Majlis Sukan Negara Malaysia
Speedy Tigers gagal ke separuh akhir meskipun tewaskan Jepun

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara gagal mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Negara-Negara meskipun menang 2-1 ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan B, hari ini.

Sebaliknya, Pakistan mengiringi New Zealand mara ke separuh akhir selepas menduduki tangga kedua kumpulan menerusi kelebihan jaringan berbanding Speedy Tigers di tempat ketiga meskipun kedua-dua pasukan mengutip empat mata selepas tiga perlawanan.

Malaysia membuka jaringan menerusi satu gerakan solo Fitri Saari yang kemudian disempurnakan oleh penyerang, Norsyafiq Sumantri minit ke-5.

Speedy Tigers menambah gol kedua hasil jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal minit-26 yang memanfaatkan hantaran Shello Silverius, sekali gus menyaksikan skuad negara mendahului 2-0 selepas berakhir babak pertama.

Memasuki suku ketiga permainan, Jepun menggandakan asakan dan memperoleh empat pukulan sudut penalti, namun semuanya tidak dapat menghasilkan gol.

Jepun akhirnya meraih gol pertama menerusi jaringan Koji Yamasaki minit ke-56 yang bijak mencari ruang dalam kawasan D.

Kegagalan layak ke separuh akhir menyaksikan skuad negara akan turun pada aksi klasifikasi 5/8 bertemu Afrika Selatan, Jumaat ini.

Sementara itu, pada satu lagi aksi Kumpulan B, New Zealand bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk melakar kemenangan 4-3 ke atas Pakistan, sekali gus mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

Nick Woods meletakkan New Zealand di depan seawal minit ke-7 menerusi pukulan sudut penalti, namun Pakistan bangkit menerusi dua gol pantas hasil jaringan Abdul Rehman masing-masing pada minit ke-13 dan ke-14.

Abdul Waheed Ashraf Rana kemudian meletakkan Pakistan di kedudukan lebih selesa selepas menjaringkan gol padang minit ke-28.

Bagaimanapun Scott Cosslett menjaringkan dua gol pantas menerusi pukulan sudut penalti minit 43 dan 44 sekali gus kedudukan kembali terikat 3-3 sebelum dia menjaringkan gol kemenangan, sekali gus mencatat hatrik pada minit ke-52.

Rachel ketuai kemaraan pemain negara ke suku akhir Kejohanan Individu Asia

Kuching: Malaysia terus membuktikan dominasi dalam sukan skuasy apabila lima pemain wanita negara berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Kejohanan Individu Asia 2025 yang berlangsung di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Rachel Arnold, pilihan utama kejohanan, mudah menewaskan pemain Jepun, Risa Sugimoto, dengan kemenangan 11-5, 11-7, 11-8.

Pemain berusia 29 tahun itu bakal berdepan Tong Tsz Wing dari China yang sebelum itu menewaskan wakil Singapura, Au Yeong Wai Yhann, 11-4, 11-6, 11-7.

Turut mencatatkan kemenangan selesa ialah Aira Azman yang menundukkan Boram Ryoo dari Jepun 11-1, 11-3, 11-4.

Aira dijadual bertemu rakan senegara, Yee Xin Ying, pada aksi suku akhir esok.

Terdahulu, Xin Ying mengatasi seorang lagi pemain Jepun, Erisa Sano, 11-4, 11-4, 9-11, 11-7.

Turut mara ke suku akhir ialah Aifa Azman yang mengetepikan cabaran Chan Sin Yuk dari China dengan keputusan 11-3, 11-5, 11-5, seterusnya bakal bertemu Lee Ka Yi, juga dari China.

Seorang lagi pemain negara, Ainaa Amani Ampandi, meneruskan kecemerlangan skuad wanita apabila menundukkan Akari Midorikawa (Jepun) 11-3, 11-3, 11-6.

Dia bakal berdepan Ho Tze Lok dalam satu lagi aksi suku akhir.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, Joachim Chuah mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Pakistan, Noor Zaman, dalam pertarungan lima set yang sengit 11-3, 11-3, 3-11, 10-12, 11-2.

