Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kontinjen Sukan SEA negara bakal berdepan cabaran logistik

Kuala Lumpur: Kontinjen negara dijangka berdepan cabaran logistik apabila penganjur temasya Sukan Sea 2025 di Thailand memutuskan untuk tidak menyediakan perkampungan sukan bagi menempatkan atlet dan pegawai.

Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah, berkata keputusan itu menyebabkan semua atlet akan ditempatkan di hotel berhampiran venue pertandingan mengikut sukan masing-masing, sekali gus menimbulkan cabaran besar dari segi koordinasi dan pengurusan pasukan.

“Untuk temasya kali ini, tiada perkampungan sukan disediakan. Semua atlet dan pegawai akan tinggal di hotel berbeza mengikut jenis sukan. Ini bermakna kontinjen kita akan bertaburan di beberapa lokasi termasuk Bangkok, Chonburi dan Songkhla,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan perancangan rapi kerana logistik dan penyelarasan antara pasukan, termasuk urusan sains sukan serta perubatan, akan menjadi lebih mencabar berbanding temasya sebelum ini.

“ISN kini sedang menilai hotel paling strategik untuk dijadikan pangkalan utama kontinjen negara, bagi memudahkan urusan sokongan kepada atlet seperti rawatan fisioterapi, pemulihan dan ujian doping,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pengurus pasukan, hari ini.

Tambah Nurul Huda, cabaran itu turut menuntut pengurus pasukan memainkan peranan lebih besar bagi memastikan kebajikan atlet terjamin dan semua urusan logistik berjalan lancar sepanjang temasya berlangsung.

“Setiap pengurus pasukan akan bertanggungjawab penuh terhadap atlet mereka dari segi koordinasi, disiplin, pemakanan dan logistik. Kami perlu memperkasakan mereka kerana keadaan kali ini tidak sama seperti biasa,” ujarnya.

Beliau yang ditemui selepas mesyuarat pengurus pasukan di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini memaklumkan bahawa pihak penganjur Thailand, Taisoc, memberi jaminan penyediaan makanan halal kepada semua kontinjen Islam termasuk Malaysia, selain menempah beberapa hotel tambahan bagi menampung jumlah atlet yang ramai.

“Buat masa ini, kami difahamkan penganjur sudah menjangkakan peningkatan jumlah peserta dan bersedia dengan beberapa hotel tambahan untuk sukan tertentu. Namun pengesahan penuh hanya akan diperoleh lebih dekat dengan temasya,” katanya.

Nurul Huda menegaskan walaupun berdepan cabaran logistik, kontinjen Malaysia akan tetap tampil dengan semangat tinggi dan pendekatan berprestasi, dengan tumpuan bukan sahaja terhadap Sukan Sea kali ini tetapi juga sebagai persiapan jangka panjang menuju Sukan Sea 2027.