KUALA LUMPUR: Skuad muaythai negara kembali mengintai kegemilangan di pentas Sukan SEA apabila menetapkan sasaran meraih satu pingat emas pada edisi Bangkok, Thailand, kali ini.
Keyakinan itu dilihat realistik berdasarkan pencapaian di Hanoi tiga tahun lalu yang menyaksikan Malaysia membawa pulang satu emas dan satu perak.
Pemenang emas edisi 2021, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, menjadi sandaran utama untuk mengetuai barisan 13 atlet negara, dibantu beberapa nama yang semakin meningkat naik seperti Rifdean Masdor, adik kepada bintang ONE Championship, Johan Ghazali; Muhammad Mikail (Miki) serta jaguh BYON, Ammarul Shafiq.
Pengurus pasukan, Saifulnizam Mohd Shahar, ketika dihubungi berkata, persiapan skuad kebangsaan berada pada landasan tepat selepas menjalani kem latihan pusat di Bangkok sejak sebulan lalu.
“Sebelum ini di Kemboja (2023) muaythai tidak dipertandingkan. Di Hanoi, kita raih satu emas dan satu perak. Jadi, sasaran satu emas masih kekal, manakala kategori lain diharap turut mampu menyumbang pingat tanpa mengira warna,” katanya.
Saifulnizam menegaskan skuad negara tidak menetapkan acara tertentu sebagai sandaran utama, namun kategori seni (wai kru) dilihat antara medan terbaik untuk menghadirkan pingat emas.
Secara keseluruhan, muaythai menawarkan 18 pingat emas – 16 menerusi acara muay dan dua bagi kategori wai kru.
Di Hanoi, Aliff mencuri tumpuan apabila memenangi emas selepas menewaskan wakil tuan rumah, Huynh Hoang Phi, dalam kategori 54 kilogram (kg).
Pingat perak negara pula disumbangkan Nur Amisha Azrilrizal yang tewas kepada atlet Thailand, Wansawang Srila-or, dalam final 51kg.
“Aliff masih beraksi, tetapi pencapaian itu sudah tiga atau empat tahun lalu. Fokusnya kini lebih kepada perlawanan profesional. Kita harap dia mampu tampil cemerlang, tetapi itu bukan KPI utama kerana situasi semasa sudah berbeza,” katanya.
INFO
Sukan: Muaythai
Sasaran: 1 emas
Pencapaian terakhir (Vietnam 2021): 1 emas, 1 perak
Jumlah emas ditawarkan di Bangkok: 18
