Kuala Lumpur: Nama Datuk Azizulhasni Awang terus menjadi sandaran utama negara apabila dia dijadual menyertai tiga kejohanan besar tahun ini bermula dengan Siri Piala Dunia di Perth 6 hingga 8 Mac ini.
Jaguh berbasikal trek yang meraih perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016 itu kini bergerak secara profesional akan meneruskan cabaran di Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada Julai serta Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, penyertaan ke Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2026 di Shanghai pada Oktober bergantung kepada prestasi Azizulhasni di Aichi-Nagoya.
Menurut beliau, sekiranya Azizulhasni berjaya menaiki podium di Sukan Asia, peluang ke Kejohanan Dunia terbuka luas bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Kita akan nilai selepas Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Jika dia capai podium, saya percaya dia akan ke Kejohanan Dunia untuk cuba kutip mata Olimpik,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Mengulas penganjuran Siri Piala Dunia dari 24 hingga 26 April ini, Amarjit memaklumkan kira-kira 48 negara dengan hampir 700 atlet dan pegawai dijangka hadir ke Malaysia.
Beliau yakin pengalaman pasukan penganjur mampu memastikan kejohanan berjalan lancar, selain akan mengadakan mesyuarat bersama Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi memperincikan beberapa perkara teknikal.
