Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
IRONMAN Malaysia 2025: Langkawi terus jadi tumpuan dunia

Kuala Lumpur: Langkawi bakal kembali menjadi tumpuan dunia apabila ribuan atlet sukan lasak dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di pulau legenda itu bagi edisi ke-10 IRONMAN Malaysia yang dijadual berlangsung dari 30 Oktober hingga 2 November 2025.

Menampilkan cabaran renangan sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian maraton 42.2km di bawah terik matahari serta kelembapan tropika, IRONMAN Malaysia kekal sebagai antara triatlon jarak penuh paling mencabar di dunia.

Turut memeriahkan edisi kali ini ialah IRONMAN 70.3 Langkawi, versi separuh jarak penuh yang kembali buat kali ketujuh sejak diperkenalkan pada 2017, membuka peluang kepada atlet elit mahupun amatur untuk menguji ketahanan diri di pentas antarabangsa.

Memasuki tahun ke-10 penganjuran di bawah World Endurance Malaysia, acara ini berkembang pesat menjadi antara kejohanan triatlon jarak jauh paling berprestij di Asia.

Edisi kali ini menarik penyertaan seramai 1,500 atlet dari 56 negara, sekali gus memperkukuh reputasi Langkawi sebagai destinasi perlumbaan dan pelancongan bertaraf dunia.

Malaysia turut mencatat penyertaan besar dengan 500 atlet tempatan bakal beraksi dalam kedua-dua kategori IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi.

Secara keseluruhan, minggu perlumbaan ini dijangka menghimpunkan 5,000 penonton dan 1,250 sukarelawan, menjadikannya antara acara sukan ketahanan terbesar di rantau ini.

Sepanjang sedekad penganjuran, IRONMAN Malaysia menyaksikan pelbagai detik gemilang dengan catatan masa luar biasa.

Rekod kejohanan kini dipegang atlet Brazil, Fernando Toldi dengan masa 8 jam 10 minit 24 saat, manakala atlet wanita Australia, Regan Hollioake merekodkan masa terpantas wanita 9 jam 13 minit 8 saat, kedua-duanya pada edisi 2024.

Bagi wakil tempatan, Fawwaz Fauzi (10:47:42) dan Pow Chia Ling (11:33:41) memegang rekod terbaik Malaysia untuk kategori lelaki dan wanita, melambangkan kematangan serta kekuatan komuniti triathlon negara.

Lebih daripada sekadar perlumbaan, IRONMAN Malaysia memainkan peranan besar dalam memupuk perkembangan sukan triatlon di tanah air, menjadi titik mula kepada ramai atlet tempatan yang kini beraksi di pentas antarabangsa.

Berlatarbelakangkan keindahan pulau tropika, laluan perlumbaan membawa peserta menyusuri pesisir pantai, kampung tradisional serta hutan menghijau sebelum menamatkan perlumbaan di Pantai Cenang yang menjadi simbol ‘RaceCation’, gabungan perlumbaan dan percutian.

Sepanjang laluan, atlet disambut dengan keramahan penduduk Langkawi, menjadikan suasana perlumbaan lebih meriah dan penuh semangat komuniti.

Sejak 2014, IRONMAN Malaysia turut memberi impak besar terhadap ekonomi Langkawi dengan anggaran RM248 juta nilai pulangan ekonomi dicatatkan sepanjang sedekad penganjuran.

Tahun 2019 merekodkan jumlah tertinggi hampir RM38 juta, manakala tahun lalu menyumbang RM23.8 juta selepas pemulihan pascapandemik.

Menurut Pengarah Serantau IRONMAN Asia, CG Lim, penganjuran kali ke-10 bukan sekadar meraikan perlumbaan, tetapi juga semangat yang dibina bersama masyarakat setempat.

“Edisi ke-10 ini lebih daripada sekadar perlumbaan, ia menandakan satu dekad pembangunan komuniti, pendedahan global dan semangat ketahanan yang dikongsi bersama.

“Ramai atlet Malaysia kini layak ke Kejohanan Dunia IRONMAN di Kona, Hawaii, hasil usaha mereka bermula di Langkawi. Ia satu pencapaian luar biasa yang membuktikan sejauh mana komuniti triatlon tempatan sudah berkembang,” katanya.

Tambah beliau, sambutan ulang tahun ke-10 ini turut meraikan dedikasi ribuan sukarelawan dan warga Langkawi yang menjadi tunjang utama kejayaan acara berkenaan.