Kuala Lumpur: Tekong utama skuad sepak takraw negara, Syahir Rosdi mengakui kejuaraan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun menjadi sasaran peribadi dalam melengkapkan kariernya.
Namun, dia menegaskan ia bukan satu kewajipan mutlak memandangkan saingan sengit khususnya daripada Thailand yang dijangka bangkit lebih kuat selepas ini.
Bagi Syahir, keutamaan ketika ini adalah prestasi pasukan dan dapat menampilkan persembahan cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertai pada tahun hadapan.
Malah, status selaku juara Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan Sea Thailand bukan alasan untuk skuad sepak takraw negara terus berasa selesa, sebaliknya perlu bekerja lebih keras bagi mengekalkan status gelaran itu daripada dirampas semula oleh musuh tradisi, Thailand.
“Bagi saya, tidak menjadi masalah jika saya tidak memenangi Sukan Asia kerana ia bukan penentu mutlak buat saya.
“Kita semua tahu Thailand akan bangkit selepas ini dan pasti melakukan perubahan besar.
“Jadi, sebagai juara, kami tidak boleh duduk diam atau terlalu selesa. Sukan Asia adalah kejohanan yang berprestij dan sekiranya berjaya memenanginya, ia akan menjadi satu pencapaian yang luar biasa buat saya, lebih-lebih lagi jika dapat beraksi dalam acara regu dan berpasukan,” katanya.
Mengulas harapan tinggi peminat selepas kejayaan menewaskan Thailand dan merangkul kejuaraan berganda dalam acara regu dan regu berpasukan di Sukan Sea Thailand, baru-baru ini, Syahir mengakui tekanan itu perlu diterjemahkan secara positif oleh pemain.
“Kami sebagai pemegang pingat emas acara berpasukan kena kuatkan mental dan disiplin. Sebab kalau boleh kami nak menang 2-0 (acara regu berpasukan) selepas ini mungkin.
“Semangat sepasukan itu penting sebab kami tak nak menang sekali saja. Kalau boleh, kami mahu kekalkan kejuaraan dan bukan tunggu lima atau 10 tahun baru boleh menang balik,” katanya.
