Kuala Lumpur: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri menutup kempen Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) dengan kilauan pingat perak selepas menamatkan saingan acara ujian masa 1 kilometer (km) di Velodrom Tagaytay, Filipina, hari ini.
Pelumba berusia 23 tahun itu mencatat masa 1 minit 06.916 saat (s) pada perlumbaan akhir untuk menduduki tempat kedua, di belakang wakil China, Luo Xue Huang yang memecahkan rekod Asia miliknya sendiri dengan catatan 1:05.120s.
Gangsa menjadi milik pelumba Korea Selatan, Hwang Hyeon Seo yang mencatat 1:07.269s.
Izzah sebelum ini pernah mencipta rekod Asia 1:06.229s ketika meraih emas di kejohanan sama tahun lalu di Velodrom Nasional, Nilai.
Pada pusingan kelayakan, Izzah sekadar mencatat masa ketiga terpantas 1:07.571s, manakala Xue Huang mengungguli saingan dengan 1:05.561s, sekali gus melebur rekod lama milik pelumba negara itu.
Bagaimanapun, Izzah bangkit dengan kayuhan lebih bertenaga di final apabila memperbaiki catatan masa, namun masih belum cukup untuk mempertahankan gelaran dimenangi sebelum ini.
Pingat perak menjadi pencapaian individu pertama Izzah dalam edisi kali ini selepas kecewa apabila disingkirkan dalam final keirin, Khamis lalu.
Dia turut terlepas peluang menaiki podium dalam acara pecut individu Isnin lalu selepas tewas dalam penentuan pingat gangsa, walaupun hadir sebagai pemenang dua kali gangsa berturut-turut pada 2024 dan 2025.
Secara keseluruhan, ia adalah pingat kedua Izzah di kejohanan kali ini selepas membantu skuad pecut berpasukan wanita meraih perak bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid minggu lalu.
Sementara itu, dalam acara ujian masa 1km lelaki, Fadhil Zonis terlepas podium apabila menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 1:00.832s.
Pingat emas dimenangi pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi (59.915s), diikuti wakil China, Xie Han (59.929s) dan pelumba Jepun, Ryuto Ichida yang meraih gangsa dengan 1:00.614s.
