Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Prestasi Aaron-Wooi Yik terbaik – Herry

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan prestasi dipamerkan gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sepanjang kempen Terbuka Malaysia 2026 konsisten dan berada pada tahap terbaik mereka.

Menurutnya, persembahan ditampilkan juara dunia 2022 itu di Axiata Arena hampir menyamai prestasi ketika muncul juara Kejohanan Asia di Ningbo, China pada April tahun lalu.

“Saya rasa mereka konsisten dalam permainan. Bagi saya, ini antara persembahan terbaik mereka selain ketika menjuarai Kejohanan Asia. Di Terbuka Malaysia kali ini, prestasi mereka hampir mencapai tahap itu dan mendekati penampilan sebenar seperti dahulu.

“Namun, kali ini mereka belum cukup tuah untuk meraih gelaran juara di laman sendiri,” katanya mengulas prestasi pasangan ranking kedua dunia itu dalam kejohanan berstatus Super 1000 berkenaan.

Pada aksi final semalam, Aaron-Wooi Yik mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho- Seo Seung Jae.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia masih belum berjaya menamatkan penantian untuk melihat wakil negara menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Seri Lee Chong Wei pada edisi 2018.

Malah, kemarau kejuaraan beregu lelaki negara di kejohanan berprestij itu turut berlarutan sejak kejayaan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.

Dalam pada itu, Herry menegaskan tanggungjawab membawa pulang kejuaraan, khususnya menjelang Terbuka India yang membuka tirainya di Kompleks Sukan Indira Gandhi esok, tidak seharusnya lagi dipikul Aaron-Wooi Yik semata-mata.

“Jangan hanya bergantung kepada Aaron-Wooi Yik. Saya berharap pasangan lain seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi serta Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri mampu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir atau lebih baik hingga ke final.

“Jika semua pasangan mampu menyumbang, tekanan dan beban itu akan menjadi lebih ringan,” katanya menjelang kejohanan berstatus Super 750 berkenaan.