Joachim akan menentang pemain India, Velavan Senthilkumar.

Rakan senegara C Ameeshenraj turut mencatat kemenangan meyakinkan apabila menumpaskan Suraj Chand dari India 5-11, 11-3, 11-4, 11-3 untuk menempah pertemuan dengan pemain pilihan Qatar, Abdulla Al Tamimi.

Ketua Jurulatih Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Shahril Shahidan menyatakan keyakinannya terhadap prestasi pemain muda negara yang semakin matang dalam aksi berintensiti tinggi.

“Untuk kategori wanita, kita ada harapan besar terutama Rachel yang menjadi pilihan utama. Kita jangkakan semua pemain wanita mampu mara ke separuh akhir.

“Perlawanan bagi kategori lelaki juga dijangka sengit, tetapi saya yakin dengan kemampuan fizikal dan semangat pemain muda kita. Harapan kami ialah mereka kekal konsisten,” katanya kepada Bernama.

Menang banyak gelaran lebih penting berbanding kejar no 1 dunia – Aaron

Kuala Lumpur: Memenangi banyak gelaran lebih penting berbanding mengejar kedudukan ranking nombor satu dunia.

Itu pendirian beregu lelaki negara, Aaron Chia yang tidak meletakkan sasaran spesifik untuk memburu kedudukan nombor satu dunia selepas ketika ini berada di ranking kedua.

Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik berkata, takhta nombor satu dunia pasti mampu dicapai seandainya dia serta Wooi Yik memenangi banyak gelaran.

“Kedudukan ranking dunia bukanlah sasaran utama kami. Sebab kalau anda mempamer prestasi cemerlang, anda menang (kejohanan), sudah tentu ranking anda automatik akan naik.

“Jadi bagi kami gelaran juara lebih penting dan atas sebab itulah sasaran kami adalah memenangi lebih banyak kejuaraan,” katanya.

Berdasarkan kedudukan semasa, Aaron-Wooi Yik hanya dibezakan 1,220 mata sahaja berbanding beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang kini menduduki ranking pertama dunia dengan meraih 91,090 mata.

Aaron-Wooi Yik dijangka mampu merampas kedudukan itu seandainya beraksi cemerlang di Terbuka Jepun dan China pada bulan depan, namun bekas juara dunia itu enggan terlalu memikirkan perkara berkenaan.

“Saya rasa kami hanya mahu fokus kepada persiapan diri sendiri dan perlu lebih konsisten daripada segi corak permainan serta perkara lain.

“Sudah tentu kami berharap dapat memenangi lebih banyak kejuaraan, tapi pada saya yang paling penting adalah konsistensi dalam permainan.

“Bagi saya kedudukan pertama, kedua, ketiga atau kelima itu hanyalah nombor sahaja,” katanya.

Aaron-Wooi Yik cemerlang pada musim ini apabila sudah merangkul tiga kejuaraan bermula di Kejohanan Badminton Asia (BAC), Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Mereka muncul naib juara di Masters Malaysia bulan lalu selepas tewas kepada rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Sukan SEA 2025: Manshahar dicadang kemudi skuad olahraga negara

Kuala Lumpur: Bekas ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan Manshahar Abdul Jalil telah dicadangkan untuk dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan bagi Sukan SEA 2025 di Thailand, dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Olahraga Malaysia (MA) malam ini, cadangan bagi melantik Manshahar bagi tempoh enam bulan itu diutarakan dalam satu perbincangan strategik antara badan induk itu dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Pelantikan ini bagi menyelaraskan kelancaran pelan perancangan persiapan pasukan dalam tempoh berkenaan dan cadangan ini akan dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan dalam masa terdekat oleh pihak berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MA, sesi berkenaan juga membincangkan penstrukturan semula barisan jurulatih program serta pelaksanaan program pendedahan latihan serta pertandingan luar negara sebagai usaha strategik memperkukuh prestasi dan kesiapsiagaan skuad olahraga negara menjelang temasya dwitahunan itu.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif yang dirancang, MA memaklumkan mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan susulan secara lebih terperinci.

