Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Speedy Tigers panas badan di Perth

KUALA LUMPUR: Perlawanan berintensiti tinggi menjadi fokus utama skuad hoki lelaki negara pada Siri Jelajah Perth, Australia yang berlangsung dari 13 hingga 25 Januari 2026 sebagai persiapan akhir menjelang Kejohanan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 7 Mac depan.

Sepanjang siri jelajah itu, skuad negara dijadual mengharungi lima perlawanan membabitkan tiga aksi menentang kelab tempatan, Thunderstick pada 16, 17 dan 22 Januari, selain dua pertemuan menentang pasukan kebangsaan Australia masing-masing pada 20 dan 24 Januari.

Pengendali The Speedy Tigers, Sarjit Singh menjelaskan, beraksi menentang Australia dan pasukan Thundersticks di Perth memberi peluang kepada pemain menyesuaikan diri dengan tempo, fizikal dan tekanan permainan di tahap yang lebih tinggi.

Ia penting buat pasukannya membawa bekalan persiapan terbaik ke Kejohanan Kelayakan Piala Dunia, di mana Malaysia yang berada dalam Kumpulan B akan menerima tentangan daripada China, Pakistan dan Austria.

“Siri jelajah ini saya menggabungkan pemain senior dan pemain remaja di mana tiga daripada enam pemain yang dipanggil menjalani latihan, Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari dan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar akan bersama kami.

“Gabungan ini penting untuk memastikan keseimbangan pasukan selain memberi peluang kepada pemain muda mendapatkan pengalaman di peringkat senior.

“Fokus kami pada jelajah ini juga adalah untuk melihat tahap disiplin, kefahaman taktikal dan konsistensi prestasi sepanjang siri jelajah,” katanya.

Info Jadual

16 Januari

Malaysia mln Thunderstick, 6ptg

17 Januari

Malaysia mln Thunderstick, 5ptg

20 Januari

Australia mln Malaysia, 4ptg

22 Januari

Malaysia mln Thunderstick

24 Januari

Australia mln Malaysia, 9pg