Kuala Lumpur: Selepas sekian lama pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak beraksi di pentas antarabangsa, peminat badminton negara kini mungkin boleh melihat dia kembali menghangatkan gelanggang.
Ia berikutan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan tiada permohonan penarikan diri diterima daripada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu, bagi menyertai Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, setakat jam 5 petang tadi.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.
“Setakat jam lima petang, tiada permohonan penarikan diri dari pasukan Zii Jia,” katanya.
Bagaimanapun, sebarang keputusan mungkin berubah kerana tarikh akhir untuk menghantar permohonan penarikan diri adalah pada jam 11.59 malam ini.
Untuk makluman, semua pendaftaran pemain bagi kejohanan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu melalui badan induk kebangsaan itu.
Untuk rekod, Zii Jia mempunyai perlindungan ranking di kedudukan kesembilan, kini berada di kedudukan ke-52 dunia dan tidak beraksi sejak Mac lalu kerana kecederaan buku lali yang dialami sejak Jelajah Dunia Akhir, Disember tahun lalu.
Kali terakhir dia beraksi adalah di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac lalu, namun dia dihantui kecederaan yang memaksanya menarik diri daripada beberapa kejohanan iaitu Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China.
Namun, disebabkan dia mendapat perlindungan rankingnya, BWF menawarkan slot ke Paris dan Zii Jia sudah pun menerima jemputan untuk beraksi di kejohanan itu.