasukan sebelum diserahkan pula kepada ketua-ketua pasukan bagi 36 sukan yang disertai atlet negara.

“Dalam masa sama, inisiatif berjumlah RM10,000 kepada atlet yang memenangi emas bagi acara individu,” katanya pada Rabu.

Mohd Hairi berkata demikian setelah menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Johor 2024 di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Johor Datuk Pandak Ahmad berkata, kesemua atlet akan berusaha sebaik mungkin dalam usaha mengekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut.

“Kita akan sedaya upaya, kita cuba kekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut di bumi Kenyalang Sarawak.

“Semangat atlet berkobar-kobar ketika ini… walaupun hilang acara kanu, tapi kita ada 36 acara, bukan kanu sahaja.

“Cuma apa yang penting, kami minta doa restu daripada rakyat Malaysia semoga kami semua mendapat kejayaan,” katanya.-Sinar Harian

Perjuangan Tang Jie-Ee Wei tamat di suku akhir

KUALA LUMPUR: Hasrat untuk beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk terus menjelmakan kilauan pingat di pentas sukan Olimpik Paris 2024 terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, hari ini.

Aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena menyaksikan pasangan nombor sembilan dunia itu sukar untuk menyekat kemaraan gandingan nombor lapan dunia, Kim Won Ho-Jeong Na Eun sebelum tewas 19-21,14-21.

Set pertama menyaksikan pasangan negara memberi tentangan sengit kepada Won Ho-Na Eun apabila saling mengutip mata.

Namun, kecederaan yang dialami Ee Wei ketika kedudukan 9-11 menyebabkan rentak pasangan negara terbabit terganggu sebelum akur tewas 19-21 pada set pertama.

Pasangan negara cuba bangkit pada set kedua namun rentak permainan yang dipamerkan mereka serba tidak menjadi hingga satu ketika ketinggalan 1-10.

Usaha wakil negara untuk cuba mengheret perlawanan ke set penentuan tidak berjaya apabila pasangan Korea Selatan itu terus melakukan serangan bertali arus untuk menjarakkan kedudukan sebelum memenangi perlawanan 21-14.

Walaupun tewas, pasangan beregu campuran negara itu boleh berbangga apabila penampilan pertama di pentas Olimpik berjaya membawa mereka hingga ke pusingan suku akhir.

Pasangan Korea Selatan itu akan bertemu rakan senegaranya, Seo Seung-jae and Chae Yu-jung di pentas separuh akhir.-Berita Harian

LAWATAN KE PUSAT REHABILITASI PERKESO MELAKA

Majlis Sukan Negara menerusi Bahagian Para telah mengadakan lawatan ke Pusat Rehabilitasi PERKESO pada 31 Julai 2024 bertempat di Melaka. Tujuan MSN hadir ke pusat fasiliti tersebut adalah untuk menjalinkan kerjasama dalam pencarian bakat baharu dikalangan klien-klien PERKESO (kecacatan fizikal atau penglihatan). Selain itu, ianya juga sesuai dijadikan sebagai pusat latihan sukan seperti Badminton, Boccia, Renang, Ping Pong, Gimnasium dan Dewan Serbaguna bagi atlet para untuk jangka masa panjang.

Turut hadir sama, Encik Mohd Sofian Hamzah, Pengarah Bahagian Para MSN.

Insentif lebih baik menanti skuad Sukma Terengganu

KERAJAAN Terengganu akan memberikan insentif kemenangan lebih baik berbanding tahun sebelum ini untuk skuad kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu sekiranya meraih juara keseluruhan pada temasya kali ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian insentif itu akan diumumkan selepas menilai prestasi pemain yang akan bertanding pada temasya Sukma 2024 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 Ogos depan.

“Berbeza untuk kali ini sebab saya tidak akan sebut jumlah (insentif) tetapi ada. Saya sendiri akan turun ke Sarawak untuk melihat atlet-atlet bertanding.

“Saya akan nilai kesungguhan atlet-atlet ini bertanding dan akan memerhatikan bersungguh atau tidak atlet itu bertanding.

Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukma Terengganu 2024

Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukma Terengganu 2024

“Kalau bersungguh bertanding dan kita menjadi juara. Insya-ALLAH…ganjarannya akan lebih baik berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukma Terengganu 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Ahmad Samsuri turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kontinjen Sukma Terengganu sebagai tanda penyerahan mandat daripada kerajaan negeri kepada kontinjen untuk bertanding pada Sukma 2024 di Sarawak.

Kontinjen Terengganu mensasarkan kutipan pingat keseluruhan sebanyak 76 emas, 36 perak dan 106 gangsa pada temasya kali ini.

Acara sukan berbasikal, pelayaran dan beberapa acara sukan tempur bakal menjadi sandaran utama bagi kontinjen Terengganu untuk meraih pingat.

Kekuatan kontinjen Terengganu melibatkan penyertaan 568 orang atlet terdiri daripada 349 lelaki dan 219 wanita.