“MSN dan MA komited untuk memastikan persiapan rapi dan menyeluruh demi mencapai kejayaan cemerlang olahraga Malaysia di Sukan SEA 2025,” menurut kenyataan itu.

Pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Malaysia yang gagal menepati sasaran meraih 10 emas sekadar membawa pulang lima emas, tiga perak dan 12 gangsa.

Senarai akhir atlet ke Sukan Sea diketahui September depan – Jefri

Kuala Lumpur: Senarai akhir jumlah kontinjen negara yang beraksi di Sukan Sea Thailand, Disember depan, bakal diketahui selewat-lewatnya September ini dengan proses pemilihan atlet kini sudah memasuki fasa akhir.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, proses mengenal pasti senarai panjang atlet sedang dilakukan ketika ini dan perlu dimuktamadkan sebelum penghujung Julai nanti dan kemudian disenaraikan secara rasmi.

Katanya, satu mesyuarat penyelarasan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN) berlangsung dua minggu lalu bagi merangka persiapan rapi ke temasya dwitahunan itu.

“Ketika ini, kita sedang kenal pasti ‘long list’ atlet. Senarai itu perlu disahkan sebelum akhir pada Julai dan senarai pendek akan dimuktamadkan pada September nanti.

“Kontinjen negara dijangka menyertai 48 daripada 50 jenis sukan yang dipertandingkan, dengan anggaran kekuatan antara 600 hingga 700 orang atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perbincangan meja bulat MSN bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Persatuan Sukan Kebangsaan, hari ini.

Perbincangan itu membabitkan 20 jenis sukan teras yang diselaras pelaksanaannya di semua peringkat, bermula dari sekolah hingga ke pentas kebangsaan.

Mengulas lanjut mengenai penyelarasan itu, Jefri berkata, ia adalah susulan kepada kelulusan senarai sukan teras oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) pada 14 April lalu.

“Menerusi perjumpaan hari ini, kita dapat selaraskan program ini.

“Paling penting, semua agensi kini akan melaksanakan program berdasarkan senarai 20 sukan sama di peringkat masing-masing,” katanya.

Senarai sukan teras bagi tempoh 2025-2028 merangkumi akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek), boling padang, e-sukan, gimnastik (artistik dan gimrama) dan hoki.

Selain itu, karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, ping pong, sepak takraw, silat, skuasy, taekwondo, tenpin boling dan wushu.

Speedy Tigers bangkit ikat Pakistan

Kuala Lumpur: Speedy Tigers mempamerkan kebangkitan sebanyak dua kali untuk mengikat Pakistan 3-3 dalam perlawanan pertama Kumpulan B saingan Piala Negara-Negara yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Meskipun beraksi di halaman sendiri dan mendapat sokongan peminat, skuad kendalian Sarjit Singh ketinggalan 0-2 pada suku pertama menerusi gol Ahmed Nadeem minit ke-6 dan Abdul Rehman minit ke-9.

Untuk suku kedua dan ketiga, kedua-dua pasukan terus meningkatkan intensiti permainan dengan serangan demi serangan, tetapi Pakistan serta Malaysia berjaya bertahan dengan sangat baik.

Namun begitu, skuad kendalian Sarjit Singh mula menunjukkan permainan sebenar apabila bangkit menerusi dua gol pantas sumbangan Fitri Saari minit ke-49 dan selang tiga minit kemudian, Syed Syafiq Syed Cholan bijak menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti.

Kegembiran Speedy Tigers hanya bertahan seketika apabila anak buah Tahir Zaman mendapatkan gol ketiga untuk mendahului 3-2 melalui Rana Waheed pada minit ke-54.

Pujian perlu diberikan kepada pemain negara apabila mereka terus menyerang untuk mendapatkan gol ketiga dan usaha itu membuahkan hasil positif selepas Syed sekali lagi memanfaatkan peluang menerusi pukulan sudut penalti bagi menyamakan kedudukan 3-3 minit ke-59.

