Kuala Lumpur: Pelari berpengalaman negara, Jonathan Nyepa berkata dirinya terbuka dan bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja jurulatih yang ditugaskan melatih pasukan pecut sebagai persiapan ke Sukan SEA Thailand, Disember nanti.
Baginya, apa yang penting ketika ini adalah meneruskan latihan untuk meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik dan memberi tumpuan kepada jurulatih yang melatih mereka buat sementara waktu ini.
Tambahnya, sekiranya sudah ada pengesahan rasmi mengenai siapa pelatih pecut negara nanti, dia tetap akan memberi komitmen penuh dan mengikuti sistem yang digunakan kerana yakin setiap jurulatih ada caranya.
“Sekarang, saya ikut siapa jurulatih yang ada dalam program dan saya akan berlatih dengan mereka. Sekarang dengan jurulatih Amir (Izwan Tan Abdullah) sebab dia jaga semua atlet dalam program.
“Untuk saya, saya tidak kisah siapa yang jaga sekarang. Saya fokus kepada latihan yang diberikan. Saya pernah berlatih di bawah beliau sebelum ini dan tidak banyak perkara yang diubah,” katanya.
Mohd Poad Md Kassim antara calon diperkatakan yang akan ditugaskan menjaga atlet pecut negara dalam usaha mengulangi pencapaian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, muncul juara 100 meter (m) menerusi Khairul Hafiz Jantan.
Selain itu, atlet berusia 29 tahun itu memaklumkan dirinya tetap fokus seperti biasa dan melakukan persiapan terbaik untuk menyertai kejohanan terdekat, Terbuka Malaysia.
“Sekarang, persiapan sejauh ini berjalan dengan lancar. Saya hanya fokus kepada latihan dan tengok mana kejohanan yang boleh disertai. Pertandingan terdekat ialah Terbuka Malaysia dan dijangka berlangsung bulan Ogos nanti,” katanya.
Jonathan akan memperkuatkan kuartet 4x100m di Thailand nanti bersama beberapa pilihan pelari pecut lain seperti Khairul Hafiz, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Azeem Fahmi.
Pada Sukan SEA Kemboja 2023 lalu, dia bersama-sama rakan yang lain berjaya meraih pingat gangsa dengan catatan 39.36 saat (s). Untuk rekod, kuartet 4x100m negara antara pencabar utama dan berjaya meraih pingat dalam tiga edisi terakhir temasya dwitahunan itu.