Daripada jumlah keseluruhan atlet, hanya 30 peratus merupakan atlet yang pernah bertanding di temasya Sukma sebelum ini manakala selebihnya adalah atlet yang baharu pertama kali menyertai Sukma.

Terengganu pernah merekodkan gelaran naib juara dalam sukan yang sama apabila mengumpul 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa menerusi temasya Sukma edisi ke-20 atau dikenali sebagai Sukma edisi XX di Kuala Lumpur pada 2022.-Sinar Harian

Good fight Jin Wei

Aksi pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei ketika berdepan Kim Ga Eun dari Korea Selatan.

Jin Wei beri tentangan sengit sebelum tewas 17-21, 22-20, 21-23 dan gagal meneruskan aksi ke peringkat seterusnya.

Comeback stronger💪

PROGRAM TAKLIMAT KOD SUKAN SELAMAT BERSAMA KONTINJEN SUKMA NEGERI JOHOR

Sesi Taklimat Kod Sukan Selamat bersama atlet dan jurulatih Kontinjen SUKMA Johor telah diadakan pada 31 Julai yang lalu bertempat di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Johor.

Seramai 450 orang atlet dan jurulatih telah hadir ke sesi taklimat yang bertujuan untuk menekankan pengetahuan mengenai hak, peranan dan tanggungjawab semua pihak di bawah garis panduan Kod Sukan Selamat.

SAMBUTAN KEPULANGAN PASUKAN MENEMBAK KEBANGSAAN DARI OLIMPIK PARIS 2024

Johnathan Wong, Atlet Menembak Negara telah tiba di KLIA daripada Paris jam 8.40 pagi tadi.

Johnathan yang telah membuat penampilan kali ke-2 nya di temasya terbesar itu telah menamatkan saingan di pusingan kelayakan.

Turut hadir sama, Encik Mohd Raizal Muhamat Yaakob, Pengarah Bahagian Fasiliti, MSN.

SUKMA: Pasukan Mobile Legends Bang Bang Sabah ‘bidik’ pingat emas

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah dalam acara Mobile Legends Bang Bang dalam e-sukan ‘membidik’ pingat emas untuk Negeri Di Bawah Bayu itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Mohammad Irwandy Lim, 20, yang memenangi pingat perak Sukan SEA 2023 berkata, pasukannya akan berusaha mempamerkan prestasi terbaik kerana pemain yang dihantar pasukan lain juga adalah dalam kalangan pemain yang berpengalaman dan mempunyai kelebihan masing-masing.

Beliau dikenali sebagai ‘Izanami’ dalam e-sukan itu berkata Sabah juga turut membariskan seorang lagi pemain berpengalaman Ealtond Rayner atau ‘Lolealz’ yang pernah bermain dalam Mobile Legends: Bang Bang Mid Season Cup (MSC), malah pernah juga bersamanya dalam pasukan RSG Malaysia.

“Kami di Sabah tidak akan sekali-kali memandang rendah pasukan lain dan fokus merealisasikan sasaran satu pingat emas untuk Sabah dalam e-sukan pada SUKMA nanti.

“Bagi saya tekanan menjadi sandaran emas tidak ada kerana kami pernah bermain dalam kejohanan lebih besar.

“Kami juga sedang dalam persiapan untuk memantapkan lagi pasukan sebelum ke SUKMA nanti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dan memperkenalkan pasukan e-sukan Sabah pada SUKMA Ke-21 di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulfiqri Amarullah, 18, antara pemain muda penting dalam pasukan e-sukan Sabah untuk acara Tekken 8 berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk memastikan sasaran sekurang-kurangnya membawa pulang pingat perak dicapai.

“Kini saya dalam keadaan terbaik untuk menghadapi SUKMA dan harap sasaran pingat itu dapat dicapai, namun saya akan mempertingkatkan lagi latihan agar mampu melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya yang meraih perak dalam acara Tekken 7 pada Sukan Sabah Edisi Ke-10.

Sementara itu, Pengurus E-sukan SUKMA Sabah Mohd Sofihizar Usrah berkata pihaknya yakin sasaran satu pingat emas, dua pingat perak dan dua gangsa dapat dicapai berdasarkan prestasi setiap atlet yang ada.

“Kita akan melipatgandakan latihan dan akan mengadakan beberapa siri perlawanan dengan pemain-pemain berpengalaman di Sabah dan saya harap latihan berkenaan dapat meningkatkan lagi prestasi setiap peserta,” katanya.

Seramai 12 peserta bakal mewakili negeri Sabah dalam acara itu yang terdiri daripada enam peserta untuk Mobile Legends Bang Bang, dua untuk eRacing, dua untuk eFootball dan dua lagi untuk Tekken 8.

Terdapat tujuh kategori menawarkan keseluruhan 21 pingat dalam acara e-sukan pada SUKMA kali ini yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia