Kuala Lumpur: Perjuangan wakil tunggal negara, Nurul Izzah Izzati Asri, dalam acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 berakhir selepas tewas di pusingan pertama kepada jaguh New Zealand, Ellesse Andrews, di Velodrom Penalolen, Santiago, Chile, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Izzah mengulangi pencapaian tahun lalu apabila turut terkandas di peringkat sama selepas tumpas kepada wakil Jerman, Alessa Catriona Propster, meskipun berjaya melepasi pusingan kelayakan.
Terdahulu, pelumba kelahiran Kedah berusia 22 tahun itu mencatat masa 11.019 saat (s) untuk menduduki tangga ke-26 daripada 34 pelumba pada pusingan kelayakan, sekali gus melayakkan diri ke pusingan pertama.
Namun catatan itu jauh daripada rekod kebangsaan 10.578s miliknya yang dilakukan di Kejohanan Piala Negara-Negara di Turkiye, Mac lalu.
Menentang Ellesse sememangnya satu ujian getir buat wakil negara, apatah lagi lawannya itu merupakan juara dunia pecut 2023 dan pemenang pingat emas berganda dalam acara pecut serta keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Tumpuan kini beralih kepada acara keirin yang bakal berlangsung Ahad ini, dengan Izzah berazam untuk menebus kekecewaan dan memperbaiki kedudukannya.
Tahun lalu, dia berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir sebelum menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan.