Biarpun kedua-dua pasukan mempunyai beberapa peluang untuk mendapatkan jaringan, namun kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat. Esok Malaysia akan turun dalam perlawanan kedua menentang New Zealand.

SRG.OG raih kejuaraan hatrik

Kuala Lumpur: Selangor Red Giants (SRG.OG) mencipta sejarah baharu apabila merangkul kejuaraan hatrik Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia untuk Musim ke-15 (MPL MY 15) selepas menewaskan Homebois 4-0 pada Grand Final, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, ramai menjangkakan SRG.OG bakal menerima tentangan sengit daripada lawan mereka seperti mana pertemuan sebelum ini di Upper Bracket final, sebaliknya terjadi apabila juara bertahan itu menunjukkan jurang prestasi yang ketara antara kedua-dua pasukan.

SRG.OG ternyata berada di kelas tersendiri apabila hero yang dipilih dalam setiap permainan itu begitu sukar ditentang oleh Homebois dan mereka begitu mendominasi keseluruhan empat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih mereka, Michael Angelo Bocado atau Arcadia tetap berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya kerana mereka beraksi seperti dirancang dan mempamerkan permainan penuh meyakinkan.

“Saya tetap bangga dengan setiap pemain kerana mereka meneruskan momentum cemerlang sebelum ini untuk kita menang perlawanan hari ini selepas kita berusaha keras sepanjang musim ke-15,” katanya.

Selepas ini, SRG.OG dan Homebois akan mempersiapkan pasukan untuk memastikan mereka dapat memberi saingan terbaik pada Piala Pertengahan Musim (MSC) dalam Piala Dunia E-sukan 2025 di Riyadh, Arab Saudi bulan hadapan.

Anak didik Arcadia sudah pasti mempunyai misi tersendiri iaitu mempertahankan kejuaraan selepas mencipta sejarah pasukan pertama muncul juara pada kejohanan berkenaan tahun lalu untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.6 juta).

Shahmalarani idam tamatkan kemarau emas

Kuala Lumpur: Atlet karate negara, C Shahmalarani berazam untuk menampilkan prestasi cemerlang sekali gus menamatkan kemarau emas di Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang bakal berlangsung di Brunei dari Selasa sehingga 19 Jun ini.

Jelasnya, dia kini berada pada tahap motivasi terbaik selepas memenangi pingat perak di Kejohanan Karate Asia (AKF) di Uzbekistan bulan lalu dan melihat SEAKF sebagai medan terbaik untuk dirinya meneruskan momentum itu, sambil menilai persiapan serta kekuatan pasukan lawan yang akan menyertai Sukan Sea Thailand nanti.

“Saya belum pernah menang emas di SEAKF, jadi kali ini saya benar-benar mahu menamatkan kemarau itu.

“Selain itu, SEAKF adalah kejohanan penting sama seperti Sukan Sea yang bakal berlangsung hujung tahun ini. Ini adalah peluang terbaik untuk kami mengkaji kekuatan lawan lebih awal.

“Ada negara yang akan menghantar atlet pelapis, ada juga yang membawa atlet berpengalaman. Jadi, ia penting untuk kami mengumpul maklumat dan pengalaman bersaing dengan atlet serantau,” katanya.

Atlet kelahiran Selangor itu sebelum ini pernah memenangi pingat perak acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) pada edisi 2023 di Manila, manakala tahun lalu pula membawa pulang gangsa di Bangkok.

Justeru, Shahmalarani menyedari dirinya turut berada dalam senarai lawan yang mahu ditewaskan, namun dia sudah bersedia untuk berdepan situasi sedemikian.

“Saya tahu ramai yang akan cuba tewaskan saya, itu perkara biasa dalam mana-mana sukan. Jadi, saya perlu lakukan yang terbaik. Memang ada tekanan, tetapi itu juga biasa dalam sukan, terutama dalam seni mempertahankan diri,” katanya.

