Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari optimis gabungan pemain profesional dan atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu memberi impak besar dalam kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, hujung April ini.
Keyakinan itu hadir susulan kesediaan Lee Zii Jia membantu skuad negara tanpa mengemukakan sebarang tuntutan kepada BAM, sekali gus menghangatkan misi menamatkan penantian gelaran sejak 1992.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Lee Zii Jia dan pasukannya kerana bersetuju untuk bersama-sama kita membawa pulang kegemilangan Piala Thomas yang kali terakhir pada 1992.
“Insya-Allah kejayaan itu akan terulang lagi dengan adanya kombinasi dan kerjasama yang baik daripada pasukannya dan semua pemain yang bersetuju bersama kita,” katanya selepas melancarkan My Athlete Centre dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MACE Partners di Pavilion MSN di sini hari ini.
Menurut Taufiq, penyertaan Zii Jia jelas mencerminkan semangat cintakan negara dan komitmen untuk memberikan yang terbaik di pentas berpasukan.
“Penyertaan ini dilakukan atas dasar semangat cintakan negara dan semangat untuk memberikan yang terbaik untuk Malaysia.
“Saya juga sudah berjumpa dengan presiden dan pasukan BAM untuk membincangkan perkara ini dan saya sambut baik keputusan yang dilakukan,” katanya.
Taufiq berharap sinergi antara pemain profesional dan skuad kebangsaan mampu memperkukuh cabaran Malaysia di Denmark.
“Insya-Allah badminton kita terus maju dan membawa pulang kemenangan besar untuk Malaysia,” katanya.
