Kuala Lumpur: Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou menutup tirai musim 2025 dengan penuh rasa syukur selepas mengekalkan rekod cemerlang sepanjang tahun, menjuarai lima kejohanan perseorangan dan menyapu bersih tujuh gelaran beregu yang disertainya.
Liek Hou, 37, melengkapkan musim hebat itu dengan kemenangan berganda di Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Jepun 2025 di Shizuoka semalam, sekali gus mengakhiri tahun dengan semangat tinggi menjelang kempen penting tahun depan.
“Saya menutup kejohanan tahun 2025 dengan dua emas di perseorangan dan dua emas di beregu di Indonesia dan Jepun, berturut-turut.
“Tahun ini saya sertai tujuh kejohanan, menang lima di perseorangan dan kesemua tujuh di beregu. Saya rasa sangat bersyukur kerana dapat mengekalkan prestasi sepanjang musim,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial.
Bagi pemenang dua kali pingat emas Paralimpik itu, pencapaian kali ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi bukti usaha keras dan konsistensi yang dipupuk saban tahun.
“Tahun depan sangat penting bagi saya, Sukan Para Sea akhir Januari, Kejuaraan Dunia Para Badminton awal Februari dan Sukan Para Asia pada Oktober. Saya harap dapat kekalkan rentak permainan dan tunjukkan prestasi terbaik,” ujarnya.
Liek Hou turut menzahirkan penghargaan kepada penaja dan pihak yang sentiasa berada di belakangnya, termasuk APACS Sports, Akisama Group, Himalaya Sports Malaysia, serta sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya dan menyokong saya selama ini.
Kepada semua penyokong, terutamanya rakyat Malaysia, anda sebab saya masih bersemangat untuk terus mewakili negara yang saya cintai,” katanya.
Di Shizuoka, Liek Hou mempamerkan aksi konsisten apabila menewaskan pemain Taiwan, Fang Jen-Yu 21-14, 21-17 dalam final perseorangan lelaki SU5, sebelum bergandingan dengan Mohamad Faris Ahmad Azri untuk menumpaskan pasangan India, Hardik Makkar-Ruthick Ragupathi 23-21, 21-13 bagi memastikan emas berganda.
Kejayaan itu sekali gus menegaskan status Liek Hou sebagai legenda para badminton dunia, bukan sahaja kerana gelaran yang dimenanginya, tetapi kerana ketabahan dan semangat juangnya yang tidak pernah luntur.
