Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyenaraikan enam muka baharu daripada keseluruhan 21 pemain bagi skuad lelaki yang akan berada dalam Program Podium 2026 untuk menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dan Sukan Asia Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.
Antara muka baharu itu ialah Muhammad Fahmi Khalid dan Zuhri Muhammad Zin (tekong) serta Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa dan Muhammad Wazir Madi selaku apit kanan.
Selain itu, Mohammad Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul Imran dan Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa pula akan beraksi sebagai pengumpan bagi memberi saingan kepada pemain senior sekali gus merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, pemilihan dibuat oleh barisan kejurulatihan kebangsaan bersama Jawatankuasa Teknikal PSM secara profesional dan berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan.
“Pemilihan akhir pasukan sepak takraw kebangsaan (lelaki dan wanita) adalah berdasarkan penilaian yang merangkumi aspek prestasi semasa, konsistensi permainan, tahap kecergasan fizikal, disiplin latihan, komitmen terhadap program pusat serta kesesuaian taktikal mengikut keperluan acara yang dipertandingkan.
“Terdapat beberapa pemain baharu yang dibawa masuk ke dalam pasukan Sepaktakraw Kebangsaan pada tahun ini selepas menunjukkan prestasi cemerlang di kejohanan domestik,” katanya.
Sementara itu, bagi pasukan wanita, empat pemain baharu dibawa masuk untuk melengkapkan senarai akhir 12 pemain bagi Program Podium tahun ini.
“PSM turut mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara untuk mendapatkan khidmat seorang pakar perunding dari Thailand bagi memperkukuh dan meningkatkan tahap permainan skuad wanita kebangsaan,” katanya.
