Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, menggesa agar jadual Terbuka Malaysia pada masa depan dirombak dan tidak lagi dijadikan sebagai kejohanan pembuka tirai musim bagi memberi ruang rehat lebih mencukupi kepada pemain utama dunia.
Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik berkata, langkah itu perlu memandangkan ramai pemain elit baru sahaja menamatkan kempen panjang musim lalu, termasuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung pada pertengahan Disember.
Menurut Aaron, Terbuka Malaysia yang bertaraf Super 1000 mewajibkan penyertaan semua pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia, sekali gus menyukarkan pemain untuk mendapatkan tempoh pemulihan ideal selepas musim yang padat.
“Sebenarnya saya rasa Terbuka Malaysia ini agak terlalu awal sebab Jelajah Dunia Akhir baru saja habis, lepas itu dua minggu kemudian sudah kena main Terbuka Malaysia.
“Jadi harap mungkin masa kejohanan ini boleh dianjakkan, mungkin ke hujung Januari atau minggu pertama Februari,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini, menjelang saingan Terbuka Malaysia bermula Selasa ini.
Sebagai rekod, Terbuka Malaysia menjadi kejohanan pembuka musim bermula 2023 apabila dinaik taraf menjadi kejohanan Super 1000.
Aaron berpandangan, permulaan musim sepatutnya dimulakan dengan kejohanan bertaraf lebih rendah seperti Super 300 atau Super 500 sebelum beralih kepada kejohanan utama.
“Janganlah kejohanan pertama terus tahap Super 1000. Untuk pemain yang layak ke Jelajah Dunia Akhir, memang sudah penat sebab satu musim main 18 hingga 20 kejohanan. Lepas itu rehat satu dua minggu sahaja sudah kena mula balik.
“Kejohanan Super 1000 pula memang tak boleh ‘skip’, jadi untuk pemain utama, masa pemulihan dan latihan memang agak terhad. Kalau kejohanan awal musim itu tahap lebih rendah, sekurang-kurangnya pemain 10 atau 20 terbaik dunia ada sedikit masa untuk rehat,” katanya.
Mengulas tahap persiapan, Aaron berkata dia dan Wooi Yik tetap berusaha memanfaatkan masa yang ada untuk membuat persiapan terbaik biarpun tempoh rehat agak singkat.
“Pemulihan dan rehat kami rasakan agak baik. Lepas habis Jelajah Dunia Akhir, kami terus mulakan latihan sebab Terbuka Malaysia sudah dekat. Jadi kami buat persiapan,” katanya.
Pada saingan Terbuka Malaysia kali ini, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan bakal memulakan kempen menentang gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi–Presley Smith, pada pusingan pertama.
