Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Emma Firyana berjaya mara ke final

Kuala Lumpur: Jaguh boling padang, Emma Firyana Saroji menceriakan kem negara apabila berjaya melangkah ke pentas akhir perseorangan wanita Piala Dunia 2025, sebentar tadi.

Beraksi di halaman sendiri, Emma Firyana menggunakan kelebihan itu sebaik mungkin untuk menewaskan pesaing dari Australia, Dawn Hayman 2-1 pada separuh akhir yang penuh sengit di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Bagaimanapun, pemain berpengalaman itu dikejutkan pada set pertama sebelum bangkit dalam dua set seterusnya untuk memastikan sekurang-kurangnya pingat perak sudah berada dalam genggaman pasukan negara.

“Prestasi saya sebenarnya agak turun naik kerana masih mencari momentum terbaik untuk kejohanan ini.

“Namun Alhamdulillah, segala perancangan hari ini menjadi dan saya berjaya ke final,” katanya.

Sementara itu, hasrat untuk melihat pertemuan sesama sendiri tidak kesampaian apabila seorang lagi wakil negara, Nurul Alyani Jamil tewas 0-2 kepada pemain England, Katherine Rednall.

Kekalahan itu menyaksikan Alyani muncul wakil pertama negara menyumbang pingat gangsa buat kem negara.

“Saya akan cuba ubah warna pingat ini apabila turun bersama Emma dalam acara berpasangan wanita bermula esok,” katanya.

Pada perkembangan sama, perjuangan beregu lelaki berakhir di peringkat kumpulan selepas gandingan Izzat Shameer Dzulkeple–Soufi Rusli sekadar menamatkan saingan di tangga keempat.