BAM cari formula buat perseorangan lelaki kembali menyengat

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan merangka beberapa langkah gerak kerja untuk memastikan pemain perseorangan lelaki negara kembali menyengat di kejohanan kompetitif dan bukan sekadar menjadi pelengkap pertandingan sahaja.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan setiap atlet malah akan mengadakan sesi pertukaran pendapat bersama barisan jurulatih bagi mencari solusi terbaik agar pemain negara mampu tampil selaku pencabar utama.

“Bagi saya, masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Saya sudah berbincang dengan jurulatih dan kita tahu terutamanya dalam acara perseorangan, masih banyak yang perlu diperbaiki dan kita mahu lihat perkara itu dilaksanakan,” katanya.

Untuk makluman, ketika ini, di bawah BAM, negara mempunyai beberapa pemain seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh namun dua pemain ini dilihat masih belum berada di tahap terbaik untuk mencabar kejuaraan dalam setiap pertandingan yang disertai.

Sementara itu, Ng Tze Yong pula dilihat bakal menjadi sandaran utama selepas kembali daripada kecederaan belakang. Tetapi, nasib dia tidak begitu baik apabila perlu berehat sekali lagi ekoran mengalami kecederaan serius pada ligamen lutut (ACL) dan bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut gembira melihat pencapaian pemain negara dalam beberapa kejohanan terakhir terutama beregu lelaki dan wanita negara kerana berjaya meraih kejuaraan. Beliau berharap pemain dapat mengekalkan prestasi itu untuk kejohanan akan datang.

“Apa yang berlaku ini menunjukkan hasil kerja jurulatih, terutamanya bahagian beregu. Secara adilnya, memang nampak hasilnya (kejuaraan). Satu lagi ialah soal mengekalkan prestasi ini.

“Sebab kita ada empat kejohanan dalam tempoh masa yang sangat singkat, iaitu Terbuka Kanada, Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Macau,” katanya.

Antara pencapaian terbaik skuad badminton negara pada bulan lalu adalah muncul juara di Terbuka Thailand (Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah), Masters Malaysia (Tee Kai Wun-Man Wei Chong), dan Terbuka Singapura (Aaron-Wooi Yik).

KSB jumpa PSM bincang hala tuju Akademi Sepaktakraw

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menetapkan hala tuju Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM) selepas kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak membina stadium baharu sebaliknya PSM akan menaik taraf kemudahan yang sedia ada untuk dijadikan tempat pembangunan atlet sepak takraw pada masa akan datang.

Jelasnya, prestasi skuad sepak takraw Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa juga menjadi faktor utama peruntukan itu diluluskan sekali gus bakal membuka dimensi baharu buat sukan berkenaan.

“Tanah berkenaan adalah milik Institut Sukan Negara (ISN) dan kita memberikan pajakan kepada PSM untuk mereka buat akademi dan tempat khas yang mereka namakan stadium untuk sepak takraw.

“Ini adalah satu kerjasama yang baik kerana KBS kini tidak mahu membina kemudahan baharu dan kita tidak akan membina akademi atau stadium untuk semua jenis sukan. Kita ada 103 jenis sukan, tak mampu buat semuanya.

“Tetapi kita tahu sepak takraw adalah sukan yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia adalah sukan tradisi. Maka kita melihat kepada populariti sepak takraw serta kejayaan mereka dalam Piala Dunia (2024) dan Piala Asia (2025) baru-baru ini,” katanya.

Tambah Hannah, perbincangan antara KBS bersama PSM juga akan diadakan bagi memastikan projek itu dapat dijalankan mengikutkan perancangan seperti ditetapkan agar peruntukan yang diberikan itu boleh digunakan sebaik mungkin.

“Kerana saya sendiri tidak menyangka beliau akan meluluskan RM6 juta. Tetapi ada syarat-syarat tertentu dan saya akan mengadakan perbincangan dengan PSM secepat mungkin. Hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim ) ialah supaya akademi ini direalisasikan secepat mungkin sebelum pembentangan bajet (hujung tahun nanti),” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia