Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun tidak mahu sejarah tahun lalu berulang dan kini akan terus berjuang untuk memastikan mereka layak selaku pasangan kedua ke Jelajah Dunia Akhir BWF bulan depan biarpun perlu bertarung dalam kondisi tidak cergas sepenuhnya.
Jelas Kai Wun, ketika ini kedudukan mereka sangat cerah untuk layak dan sebab itu dia akan tetap berjuang meskipun kini berdepan kecederaan yang mungkin boleh memberi kesan terhadap prestasi dalam gelanggang.
Katanya, kecederaan betis yang dialami ketika Terbuka Hylo tidak akan mengganggu dan tetap akan memberi fokus kepada pertandingan akan datang untuk memastikan kedudukan mereka ke Jelajah Akhir lebih terjamin.
“Betis saya masih ada bengkak. Saya rasa ada lagi koyak (kesan kecederaan) sedikit, tapi tak pasti. Mungkin esok (hari ini) baru kena imbasan sekali lagi untuk tahu sama ada ada perubahan ke arah lebih baik atau sebaliknya.
“Kita akan sertai Masters Jepun sebab tiket kita ke Jelajah Akhir BWF masih belum pasti. Jadi, kita perlu bermain dulu kerana setakat ini peluang kita untuk mara agak cerah. Kita akan berjuang untuk itu,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kecederaan itu akan memberi kesan besar terhadap peluang ke Jelajah Akhir BWF, Kai Wun mengakui sedikit terganggu pada awalnya namun tetap positif.
“Mula-mula saya tengok kecederaan ini, memang susah hati. Masa itu dalam dua tiga hari saya berfikir dan hanya diri sendiri tahu apa yang dirasai. Semua orang tak tahu. Orang luar nampak macam okay saja, tapi hati kita siapa tahu,” katanya.
Untuk rekod, pasangan utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik sudah mengesahkan tempat dan kini, Wei Chong–Kai Wun berada di kedudukan ketiga dunia (Jelajah Akhir BWF) memerlukan keputusan positif dalam beberapa kejohanan akan datang.
Untuk layak, mereka perlu memastikan tempat sekurang-kurangnya di suku akhir dan sekiranya mara ke separuh akhir serta final, peluang itu lebih besar untuk memihak kepada gandingan negara itu.
Untuk rekod, tahun lalu mereka hampir layak namun disebabkan tidak konsisten dalam beberapa pertandingan terakhir, tempat mereka dipintas oleh Aaron-Wooi Yik.
